20 Mei 2011

Akhbar Sebagai Bahan Bantuan Mengajar

MARAN 18 Mei – Peranan akhbar bukan sahaja menyebarkan maklumat kepada pembaca tetapi juga boleh dijadikan alat pembelajaran untuk guru dan pelajar sekolah ketika sesi pembelajaran.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, walaupun akhbar menyiarkan berita berkaitan isu semasa, di dalamnya terdapat bahan pembelajaran yang boleh dijadikan rujukan.
Sebagai contoh katanya, akhbar Utusan Malaysia memuatkan sisipan seperti Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) dan Utusan Melayu Mingguan Jawi yang boleh digunakan sebagai bahan ulang kaji dalam mata pelajaran tertentu.
“Jangan disia-siakan kandungan yang terdapat di dalam akhbar itu kerana pelbagai maklumat boleh diperoleh di dalamnya,” katanya pada majlis penyerahan akhbar Utusan Malaysia dan peruntukan khas Parlimen Maran di Sekolah Kebangsaan Ulu Luit, di sini, hari ini.
Pejabat Parlimen Maran menaja akhbar Utusan Malaysia bernilai RM12,900 untuk diedarkan di 20 sekolah rendah dan menengah di daerah ini.
Tajaan yang memasuki tahun ketiga itu membolehkan para guru dan pelajar sekolah di daerah ini mendapat pelbagai maklumat serta bahan pembelajaran menerusi akhbar itu.
Ismail berkata, pada masa akan datang beliau bercadang untuk meluaskan tajaan akhbar itu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina di daerah ini.
Tambahnya, langkah tersebut bertujuan membolehkan pelajar sekolah terbabit menguasai bahasa Melayu dengan lancar dan berkesan.

Utusan Malaysia 18 Mei 2011