Sembang Bahasa
Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu bahasa Melayu yang kian tercabar martabat dan maruahnya. Tambah-tambah lagi bahasa Melayu kini kian terpinggir oleh penutur jatinya sendiri. Kebanyakan kita menuturkan bahasa Melayu yang tidak mengikut laras bahasa Melayu sebenar khususnya dalam penulisan. Kebanyakan penutur bahasa Melayu jati kurang cakna tentang peraturan dan pembentukan nahu bahasa Melayu. Ruangan ini akan memberi kita kesempatan berbicara tentang bahasa Melayu yang betul dan tepat. Siapa lagi yang mahu diharapkan untuk memartabatkan bahasa Melayu? Kitalah orangnya iaitu penutur jati bahasa tercinta ini.BENARKAH BAHASA KEBANGSAAN KITA KIAN TERPINGGIR?
Suatu ketika dahulu, bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan yang digunakan di serata Nusantara. Bahasa Melayu ketika itu dianggap sebagai bahasa antarabangsa dan dituturkan oleh para pedagang yang berdagang di rantau Nusantara khususnya di Melaka. Kegemilangan bahasa Melayu mencapai kemuncaknya semasa zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Pada masa itu, bahasa Melayu digunakan sebagai mekanisme untuk menyebarkan agama Islam. Pada masa yang sama bahasa Melayu mendapat satu bentuk tulisan baharu iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan kata bahasa Melayu kian bertambah dengan penyerapan perkataan daripada bahasa Arab. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan.
Semasa zaman penjajahan Belanda dan Inggeris, bahasa Melayu terus mendapat tempat. Pada masa itu banyak pegawai dari Barat yang berminat dengan bahasa Melayu. Antaranya ialah R.O. Winstedt, J.R. Wilkinson, C.C. Brown, W.E. Maxwell dan banyak lagi.
Selepas tamat Perang Dunia ke-2, bahasa Melayu mula terancam apabila banyak pegawai dari Barat yang jahil dengan bahasa Melayu. Di Negeri-negeri Melayu Bersekutu bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi. Hanya di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu bahasa Melayu masih mendapat tempat.
Era baru bahasa Melayu bermula setelah bahasa Melayu diwartakan sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu di bawah Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956 menambahkan kekuatan bahasa Melayu.
Namun hari ini, bahasa Melayu seolah-olah kian terpinggir oleh penutur jatinya sendiri. Anak-anak muda hari ini, seolah-olah tidak teruja lagi dengan keindahan bahasa Melayu. Bahasa Melayu hari ini dituturkan secara bahasa rojak. Bahasa kutu kerap kali mewarnai pertuturan anak muda hari ini. Mereka seperti tidak sedar bahawa melalui bahasa Melayu, kita mencapai kemerdekaan. Di sekolah pula, asalkan orang Melayu, mereka boleh mengajarkan bahasa Melayu kepada murid tanpa menyedari bahasa Melayu perlu dikuasai dengan betul dari segi pembentukan kata, frasa dan struktur ayatnya, bukan sekadar mampu menuturkannya. BUKAN MUDAH MENGAJARKAN BAHASA MELAYU.
Sekian untuk kali ini.