26 Mac 2011

DATO' HAJI HASAN BIN SAIL - MUFTI KEDUA NEGERI SEMBILAN



Dato' Haji Abu Hasan bin Haji Sail - dilahirkan pada 6 Ogos 1922 di Kg. Pulau Bukit Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan pulau Besar Rembau, Negeri Sembilan dari tahun 1929 hingga tahun 1933. Kemudian beliau menyambung pelajarannya di Madrasah al-Sa‘idiyyah Kg. Pondok, Rasah dibawah pimpinan allahyarham Sheikh Haji Ahmad.

Di madrasah ini beliau menimba ilmu-ilmu seperti Tauhid, Feqah, Tasawwuf, Tafsir, Hadith, Tajwid dan Tahfiz al-Quran. Tidak ketinggalan juga beliau diajarkan Ilmu Bahasa Arab seperti Nahu, Balaghah, Saraf, Nusus, Imla' dan Bayan. Tarbiyah yang diterima oleh beliau di Madrasah ini merupakan sebagai permulaan sebagai ulama' tempatan. Pada tahun 1937 beliau berangkat ke Timur Tengah untuk menyambung pelajarannya sehingga tahun 1945.

Semasa pengajiannya beliau tergolong bersama pelajar yang pintar dan mempunyai daya ingatan yang kuat. Tidak hairanlah sekembali beliau ke tanah air Kerajaan Negeri Sembilan telah melantik beliau memegang beberapa jawatan penting di negeri ini. Antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah :
·Mudir Sekolah Agama Menengah Tinggi Seri Menanti, Kuala Pilah (1959 - 1961)
· Kadhi Besar Negeri Sembilan yang Pertama (1961 - 1969)
· Pemangku Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (1963 - 1969)
• Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang kedua (1969 - 1987)

Penghormatan masyarakat sekitar terhadap beliau terlalu tinggi, beliau dikenali sebagai ulama' yang tidak pernah membezakan taraf seseorang. Beliau juga dikenali seorang yang pendiam, tidak banyak bercakap dan bercakap jika dirasakan perlu. Sikap beliau yang demikian menyebabkan orang lain terpaksa berhati-hati apabila hendak berbual atau bergurau dengannya. Sepanjang beliau menjadi Mufti Kerajaan Negeri beliau sentiasa berlembut dalam memberi nasihat kepada pemerintah. Sikap seperti ini jauh berbeza dengan arwah gurunya Sheikh Haji Ahmad yang sentiasa tegas.

Kewibawaan dan ketokohan beliau dalam perkhidmatan membuatkan beliau menjawat dalam jawatan ini selama 18 tahun. Beliau kembali ke rahmatullah pada 10 Zulkaedah 1414H/1993M.

SMKA SHAMS