31 Mac 2011


Soalan:
Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Bincangkan peranan masyarakat untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum ini.
Jawaban:
Strategi:
T=Meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat
K=Peranan Masyarakat
F=Umum
Isi:
  1. Menganjurkan aktiviti gotong-royong
  2. Menganjurkan majlis rumah terbuka
  3. Menubuhkan persatuan rukun tetangga
  4. Menganjurkan hari keluarga.

Pada masa ini, isu tentang perpaduan menjadi buah mulut masyarakat dan agenda utama kerajaan. Perdana Menteri yang ke-6, iaitu Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak telah memperkenalkan Gagasan 1Malaysia. Gagasan 1Malaysia merupakan satu gagasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Perdana Menteri berpendapat dan yakin bahawa perpaduan akan menjamin kestabilan lantas menjadi prasyarat untuk mencapai kemajuan dan keamanan di negara kita. Dalam hal ini, semua rakyat Malaysia hendaklah menyokong usaha-usaha untuk mewujudkan perpaduan kerana perpaduan teras kejayaan. Dalam konteks ini, penduduk yang tinggal di sesuatu kawasan atau lebih dikenali sebagai masyarakat setempat perlu memainkan peranan untuk merealisasikan hasrat kerajaan bagi meningkatkan dan mengukuhkan perpaduan. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan semua penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum bagi memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan mereka.
(AJ) Satu daripada aktiviti yang perlu dilakukan oleh masyarakat ialah mereka hendaklah mengadakan program gotong-royong yang melibatkan semua penduduk. (AH1) Aktiviti ini bolehlah dirancangkan atau diadakan sebulan sekali atau setiap tiga bulan sekali. (AH2) Aktiviti gotong-royong ini akan memberikan peluang kepada semua penduduk untuk bersua muka dan berkenalan di samping membuat pekerjaan yang memberikan manfaat kepada semua pihak. (AH3)  Di samping bergotong-royong, mereka dapat berkenalan dan mengenal hati budi masing-masing kerana tak kenal maka tak cinta. (AC) Sebagai contohnya, pakatan penduduk di sesuatu tempat hendaklah mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan tempat tinggal atau menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes. (AP) Melalui aktiviti ini, kita bukan sahaja dapat merealisasikan konsep `Rakyat Sihat Negara Maju’, malah kita dapat meningkatkan hubungan dan seterusnya memupuk perpaduan selepas mereka menjalinkan persahabatan dan perkenalan.
Selain itu, (AJ) masyarakat juga hendaklah mengadakan majlis rumah terbuka sempena sambutan sesuatu hari perayaan. (AH1) Di negara kita, setiap kaum mempunyai perayaan yang utama yang disambut secara besar-besaran pada setiap tahun. (AH2) Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah mengambil peluang ini untuk mengadakan majlis hari terbuka bagi memberikan peluang kepada kaum yang lain meraikan bersama-sama. (AH3) Perayaan yang utama di negara kita termasuklah sambutan hari raya aidilfitri, tahun baharu China, Deepavali dan krismas. (AC) Sebagai contohnya, pakatan penduduk dalam sesuatu kawasan tempat tinggal hendaklah menganjurkan majlis rumah terbuka perayaan Tahun Baharu China di dewan Orang ramai atau di kawasan terbuka bagi membolehkan semua masyarakat menghadirinya pada hari minggu atau kelepasan am. (AP) Majlis seperti ini sudah tentu dapat mempererat hubungan antara penduduk  sekali gus meningkatkan keharmonian dan perpaduan kerana hati gajah sama-sama dilapah, hati kuman sama-sama dicecah.
Seterusnya, (AJ) masyarakat juga hendaklah mengadakan aktiviti hari keluarga. (AH1) Aktiviti ini hendaklah melibatkan semua ahli keluarga yang tinggal di dalam sesuatu kawasan atau taman. (AH2) Pakatan penduduk hendaklah mengadakan aktiviti ini sekurang-kurangnya tiga kali setahun. (AH3) Pelbagai bentuk permainan perlulah dijalankan di samping hadiah-hadiah yang lumayan disediakan. (AC) Sebagai contohnya, aktiviti seperti lari di dalam guni, mengisi air di dalam botol dan sebagainya bukan sahaja dapat mempererat hubungan dalam kalangan ahli keluarga, malah akan menjalinkan hubungan mesra dengan penduduk setempat yang lain.(AP)  Melalui aktiviti ini, perpaduan akan dapat dicapai kerana semua pasukan akan bekerjasama untuk mencapai kemenangan bak kata pepatah, “ke bukit sama-sama didaki, ke lurah, sama-sama dituruni.”.
Bukan itu sahaja, (AJ) masyarakat juga perlulah menubuhkan persatuan rukun tetangga di setiap kawasan kediaman. (AH1)Setiap keluarga atau ibu bapa perlulah menyertai persatuan ini. (AH2) Melalui persatuan rukun tetangga, pelbagai aktiviti boleh dijalankan seperti kelas agama, kelas jahitan, permainan, dan sebagainya. (AH3) Sebagai ahli, semua penduduk mestilah memberikan komitmen yang jitu dan bekerjasama ibarat berat sama-sama dipikul, ringan sama-sama dijinjing untuk melaksanakan pelbagai aktiviti. (AC) Sebagai contohnya, setiap penduduk hendaklah bersama-sama mengawal keselamatan tempat kediaman pada waktu tengah malam hingga pagi mengikut jadual kumpulan masing-masing. (AH4) Aktiviti ini sudah tentu melibatkan semua kaum yang tinggal di dalam sesuatu kawasan tersebut. (AP) Tegasnya, aktiviti persatuan rukun tetangga ini bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan di kawasan tempat tinggal, malah dapat menjalinkan kerjasama dan hubungan antara penduduk.
Kesimpulannya, (A Ksmpln) masyarakat memainkan peranan yang penting untuk menyokong usaha kerajaan bagi meningkatkan perpaduan. (A Pnln & A Cdgn) Oleh sebab perpaduan sangat sensitif  di negara kita yang penduduknya terdiri daripada berbilang kaum, maka aktiviti-aktiviti yang mampu memupuk perpaduan tersebut perlulah diperbanyak. (A Pndpt) Oleh hal yang demikian, gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri dengan menggunakan slogan, “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, perlulah difahami oleh setiap anggota masyarakat. Oleh itu,(A Cdgn) masyarakat harus memainkan peranan untuk menjayakan pelbagai usaha atau aktiviti bagi memastikan setiap penduduk memahami konsep ini  Dalam hal ini, (A Cdgn) mereka perlulah memikirkan dan melaksanakan pelbagai aktiviti untuk mendukung konsep 1Malaysia bagi menjayakan agenda perpaduan yang dicita-citakan oleh kerajaan.

Soalan Latihan:
1.Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Bincangkan peranan ibu bapa untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan ahli keluarga.
2.Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Bincangkan peranan rakyat untuk meningkatkan perpaduan di Negara kita.
3.Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Bincangkan peranan media massa untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang di Negara kita.
4. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Bincangkan peranan kerajaan untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di Negara kita.
5. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Bincangkan peranan sekolah untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan murid.
6. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Bincangkan peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)  untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan di Negara kita.
7. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Bincangkan peranan parti politik untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan ahli mereka.
8. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Bincangkan peranan mahasiswa universiti untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan mereka.
9. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Bincangkan peranan semua pihak untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di Negara kita.