27 Mac 2011

Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan Bin Hj Sail-Mufti Kedua Negeri Sembilan

Dipetik daripada buku Tokoh Ulama Dato' Haji Abu Hassan Bin Hj Sail karang oleh Mohammad Hishammudien Bin Mansor , Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Segala maklumat yang didapati daripada buku Tokoh Ulama ini bertujuan untuk memudahkan warga SMKA Pedas mengenali siapa Dato' Hj Abu Hassan Bin Hj Sail khususnya dan orang ramai amnya.Buku biodata tentang tokoh ulama ini boleh didapati di pejabat mufti Negeri Sembilan.
(27 Mac 2011)

LATAR BELAKANG

Tanggal 6 Ogos 1922, merupakan tarikh yang membawa erti kepada sepasang suami isteri , apabila mereka dikurniakan Allah seorang bayi lelaki, yang kemudiannya menjadi ulama dan tokoh agama yang berjasa di negeri tempat dia dilahirkan dan ummah seluruhnya.
  Bayi yang dilahirkan di kampung Pulau Bukit, Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan itu diberi nama Abu Hassan Bin Haji Sail. Beliau adalah anak kedua daripada 9 orang adik beradik yang terdiri daripada 4 lelaki dan 5 orang perempuan.

   Ayahnya bernama Hj Sail B.Hj Mustafa dan ibunya Hajah Khadijah@Ijah bt Ujang. Kalau dilihat kepada latar belakang Hj Sail , beliau seorang yang dihormati oleh penduduk kampung dan menjadi rujukan masyarakat sekeliling terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan adat perpatih yang menjadi amalan dan budaya dalam kalangan masyarakat melayu di Negeri Sembilan.

     Haji Sail dan isteri hidup penuh kesederhanaan. Untuk membesarkan anak-anak, mereka berdua saling bantu membantu mengerjakan sawah dibendang, di samping menanam sayur-sayuran secara kecil-kecilan di belakang rumah . Hasil rezeki yang diusahakan , dapatlah mereka menampung keperluan hidup dan membesarkan anak-anak mereka sekeluarga. Dengan kata lain , segala nikmat hidup seperti keperluan makanan, pakaian, pendidikan dan sebagainya dapat dirasai sepenuhnya oleh keluarga yang besar ini.
   Walaupun sibuk mencari rezeki , namun tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam mengawasi tingkah laku dan perangai anak-anak tidak pernah diabaikan. Mana-mana kelakuan meeka yang bertentangan dengan adat dan agama akan segera ditegur dan dinasihati. Beliau sendiri tidak akan teragak-agak untuk merotan anak-anaknya sekiranya ia memberi kebaikan dan kesedaran kepada mereka.

   Haji Sail juga sentiasa mengikuti perkembangan pelajaran anak-anaknya. Walaupun agak sibuk dan keletihan mengerjakan sawah pada siang hari namun di sebelah malam, beliau tetap meluangkan masa menyemak dan memeriksa buku-buku anaknya. Memang menjadi hasrat beliau untuk melihat anak-anaknya membesar dengan pendidikan yang sempurna serta menjadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.

PENDIDIKAN DAN PENGAJIAN

  Telah menjadi tradisi bagi orang-orang melayu untuk menghantar anak-anak mereka yang berusia 5-6 tahun mengaji al-quran kepada mana-mana guru al quran yang dipercayai. Demikianlah yang dilalui oleh Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan, sewaktu berusia 5 tahun, beliau telah dihantar oleh ayahnya untuk mengaji al quran kepada datuk saudara sebelah bapanya iaitu Tuan Guru Haji Muhammad Taib, seorang guru al quran yang cukup dihormati ketika itu.

     Pada waktu itu, boleh dikatakan semua anak-anak kampung dari Pulau Mampat , Pulau Bukit, Pulau Hanyut dan Pulau Besar akan datang ke rumah Tuan Guru Haji Muhammad Taib untuk mengaji Al Quran.
Dalam kalangan mereka ada yang berjalan kaki sejauh 5 batu untuk ke rumah Tuan Guru ini.Ada yang datang mengaji sebelah pagi dan ada yang juga yang datang sebelah malam, mengikut kesesuaian waktu persekolahan.
  Sekiranya kelas pengajian al quran pada sebelah malam habis lewat, mereka akan menumpang tidur sama ada di rumah tuan guru , surau ataudi rumah rakan-rakan yang berhampiran. Di samping belajar al quran .Tuan Guru Haji Muhammad Taib akan menuyuruh anak-anak muridnya menghafaz ayat-ayat laqzim atau juzuk Am- Ma yang biasa dibaca ketika sembahyang.
   Bagi mereka yang mengaji al -quran disebelah pagi , selepas tamat pengajian , mereka dilatih oleh Tuan Guru Haji Mohd Taib untuk membantu melakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu sampah di halaman rumah, mengambil air dari perigi atau menyiram sayur-sayuran yang ditanam oleh guru di belakang rumah. Inilah proses yang pernah dilalui oleh Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan bagi mendidik dirinya supaya hormat kepadaa orang yang telah menabur budi.Secara tidak langsung aktiviti-aktiviti seperti ini menjadikan hubungan antara anak-anak kampung begitu rapat sekali.
  Pada tahun 1933, Sewaktu usianya meningkat 7 tahun, samalah seperti kanak-kanak lain yang sebaya usia, Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan telah dihantar oleh ayahnya ke sekolah kebangsaan Pulau Besar, Rembau, Negeri Sembilan untuk memperoleh pendidikan formal .

   Di sekolah, Allahyarham Dato' Haji Abu Hasssan merupakan seorang pelajar yang cemerlang. Kalau berdasarkan keputusan peperiksaan darjah enam, beliau sebenarnya layak untuk menyambung pengajian di sekolah Inggeris, seterusnya berpeluang menjadi guru . Tetapi peluang ini tidak diberikan oleh ayahnya kerana bimbang akidah anaknya akan terpesong disebabkan pengaruh dan diayah agama kristian.

   Tambahan pula, persepsi masyarakat melayu ketika itu memandang serong  mana-mana ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah Inggeris. Mereka akan dianggap sebagai tali barut penjajah Inggeris. Bagi mereka, sekolah Inggeris hanyalah temkpat untuk merosakkan akhlak dan budaya orang-orang melayu.Selain itu, perkara yang paling ditakuti oleh ibu bapa ialah kebimbangan terhadap anak-anak mereka yang murtad apabila  memasuki sekolah tersebut.
 Atas kehendak orang tuanya , selepas tamat pengajian di sekolah melayu,Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan telah membantu kedua-dua ibu bapanya di sawah.Beliau juga melakukan kerja-kerja kampung seperti menanam sayur-sayuran dan menternak binatang peliharaan seperti ayam, itik, dan menjaga kerbau di sawah.

  Apabila Madrasah As-Sa'idiyah ditubuhkan pada bulan Rejab tahun 1335H bersamaan dengan 1935 M, ayahnya telah menyuruh Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan belajar di madrasah ini ketika itu Allahyarham berusia 13 tahun.. Madrasah ini adalah madrasah yang pertama di Negeri Sembilan. Nama asalnya Pondok Rasah dan diasaskan oleh ulama tempatan yang mahsyur iaitu Allahyarham Sheikh Haji Ahmad Bin Sheikh Haji Mohd Said Al Linggi.Pondok ini terletak di Rasah tidak jauh dari bandar Seremban.
  
  Di Madrasah As' Saidiyah , Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan telah emnimba pelbagai ilmu pengetahuan antaranya ilmu tauhid , fekah, tasawwur, tafsir, hadith, tajwid, nahu balaghah,saraf,nusyuz,imla' dan bayan. Pelbagi kitab telah ditelaah dan dijadikan asas pengajian antaranya ialah kitab Jaquhar Tauhid tulisan Sheikh Ibrahim Al-Laqani dan lain-lain.
  Corak pengajian di madrasah Al' Saiidiyah sama seperti sistem pondok di negeri-negeri lain. Guru akan membaca kitab (kitab kuning) serta mensyarahkan di depan pelajar mana kala pelajar tekun mendengar sambil mencatatkan perkara penting. Bagi menguatkan kefahaman , para pelajar akan menjalani proses tasmi(ujian), di mana setiap pelajar akan disuruh mengulang kembali apa yang telah diajar oleh guru . Para pelajar juga dikehendaki menghafal ayat-ayat al quran , hadis-hadis serta bahan-bahan ilmu yang lain.

    Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan sangat menghormati dan menghargai jasa gurunya. Dikatakan setiap kali Allahyarham Sheikh Haji Ahmad mengajar , beliau akan duduk bersebelahan dan mengipas gurunya itu. Tujuannya ialah untuk memberi keselesaan pada gurunya mengajar, di samping mengharapkan keberkatan dan ganjaran daripada Allah s.w.t.

    Selain itu, Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan memiliki kemahiran menulis jawi dengan cantik dan kemas. Hal ini menyebabkan beliau sering mendapat pujian daripada Allahyarham Sheikh Haji Ahmad serta sering ditugaskan sebagai penulis apabila gurunya hendak mengarang sesebuah kitab. Kehidupan harian Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan ketika belajar di madrasah ini bermula seawal 4.30 pagi. Pada waktu ini semua pelajar akan bangun seterusnya mandi dan bersiap sedia untuk menunaikan solat suboh berjemaah. Selepas selesai mengerjakan solat suboh, mereka balik ke pondok masing-masing untuk bersarapan.

  Pada pukul 9.00 pagi, Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan dan rakan-rakan sepengajian akan datang semula ke surau untuk memulakan kelas pengajian sehinggalah tamat pada pukul 11.00 pagi.Selepas itu, mereka semua akan balik semula ke pondok untuk memasak makanan tengah hari.Apabila masuk waktu zohor pelajar-pelajar akan datang semula ke surau untuk solat berjemaah dan pulang semula ke pondok untuk berehat. Pada pukul 3 petang, meeka akan kembali ke surau untuk menyambung semula pengajian sehinggalah waktu asar. Selepas Asar para pelajar dibenarkan rehad atau beriadah sehinggalah masuk waktu maghrib.Selepas waktu Isyak para pelajar akan mengulang kaji semula ilmu yang telah dipelajari sesama mereka. Di Madrasah As' Saiidiyah juga Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan dan semua rakan sepengajiannya diwajibkan mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh Allahyarham Syikh Hj Ahmad. Mereka tidak dibenarkan meneruskan pengajian di madrasah tersebut, sekiranya tidak menunjukkan minat yang mendalam atau bersungguh-sungguh.

  Para pelajar diwajibkan menunaikan solat fardhu secara berjemaah , sentiasaa berambut pendek, memastikan kebersihan kawasan pondok, wajib memakai songkak atau ketayap dipersekitan madrasah, tidak dibenarkan memakai seluar pendek , dilatang menghisap rokok, tidak dibenarkan minum di kedai-kedai makan orang bukan Islam, tidak dibenrkan ponteng kuliah tanpa sebab, tidak dibenarkan ke bandar Seremban atau pulang ke kampung tanpa kebenaran daripada guru madrasah.

PENDIDIKAN ROHANI

Di Madrasah As- Sai'idiyyah, selain menimba ilmu pengetahu agama, Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan juga telah diijazahkan dengan amalan Taekat Al-Ahmadiah oleh gurunya Allahyarham Dato' Sheikh Ahmad.Boleh dikatakan semua pelajar di madrasah ini telah dilatih untuk beraamal dengan Tarekat ini. Almarhum Shikh Hj Ahmad sebgai guru yang mursyid amat menekankan amalan zikir kepada murid-muridnya.

    Sebagai contoh, setiap hari selepas solat manghrib pelajar-pelajar akan disuruh berzikir beramai-ramai dengan kuat sehinggalah masuk waktu isyak. Di samping dipimpin oleh murid-murid yang kanan, kadang-kadang Allahyarham Sheikh Haji Ahmad sendiri akan mengetuai majlis ini.

    Pada setiap kali terdapatnya majlis -majlis zikir atau hol Tarekad Al Ahmadiah di Ampangan atau di sekitar Seremban, Allahyarham Syikh Haji Ahmad akan mengarahkan semua pelajarnya ke sana untuk membantu apa-apa kerja yang pelu dilakukan. Sekiranya tiada kenderaan, para pelajar termasuk Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan akan berjalan kaki dari Rasah ke Ampangan yang jarak jauhnya dalam lingkungan 6 kilometer.

    Pada bulan Ramadhan, madarasah As Syaidah mempunyai program yang tersendiri berbeza dari bulan-bulan yang lain. Pada bulan ini para pelajar akan digalakkan berzikir. Malahan kadang-kadang Allahyarham Syikh Haji Ahmad sendiri memimpin pelajar-pelajar berzikir bermula dari selepas tengah malam hinggalah ke waktu suboh. Mereka juga digalakkan membaca al quran dan diajar cara sembahyang terawih sepuluh rakaat yang biasanya dilakukan oleh para pengamal yang mengikut Tarekat Al Ahmadiyah.
  Pendidikan rohani yang diterima ini telah memberi kesan yang mendalam kepada diri Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan. Tarbiyah yang diterima dari gurunya telah membentuk peribadi beliau yang unggul sebagai persediaan untuk menempuh pelbagai cabaran di sepanjang usianya.

  Memang menjadi hasrat kepada para pelajar aliran agama atau pengajian pondok waktu itu untuk melanjutkan pengajian ke negara-negara timur tengah seperti Mekah, Mesir, Jordan dan sebagainya. Pada zaman sebelum merdeka , peluang untuk belajar ke sana bukanlah mudah, di samping perlu berjauhan dengan keluarga , mereka juga perlu menyediakan wang yang cukup untuk tambang dan segala kos kehidupan ketika di sana.

  Pendidikan Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan di Timur Tengah terbahagi kepada dua, iaitu di Mekah Al Mukarramah dan juga di negara Mesir. Pendidikan di Mekah bermula apabila ayahnya Hj Sail hendak berangkat menunaikan fardhu haji pada tahun 1937. Oleh sebab mahu melihat anaknya berjaya dalam pendidikan agama, Hj Sail telah meminta izin daripada Allahyarham Sheikh Hj Ahmad untuk membawa Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan pergi bersama-sama.

    Permintaan Haji Sail telah diperkenankan oleh Allahyarham Syikh Hj Ahmad, memandangkan beliau telah mendidik dan mengasuh Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan hampir 3 tahun lamanya. Sudah sampai masanya beliau 'dilepaskan' bagi menimba ilmu di tempat lain. Lagipun usia Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan pada waktu itu telahpun meningkat 17 tahun, satu umur yang dianggap sesuai untuk  hidup berdikari dan merantau mencari ilmu di negara orang.

     Peluang untuk ke Mekah memang sentiasa dinanti-nanti oleh Allahyarham  Dato' Hj Abu Hassan kerana sebelum ini beliau pernah beberapa kali meluahkan hasratnya kepada rakan-rakan untuk menimba ilmu pengetahuan di kota kelahiran Nabi Muhammad SAW. Cuma hasratnya tidak pernah dinyatakan kepada kedua ibu bapanya, bimbang mungkin akan membebankan mereka berdua, apatah lagi untuk menyediakan segala perbelanjaan kewangan. Justeru apabila bapanya sendiri yang ingin menghantar beliau ke Mekah, sudah tentu peluang ini diterima dengan sukacita dan gembira ibarat 'orang yang mengantuk disorongkan bantal'

     Apabila tiba musim haji tahun 1937, maka berangkatlah anak beranak ini ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji. Selepas sahaja musim haji , Hj Sail pun pulang ke Tanah Air manakala Allahyarham Dato Hj Abu Hassan terus menetap di Mekah bagi meneruskan cita-citanya menimba ilmu pengetahuan.

    Di Kota Suci ini, Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan , telah menuntut ilmu selama hampir 8 tahun. Bermula pada awal tahun 1938 , beliau telah mendaftar dan diterima masuk ke sekolah Darul Ulum Ad- Diniyyah, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh para ulama keturunan melayu dari Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand dan Singapura.

  Ketika belajar di Mekah, Allahyarhan Dato' Haji Abu Hassan telah berpeluang belajar bersama-sama dengan sekumpulan pelajar-pelajar yang pintar. Antara pelajar melayu yang sama-sama belajar dengannya ketika itu ialah Allahyarham Dato' Haji Abdullah Bin Sijang, bekas Qadhi daerah Port Dickson.Berkat usaha gigih ketika keputusan Sijil Tinggi Darul Ulum Ad Diniyyah, Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan muncul sebagai pelajar terbaik, mengatasi pelajar cemerlang dari negara lain.

   Soal bahasa dan komunikasi dengan masyarkat Arab tidak menjadi masalah kepada beliau,. Hal ini adalah kerana sebelum berangkat ke kota suci Mekah, hasil usaha yang bersungguh -sungguh di Madrasah As 'Sai'idiyyah, beliau sememangnya telah mampu berbahasa Arab walaupun tidak seberapa fasih. Setelah beberapa bulan berada di Mekah , beliau bukan sahaja mampu berbahasa Arab , bahkan fasih serta boleh menguasai dialek tempatan.

    Selama 8 tahun berada di kota suci Mekah, merupakan satu tempoh yang lama dan selam itulah Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran khususnya dari segi kewangan. Tambahan pula , kehidupannya sebatang kara di negeri orang serta berjauhan daripada keluarga dan sanak saudara mnyebabkan beliau tidak berpeluang untuk mengadu sebarang masalah yang dihadapinya.

   Ayahnya Haji Sail hanya mengirimkan wang sebanyak RM100.00 , itupun hanya setahun sekali sahaja. Dengan wang sebanyak itulah, Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan berjimat cermat dalam menanggung kos pelajaran di sana.

   Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan tamat pelajaran di sekolah Darul Ulum Ad Diniyyah pada tahun 1945, sewaktu Jepun menduduki Tanah Melayu. Biarpun sudah tamat pengajian , tetapi beliau masih terus menetap di Mekah dengan melakukan pelbagai kerja untuk menyara kehidupannya. Kerja-Kerja yang pernah beliau lakukan ialah seperti menjadi tukang masak pada musim-musim haji, sebagai kerani, menjual alat-alat ganti kereta di bandar Jeddah, mengambil upah haji dan umrah serta membuat cincin.

   Beliau juga pernah menimba pengalaman mengajar Al quran selama setahun di Madrasah Al Fakhriyyah, sebuah sekolah kepunyaan orang-orang India Muslim di Mekah.Di madrasah ini beliau dibayar gaji sebanyak 50.00 Rial sebulan.
     Pada tahun 1948 (Selepas Perang Dunia Kedua Tamat) Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan pulang semula ke sekolah asal iaitu Darul Ulum ad-Diniyyah. Di sekolah ini beliau bekerja sebagai guru pelatih, mendidik pelajar-pelajar yang baru datang dari luar negara Arab khususnya dari alam Melayu.Beliau berkhidmat di sini secara sukarela.

   Pada musim haji ramai pembesar datang menunaikan haji temasuklah YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Abdul Malek bin Yusof 1995. YAB telah bertemu dengan para pelajar Tanah Melayu khususnya Negeri Sembvilan.Kerika sesi pertemuan YAM telah memberi motivasi dan bertukar pandangan dengan pelajar.Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan telah mengambil kesempatan dengan menceritakan masalah kesukaran mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi contohnya di Universiti Al Azhar.

   Berdasarkan kesungguhan dan masalah yang telah dikemukakan, YAB Menteri Besar bersetuju untuk membantu dan bersedia membiayai pengajian beliau ke Mesir di bawah skim Tabung Warisan Rembau, satu tabung yang ditubuhkan untuk mebantu pelajar-pelajar Melayu yang datang dari keluarga yang kurang berada.Keutamaan bantuan diberikan kepada pelajar-pelajar Melayu dari Negeri Sembilan khususnya mereka yang berasal dari daerah Rembau.

   Memandangkan Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan adalah anak jati Rembau, maka tidak ada masalah bagi kerajaan negeri untuk membiayai pengajiannya di Mesir atas pembiayaan Tabung Warisan Rembau.

   Setelah lulus ujian kelayakan, pada 24 hb November 1951, Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan mula mendaftar di universiti Al Azhar untuk memulakan pengajiannya. Sesungguhnya kejayaan memasuki universiti Al Azhar amat bermakna buat dirinya kerana beliau telah berjaya memenuhi cita-citanya untuk melanjutkan pengajian ke sebuah universiti terulung dan mahsyur serta telah berjaya melahirkan ramai tokoh cendekiawan dan ilmuwan Islam di seluruh dunia.
   Di Universiti ini, Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan telah mengambil pengkhususan dalam bidang Usuluddin selama 4 tahun. Tidak seperti belajar di Mekah , kali ini beliau tidak lagi berdepan dengan masalah kewangan kerana setiap bulan kerajaan negeri akan menghantar wang saku yang cukup kepadanya. Oleh itu tumpuannya hanya satu iaitu menimba ilmu pengetahuan sehinggalah beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan   Islam pengkhususan dalam bidang Usulludin pada tahun 1995.

   Semangat dan keinginannya untuk terus belajar dan mendalami ilmu pengetahuan terus membara dan selepas itu beliau meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang al-Wa'az wal'Irsyad selama 2 tahun dan berjaya memperoleh ijazah sarjana dari universiti Al Azhar pada tahun 1957.

   Sebagai perantau yang telah meninggalkan tanah air hampir 14 tahun lamanya(8 tahun di Mekah dan 6 tahun di Mesir). Beliau berasa rindu untuk pulang bertemu semula kaum keluarga, sahabat handai dan juga gurunya,Almarhum Sheikh Haji Ahmad yang pada ketika itu telahpun dilantik sebagai mufti kerajaan NS yang pertama.

   Sebaik sahaja pengajian di peringkat sarjan di selesaikan , pada 18hb Oktober 1957, Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan kembali Semula ke tanah air iaitu kira-kira 2 bulan selepas negara mencapai kemerdekaan.

   Pada awal tahun 1959, selepas setahun Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan pulang ke tanah air, beliau  telah dijodohkan dengan Faridah Bt Sheikh Ahmad. Ketika itu Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan berusia 35 tahun dan Faridah pula baru berusia 20 tahun. Kisah perkahwinan mereka bermula apabila Haji Sail merasakan anak lelakinya itu sudah lewat usianya. Lazimnya anak lelaki yang seusia itu sudah mempunyai empat atau lima orang cahaya mata.
      
       Mengikut tradisi zaman dahulu, urusan jodoh anak-anak ditentukan oleh orang-orang tua. Haji Sail adalah seorang pengikut Tarekat Al Ahmadiah . Manakala Almarhum Sheikh Haji Ahmad pula sering datang ke Rembau untuk memimpin majlis-majlis Hol . Jika beliau datang ke daerah ini kadang-kadang beliau akan singgah berehat di rumah Hj Sail. Untuk mengeratkan hubungan Silaturrahim antara beliau dengan Almarhum Sheikh Haji Ahmad , Hj Sail amat berkenan untuk menyunting anak gadisnya yang sulung sebagai menantunya.Demi menjayakan hajatnya, Haji Sail telah menghantar rombongan meminang ke rumah Almarhum Shiekh Hj Ahmad, yang terletak di kampung Pondok Rasah Seremban.

      Peminangan itu telah diterima oleh Almarhum Sheikh Hj Ahmad dan keluarganya memandangkan Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan adalah bekas anak muridnya dahulu. Lagipun peribadi Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan berserta latar belakang pendidikaan agamanya yang tinggi telah menarik perhatian Almarhum Sheikh Hj Ahmad untuk mengambil Dato' Hj Abu Hassan sebagai menantunya.

       Setelah berkahwin, Allahyarham Dato Hj Abu Hassan tinggal bersama mentuanya di kampung pondok Rasah, Seremban, lebih kurang hampir 2 tahun lamanya. Sekali - sekala beliau akan balik ke Rembau menziarahi kedua-dua ibu bapanya di samping memenuhi jemputan ceramah di surau-surau atau masjid di daerah tersebut. Lapan bulan kemudian , beliau telah dilantik oleh kerajaan Negeri Sembilan sebagai Mudir (Pengetua) di sekolah agama menengah tinggi Sri Menanti.Kuala Pilah. Tugas ini menyebabkan Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan membawa isterinya menetap di Sri Menanti, Kuala Pilah selam 3 tahun.

       Pada tahun 1961 , Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan telah dilantik pula oleh kerajaan negeri sebagai Qadi Besar Negeri Sembilan yang pertama. Memandangkan tugas barunya ini memerlukan beliau sentiasa berada di bandar Seremban Allahyarham Dato' Haj Abu Hassan telah membawa keluarganya, tinggal di quaters kerajaan Jalan Rahang.

    Mereka menetap di situ sehingga tahun 1968 dan kemudian berpindah apabila Allahyarham Dato' Hj Abu Hasssan membina rumahnya sendiri di Gedong Lalang, Ampangan, Seremban.Di sinilah Allahyarham menetap bersama keluarganya selama 24 tahun sebelum meninggal dunia pada tahun 1994.
   
     Hasil perkongsian hidup selama 36 tahun bersama dengan isterinya, Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan telah dikurniakan seramai 4 orang cahaya mata, 3 orang perempuan dan seorang lelaki. Anaknya yang sulung Saliha Bt Abu Hassan lahir pada tahun 1961, lepasa maktab perguruan Durian Daun Melaka, Kedua, Zaharah Bt Abu Hassan lahir pada tahun 1962, berkelulusan dari Uviversiti Sheffield , United Kingdom, Ketiga Ahmad Syakir Bin Abu Hassan, lahir pada tahun 1966 , menerima pendidikan daripada universiti Washington, Amerika Syarikat. Dan yang bongsu ialah Nor Ameli Bt Abu Hassan lahir pada tahun 1969, graduan daripada akademi pengajian islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur.

   SIFAT DAN PERWATAKAN


    Kalau dilihat perwatakan semasa kecil dan remaja. Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan merupakan seorang anak yang tidak banyak kerenah dan sentiasa akur dengan pandangan orang tuanya. Contohnya walaupun layak menyambung pengajian ke sekolah Inggeris tetapi atas nasihat ibu bapanya Allahyarham Dato Hj Abu Hasssan akur dan rela berkerja sebagai pesawah membantu kedua orang tuanya di kampung. Begitu juga apabila beliau dipilih oleh ayahnya untuk belajar di Madrasah Saiidiyyah Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan patuh tanpa banyak kerenah. Malah dalam soal memilih jodoh beliau menyerahkan hal tersebut kepada orang tuanya. Baginya siapa sahaja gadis yang dipilih maka itulah yang beliau terima dengan sepenuh hati.
     Semasa di Madrasah As saidiyyah , kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu memang tidak boleh dinafikan .Dalam kehidupan berumah tangga pula , sebagaimana yang diceritakan oleh isterinya , Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan seorang suami dan bapa yang penyayang. Masa-masa lapang di rumah akan dihabiskan dengan membaca kitab atau melayan kerenah anak-anak. Satu perkara yang menjadi tabiatnya, Allahyarham tidak suka berjalan-jalan ke bandar tanpa tujuan. Habis sahaja waktu pejabat beliau akan terus balik ke rumah tanpa singgah di mana-mana. Beliau kemudiannya akan bersiap-siap untuk menyampaikan kuliah di mana-mana masjid atau surau yang menjemputnya.

   Kalau berselisih faham Allahyarham dato' Hj Abu Hassan tidak pernah meninggikan suara di hadapan isteri. Kalau ada sesuatu perkara yang tidak disukai beliau akan berterus terang dan sebaliknya pula jika beliau dimarahi oleh isterinya beliau hanya berdiam diri dan tidak menjawab . Dengan anak-anak Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan sangat tegas terutamanya dalam hal-hal agama dan akhlak . Solat fardhu 5 waktu sehari semalam sering diingatkan kepada anak-anaknya . Malah beliau akan bising sekiranya anak-anak leka atau lewat mendirikan solat. Anak-anaknya juga sejak kecil sudah dipastikan khatam mengaji al quran . Malah beliau sendiri pada masa-masa tertentu akan memeriksa bacaan al quran anak-anaknya . Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan juga amat pantang jika anak-anaknya berbohong atau berkelakuan biadap dengan orang-orang tua. Menurut cerita anaknya Ahmad Syakir 42 tahun walaupun Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan seorang ayah yang tegas tetapi beliau tidak pernah merotan . Dalam memberi didikan kepada anak-anak Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan bersifat lebih tebuka.Berbeza dengan ayahnya yang menganggap sekolah Inggeris adalah perosak akidah, sebaliknya Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan menghantar anaknya ke Sekolah Menengah King George Ke-5 ( KGV, Seremban) 2 daripada anak-anaknya (Zaharah dan Ahmad Syakir) telah berjaya melanjutkan pengajian ke universiti luar negara iaitu Amerika Syarikat dan Britain.

HUBUNGAN DENGAN MASYARAKAT


 Orang ramai berpandangan Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan Bin Sail seorang yang cukup menjaga tutur kata dalam percakapannya, tidak pernah meninggikan suara, sangat pendiam dan merendah diri. Walaupun beliau seorang yang pendiam, namun beliau tetap mengambil tahu hal-hal masyarakat dan jiran sekelilingnya. Sementelahan pula beliau adalah Imam di Surau Besar Gedung Lalang, Ampangan yang kebetulannya terletak bersebelahan rumahnya. Selama 24 tahun memimpin surau ini , beliau berjaya mengimarahkannya dengan pelbagai aktiviti yang memupuk hubungan muhibbah sesama masyarakat. Antaranya ialah aktiviti membaca yassin pada setiap malam jumaat, tahlil arwah, sambutan hari kebesaran Islam, melaksanakan ibadah korban serta memimpin solat aidilfitri dan aidiladha.

         Pada setiap bulan Ramadhan , selepas solat suboh biasanya ALLAHYARHAM Dato' Haji Abu Hassan akan menyampaikan tazkirah ringkas. Beliau mengingatkan jemaah surau agar meningkatkan amal ibadat di bulan ini. Beliau juga sering mengedarkan amalan-amalan zikir dan doa-doa tertentu kepada para jemaah iaitu amalan yang diperoleh daripada gurunya Sheikh Hj Ahmad semasa menuntut di Madrasah AsSaiidiyyah .
    Mengenai aktiviti kuliah maghrib , ramai dalam kalangan ustaz-ustaz yang dijemput berasa segan untuk hadir ke surau ini. Mereka berasa rendah diri untuk menyampaikan kuliah di hadapan seorang ulama yang juga mufti kerajaan negeri yang mana ilmunya lebih tinggi daripada mereka. Sebab itulah jika berkelapangan, Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan sendiri akan menyampaikan kuliah ilmu di surau ini.

    Semasa memberi kuliah Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan akan menggunakan bahasa yang lembut, berlapik dan perumpamaan yang mudah difahami oleh setiap peringkat masyarakat. Kadang-kadang kupasan sesuatu topik yang disampaikannya mencetuskan keinsafan bagi jemaah yang hadir khususnya mereka yang benar-benar ikhlas untuk mendalami ilmu agama.


     Walaupun sudah bersara daripada jawatan mufti , masyarakat sekeliling sangat menghormatinya. Menurut isterinya Datin Hajah Faridah Bt Syeikh Hj Ahmad .Pada setiap hari Jumaat pula Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan akan menunaikan solat jumaat di masjid jamek Dato' Kelana Sendeng,Ampangan. Para Jemaah yang terserempak dengannya akan berdiri untuk menyambut dan bersalam dengannya. Ada yang memeluk dan mencium tangannya untuk mengambil berkat.

    Pada waktu-waktu tertentu Allahyarham Dato' Hj Abu Hassan akan dijemput menjadi khatib dan mengimamkan solat pada hari tersebut. Semasa mengimami solat dan membaca doa suaranya nyaring sedap didengar dan fasih mengikut lidah Arab. Sekiranya makmum di belakang tidak mengenali beliau, mereka pasti beranggapan, bahawa seorang imam dari negara Arab telah dijemput mengimami solat pada hari itu.