13 Apr 2011

membaca 1

Terima kasih, Tuan Pengerusi Majlis. Yang Arif lagi bijaksana, panel penilai dan rakan-rakan yang dihormati. Assalamualaikum dan selamat pagi.

Tajuk syarahan yang menjadi pilihan saya pada pagi ini ialah “Ke Arah Memupuk Minat Membaca dalam Kalangan Masyarakat”. Mengapakah saya memilih tajuk ini dan apakah yang ingin saya kupas daripada tajuk ini? Sebenarnya, beberapa hari yang lepas, saya baru selesai mengikuti jerayawara ke lima buah daerah di Johor untuk mengajar pelajar mengaplikaskan maklumat dalam karangan. Daerah terakhir yang saya kunjungi ialah daerah Pasir Gudang iaitu pada 3 Julai yang lalu. Di setiap daerah, saya akan bertanya kepada pelajar-pelajar, siapakah yang membaca surat khabar pada setiap hari? Tuan-tuan dan puan-puan tahu apakah jawapannya? Jawapannya amat mendukacitakan. Daripada lebih 100 orang peserta di setiap daerah, tidak sampai 10 orang yang membaca surat khabar pada setiap hari! Kalaupun ada yang membaca, mereka akan hanya membaca ruangan tertentu seperti ruangan sukan atau hiburan. Mereka juga tidak mengetahui nama-nama pemimpin negara apalagi isu semasa yang melanda negara. Inilah gambaran budaya membaca masyarakat kita yang sebenar. Oleh itu, tidak hairanlah jika, Perpustakaan Negara Malaysia mengumumkan bahawa purata membaca setiap rakyat Malaysia hanyalah dua buah buku setahun. Keadaan ini amat menyedihkan, tetapi itulah hakikatnya! Oleh sebab remaja hari ini merupakan pemimpin masa depan, maka usaha-usaha untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan oleh semua pihak. Jadi, tuan-tuan dan puan-puan, pada hari ini saya ingin mencadangkan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memupuk budaya membaca dalam masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pada pendapat saya, pihak kerajaan perlu lebih agresif dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Sebelum ini, banyak usaha dijalankan namun tahap pembacaan masyarakat masih rendah. Malahan, Kampung Buku di Langkawi yang diharapkan dapat menjadi daya tarikan untuk memupuk budaya membaca, dilaporkan terbiar dan tidak dimanfaatkan walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk membinanya. Oleh itu, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lepas, yang mahu menjadikan Malaysia sebagai “Negara Pembaca” perlulah disambut baik oleh semua pihak. “Negara Pembaca” yang dihasratkan ialah negara yang bukan sahaja memiliki rakyat yang suka membaca dan berasaskan ilmu pengetahuan, malahan diharapkan agar rakyat mempunyai kemampuan berterusan untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan baru. Tuan-tuan dan puan-puan, dengan terealisasinya hasrat ini, maka terealisasilah juga “Dasar