31 Mac 2011


Langkah-langkah yang perlu dimbil untuk mengelakkan obesiti
Penyakit obesiti pada hari ini menjadi buah mulut pakar-pakar pemakanan. Isu ini menjadi perhatian kerana jumlah penghidap penyakit ini di negara kita semakin bertambah dari hari ke hari bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Pelbagai kesan akan dialami oleh pesakit ini hingga mengganggu aktiviti kehidupan dan pekerjaan seharian. Oleh hal yang demikian, langkah yang proaktif, iaitu cegah sebelum parah perlu diambil untuk menangani penyakit ini.
Satu daripada kesan yang dihadapi oleh pesakit obesiti ialah penampilan mereka kurang menarik. Mereka akan dijadikan bahan ketawa dan sindiran orang lain. Pergerakan mereka akan terbatas kerana saiz dan berat badan mereka yang tidak menyelesakan. Mereka juga akan didiskriminasikan semasa mencari pekerjaan dan teman hidup. Sebagai contohnya, mereka yang bekerja sebagai peragawati kemungkinan besar akan disingkirkan jika mengalami penyakit obesiti. Tegasnya, penampilan yang kurang menarik akan menyebabkan seseorang itu dipinggirkan.
Selain itu, pesakit obesiti mudah diserang oleh pelbagai penyakit. Hal ini terjadi kerana kandungan gula, kolesterol dan lemak dalam badan mereka lebih tinggi dan melampaui keperluan seharian. Fungsi organ-organ mereka akan terjejas secara langsung. Penyakit seperti serangan jantung, gout, diabetis, kerosakan buah pinggang akan dihidapi oleh pesakit obesiti. Hal ini terjadi kerana penghidap obesiti selalunya kurang melakukan senaman dan bahan toksik dalam badan mereka akan meningkat serta imuniti badan mereka akan menjadi lemah.
Untuk menangani penyakit obesiti, pemakanan seimbang haruslah diamalkan oleh setiap individu kerana kita mestilah menyediakan payung sebelum hujan. Makanan yang mengandungi lemak atau gula yang tinggi haruslah dikurangkan. Sebagai contohnya, makanan segera yang menjadi gaya hidup masyarakat masa ini perlulah dihentikan. Untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan, makanan yang berkhasiat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan harus menjadi ramuan terpenting dalam menu seharian kita.
Bukan itu sahaja, kita juga perlulah mengadakan aktiviti senaman pada setiap hari secara tekal. Apabila kita bersenam, kita dapat menghindarkan kandungan lemak yang berlebihan di dalam tubuh badan kita. Sebagai contohnya, seseorang itu mestilah memperuntukkan masa selama 30 minit untuk bersenam pada setiap hari. Sesungguhnya, aktiviti senaman merupakan cara yang paling berkesan untuk menghindarkan penyakit obesiti.
Kesimpulannya, setiap individu perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan penyakit obesiti kerana mencegah lebih baik daripada mengubatinya. Kita haruslah ingat bahawa penyakit obesiti akan menimbulkan pelbagai kesusahan atau kesengsaraan kepada penghidapnya. Oleh itu, kita mestilah sentiasa ingat dan berwaspada tentang kesan buruk yang akan kita alami apabila menghidap penyakit ini kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.