29 Apr 2011

Daulatkan Bahasa

Bernama : 27 April 2011 : Rais Mahu Rancangan Televisyen Dan Radio Guna Bahasa Melayu Dengan Betul

E-mail Cetak PDF  Hit : 9
JELEBU, 27 April (Bernama) -- Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mahukan supaya Bahasa Melayu digunakan dengan betul dalam semua rancangan di radio dan televisyen.


Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata rakyat Malaysia tidak perlu khuatir untuk mengucapkan Bahasa Melayu dengan jelas dan betul kerana bahasa itu setanding dengan Bahasa Inggeris.


"Kita harus gunakan Bahasa Melayu di dalam mesyuarat rasmi, dan perlu ada usaha untuk jadikan sehari atau dua di dalam seminggu sebagai hari bertutur dalam Bahasa Melayu dengan betul," katanya kepada pemberita pada majlis kampung wifi di Dewan Besar Felda Pasoh 3 di sini pada Rabu.


Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai teguran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lepas yang mengatakan bahawa sikap malu dan rendah diri masyarakat untuk bertutur dalam Bahasa Melayu menyebabkan bahasa itu seolah-olah terpinggir di bumi sendiri.


Dalam mengiakan kata-kata Muhyiddin itu, Rais memberi contoh dalam menjalankan tugasnya sebagai menteri, beliau sering menerima surat rasmi dari pihak swasta yang menggunakan Bahasa Inggeris.


"Pihak swasta harus sedar, Bahasa Melayu itu adalah lingua franca, saya sendiri banyak terima surat mereka dalam Bahasa Inggeris, saya secara hormat menjawapnya dalam Bahasa Melayu," katanya.


"Selepas sekian lama merdeka pihak swasta masih lagi tulis dalam Bahasa Inggeris, seolah-olah kita ini dibelenggu Inggeris," tambahnya.


Sementara itu, Rais mengumumkan bahawa Negeri Sembilan merupakan negeri yang paling tinggi kadar penembusan jalur lebar di Malaysia.


Katanya di Negeri Sembilan kadar penembusan teknologi itu adalah 67 peratus berbanding hanya 57.9 peratus di negeri-negeri lain.


-- BERNAMA