17 Mac 2011

Karangan ini telah disediakan oleh saudari Munirah bt. Ali Mohamed daripada Kelas 6 Atas 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Punca-Punca Pemanasan Global
Kita sering melihat kesan pencemaran alam yang banyak berlaku pada masa ini. Keadaan ini sudah berubah jika dibandingkan dengan suatu masa dahulu iaitu udaranya lebih nyaman serta keadaan cuaca yang tidak terlalu panas. Perkara ini membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan selesa. Walau bagaimanapun, keadaan bumi pada masa kini yang terlalu panas telah memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia dan juga alam sekitar. Hal ini diibaratkan seperti manusia hidup di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal yang demikian, masyarakat seharusnya tahu punca-punca yang menyebabkan pemanasan global ini berlaku agar dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya.

     Terdapat banyak punca yang menyebabkan pemanasan global, antaranya perkara itu disebabkan oleh aktiviti manusia yang tidak terkawal di dunia ini. Hal ini demikian kerana, perkara yang sering kita lihat yang melibatkan aktiviti manusia seperti penerokaan hutan dan pertanian pindah. Mereka membakar kawasan yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk dijadikan sebagai baja organik dan mereka membuka pula pertanian baharu di kawasan lain untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih banyak. Namun begitu, secara tidak langsung pembakaran tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di udara dan akhirnya menyebabkan suhu semakin panas.

     Selain itu, faktor lain yang menyebabkan berlakunya pemanasan global ialah pembebasan gas-gas yang berbahaya secara tidak terkawal. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Amerika Syarikat telah disenaraikan sebagai pengeluar gas karbon dioksida terbesar dunia dengan jumlah 60005 tan. Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera merupakan penyebab utama pemanasan global yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil, penggunaan minyak petrol dan pembakaran arang batu. Oleh hal yang demikian, pihak yang terlibat secara langsung dalam kes tersebut wajar melakukan anjakan paradigma dan menyembuhkan luka yang dialami oleh bumi ini. Masyarakat juga harus mengatasi masalah ini sebelum ‘nasi menjadi bubur’.

     Di samping itu, kegiatan perindustrian turut menjadi faktor pemanasan global berlaku. Hal ini demikian kerana, kegiatan perindustrian yang pesat membangun akan menghasilkan gas-gas berbahaya seperti karbon monoksida. Para saintis di Amerika Syarikat telah membuat ramalan bahawa peningkatan suhu bumi akan berlaku sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun 2030. Oleh itu, masyarakat janganlah mengamalkan peribahasa “Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Oleh hal yang demikian, mereka seharusnya mencegah perkara-perkara negatif sebelum berlaku selaras dengan pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

     Pembakaran terbuka juga menjadi punca berlakunya pemanasan global di muka bumi kita ini. Banyak pembakaran terbuka yang telah dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Kesan daripada kegiatan tersebut menyebabkan gas karbon dioksida terhasil serta terbebas di udara dan seterusnya memerangkap haba. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan seharusnya memperketat undang-undang agar mereka tidak berani membuat sebarang kesalahan di muka bumi ini. Rentetan daripada perkara itu, masalah jerebu yang sering melanda dunia juga akan berkurangan. Kita seharusnya sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, iaitu sebelum keadaan bumi kita ini menjadi lebih melarat lagi.

     Namun begitu, masih terdapat faktor lain yang menjadi penyebab kepada pemanasan global seperti pembinaan bangunan pencakar langit. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah itu juga sebenarnya memberikan impak negatif kepada muka bumi kita ini. Hal ini demikian kerana, pantulan daripada matahari yang menembusi cermin bangunan boleh menyebabkan haba terperap di kawasan atmosfera. Dengan cara ini, masyarakat seharusnya janganlah mengambil mudah seperti melepaskan batuk di tangga, dengan mengejar segala arus pembangunan tetapi menyebabkan kesan negatif kepada hidupan lain. Maka, jelaslah bahawa ketidakseimbangan manusia mengeksploitasi khazanah bumi merupakan faktor berlakunya pemanasan global.

     Kesimpulannya, kemanusiaan yang semakin menipis, iaitu senipis kulit bawang ini merupakan faktor tercetusnya pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, setiap individu dan insan di dunia ini perlu memupuk semangat cinta akan alam sekitar agar bumi yang sedang sakit ini dapat dipulihkan semula. Diharapkan agar fenomena pemanasan global yang sedang melanda dunia sekarang ini akan berakhir dengan segera agar keselamatan dan kesejahteraan hidup makhluk di dunia ini akan berkekalan. Pihak kerajaan pula perlulah lebih peka terhadap masalah global yang semakin bernanah ini malah perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat lebih prihatin dengan nasib bumi ini. Oleh itu, Mahatma Gandhi pernah berkata, “kita tidak mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita, tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”.

Oleh Munirah bt. Ali Mohamed (6A2)