17 Feb 2011

PERANAN BAHASA MELAYU

1) Asas pembinaan negara dan kebudayaan masyarakat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memainkan peranan penting menjadikan Bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara 152 ini telah mengiktiraf dan mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara. Perkara ini termaktub dalam Perkara 152 (1). Hal ini disebabkan menjadi satu kepentingan bahawa negara ini mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai panduan. Bahasa ini pula boleh difahami oleh setiap kaum. Lagipun peruntukan ini adalah berdasarkan penduduk asal di Malaysia iaitu orang Melayu yang memonopoli lebih daripada 50 peratus penduduknya. Oleh yang demikian, dengan termaktubnya Perkara 152 mendapati negara mempunyai asas yang kukuh untuk membina sebuah negara.

2) Lambang jati diriBahasa Melayu mempunyai lambang, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu. Hasrat ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini sangat diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Contohnya Negara Jepun dengan hasa Jepunnya, Negara Jerman dengan Bahasa Jermannya dan Negara Perancis dengan Bahasa Perancisnya. Oleh hal demikian, Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai lambang Negara Malysia di persada dunia. Dengan hal demikian, bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.
3) Bahasa perpaduan
Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan sangatlah penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar-kacir dan musnahlah sebuah negara beraulat. Di Malaysia ini, terapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bahasa ini wajib diketahui oleh setiap kaum kerana bahasa ini menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan antara kaum.
Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan anatara penduduk yang berbilang kaum.
4) Bahasa pengantar ilmu pengetahuan
Bahsa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Perkara ini terkandung dalam Laporan Razak pada tahun 1957 dan tahun 1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat.

5) Menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa MalaysiaBahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Bahkan semua bahasa di dunia ini mempunyai hak tersebut. Pengguna bahasa yang mahu melihat bahasa kebangsaan mereka berfungsi dengn cemerlang selaras dengan perkembangan bangsanya mestilah berusaha menjadikan bahasanya lebih baik dan dihormati daripada bahasa yang “dipinjam” semata-mata untuk menunjukkkan status penutur, dan bukannya untuk menyerlahkan kegemilangan bangsa penutur itu sendir. Oleh hal demikian, penduduk di negara bangsa Malaysia ini perlulah dengan penuh keyakinan apabila mengunakan bahasa Melayu untuk memartabatkan bahasa ini di persada antarabangsa.


6) Menampakkan penggunaannya dalam pelbagai perisian dan kesantunan
Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa kebangsaan yang mencerminkan pengunaannya dalam pelbagai perisiannya dan kesantunanya. Tingkat ilmu dan tingkat keperisian itu dapat diukur melalui laras bahasanya manakala nilai estetika keluwesan bahasa ini menjadi pengukur kesantunannya. Bahasa Melayu memiliki peribai yang istimewa selain terkenal dengan ciri-ciri ketimuran, seperti lemah lembut, beradab, dan berbudi bahasa. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia harus menggunakan bahasa Melayu yang baku dan yang mempunyai nilai estetika dan nilai kesantunan.

7) Wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsanya
Bahasa Melayu sebgai bahasa kebangsaan berperanan sebgagai wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsanya. Bahasa yang dapat membina neara bangsanya seharusnya dapat juga melahirkan pengguna bahasa yang brkualiti, berkuasa dan berketerampilan. Maka, lebih banyak kumpulan enutur yang berkuasa dalam penggunaan bahasa Melayu perlu dipupuk. Mereka ialah yang terdiri daripada ahli politik, ahli korporat, golongan professional, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah, dan ali masyarakat. Kehadiran kumpulan inidapat mengembangkan bahasa itu dengan terancang, meliputi pelbgai bidang. Contonya, jika ali politik dan ahli profesional mempunyai daya ungkapan yang tinggi dan bermutu melalui bahasa Melayu, bahsa itu akan dilihat sebagai berkuasa dalam arenanya.
8) Menggambarkan bangsa yang berkuasa
Bahasa yang berkuasa menggambarkan bangsa yang berkuasa. Ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” menunjukkan bahawa sesuatu bahasa itu dapat maju jika bangsa itu pun maju. Namun begitu, untuk mengetengahkan bahsa Melayu, bahasa lain tidak perlu ditolak. Dalam era globalisasi, pengetahuan tantang bahasa lain amat perlu dan tidak merugikan bangsa. Bangsa itu akan maju dengan mempelajari ilmu pengetahuan daripada bahasa lain, lalu disebarkan ilmu kepada bangsanya melalui pengetahuan yang sudah dialih ke dalam bahasa Melayu melalui usha penerbitan bahan bacaan.

Sumber : Kerja Kursus Sosiolinguistik, Dr. Awang Sariyan, 2006.




Yang kurik kundi
Yang merah saga
Yang cantik budi
Yang indah bahasa

Indahnya Bahasa Melayu, begitu halus sehingga menusuk kalbu. Daripada banyak faktor, bahasa muncul sebagai faktor yang dominan dan daripada begitu banyak bahasa, Bahasa Melayu yang terpilih sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi wahana perpaduan masyarakat majmuk di negara Malaysia
Melihat kepada pengiktirafan yang diberi kepada Bahasa Melayu tentunya Bahasa Melayu memiliki keistimewaan tersendiri sehingga berupaya mengangkat bahasa ini sebagaiTeras Perpaduan Bangsa Malaysia
Maka dalam tulisan ini saya ingin membuktikan kepada pembaca mengapa dan bagaimana Bahasa Melayu mampu menjadi teras atau tunjang kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.Di akhirnya pula saya akan menuliskan beberapa ancaman ke atas Bahasa Melayu dalam kedudukannya untuk bertahan sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan.
Secara konseptual Bahasa Melayu Teras Perpaduan Bangsa Malaysia bolehlah didefinisikan sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan berupaya menjadi tunjang atau nadi kepada penyatuan pelbagai kaum di negara ini.
Mengapakah Bahasa Melayu Dipilih Sebagai Bahasa Kebangsaan?
Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik.
Dalam Kitab Sejarah Melayu menyebutkan bagaimana para pedagang bertungkus lumus mempelajari Bahasa Melayu dan menguasainya bagi memudahkan mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah lama menggunakan bahasa itu.
Dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian turut menggunakan Bahasa Melayu bertulis jawi. Ini membuktikan bahasa Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak British. Kalau mereka tidak mengerti pun ada munsyi atau guru Bahasa Melayu yang akan mengajar mereka.
Begitu juga dokumen-dokumen lain seperti undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu telah menggunakan Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi sebagai medium. Semua ini membuktikan kepada kita betapa Bahasa Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan diguna sehingga ke peringkat antarabangsa.
Memandangkan Bahasa Melayu telah diguna sekian lama sebagai bahasa rasmi dan basahan, sebagai bahasa komunikasi dan persuratan maka Bahasa Melayu telah dipersetujui dan disepakati bersama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar menjadi bahasa kebangsaan bagi persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957.
Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara sepertimana yang termuat dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa bagi persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka.
Maka sejak itu Bahasa Melayu berkembang luas penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah.
Jelas sekali Bahasa Melayu telah diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama dan dapat digunakan bersama untuk mencapai matlamat perpaduan.
Bagaimanakah Bahasa Melayu Boleh Berfungsi Secara Berterusan sebagai Bahasa perpaduan?
Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia ialah Bahasa Melayu yang digunakan secara bersama dan meluas. Bahasa melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan, namun bahasa rasmi dan tidak rasmi.
Bahasa ini bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke peringkat antarabangsa. Buktinya DS Mohd Najib telah bertutur dalam Bahasa Melayu sepenuhnya di sebuah Universiti di China semasa lawatan beliau ke sana baru-baru ini.
Ini bererti Bahasa Melayu yang dimaksudkan ialah bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur bahasa Melayu baku dan mempunyai sistem yang sama untuk semua.
Slanga atau loghat mungkin sesuai untuk orang Melayu di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa Melayu yang standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan di sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi yang lain.
Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan utama mempunyai masa depan yang cerah kerana Bahasa Melayu bersikap terbuka kepada bahasa lain. Kita sedar sesuatu bahasa yang terlalu rigid, terpencil dan statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan semasa.
Dunia semakin berkembang, masyakaratnya semakin maju dan berpengetahuan, maka begitulah juga halnya dengan bahasa Melayu Sejak dahulu Bahasa Melayu dilihat mempunyai tahap keterbukaan dan toleransi yang begitu tinggi,kepada kemasukan isitilah-istilah baru dan kata asing.
Dinamika bahasa ini amat diperlukan untuk memastikan Bahasa Melayu tidak terkubur seperti yang berlaku kepada bahasa Sanskerta.
Sayugia diingat dalam keghairahan kita hendak mempertahankan Bahasa Melayu jangan sampai bahasa ini menerima nasib yang sama seperti dinossours yang akhirnya pupus kerana gagal untuk menyesuaikan dirinya dengan perubahan semasa dan persekitaran.
Maka menyedari hakikat itu DBP telah memainkan peranan yang begitu aktif untuk membentuk dan menyelaraskan istilah-istilah baru dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan teknologi, undang-undang, pendidikan, perbankan, komputer dan internet.
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan bangsa Malaysia diperkukuhkan apabila kehadirannya tidak pernah disangsikan oleh kaum-kaum lain.
Sebabnya Bahasa Melayu tidak dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana pihak dan kehadirannya tidak akan menyebabkan bahasa ibunda kaum masing-masing akan menerima nasib malang.
Rahsia Bahasa Melayu tetap diyakini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan hingga kini ialah kerana jaminan yang diberikan dalam perlembagaan Malaysia yang telah menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan.
Keadaan ini menjadikan Bahasa Melayu akan terus dihormati dan tidak akan disaingi oleh bahasa-bahasa lain.
Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 membuktikan betapa seriusnya pihak kerajaan dalam mengangkat martabat bahasa ini sebagai bahasa komunikasi utama pelbagai kaum. Sejak itu banyak kegiatan kebahasaan turut melibatkan pelbagai kaum.
Buktinya yang jelas ialah dengan adanya pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis (PBSUB) bagi SRJKC dan SRJKT dan pidato bahasa Melayu antarabangsa. Ini membuktikan bahasa Melayu menjadi bahasa yang boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja.
Pemilihan Bahasa melayu sebagai bahasa kebangsan dan bahasa perpaduanm melonjakkan bahasa ini sebagai satu identiti bagi masyarakat majmuk sehingga mampu menjadi model perpaduan dunia melalui penggunaan satu bahasa
Ancaman
Perubahan dunia semakin pantas dan kemajuan dunia semakin cepat. Persekitaran lokal tiba-tiba sahaja bertukar kepada glokal dan akhirnya menuju global. Bumi yang dulunya terpecah kepada begitu banyak kampung yang tak berhubung, kini menjadi sebuah kampung besar tanpa sempadan.
Bahasa Melayu turut menerima cabaran apabila golongan remaja hari ini lebih berminat menggunakan istilah dan gaya bahasa sendiri yang dikatakan lebih pantas dan ringkas. Ini terbukti apabila munculnya teknologi komunikasi terkini seperti sistem pesanan ringkas, mms, mel elektronik dan chating.
Kata-kata yang panjang telah diringkaskan dan istilah-istilah baru tercipta. Surat yang dianggap ketinggalan dan lambat telah digantikan dengan mel elketronik, menelefon telah digantikan dengan SMS dan MMS.
Bagi saya ini satu perkembangan yang menkjubkan sekaligus menunjukan bahasa Melayu sentiasa berupaya menyesuaikan dirinya dengan keperluan semasa. Minat anak muda daripada pelbagai bangsa menggunakan bahasa ini menjadikan bahasa Melayu akan terus berkembang sebagai alat perpaduan utama. Cuma terpulanglah kepada Kementerian pelajaran dan DBP untuk menyelaraskan semua ini.
Akhirnya marilah kita menyahut cabaran 1Malaysia cetusan ide YAB DS Mohd Najib Tun Abdul Razak. Gagasan ini bukan sahaja mengajak kita berkongsi sebuah negara, iaitu Malaysia tetapi juga berkongsi satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu yang telah terbukti mampu menjadi teras Perpaduan Bangsa Malaysia.
Hakcipta Abd Bashid Harun
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu


Bahasa Melayu telah digunakan di Kepulauan Melayu kira-kira abad ke tujuh. Pada
waktu itu terdapat 200 bahasa yang dituturkan di kepulauan tersebut. Penggunaan bahasa melayu semakin meluas kerana bahasa tersebut mudah dituturkan berbanding dengan bahasa yang lain. Ciri-ciri keterbukaan yang terdapat dalam bahasa Melayu yang dapat menerima pengaruh bahasa-bahasa lain menyebabkan bahasa tersebut dapat berkembang dengan pesat dan menjadi lingua franca dan bahasa ilmu bagi rantau kepulauan Melayu.

Pada zaman kerajaan Sriwijaya bahasa Melayu dijadikan bahasa pentadbiran ,
perdagangan dan sebagai bahasa ilmu. Menurut catatan yang dibuat oleh seorang
pendita Buddha yang bermastautin selama enam bulan di ibu negeri Sriwijaya,
menyatakan bahawa sudah ada sebuah pusat pengajian agama Buddha menggunakan
bahasa Melayu. Artikal Penyusunan Sejarah Bahasa Melayu : imbasan dan harapan
Dewan Bahasa, Jun 2006 oleh Awang Sariyan. Bahasa Melayu juga telah mencapai zaman
kegemilangannya di zaman Kesultanan Melayu Melaka sebagai bahasa ilmu.

Di Malaysia hari ini bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa kebangsaan sepertiperenggan 152 para satu perlembagaan Malaysia, secara tidak langsung telah mengiktiraf bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Menurut ensiklopedia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka, menjelaskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ialah
peranan bahasa Melayu itu sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai
alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti fizik, kimia, kejuruteraan,
perubatan, ekonomi, undang-undang, kesusasteraan, dan agama.

Kertas kerja ini akan membincangkan tentang bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
dengan memberi fokus tentang fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sejauh mana
bahasa Melayu dapat digunakan sebagai bahasa ilmu dalam konteks sistem pelajaran
hari ini, masalah atau punca yang membataskannya, dan langkah-langkah yang dijalankan
untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu .

Dalam kajian ini pengkaji akan menjelaskan tentang fungsi bahasa Melayu sebagai bahasayang ekspresif dalam berbagai bidang ilmu, termasuk sains dan teknologi serta peranannyadalam mendukung ilmu dan pemikiran bangsa.

Kajian ini juga seterusnya menjelaskan tentang masalah- masalah yang dihadapi dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, iaitu halangan-halangan yang dihadapi oleh bahasa itu dalam cabaran ledakan maklumat pada masa kini.

Langkah-langkah perlu di ambil untuk menjamin bahawa bahasa Melayu hari ini masih
releven sebagai bahasa ilmu, juga akan dikupas dalam kajian ini. Harapan pengkaji dalamkajian ini agar dapat menyedarkan masyarakat bahawa bahasa Melayu sebenarnya bolehdan seharusnya menjadi bahasa ilmu kerana terbukti bahawa sesuatu bahasa itu tidak pernah menjadi penghalang kemajuan seperti yang berlaku di Korea dan Jepun.



Cabaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di Era Global.

Abad ke-21 merupakan abad yang mencabar kesinambungan, kewujudan, dan kegemilangan sesebuah peradaban bangsa-bangsa di dunia. Asakan gelombang globlisasi, liberalisasi dan pengaruh pascamodenisme sering kali dikaitkan dengan kukuh atau lupusnya sesuatu bahasa, tradisi persuratan, dan budayanya. Dalam konteks bahasa dan persuratan melayu, pelbagai cabaran dijangka akan dijangka akan dihadapi dalam konteks nasional mahupun supranasional. Pada abad ini, dari dekat ke dekat, diramalkan 10 peratus bahasa akan mengalami kepupusannya. Dunia yang memiliki kira-kira 6000 bahasa sejak awalnya, kini tinggal 600 bahasa sahaja.

Sejajar dengan tumpuan kepada pembangunan bidang ekonomi, sains dan teknologi, perkara yang berlaku kini ialah wujudnya keserongan persepsi terhadap keperluan bangsa atau cara sesebuah memilih untuk berbahasa. Bahasa Inggeris dianggap sangat penting dan pegangan ini akan memusnahkan kemajuan sesebuah bahasa kebangsaan dimana-mana Negara sekalipun. Kejayaan Dasar Bahasa Kebangsaan di Malaysia dalam dalam jentera kerajaan dan dasar pendidikan akan tergugat sekiranya tiada langkah yang diambil untuk menyelamatkannya.

Bahasa melayu kini tercabar dari sudut fungsi wahana penyampaian ilmu dan maklumat. Perkembangan segala macam ilmu dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, memang menjadikan bahasa sebahagian dalam keperluan itu. Usaha penulisan dan penerbitan buku-buku ilmu, khususnya dalam bidang sains dan teknologi maklumat tidak bergerak sejajar dengan perkembangan ilmu dan pembangunan Negara.

Negara industri seperti Jepun, Korea, Perancis, Jerman dan beberapa buah negara lain telah membangun dengan pesat berdasarkan keupayaan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu yang ulung dan mantap. Mereka mempertahankan kewibawaan bahasa mereka sendiri dan menjadikan bahasa mereka sebagai sains dan teknologi, bahasa kepustakaan ilmu serta pengetahuan. Sebaliknya di Malaysia situasi muktahirnya, wujud keraguan terhadap keyakinan tentang keupayaan dan kemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi. Situasi masa hadapan akan menjadi lebih parah lagi apabila bahasa Melayu akan hilang fungsinya sebagai bahasa pembinaan tamadun bangsa.

Di Malaysia, bahasa Melayu sudah mencapai martabatnya sebagai bahasa negara akibat keperkasaannya semenjak zaman-berzaman, dari zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka hingga kemerdekaan Malaysia, tetapi adakan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia itu terjamin kedudukannya untuk terus bersaing dalam era ledakan maklumat ini akan dilihat dari peruntukan perlembagaan dan dasar pendidikan Negara.

Bahasa Melayu Dalam Perlembagaan
Kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan boleh dilihat sebagai elemen peribumi; elemen yang unik dan tidak boleh dimansuhkan melalui proses biasa yakni proses pindaan melalui Parlimen. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu adalah sebahagian daripada perkara yang sering disebut sebagai kontrak sosial yang merangkumi hal-hal yang dipersetujui sewaktu rundingan kemerdekaan dahulu. Elemen peribumi Perlembagaan yang lain ialah sistem beraja, kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan kedudukan Islam.
Perlembagaan sebagai sebuah dokumen yang berpaksikan demokrasi, ditunjangi oleh prinsip sama rata. Elemen peribumi tersebut adalah pengecualian kepada konsep sama rata ini. Oleh yang demikian elemen tersebut tidak boleh disentuh, apalagi dimansuhkan. Perlembagaan telah menetapkan bahawa peruntukan mengenai bahasa Melayu hanya boleh dipinda dengan persetujuan Majlis Raja-Raja. Peruntukan mengenai bahasa juga sebagaimana peruntukan mengenai kewarganegaraan, adat istiadat Melayu dan Islam tidak boleh digantung, hatta ketika darurat. Selain peruntukan mengenai pindaan, bahasa Melayu semacam mempunyai pertalian dengan institusi beraja kerana Raja-raja mempunyai kuasa budi bicara dalam hal-hal yang berhubung dengan adat Melayu dan pentadbiran istana.
(Perlembagaan Persekutuan,Perkara 159(5) )

Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan
Perlembagaan tidak menjelaskan maksud “bahasa kebangsaan” . Kamus Dewan mendefinisikan “bahasa kebangsaan” sebagai “bahasa yang diterima oleh ramai penduduk dalam sesebuah negara yang mempunyai beberapa bahasa atau loghat yang lain”. “Bahasa rasmi” pula ialah “bahasa pentadbiran kerajaan”. Mungkin lebih tepat jika dilihat dalam konteks kebangsaan yang diterangkan sebagai “ yang berkaitan dengan negara secara keseluruhan” atau sesuatu yang “ dipilih untuk melambangkan keperibadian Negara”.

Makna-makna yang dibincangkan tersebut mungkin penting dalam menentukan keabsahan, ruang lingkup peruntukan yang berkenaan, terutama Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Dasar Pendidikan Kebangsaan
Dasar pendidikan memberikan cara dan kaedah menggunakan sumber-sumber ataupun alat-alat dalam sistem pendidikan. Berdasarkan dasar pendidikan ini, dinyatakan juga penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan terutamanya di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan di negara ini dimulakan dengan pengubalan Laporan Jawatankuasa Pelajaran Razak pada tahun 1956. Usul ini diperteguhkan dengan Laporan Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Rahman Talib pada tahun 1960. Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran 1961. Antaranya menyebut,

“…Dan bahawasanya peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki untuk menentukan agar dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan, termasuk, khususnya peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dalam mana Bahasa Kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama.”
-Akta Pelajaran 1961-

Berdasarkan proklamasi di atas, antara matlamat utama pelaksanaan dasar ini termasuklah memperuntukkan undang-undang lebih lanjut berkaitan dengan dasar pendidikan bagi menjamin sebuah sistem pendidikan itu menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Penegasan terpenting dalam proklamasi Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah sistem pendidikan yang mengutamakan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai media pengajaran dan pembelajaran bagi semua peringkat pendidikan dan semua institusi pendidikan yang tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan. Ini diperkukukan lagi dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Perkara 17(1) yang menyatakan, “ Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan…”.
Ini bermakna, semua mata pelajaran Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa Melayu. Tahun 1993 mengegarkan hati dan perasaan pendukung bahasa Melayu apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahadir Mohamad dilaporkan menyarankan penggunaan bahasa Inggeris bagi subjek sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi di Malaysia (Awang Sariyan,2002). Ia dilihat sebagai jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah lemah penguasaan bahasa Inggeris dikalangan pelajar.

Malah pada tahun 2003, pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik pada peringkat rendah dan menengah dimulakan. Seharusnya ia perlu menerima pandangan dan rujukan nasihat oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan seperti mana yang terkandung dalam perkara 10(1), 11(1), dan 11(2) Akta pendidikan 1996 (Akta 550), walaupun mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak sebelum ini. Nampaknya, tindakan ini bertentangan dan melanggar Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Berdasarkan penjelasan di atas dapat dinyatakan bahawa bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan setanding dengan bahasa-bahasa yang lain dari segi kesediaan menerima maklumat atau pun sebagai bahasa ilmu dan ianya telah dijamin kukuhnya disisi Perlembagaan Negara serta Dasar Pendidikan Negara. Mengapa bahasa Melayu dirasakan sebagai penghalang atau tidak sesuai untuk dijadikan bahasa ilmu ? Adakah wujudnya kelemahan-kelemahan dalam bahasa Melayu itu sendiri yang menjadi penghalang? Pengkaji seterusnya mengkaji tentang ciri-ciri bahasa Melayu, untuk mengenal pasti dan menjelaskan bahawa bahasa Melayu itu mampu menjadi bahasa wahana ilmu.

Ciri-ciri Bahasa ilmu
Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi merupakan tradisi yang lebih singkat jika dibandingkan penggunaannya dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan. Penggunaannya dalam bidang sains hanya bermula sejak subjek Sains diajar dalam bahasa Melayu di sekolah dan di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Bahasa ilmu adalah bahasa yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Menurut Nik Safiah Karim (1986:14) yang memetik pendapat Bernstein (1968) membahagikan bahasa kepada dua variasi iaitu bahasa terhad dan bahasa terbina. Untuk maksud penulisan ilmu, variasi bahasa terbina inilah yang menjadi asasnya. Oleh sebab itu, sesuatu bahasa tidak mungkin dapat disampaikan dalam bahasa basahan atau digunakan dalam situasi yang tidak formal. Untuk menguasai bahasa terbina yang menjadi asas bahasa ilmu, pengguna bahasa Melayu perlu menguasai ragam bahasa dan juga laras bahasa.
Abdullah Hassan (1986: 95) pula menyatakan bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu dianggap sebagai superlek yang harus mempunyai ciri-ciri gramatis, halus, jitu, intelektual, dan elitis. Dalam konteks melihat kemampuan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, Abdullah Hassan (1997: 38) menyarankan permisahan antara bahasa Melayu ilmu dan bahasa Melayu umum dilakukan.

Untuk menjelaskan ciri khusus sesuatu bahasa ilmiah, Awang Sariyan (1996: 259-261) menggariskan sepuluh ciri berdasarkan lima belas ciri yang dikemukakan oleh Johannes (kongres, 1978). Ciri-ciri khusus bahasa ilmiah seperti berikut:

Tingkat bahasa rasmi, bahasa ilmiah tergolong dalam bahasa rasmi iaitu bahasa yang mematuhi rumus-rumus bahasa. Oleh itu, bahasa tulisan ilmiah mestilah bahasa baku, tidak terdapat kesalahan tatabahasa dan tidak menggunakan bahasa basahan.

Nada formal dan objektif, bahasa ilmiah mestilah bersifat formal. Setiap fakta atau hujah mesti dikemukakan dengan sempurna, iaitu menggunakan bahasa yang teratur dan jelas. Tulisan juga mestilah bersifat objektif., iaitu berdasarkan fakta dan hasil kajian. Oleh itu kata atau ungkapan seperti pada umumnya, barangkali, agaknya tidak sesuai digunakan. Sebaliknya ungkapan seperti berdasarkan analisis data, berdasarkan kajian, dan seumpamanya digunakan.

Sudut Pandangan Orang Ketiga, untuk mewujudkan keobjektifan penulisan, sudut pandangan orang ketiga disarankan penggunaannya menggantikan sudut pandangan orang pertama (diri penulis). Oleh itu ungkapan seperti ‘Berdasarkan kajian saya, saya dapati bahawa…’ dinyatakan sebagai ‘Berdasarkan kajian, penyelidik didapati bahawa…’ . Hal ini penting kerana dapat mengelakkan hubungan atau penglibatan peribadi diri penulis.

Ragam Pasif, Bagi mengelakkan penglibatan diri penulis, ragam pasif boleh digunakan. Ini disebabkan dalam struktur pasif, penekanan diberikan kepada objek ayat bukannya subjek pelaku.Ragam pasif yang paling sesuai untuk maksud ini ialah ragam pasif neutral, iaitu ragam pasif yang menggugurkan pelaku. Contohnya: Data yang digunakan dalam kajian ini…dan sebagainya.

Istilah Khusus, laras bahasa ilmiah ditandai oleh istilah dan lambang khusus mengikut bidang tertentu.
Setiap istilah perlu ditakrifkan. Selain itu pemilihan kata amat dititikberatkan dalam tulisan ilmiah.

Wacana Pemaparan, dalam penulisan ada empat jenis wacana yang biasa digunakan, iaitu pemaparan, perbincangan, pelukisan, dan penceritaan. Dalam tulisan ilmiah, jenis wacana pemaparan mendapat tempat yang utama. Jenis-jenis yang lain digunakan sebagai pelengkap.

Nada Bersahaja, tulisan ilmiah perlu dihindari ungkapan yang keterlaluan, berlebihan dan emosional. Oleh itu, ungkapan seperti amat malang, amat mendukacitakan, sayangnya, malang sekali dan seumpamanya tidak harus digunakan dalam tulisan ilmiah.

Kata Membazir, dalam tulisan ilmiah, kata yang digunakan mestilah tepat dan sesuai. Oleh itu, kata membazir tidak diperlukan kerana kata-kata seperti itu tidak berfungsi dan menjelaskan makna. Tulisan ilmiah tidak memerlukan ‘hiasan’ .

Ayat Majmuk, tulisan ilmiah sering ditandai oleh penggunaan ayat majmuk gabungan atau ayat majmuk pancangan. Ayat jenis ini sesuai sekali digunakan dalam tulisan ilmiah kerana tulisan ilmiah biasanya mengungkapkan hal-hal yang abstrak dan kompleks.

Bantuan Ilustrasi, tulisan ilmiah seringkali dimuatkan dengan jadual, rajah, gambar, peta, dan sebagainya. Ini bererti bahawa dalam tulisan ilmiah, adakalanya huraian menggunakan bahasa sahaja tidak cukup tetapi perlu dibantu oleh penggunaan ilustrasi.

Berdasarkan penerangan ciri-ciri bahasa ilmiah di atas jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu mempunyai ciri-ciri yang baik sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaannya. Oleh yang demikian tiada sebab bahasa Melayu menjadi penghalang kemajuan atau tidak sesuai sebagai bahasa ilmu. Justeru dengan itu pengkaji menjelaskan tentang halangan-halangan atau masalah yang dihadapi oleh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.


Masalah-masalah bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

Perubahan dasar pendidikan Negara iaitu tentang bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik meninggalkan kesan yang amat buruk ke atas bahasa Melayu. Dalam sekelip mata, dasar tersebut membawa mesej tentang ketidakupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sekali gus meminggirkannya. Pencarian istilah yang baru akan terbantut ini akan menyebabkan bahasa Melayu ketandusan istilah ilmu.

Pendidikan diperingkat sekolah mendapat tempias yang besar kerana kurikulum yang berubah-ubah antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, tiada tindakan yang dapat diambil terhadap mereka yang mengutamakan bahasa Inggeris, justeru dengan itu akta bahasa tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Guru yang mengajar bahasa Melayu didapati kurang berketerampilan dalam pengajaran bahasa Melayu di peringkat rendah dan menengah. Kemahiran berkomunikasi dan penulisan tidak diberikan penekanan secara bersungguh-sungguh, buktinya masih kurang penerbitkan buku-buku berunsur ilmiah yang diterbitkan dikalangan guru.

Hakikat bahawa dalam penggunaan bahasa harian rakyat Malaysia, sama ada di sektor swasta ataupun di beberapa jabatan kerajaan, terdapat sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan. Surat-menyurat mula ditulis dalam bahasa lain contohnya perjanjian jual beli kebanyakanya tidak dibuat dalam bahasa Kebangsaan dan seringkali terdapat kekeliruan dan maklumat yang berbeza dan ia mencetuskan banyak masalah sejak kebelakangan ini.
Ketiadaan badan yang khusus yang benar-benar berkuasa, dengan kuasa undang-undang, untuk memantau dan membimbing penggunaan bahasa Melayu supaya baik, betul, dan indah. Dewan Bahasa dan Pustaka hanya boleh memberi nasihat sahaja tetapi tidak diberikan kuasa undang-undang,maka usaha ke arah ini kurang berkesan.

Tenaga pengajar institusi pengajian tinggi awam ketika ini seolah-olah berlumba-lumba untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran kursus dalam bidang yang mampu disampaikan dengan baik dalam bahasa kebangsaan, seperti kursus ekomoni, pengurusan perniagaan, undang-undang, pendidikan dan veterinar. Bahasa Melayu seperti tidak layak untuk menjadi pengantar ilmu. Arbak Othman, Dewan Bahasa (2006: 27-29)

Wujudnya golongan bangsa Malaysia yang terlalu bangga dengan bahasa asing. Penggunaan bahasa Melayu kurang dipraktikan serta lebih mudah mencampuradukkan dengan bahasa asing, ini terpapar dalam rancangan berbentuk perbincangan politik dan juga ekonomi. Kesannya seolah-olah bahasa Melayu itu ketandusan idea dan gagal dalam penyampaian ilmu.

Rakyat belum dapat menerima bahasa Melayu dengan sepenuhnya dan hal ini ada kaitan juga dengan penerbitan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu yang masih tidak mencukupi serta kurang memberi fokus yang tepat tentang sesuatu perkara atau bidang di peringkat asas dan juga peringkat lanjutan. Pelajar di institusi pengajian tinggi masih menggunakan buku-buku dalam bahasa Inggeris sebagai bahan rujukan utama. Budaya menulis dan menerbitkan buku ilmiah dalam kalangan ahli akademik (kecuali bidang kebahasaan), masih rendah kerana mereka lebih berminat menulis jurnal dengan tujuan kenaikan pangkat dan bukannya menyebarkan ilmu dalam bahasa Melayu.

Setelah dikenalpasti tentang masalah yang dialami oleh bahasa melayu sebagai bahasa ilmu, tumpuan dialih pula kepada cara-cara untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu.


Langkah-langkah Mengembalikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

Keberanian beberapa perwakilan dalam Pehimpunan Agung Tahunan UMNO pada 5 hingga 9 November, amat menarik perhatian pengkaji tentang kegusaran mereka tentang masa depan bahasa Melayu, dengan lantang mereka mendesak kerajaan mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Ia sesuai dengan statusnya sebagai bahasa negara dan bagi “mengangkasakan” tamadun bangsa, selaras dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Keputusannya Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan sepenuhnya penggunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran tersebut dalam UPSR 2008. Adalah diharapkan agar kerajaan mengubah semula keputusan yang dibuat agar bahasa Melayu terus hidup dan sebagai bahasa ilmu.


Pihak perancang kurikulum seharusnya membuat kajian yang mendalam sebelum melakukan perubahan, ini dapat dilihat dalam merangka kurikulum khususnya pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, sewaktu itu kita mengalami masalah kekurangan guru bahasa Inggeris yang agak serius. Bila ia diaksanakan guru yang sedia-ada diberi kursus yang ringkas dan berdepan dengan berbagai masalah walaupun diberi pelbagai modul pengajaran.

Guru-guru yang mengajar bahasa Melayu hendaklah digalakkan memberi sumbangan ilmiah dan diberi pengiktirafan serta mendapat ‘markah bonus’ dalam penilaian kenaikan pangkat ini akan mendorong penghasilan bahan ilmiah dikalangan guru.

Memberikan kuasa mengambil tindakan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka agar dapat bertindak kepada pesalah-pesalah bahasa yang selama ini sering mempersoalkan kuasa DBP dari segi undang-undang. Langkah memberikan kuasa kepada DBP hendaklah disertai penjelasan yang rapi agar semua pihak bersetuju untuk menerimanya.

Penerbitan buku juga dapat membantu menyelesaikan masalah ketandusan ilmu. Usaha ini akan mempercepatkan proses percambahan ilmu dalam sesuatu bidang dalam bahasa Melayu. Akan tetapi penterjemahan karya asing dalam bahasa Melayu sangat diharapkan.

Pihak pendukung ilmu di institusi pengajian tinggi awam seharusnya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ini telah terbukti dengan kemampuan bangsa Malaysia mengarap ilmu hingga tahap yang tertinggi walaupun asasnya menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantara ilmu.

Penghasilan cakera padat mengenai panduan Bahasa Isyarat Malaysia yang diterjemahkan dari bahasa asing amat dialukan, ini kerana terdapat 4000 pelajar yang sedang bersekolah di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia dapat membantu golongan ini serta masyarakat berkomunikasi dengan lebih mudah. Abdullah Yusof, DBP,(2006:48-51) .


Kesimpulan

Bahasa Melayu telah mencapai tahap kegemilangannya hingga menjadi lingua frangca dan bahasa ilmu sewaktu pada suatu ketika dahulu, kerana sifat keterbukaan yang ada padanya iaitu mudah menerima pengaruh bahasa asing. Para sarjana barat berasa kagum dan mempelajarinya, buktinya terdapat sumbangan yang dihasilkan oleh sarjana Belanda dan British.

Bahasa Melayu telah mengalami tiga tahap perkembangan iaitu pemupukan, pembinaan dan pemantapan bahasa. Perkara 152 Perlembagaan negara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seterusnya menjadikan bahasa ilmu. Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai peneguhnya iaitu memberi halatuju kepada bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

Dalam kajian ini juga telah dihuraikan tentang fungsi iaitu ciri-ciri yang terdapat dalam bahasa Melayu itu yang menjadikan ianya sebagai bahasa wahana ilmu kerana kemantapan yang ada pada memudahkan ia menyerap pelbagai budaya ilmu.

Seterusnya dihuraikan masalah-masalah yang dihadapi oleh bahasa Melayu iaitu perubahan dasar pendidikan negara, masalah perubahan kurikulum, guru yang kurang proaktif, sektor swasta yang kurang menggunakan bahasa Melayu, ketiadaan penguatkuasa undang-undang, tenaga pengajar IPTA yang mengagungkan bahasa Inggeris, wujudnya golongan tidak yakin dengan bahasa Melayu, dan kekurangan penerbitan bahan ilmiah.
Langkah-langkah untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga dibincangkan iaitu desakan kepada kerajaan oleh pewakilan UMNO menampakkan sedikit hasil, perancangan kurikulum, memberi ganjaran kepada guru yang memberi sumbangan ilmu, Memberi kuasa penguatkuasaan dan pendakwaan kepada DBP, perbanyakan penerbitan dan penterjemahan karya asing, pendukung ilmu IPTA seharusnya yakin dengan kemampuan bahasa Melayu, dan penghasilan cakera padat panduan bahasa isyarat Malaysia satu sumbangan ilmu.

Sebagai rumusannya pengkaji berpendapat bahawa bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaannya, mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaiannya dan bukan berasa sangsi hingga sanggup menganaktirikan bahasa sendiri, ini telah terbukti yang mana Korea, dan Jepun disertai oleh China yang sangat mendaulatkan bahasanya mampu menjadi gergasi ekonomi dunia. Terbukti bahawa sesuatu bahasa tidak pernah menjadi penghalang kemajuan. Oleh yang demikian bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu.


Rujukan

Ismail Hussein (1992). Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita. Asal-usul bahasa
Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 1-6.

Yahya Don (2007). Kepimpinan Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur:PTS Professional,
Hlm 70-71.

Nik Safiah Karim (2006). Kuasa DBP Mengembalikan Upaya Bahasa Melayu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa, hlm 10-13.

Zaitul Azmz Zainon Hamzah (2006). Membudayakan Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa, hlm 14-19.

Abdul Aziz Bari (2006). Menangani Masalah, Bahasa Kebangsaan Melalui Pemahaman
Perlembagaan.
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa, hlm 6-9.

A.Aziz Deraman (2007). Bahasa Melayu dan Cabaran Global. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa, hlm 26-29.





Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan semenjak detik pengisytiharan tersebut Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang telah diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan memperkukuhkan kedudukan sebagai bahasa pengantar dalam institusi pendidikan menerusi Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.
Kamus Dewan (1970:59) mendefinisikan bahasa rasmi sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi. Ainon Mohammad (1984) pula merumuskan bahawa bahasa rasmi membawa pengertian sebagai peranan bahasa Melayu sebagai saranan pembinaan negara di dalam semua urusan, terutama urusan pentadbiran negara. Oleh itu, dapatlah diringkaskan bahawa bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan di dalam sistem pendidikan negara, urusan perniagaan dan pentabiran dan di dalaam upacara-upacara rasmi. Bahasa rasmi pula mungkin membawa lebih daripada satu fungsi bagi sesebuah negara.
Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan merupakan senjata paling ampuh dalam merealisaikan konsep 1 Malaysia. Perpaduan atau solidariti dapat ditafsirkan sebagai satu proses yang menyatupadukan rakyat dan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Kamus Dewan (1994) mendefinisikan perpaduan sebagai penggabungan, pelaburan penyesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Oleh itu, dapatlah diertikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan ialah bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan di dalam lingkungan satu kelompok manusia yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dalam sesebuah negara.
Menerusi cetusan idea Perdana Menteri Malaysia, Gagasan 1 Malaysia ingin membentuk satu identiti masyarakat Malaysia melalui budaya dan aspek terpenting untuk membentuk satu budaya ialah melalui satu bahasa dan satu suara. Sejarah membuktikan bahawa perpaduan amatlah sukar dicapai oleh masyarakat pelbagai ras dan etnik tetapi bukan mustahil. Semasa zaman kolonialisasi, British mengamalkan dasar ‘pecah dan perintah’ yang mewujudkan jurang ekonomi manakala dasar ‘laissez-faire’ dalam pendidikan menyebabkan perkongsian pengetahuan dan keseragaman perperiksaan tidak dapat dicapai.
Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, iaitu pada peringkat permulaannya, di Negeri-negeri Selat. Pada awal tahun itu, pihak British memberi keutamaan kepada pelajaran Melayu dan Inggeris. Pendidikan Cina dan Tamil dibiarkan berkembang secara sendirian. Pelajaran Cina telah mewujudkan kesedaran kebangsaaan pemuda –pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, gurunya datang dari negara China, buku teks diimport dari negara China dan berkiblatkan China. Sekolah Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang tunggal. Kebanyakan sekolah Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian besarnya dibiayai oleh syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang berkenaan. Walau bagaimanapun, keadaan sekolah Tamil tidak pernah setanding dengan sekolah-sekolah Cina, Melayu atau Inggeris.
Kerajaan sebelum merdeka menganggap sekolah Inggeris sebagai sistem persekolahan yang unggul. Kelulusan sekolah Inggeris terdedah kepada pemikiran Barat. Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan sekolah-sekolah lain bukan dari segi bahasa pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak sama dan sekolah Inggeris juga memberi kesan kepada perpecahan yang berlaku di dalam masyarakat. Jelas sekali, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik – berpelajaran Inggeris dan berpelajaran vernacular – yang tidak mempunyai pandangan dunia (world – view) yang sama.
Persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik selepas Perang dunia Kedua ialah mencari formula untuk melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatupadu, yakni masyarakat majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat Malaysia. Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari.
Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini. Oleh itu, Penyata Razak telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama manakala Bahasa Melayu pula digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa.
Gagasan 1 Malaysia sudah pastinya dapat diwujudkan melalui pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Penyatuan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni seperti yang tercatat dalam matlamat pendidikan kebangsaan, iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mampu menyemarakkan lagi semangat 1 Malaysia dengan membawa dimensi baharu dalam arena kebahasaa. Menurut Havranek, di dalam Garvin (1984), sesuatu bahasa yang mencapai taraf sebagai bahasa ilmu perlu mempunyai dua ciri penting iaitu keintelektualan dan kesempurnaan bahasa. Melalui keintelektualan, bahasa tersebut mestilah mempunyai keupayaan menyampaikan hujah dan buah fikiran yang berkesan dan tepat yakni ampu menyampaikan kesinambungan dan kerumitan fikiran tanpa melalui pelbagai rintangan. Kesempurnaan bahasa pula bermaksud satu bahasa yang akan berfungsi sebagai bahasa ilmiah harus mempunyai sistem dan peraturan bahasa yang lengkap yakni mempunyai sifat-sifat kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahan.
Selaras dengan konsep 1 Malaysia, bahasa Melayu bukan sahaja mampu menyampaikan pelbagai ilmu malahan ia juga memikul tanggungjawab yang besar sebagai bahasa persatuan dan kesatuan kaum di Malaysia. Perkara ini telah dibuktikan sejak sekian lama kerana melalui perpaduan yang kukuh dan persefahaman kaum yang kuat dalam kalangan masyarakat, suasana politik dan sosial juga turut stabil sekali gus merancakkan lagi sektor ekonomi negara. Secara tuntasnya, inilah berkat hasil bahasa Melayu yang dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara ini sejak awal tahun 70-an.
Bahasa Melayu memudahkan penguasaan ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia. Selaras dengan konsep rakyat didahulukan, perpaduan akan dikecapi. Nikmat daripada kesejahteraan rakyat maka dapatlah kita merealisasikan pencapaian melalui ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu telah memperkasa anak watan dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan, sains dan teknologi, ekonomi sekali gus dapat melahirkan golongan kelas menengah yang menjadi sinergi dan sumber manusia yang terus menjadi pemangkin pembangunan bangsa dan negara.
Bahasa Melayu yang dahulunya hanya berperanan sebagai ‘lingua-franca’ dan juga ‘bahasa kedua’ akhirnya menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perundangan, bahasa pentadbiran dan bahsa yang dapat mengungkapkan pelbagai genre dan domain ilmu. Oleh hal yang demikian,bagi memastikan semangat dan kecintaan terhadap kepentingan dan kemampuan bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa ilmu dan wahana merealisasikan Gagasan 1 Malaysia, usaha promosi harus dipergiat dari semasa ke semasa.
Berdasarkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi tidak perlu dipersoalkan lagi apabila rata-rata anak-anak berinteraksi dengan rakan sebaya di sekolah, majikan dan pekerja berkomunikasi di pejabat bahkan urusan jual beli di pasar raya juga kita sering mendengar bahasa Melayu diujarkan.
Dalam konteks 1 Malaysia, interaksi amat penting bagi menentukan supaya hubungan antara masyarakat pelbagai ras dan etnik dapat terus berlangsung atau dipertahankan. Oleh itu, perlu pengetahuan luas berkenaan bahasa, loghat, jargon, slanga, gurauan, cerita rakyat, budaya setempat dan sebagainya. Pokoknya, kita mesti tahu pelbagai perkara tentang bahasa. Fungsi peribadi pula ialah fungsi bahasa memberi kesempatan kepada manusia untuk menyatakan perasaan, emosi, peribadi serta reaksinya.
Kesimpulannya, Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri adalah selangkah di hadapan kita. Perbezaan bahasa bukan lagi penghalang ke arah usaha murni kerajaan ini kerana kita adalah satu bangsa, satu bahasa dalam Gagasan 1 Malaysia.


Yang kurik kundi
Yang merah saga
Yang cantik budi
Yang indah bahasa

Indahnya Bahasa Melayu, begitu halus sehingga menusuk kalbu. Daripada banyak faktor, bahasa muncul sebagai faktor yang dominan dan daripada begitu banyak bahasa, Bahasa Melayu yang terpilih sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi wahana perpaduan masyarakat majmuk di negara Malaysia.

Melihat kepada pengiktirafan yang diberi kepada Bahasa Melayu tentunya Bahasa Melayu memiliki keistimewaan tersendiri sehingga berupaya mengangkat bahasa ini sebagai Teras Perpaduan Bangsa .

Maka dalam tulisan ini saya ingin membuktikan kepada pembaca mengapa dan bagaimana Bahasa Melayu mampu menjadi teras atau tunjang kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.Di akhirnya pula saya akan menuliskan beberapa ancaman ke atas Bahasa Melayu dalam kedudukannya untuk bertahan sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan.

Secara konseptual Bahasa Melayu Teras Perpaduan Bangsa Malaysia bolehlah didefinisikan sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan berupaya menjadi tunjang atau nadi kepada penyatuan pelbagai kaum di negara ini.

Mengapakah Bahasa Melayu Dipilih Sebagai Bahasa Kebangsaan?


Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik.

Dalam Kitab Sejarah Melayu menyebutkan bagaimana para pedagang bertungkus lumus mempelajari Bahasa Melayu dan menguasainya bagi memudahkan mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah lama menggunakan bahasa itu.

Dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian turut menggunakan Bahasa Melayu bertulis jawi. Ini membuktikan bahasa Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak British. Kalau mereka tidak mengerti pun ada munsyi atau guru Bahasa Melayu yang akan mengajar mereka.

Begitu juga dokumen-dokumen lain seperti undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu telah menggunakan Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi sebagai medium. Semua ini membuktikan kepada kita betapa Bahasa Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan diguna sehingga ke peringkat antarabangsa.

Memandangkan Bahasa Melayu telah diguna sekian lama sebagai bahasa rasmi dan basahan, sebagai bahasa komunikasi dan persuratan maka Bahasa Melayu telah dipersetujui dan disepakati bersama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar menjadi bahasa kebangsaan bagi persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957.

Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara sepertimana yang termuat dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa bagi persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka.

Maka sejak itu Bahasa Melayu berkembang luas penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah.

Jelas sekali Bahasa Melayu telah diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama dan dapat digunakan bersama untuk mencapai matlamat perpaduan.

Bagaimanakah Bahasa Melayu Boleh Berfungsi Secara Berterusan sebagai Bahasa perpaduan?

Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia ialah Bahasa Melayu yang digunakan secara bersama dan meluas. Bahasa melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan, namun bahasa rasmi dan tidak rasmi.

Bahasa ini bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke peringkat antarabangsa. Buktinya DS Mohd Najib telah bertutur dalam Bahasa Melayu sepenuhnya di sebuah Universiti di China semasa lawatan beliau ke sana baru-baru ini.

Ini bererti Bahasa Melayu yang dimaksudkan ialah bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur bahasa Melayu baku dan mempunyai sistem yang sama untuk semua.

Slanga atau loghat mungkin sesuai untuk orang Melayu di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa Melayu yang standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan di sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi yang lain.

Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan utama mempunyai masa depan yang cerah kerana Bahasa Melayu bersikap terbuka kepada bahasa lain. Kita sedar sesuatu bahasa yang terlalu rigid, terpencil dan statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan semasa.

Dunia semakin berkembang, masyakaratnya semakin maju dan berpengetahuan, maka begitulah juga halnya dengan bahasa Melayu Sejak dahulu Bahasa Melayu dilihat mempunyai tahap keterbukaan dan toleransi yang begitu tinggi,kepada kemasukan isitilah-istilah baru dan kata asing. Dinamika bahasa ini amat diperlukan untuk memastikan Bahasa Melayu tidak terkubur seperti yang berlaku kepada bahasa Sanskreta.

Sayugia diingat dalam keghairahan kita hendak mempertahankan Bahasa Melayu jangan sampai bahasa ini menerima nasib yang sama seperti dinossours yang akhirnya pupus kerana gagal untuk menyesuaikan dirinya dengan perubahan semasa dan persekitaran.

Maka menyedari hakikat itu DBP telah memainkan peranan yang begitu aktif untuk membentuk dan menyelaraskan istilah-istilah baru dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan teknologi, undang-undang, pendidikan, perbankan, komputer dan internet.
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan bangsa Malaysia diperkukuh apabila kehadirannya tidak pernah disangsikan oleh kaum-kaum lain. Sebabnya Bahasa Melayu tidak dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana pihak dan kehadirannya tidak akan menyebabkan bahasa ibunda kaum masing-masing akan menerima nasib malang.

Rahsia Bahasa Melayu tetap diyakini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan hingga kini ialah kerana jaminan yang diberikan dalam perlembagaan Malaysia yang telah menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan. Keadaan ini menjadikan Bahasa Melayu akan terus dihormati dan tidak akan disaingi oleh bahasa-bahasa lain.

Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 membuktikan betapa seriusnya pihak kerajaan dalam mengangkat martabat bahasa ini sebagai bahasa komunikasi utama pelbagai kaum. Sejak itu banyak kegiatan kebahasaan turut melibatkan pelbagai kaum.Buktinya yang jelas ialah dengan adanya pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis (PBSUB) bagi SRJKC dan SRJKT dan pidato bahasa Melayu antarabangsa. Ini membuktikan bahasa Melayu menjadi bahasa yang boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja.

Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan dan bahasa perpaduan melonjakkan bahasa ini sebagai satu identiti bagi masyarakat majmuk sehingga mampu menjadi model perpaduan dunia melalui penggunaan satu bahasa.
Ancaman

Perubahan dunia semakin pantas dan kemajuan dunia semakin cepat. Persekitaran lokal tiba-tiba sahaja bertukar kepada glokal dan akhirnya menuju global. Bumi yang dulunya terpecah kepada begitu banyak kampung yang tak berhubung, kini menjadi sebuah kampung besar tanpa sempadan.

Bahasa Melayu turut menerima cabaran apabila golongan remaja hari ini lebih berminat menggunakan istilah dan gaya bahasa sendiri yang dikatakan lebih pantas dan ringkas. Ini terbukti apabila munculnya teknologi komunikasi terkini seperti sistem pesanan ringkas, mms, mel elektronik dan chating.

Kata-kata yang panjang telah diringkaskan dan istilah-istilah baru tercipta. Surat yang dianggap ketinggalan dan lambat telah digantikan dengan mel elketronik, menelefon telah digantikan dengan SMS dan MMS.

Bagi saya ini satu perkembangan yang menakjubkan sekali gus menunjukkan bahasa Melayu sentiasa berupaya menyesuaikan dirinya dengan keperluan semasa. Minat anak muda daripada pelbagai bangsa menggunakan bahasa ini menjadikan bahasa Melayu akan terus berkembang sebagai alat perpaduan utama. Cuma terpulanglah kepada Kementerian pelajaran dan DBP untuk menyelaraskan semua ini.

Akhirnya marilah kita menyahut cabaran 1Malaysia cetusan idea YAB DS Mohd Najib Tun Abdul Razak. Gagasan ini bukan sahaja mengajak kita berkongsi sebuah negara, iaitu Malaysia tetapi juga berkongsi satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu yang telah terbukti mampu menjadi teras Perpaduan Bangsa Malaysia

Sumber : http://gurubashid.com/





Bahasa Melayu dalam Pembangunan Negara

a) Peranan bahasa dalam Pembangunan Negara

Kegagalan memilih bahasa sendiri sebagai alat pembangunan selalu menimbulkan masalah.

Bahasa memang merupakan alat penting kemajuan manusia. Bahasa adalah alat budaya satu – satu bangsa. Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir, pernah berkata, maju bangsa Melayu majulah Bahasa Melayu. Kenyataan ini bernas dan tepat mentakrifkan maksud hubugan antara bahasa dengan kemajuan manusia. Jumlah bahasa yang terdapat di seluruh dunia dianggarkan sebanyak lebih kurang 6200 buah. Untuk membangunkan negara tidak praktik semua bahasa yang terdapat di sesebuah negara digunakan sebagai “bahasa rasmi” atau sebagai bahasa pembangunan. Banyak faktor dan syarat perlu ditentukan untuk memilih bahasa apakah yang dianggap “paling layak” dijadikan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi ataupun sebagai bahasa pembangunan. Soal layak atau tidak layak itu bukan masalah “ linguistik” tetapi lebih penting lagi ialah masalah budaya. Kalau bahasa Barat, misalnya bahasa Inggeris, dianggap layak dari segi “kemajuan bahasa” (istilah yang relative sebenarnya), ini tidak bererti bahasa ini layak dari fungsi buadaya, politik dan sosial untuk melakukan proses “pembangunan negara” (nation-building) di negara asing yang mempunyai sejarah, tamadun, budaya dan keperluan pembangunan yang tersendiri. Kegagalan memilih bahasa sendiri sebagai alat pembangunan pribumi (indigenous) inilah yang selalu menimbulkan masalah pembangunan atau kemajuan bangsa di kebanyakan negara bekas jajahan kuasa Barat.

Terdapat tujuh bahasa sahaja yang digunakan sebagaia bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi di 139 uah negara. Daripada jumlah ini, 128 buah negara adalah bekas tanah jajahan Barat; yang lain (11 buah) ialah negara Barat. Kebayakan negara bekas jajahan kuasa Barat sebagai bahasa rasmi tunggal masing – masing. Malaysia dan Indonesia tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasminya atau sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikannya, tetapi kedua – dua negara ini maju atau sedang maju. Jepun, Korea Selatan, Taiwan,dan Negara Thai menggunakan bahasa sendiri sepenuhnya dalam kegiatan pembangunan negara masing – masing. Negara – negara ini maju. Negara suatu ketika dahulu dianggap “tidak maju”, kini mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan negara – negara Barat yang dikatakan maju. Sekurang – kurangnya negara ini tidakklah tergolong dalam kumpulan yang disebut “Negara Paling Tidak Maju” (Least Developed Countries) atau LDC”s yang kebanyakanya adalah negara bekas jajahan Barat.

Faktor yang menjadi tumpuan ialah bahasa sebagai alat pembangunan negara. Salah satu “teori” yang terkenal tentag hubungan bahasa sebagai alat pembangunan yang pernah dikemukan oleh seorang penulis Barat, Joshua A. Fishman ialah, konsep nationality-nationalism dan nation – nationism yang termuat dalam buku Language Problems of Developing Nations (New York: 1968 ). Menurut teori Fishman dan beberapa penulis lain yang mempercayai teorinya, bahasa mempunyai dua peranan, yang satu peranannya simbolik, menjadi alat semangat nasionalisme bangsa dan kaum, yang satu lagi berperanan sebagai alat “pembangunan negara”. Menurut pendapat ini, bahasa pribumi di negara membangun yang diangkat menjadi bahasa kebangsaan kerana desakan semangat nasionalisme lebih layak memainkan peranan simbolik, misalnya sebgai bahasa perpaduan atau bahasa “identity bangsa”, tetapi utnuk menjadi alat nationism, iaitu alat pembangunan atau kemajuan negara, bahasa itu perlu lebih layak daripada setakat fungsi simbolik atau nasionalistiknya untuk memajukan keadaan ekonomi, ilmu,teknologi, dan perusahaan negara.

Pendapat ini jelas dipengaruhi oleh tradisi pemikiran evolusi Barat yang menganggap bahawa bahasa yang daapt membawa kemajuan kepada negara sedang membangun ialah bahasa yang telah melalui tahap “pemodenan”, seperti yang telah dialami oleh masyarakat dan bahasa Barat. Ini sikap etnosentrik dan mentaliti penjajahan Barat yang secara sedar atau tidak sedar diungkapkan melalui teori perancangan bahasa yang menggunakan “model” kemajuan Barat sebagai criteria yang mentakrifkan fungsi “pembangunan” bahasa. Kalau teori ini benar, mengapakah kebanyakan negara sedang membangun yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis atau bahasa Sepanyol yang dikatakan “ bahasa maju atau moden, sebagai bahasa rasmi masing –masing, tidak maju, malah ada yang cukup miskin, dan mengapakah beberapa negara lain menggunakan bahasa pribumi sendiri, sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi masing – masing maju?
Faktor – faktor

Faktor Pertama
Faktor penjajahan budaya
Di Afrika dan Latin Amerika, penjajahan budaya ini berlaku begitu sehingga alat budaya penduduk setempat , iaitu bahasa, yang amat perlu untuk membina identity bangsa dan negara membangunkan semula tamadun bangsa selepas kemerdekaan turut dimusnahkan.
Faktor budaya, social dan ekonomi penting dalam proses pembangunan negara. Bahasa asing tidak mampu melakukan tugas pembangunan pribumi indigenous itu. Bahasa itu bukan bahasa rakyat. Bahasa itu hanya digunakan oleh segolongan kecil manusia yang boleh kita sebutkan sebagai golongan elit. Bagi negara yang tidak pernah dijajah pula, proses penjajahan budaya tidak berlaku dan ini menyebabkan bahasa anak negeri berpeluang berkembang bebas sepanjang sejarahnya menjadi alat pembangunan bangsa sendiri dalam semua bidang hingga ke zaman perusahaan dan teknologi moden hari ini. Demikianlah keadaan yang berlaku di Jepun, Korea, Taiwan, dan negara Thai, sebagai contohnya.

Faktor Kedua
Tiada bahasa pribumi yang kuat
Menurut Hassan Ahmad (1995), dii negara yang tidak maju itu tidak ada bahasa pribumi yang kuat untuk menggantikan bahasa bekas jajahan, setelah dilumpuhkan perkembangannya oleh proses penjajahan. Seringkali pula usaha untuk menggantikan bahasa bekas penjajah dengan bahasa pribumi yang layak tidak mendapat sokongan golongan elit didikan Barat.

Faktor ketiga
Dasar bahasa bersifat “eksoglosik”
Menurutnya lagi, dasar bahasa yang bersifat “eksoglosik” iaitu dasar menggunakan bahasa asing sebagai bahasa rasmi tunggal negara, ialah warisan dasar bahasa zaman penjajah. Penjajah menggunakan bahasa mereka untuk memisahkan penduduk negeri daripada kemajuan.

Apakah ada apa – apa perbezaan untuk menyatakan bahawa bahasa – bahasa lain lebih maju” ?
Dewasa ini kita seringkali mendengar tentang hegemoni bahasa berlaku di mana – mana sahaja. Bahasa yang lebih dominan kelihatan akan menelan bahasa yang kurang berpengaruh. Ini dapat dilihat mengapakah Negara bekas tanah jajahan Barat yang menggunakan bahasa asing, iaitu bahasa Barat, tidak maju. Salah satu sebabnya ialah, negara itu, secara sedar dan tidak sedar, menggunakan bahasa yang menjadi alat untuk memecah – belahkan penduduk negeri dan memisahkan rakyat daripada kemajuan dalam zaman penjajahan. Bahasa Barat yang tidak difahami oleh sebahagian besar penduduk negeri terus menjadi alat pemecah perpaduan kebangsaan dan pengembang nilai pembangunan yang dipengaruhi oleh budaya dan kepentingan kuasa Barat. Polanya jelas. Kita perhatikan, misalnya, hampir semua Negara Afrika yang menggunakan bahasa Barat sebagai alat utama proses pembangunan dalam negeri mengalami krisis budaya dan nilai antara golongan elit didikan Barat dengan rakyat terbanyak. Krisis inilah yang sering membawa akibat yang buruk kepada pembangunan ekonomi – negara berkenaan.

Keadaan seperti ini nampaknya tidak berlaku di negara bekas tanah jajahan Barat yang berjaya menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi tunggal. Contoh yang boleh kita jadikan teladan (model) ialah Malaysia. Bahasa Melayu mempunyai segala syarat yang layak dijadikan bahasa pembangunan di Malaysia. Bahasa Melayu bukan bahasa baru tetapi telah mempunyai sejarah perkembangan sebagai bahasa ilmu yang sama tuanya dengan kebanyakan bahasa vernacular Barat sebelum bahasa Latin digantikan sepenuhnya sebagai bahasa ilmu mulai abad ke – 16 atau ke – 17 di Eropah. Bahasa Melayu sudah menjadi lingua franca perdagangan, politik dan budaya di seluruh kawasan Kepulauan Melayu yang kini meliputi Malaysia,Indonesia, Brunei Darussalam, dan Singapura, sejak abad ke – 10 atau lebih awal lagi. Apabila Islam masuk ke rantau ini mulai abad ke – 13 ( mungkin lebih awal lagi menurut beberapa bukti batu nisan yang dalam bahasa Arab dalam abad ke – 10 dan ke – 11 ) bahasa Melayu mengalami perkembangan yang paling pesat sebagai bahasa persuratan apabila tulisan Arab (Jawi) diperkenal dan dipelajari oleh orang Melayu. Sastera Melayu klasik yang menggantikan sastera lisan bermula dari zaman kedatangan Islam. Sejarah Melayu ( yang menurut R. O Winstedt asalnya ditulis di Melaka sebelum tahun 1536) merupakan karya agung zaman itu. Mulai awal abad ke – 17 raja – raja Melayu di Acheh dan Brunei telah menulis surat dalam bahasa Melayu di Acheh dan Brunei telah menulis surat dalam bahasa Melayu (tulisan Jawi) kepada raja – raja Eropah.

Kemuncak perkembangan bahasa Melayu berlaku di Acheh pada abad ke – 17, apabila sekumpulan penulis Melayu – Islam menghasilkan karya – karya besar tentang falsafah, metafizik, dan teologi ISLAM. Mereka yang terkenal termasuklah Syeikh Nuru’d-din Ar-Raniri, Shamsu’din As-Samatrani, Abdu’r-Rauf dari Singkel, dan Hamzah Fansuri, penyair sufi yang agung. Berdasarkan isi penulisan mereka yang bercoral “rasionalismtik” dan “intelektual” Prof. Muhammad Naquib Al –Atas berkata merekalah perintis “bahasa Melayu moden”, bukan Abdullah Munshi yang menulis pada zaman pertengahan abad ke – 19 dalam zaman British. Yang menarik di sini ialah, ar-Raniri bukan pengucap asli bahasa Melayu. Dia lahir di Gujerati, di India. Hakikat bahawa dia berjaya menguasai bahasa Melayu tinggi untuk membolehkan dia menulis tentang hal – hal yang rasionalistik, tentang falsafah dan ilmu metafizik yang mendalam dalam bahasa itu( dalam bahasa Arab) menunjukkan bahawa bahasa Melayu pada masa itu sudah merebak jauh sebagai bahasa ilm tinggi. Menurut Dr. teuku Iskandar, Ar-Raniri mungkin mempelajari bahasa itu itu dari penuntut – penuntut Melayu di Makkah, sebelum dia mendalami bahasa Melayunya di Pahang dan di Acheh mulai tahun 1637. Hamzah Fansuri berkata, dia menulis dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Arab, untuk pembaca yang memahami bahasa Melayu, tentunya yang dimaksudkannya ialah “ bahasa Melayu tinggi”.

Dari Acheh, bahasa Melayu berkembang pula di pusat kerajaan Melayu-Johor-Riau-Linggi yang melahirkan barisan penulis baru, yang terkenal antara merka ialah Raja Ali Haji, yang bukan sahaja menulis buku – bku sejarah tetapi juga buku nahu bahasa Melayu dalam pertengahan abad ke – 19. Apabila pihak British memerintah Semenanjung Tanah Melayu mulai tahun 1874 taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa perdagangan Kerajaan Melayu beransur – ansur diganti dengan bahasa Inggeris. Dasar imigresen bebas British menimport pekerja dengan banyaknya dari negeri China dan India untuk memajukan ekonomi Britain melalui perusahaan bijih timah dan getah menimbulkan keadaan kepelbagaian bahasa di Tanah Melayu. Tetapi keadaan ini memberikan “ taraf baru” pula kepada bahasa Melayu, iaitu peranannya sebagai lingua franca anatar etnik pelbagai bangsa.
Tarafnya sebagai bahasa rasmi kerajaan Melayu, tidaklah terhapus sama sekali. Terutama di Negeri – Negeri Melayu Tidak Bersekutu, bahasa Melayu masih digunakan dalam pentadbiran, di samping bahasa Inggeris.

Sementara itu, di Indonesia bahasa ibunda Belanda tidak dapat menghentikan proses bahasa Melayu menjadi bahasa kesatuan di kaasan itu. Pada tahun 1928 bahasa Melayu diisytiharkan oleh gabungan gerakan pemuda Indonesia sebagai bahasa kesatuan Indonesia. Pemerintahan Portugis selam 130 tahun (1511-1641) di Melaka tidak berjaya membahasa-Portugiskan Melaka sebgaimana yang terjadi di negara bekas jajahan Portugis di Afrika dan di Amerika Selatan.

Dalam tempoh lebih kurang tiga dasawarsa bahasa Melayu berkembang dengan amat cepat di Malaysia, daripada bahasa politik untuk menunjangi kekuatan dalam perjuangan antikolonialisme, dan sebagai pernyataan dan tekad bangsa Malaysia untuk hidup sebagai bagnsa yang merdeka, kepada bahasa rasmi dan bahasa yang merdeka, kepada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang begiu berjaya untuk menampung dan mengungkap segala bahasa kehidupan. Bahasa Melayu berjaya mencapai taraf yang dinikmatinya kini kerana beberapa faktor yang pertama, faktor sosiopolitik yang memungkinkan pembangunan dalam semua bidang, termasuklah perancangan dan pelaksanaan bahasa rasmi yang kedua, azam dan tekad politik serta budaya yang dilaksanaka melalui pelbagai dasar dan strategi. Yang ketiga, sokongan masyarakat umum terhadap aktiviti kebahasan. Lagipun, sistem politik, ekonomi, sosial, dan dimensi penggunaan bahasa Melayu selama ini telah memberikan dapak terhadap wibawa bahasa itu.

Hari ini juga bahasa Melayu digunakan atau difahami oleh hampir 200 juta orang di ASEAN yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 320 juta orang(bererti lebih kurang 60 peratus penduduk ASEAN memahami bahasa Melayu). Kita tidak tahu berapa banyakkah penduduk ASEAN yang menggunakan / memahami bahasa Inggeria, tetapi pasti tidak lebih besar daripada jumlah penduduk yang memahami bahasa Melayu. Mengapakah bahasa Melayu tidak dijadikan bahasa rasmi ASEAN, di samping bahasa Inggeris, jikaperlu?

Di Malaysia, masalah yang kita hadapi sepanjang tempoh 37 tahun kita sudah merdeka ialah sikap manusia terhadap bahasa Melayu. Ada pihak yang menyangka bahawa bahasa Melayu “ belum mampu” untuk menjadi bahasa ilmu tinggi sepenuhnya atau untuk menjadi bahasa Melayu dalam bidang – bidang itu sebelum membuat kesimpulan subjektif itu. Biasanya orang yang membuat pendapat seperti ini tidak memahami apa yang mereka cakapkan itu senarnya;pengetahuan mereka tentang soal bahasa cetek, bahasa Melayu mereka lemah. Selain ini, kita ada kecenderungan untuk membataskan peranan bahasa Melayu kepada dua fungsi sahaja, pertama sebagai bahasa urusan rasmi pentadbiran kerajaan, dan kedua sebagai “ bahasa perpaduan”(suatu idaman yang agak abstrak sifatnya). Bahasa Inggeris seringkali ditonjolkan sebagai bahasa pembangunan, yakni bahasa yang dikatakan perlu atau yang mesti digunakan dalam bidang pembangunan ekonomi, perusahaan dan teknologi negara, malah mutahir ini juga dalam bidang pengajian tinggi. Apakah ini dasar kerajaan atau kehendak golongan elit dunia korporat/ sector swasta yang semakin kuat kuasanya untuk mempengaruhi dasar pembangunan kerajaan, kita belum tahu dengan pasti lagi. Gerakan rakyat untuk mempengaruhi dasar dan keputusan kerajaan kelihatan semakin lemah.

Soal taraf bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa seringkali dibesar – besarkan seolah – olah orang lain tidak mengetahui akan hakikat ini. Tetapi taraf antaranbangsa bahasa Inggeris ini tidak bererti bahasa itu mesti dijadikan bahasa pembangunan di dalam negeri kita. Ini lqain daripada sola penting atau tidak pentingnya kita mempelajari bahasa Inggeris itu. Soalnya apakah tujuannya. Hal ini mesti jelas, kalau tidak dasar bahasa Mlayu akan mengalami krisis seperti yang dihadapi dikebanyakan bekas jajahan Barat yang tidak maju. Kadang – kadang daripada kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin Melayu, nampak seolah – olah kita mahu bahasa Inggeris itu diketahui dengan fasih oleh semua rakyat Malaysia, atu seolah – olah kita mahu bahasa itu menjadi alat kemajua bangsa kita di dalam negeri sendiri. Kita risau tentang kelemahan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita, tetapi tidak risau melihat penggunaan bahasa Melayu di dalam sektor pembangunan ekonomi negara semakin lama semakin meminggir. Surat dalam bahasa Inggeris masih dikirimkan kepada orang Melayu di kampung yang tidak memahami bahasa itu. Hal ini pernah didedahkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Bahasa Inggeris penting, bukan untuk seluruh penduduk Malaysia, tetapi untuk segolongan manusia yang memerlukan bahasa itu untuk menjalankan tugas tertentu, utnuk membolehkan mereka menghubungkan dunia luar, mengambil bahagian dalam perdagangan luar negeri dan forum antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa rasminya, untuk memindahkan (bukan hanya mengimport) apa – apa ilmu, maklumat, dan teknologi yang dianggap sesuai ke dalam bahasa kita, tetapi tidak logik yang dianggap sesuai ke dalam bahasa kita, tetapi tidak untuk dijadikan bahasa pembangunan di dalam negeri sendiri. Pengalaman di beberapa banyak negara maju yang tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem dan proses pembangunan di dalam negara masing – masing dapat kita contohi.

Di Perancis misalnya, orang belajar bahasa Inggeris atau bahasa – bahasa lain bukan untuk menggunakan bahasa itu sebagai alat pembangunan di dalam negeri Perancis, untuk mengarang buku dalam bahasa itu, untuk memberi kuliah dalam bahasa itu, untuk berbual – bual sesama bangsa sendiri dalam bahasa itu, tetapi semata – mata untuk menghubungi dunia luar yang tidak menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa utamanya, untuk mempelajari ilmu yang mungkin tidak terdapat dalam bahasa Perancis. Itu sahaja tujuannya. di dalam negeri sendiri segala pengalaman, ilmu, maklumat dan teknologi yang diperoleh dari luar itu dimanfaatkan atau disebarkan melalui bahasa Perancis. Jepun juga berbuat demikian. Jepun maju bukan kerana kehandalan beberapa orang Jepun menggunakan bahasa asing tetapi kerana keupayaan bangsa Jepun melalui bahasa Jepun, budaya dan nilai bangsa sendiri untuk memajukan negara mereka. Ilmu yang mereka peroleh dari dunia luar dipindahkan dan disebarkan kepada pengguna Jepun melalui bahasa Jepun, atau bahasa Perancis , ataupun bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu, tidak terdapat nampak perbezaan untuk mengatakan bahawa bahasa – bahasa lain itu “lebih maju”daripada bahasa Melayu. Yang maju ialah bangsa Jepun, bangsa Perancis atau bangsa Inggeris; bahasanya mengikut kemajuan bangsa itu, seperti kata Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Kedudukan Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan

Menurut Jeniri Amir ( 1999), keghairahan beberapa institusi pengajian tinggi awam di Malaysia untuk mengajar semua kursus di universiti dalam bahasa Inggeris, menunjukkan bahawa orang Melayu mempunyai kuasa untuk membuat keputusan yang boleh menentukan nasib bangsanya pada masa depan. Nampaknya orang Melayu tidak menyedari bahawa kebanyakan tindakan mereka sebenarnya boleh memmusnahkan tamadun bangsa mereka. Salah satu kaedah paling berkesan untuk menyekat kemajuan sesuatu bangsa adlah dengan mencegah bangsa itu menggunakan bahasa mer3eka untuk berfikir dan mengembangkannya. Selepas kemerdekaan Malaysia, apabila peranan bahasa Melayu sebagai alat kemajuan bangsa Melayu dikembalikan semula melalui dasar pendidikan yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan begara, barulah ribuan pelajar terdidik dalam Bahasa Melayu memperoleh kemajuan yang tinggi dalam pelbagai bidang ilmu dan profesion. Segala ilmu yang diperoleh oleh mereka melalui Bahasa Melayu tentu sama nilainya dengan ilmu yang diperolh melalui bahasa Inggeris.

Dasar itu dikatakan tidak berubah. Bahasa Melayu tetap bahasa rasmi pentadbiran negara. Hal ini merupakan dasar yang termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967/68, dan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan. Dasar penggunaan bahasa kebangsaan dalam sitem pendidikan, kalau meurut undang – undang atau Akta Pendidikan yang ada selama ini juga tidak berubah. Akta Pendidikan yang terbaharu, iaitu Pendidikan 1996, yang menggantikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan (dari sekolah rendah hingga ke tahap universiti), ialah Bahasa Melayu. Dasar ini dikenakan juga terhadap institusi pengajian tinggi swasta. Kalau itulah dasarnya – selagi tidak diubah oleh Parlimen – mengapakah baru – baru ini seorang naib canselor salah sebuah universiti Malaysia seolah – olah mempunyai kuasa untuk mengubah dasar itu, lalu mengumumkan kepada rakyat bahawa universitinya akan mengajarkan semua kursus dalam bahasa Inggeris? Nampaknya, beliau membuat pengecualian lebih banyak daripada dasar yang pokok.

Begitu juga dengan keputusan mewajibkan semua kursus sains dan matematik, dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi, diajarkan dalam bahasa Inggeris, tidak lagi dalam bahasa Melayu. Tidakkah keputusan ini juga melanggarkan akta atau dasar yang ada? Orang Melayu suka berkata bahawa pelajar Melayu yang tidak menguasai bahasa Inggeris akan terpinggir dalam arus kemajuan pada zaman globalisasi – zaman yang mementingkan teknologi dan kemajuan ekonomi. Pelajar yang tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, dianggap sukar untuk mendapat pekerjaan di negara berbahasa Inggeris, seperti di Australia , bolehlah diterima, tetapi di negara sendiri, negara yang berbahasa rasminya ialah bahasa Melayu, alasan itu tentulah pelik.

Hegemoni Bahasa Melayu
Dalam tempoh lebih kurang tiga dasarwarsa bahasa Melayu berkembang dengan amat cepat di Malaysia, daripada bahasa politik untuk menunjangi kekuatan dalam perjuangan antikolonialisme, dan sebagai pernyataan dan tekad bangsa Melayu untuk hidup sebagai bangsa yang merdeka, kepada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang begitu berjaya untuk menampung dan mengungkap segala berkaitan kehidupan. Bahasa Melayu berjaya mencapai serti yang dinikmatinya kini kerana beberapa faktor.

Pertama
Faktor sosiopolitik yang memungkinkan pembangunan dalam semua bidang,termasuk perancangan dan perlaksanaan bahasa rasmi.

Kedua
Azam dan tekad politik serta budaya bahasa yang dilaksanakan melalui pelbagai dasar dan strategi.
ketiga
Sokongan masyarakat umum terhadap aktiviti kebahasaan lagipun sistem plolitik, ekonomi, sosial, dan dimensi penggunaan bahasa Melayu selama ini telah memberi dampak terhadap wibawa bahasa itu.
Kini bahasa itu sedang berhadapan dengan tandingan yang paling hebat. Kedudukannya tercabar sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi, dan bahasa kebangsaan. Hal ini demikian kerana utnuk menjamin kehebatan Malaysia dalam bidang ekonomi dan diplomasi antarabangsa, kerajaan menekankan kepentingan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris begitu dominan dan menjadi wahana hegemoni dan berwibawa. meskipun penjajahan sudah berlalu, pensejagatan dan imperialisme bahasa Inggeris semakin mencegkam akar budaya dan minda bangsa. Seakan – akan bahasa Melayu tidak akan mampu mengambil tempat bahasa Inggeris hingga pemakai bahasa Melayu kini berasa seolah – olah tidak berguna mempelajarai bahasa itu. Bahasa Melayu pula dianggap tidak intelek, tidak sempurna, kerana korpus ilmunya terbatas, tidak bersifat antarabangsa, tidak standard dan berprestij, dan hanya sesuai digunakan dirantau ini meskipun penuturnya melebihi 250 juta ornag. Bahasa itu dikatakan tidak berdaulat lagi sebgaai wahana komunikasi pelbagai bidang, khususnya teknologi maklumat. Bahasa itu dikatakan tidak sempurna sebagai bahasa utama dalam industri maklumat kerana bukan bahasa komunikasi global.

Kita telah menyaksikan kejayaan dasar pendidikan negara dan dasar kebangsaan apabila lulusan universiti dan sistem pendidikan kita dapat menggunakan bahasa itu dengan fasih. Memang menggerunkan apabila sebagai ekoran langkah pengguanna bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, pelbagai pihak yang masih belum mantap keyakinan mereka terhadap keupayaan bahasa Melayu mengambil langkah yang melampau hasrat kerajaan dan menjadikannya sebagai lessen untuk memperluas dan meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris. Malah sudah terserlah sekarang keinginan sesetengah universiti awam untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya bermula tahun 2005. sebelum ini sudah pun terdengar cadangan agar bahasa Melayu digantikan oleh bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sistem pendidikan. Yang mengejutkan juga, ada senator yang mencadangkan agar bahasa Inggeris turut dibenarkan di Dewan Negara bagi memberi peluang kepada senator untuk menggunakan bahasa itu. Jika hal ini tidak kelihatan berlebihan, seorang anggota Dewan Negara menganjurkan agar penguasaan bahasa Inggeris diperluas di tengah – tengah orang kampung agar dapat ilmu daripada internet ( New Straits Times, 8 Disember 2000). Golongan ini menganggap bahawa bahasa Melayu tidak akan mungkin dapat menjadi wahan untuk membina kehidupan nasional dan negara yang moden dan maju. Krisis keyakinan dalam kalangan golongan elit politik, termasuklah pemimpin birokrasi Melayu sendiri, memberikan kesan psikologi dan budaya yang parah, termasuklah mengakibatkan kendurnya kepercayaan dan semangat perjuangan rakyat untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu. Dikhuatiri, gejala yang berlaku di Amerika Selatan, di Quechua, dan di Aymara akan menimpa penggunaan bahasa Melayu

Menurut Amiruddin Mohd. Akhir (1993),sebenarnya, kenyataan golongan definitive, yang menenkankan pentingnya bahasa Inggeris bagi menguasai ilmu dan maklumat serta perhubungan antarabangsa, sedikit banyak menjejaskan keyakinan dan peranan bahasa Melayu yang dibina dengan bersungguh – sungguh selama ini. Nilai ekonomi bahasa Melayu merosot, malah pengantar yang digunakan, seolah – olah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kurang berkualiti berbanding bahasa Inggeris. Walhal pelajar bukan Melayu membuktikan bahawa dasar penggunaan bahasa itu tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk mencapai kejayaan sehingga seorang pelajar Cina memperoleh 16A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2002. dari tahun 1990 hingga 1995, universiti awam yakin menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama berjaya mengeluarkan 35 ribu orang siswazah dalam bidang sains dan teknologi, 55 peratus daripada mereka Bumiputera dan 45 peratus bukan Bumiputera.

Keadaan ini akan memberi kesan yang mendalam dari segi pengambilan pekerja terutama dalam sector swasta, lebih – lebih lagi ada pihak yang menyatakan bahawa faktor utama menyebabkan hampir – hampir 30 ribu orang siswazah menganggur kerana kelemahan mereka dalam bahasa Inggeris, walhal banyak lagi faktor lain yang menyebabkan berlakunya pengangguran, termasuklah penguasaan dalam pemilikan ekonomi oleh kaum tertentu. Langkah ini ini turut memberi kesan terhadap usaha pensyarah universiti awam dalam penulisan buku. Mereka menjadi keliru kerana pengurusan universiti menyarankan agar ditingkatkan penerbitan buku dalam bahasa Inggeris dan hasil penyelidikan dibuat dalam bahasa Inggeris. Kesan terhadap penerbitan buku dalam bahasa Melayu akan dapat dilihat dalam tempoh lima tahun yang akan dating. Kini jumlah buku ynag diterbitkan dalam bahasa Melayu hanya sekitar 6000 tajuk setahun.

Hal ini sekaligus meminggirkan bahasa Melayu daripada kedudukannya, dan akhirnya menggagalkan peranannya sebagai alat pembentukan kebudayaan kebangsaan yang diperjuangkan untuk sekian lama. Malah langkah membiarkan bahasa Inggeris mengambil tempat utama sebagai bahasa perdagangan, bahasa pendidikan, bahasa cita – cita merealisasikan Wawasan 2020. transformasi social rakyat Malaysia tidak mungkin berlaku sekiranya peranan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan pelajar dan masyarakat pelbagai kaum. Sistem pendidikan dalam bahasa itu berjaya melahirkan jutaa lulusan universiti. Namun begitu, krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu menyebabkan anak bangsa kita dikatakan tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kejayaan dalam mata pelajaran tersebut jika bahsa Melayu digunakan. Walhal, Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah berjaya mencapai matlamatnya, iaitu menyatupadukan pelajar pelbagai kaum, sekali gus melahirkan rupa bangsa yang diiingini. Denganmenggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sistem pendidikan, semakin banyak rakyat dpat menguasai bahasa itu, terutama generasi muda.

Menurut Ahmad Kamal Abdullah (1991), dikatakan lebih daripada pengantar sistem pendidikan, semakin banyak rakyat Malaysia dapat menguasai bahasa itu, terutamanya generasi muda. Malah, dikatakan lebih daripada 80 peratus rakyat telah menguasainya. Bahasa Melayu menjadi alat perpaduan dan meruntuhkan pelbagai tembok penghalang perpaduan, hingga orang dalam lingkungan geogr4afi, etnik, profesion, dan strata social yang berlainan dapat berkomunikasi dengan perantaraan bahasa Melayu. Kejayaan dasar tersebut penting dalam meletakkan asas kestabilan politik, social, dan ekonomi dalam kalangan rakyat berbilang keturunan. Kestabilan dalam semua sektor itu merupakan harga yang tidak dapat dinilai dari sudut kesejahteraan negara pada keseluruhannya. Justeru langkah itu merupakan ironi ketika jutaan pelajar berjaya dilahirkan melalui sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu.

Menurut Kassim Ahmad (2000), kita perlu menyedari hakikat bahawa keperkasaan budaya dan bangsa kita dapat dibina melalui bahasa Melayu untuk sesuatu bangsa akan maju seiring dengan kemajuan bahasanya. Keupayaan dan ketahanan bangsa, dari segi intelektual, reka cipta, dan budaya, tentu digerakkan oleh golongan cendekiawan yang mengungkap diri dalam bahasa pribumi. Tentu amat berbahaya apabila bahasa ibunda ibunda atau bahasa kebangsaan dilihat penggunanya sebagai bahasa kemuduran atau sebagai penghalang kejuan dan peningkatan status social mereka. Peluang harus diberi seluas-luasnya agar bahasa Melayu tidak dipinggirkan. Menurut Jadidah Ibrahim (2000), yang memburukkan keadaan ialah apabila bahsa pribumi tidak digunakan dalam ranah rasmi, seperti sektor awam, perbankan, media, dan institusi pengajian tinggi. Sebagai akibatnya, bahasa berkenaan terpinggir dariapda bidang serius dalam kehidupan. Kewujudannya, kata crystal, mungkin masih terasa dalam sesetengah domain, seperti seni, hiburan popular, dan sastera tidak tinggi statusnya. Kreativiti dan kebijaksanaan golongan cendekiawan mengungkap ilmu dan pengalaman dalam bahasa Melayu akan menentukan kejayaan bangsa Malaysia pada masa depan.

Namun begitu, golongan ini gagal menuanikan tanggungjawab mereka. Golongan intelektual yang mahir dalam bahasa Inggeris dan tidak kreatif atau komunikatif dalam bahasa Melayu menyebabkan kita tidak dapat menggantungkan harapan pada mereka untuk membina tradisi intelektual, dengan menghasilkan buku dalam bidang kepakaran mereka dalam bahasa Melayu. Pada waktu yang sama golongan ini tidak pula produktif menghasilkan buku dalam bahasa Inggeris. Mereka gagal mengetengahkan fikiran dan sumbangan yang bererti teerhadap masyarakat. Golongan ini sering memberi alasan tentang ketidakupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Tanpa satu bahasa yang dapat difahami dan dikuasai oleh seluruh rakyat sebagai alat pemersatuan dan pengikat jiwa rakyat kerana tidak menggunakan bahasa pribumi dan bahasa itu tidak digunakan sebagai alat komunikasi umum untuk menyampaikan maklumat,negara tidak dapat mencapai kemajuan, sebagaimana yang dialami oleh India dan Amerika oleh sebab rakyat di luar Bandar dan terpinggir serta tersisih di pedalaman, sebagai akibat tidak memahami bahasa bekas jajahan yang digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang dasar pembangunan negara.

Malaysia masih dalam perjalanan jauh dan berliku kearah pembentukan jati diri dan keperibadian sebagai negara bangsa. Sebagai masyarakat multietnik, masyarakat kita terbahagi mengikut ideologi, kepercayaan, agama, bahasa, dan social seumpamanya. Dalam keadaan demikian, hanya Bahasa Melayu yang akan dapat menjadi alat untuk menyatukan pelbagai kaum di negara ini. Penekanan yang melampau terhadap bahasa Inggeris akan menyebabkan kita tergelincir daripada landasan perjuangan pemimpin terdahulu. Hal ini sudah begitu ketara, terutamanya di bandar.


kesimpulan
Bahasa sebagai tunjang penting kebudayaan dan tamadun bangsa sekali gus memperlihatkan tahap kemajuan kita. Bahasa Melayu merupakan wahana komunikasi yang mutlak dan paling berkesan bagi rakyat Malaysia. Hanya melalui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita dapat menggambarkan diri kita sebagai bangsa Malaysia secara utuh. Kalau tidak, kita bagai bangsa yang tidak mempunyai wajah. Maka, kita perlu meningkatkan iltizam dan daya usaha untuk memastikan agar bahasa Melayu mengambil pentas utama hingga menjadi meta naratif dalam pembangunan negara.
Jika kita membiarkan bahasa kita ditelan oleh bahasa asing, kita yang membunuhnya. Kitalah yang bertanggungjawab untuk menyuburkan, memperkasakan, dan memperluaskan penggunaannya.

Kita perlu menjaga supaya kita tidak kembali ke hierarki bahasa pada zaman colonial apabila bahasa daerah menjadi bahasa yang paling rendah dan hanya berada di pinggiran, iaitu sebagai bahasa pergaulan antara keluarga dan antara sahabat, bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang lebih luas di tingkat kedua,dan bahasa Inggeris sebagai bahasa elit dan bahasa ilmu pengetahuan moden atau sebagai bahasa untuk masuk ke dalam golongan elit Bumiputera. Dalam pembangunan negara, adalah dikhuatiri bahawa lama kelamaan bahasa inggeris kembali menjadi bahasa penjajah di negara ini. Antara lainnya, bahasa penjajah bererti bahasa yang dipupuk sebagai alat bagi menyekat peluang orang lain untuk maju dalam bahasanya sendiriwalaupun orang menentang bahasa Inggeris, perkara yang ditentanya bukan bahasa itu tetapi peranan atau fungsinya sebagai bahasa penjajah. Hal inilah yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

Kerajaan hendaklah memastikan bahawa pengajaran bahasa Melayu hendaklah diperbaiki supaya semua pelajar, terutamanya pelajar Melayu di sekolah luar Bandar, dapat menguasai bahasa ini dengan baik dalam atempoh 11 tahun( dari sekolah rendah hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Kalaysia). Hal inilah masalah yang dihadapi pelajar Melayu yang harus diselesaikan secara bersungguh – sungguh. Masalah ini harus diberikan perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab memajukan pendidikan anak – anak Melayu dalam arus pembangunan negara. Bagi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia(PLM), Dr. Awang Sariyan, bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang lagi gemilang serta tonggak tamadun umat. Menurutnya, kini bahasa Melayu sedang mengulangi sejarahnya. “ Tiada kesangsian bahawa Bahasa Melayu telah memasuki era moden. Adalah penting kita tanyakan kini bukan kemampuan bahasa Melayu, tetapi kemahuan setiap ornag daripada kita sebagai pendukungnya untuk mengungkapkan fikiran dan perasaan dalam bahasa Melayu yang berwibawa”

Sehubungan itu, bangsa Melayu, terutamanya ahli politik, cendekiawan dan tokoh korporat perlu menerajui usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan didukung oleh rakyat Malaysia lain. Mereka harus memperkasakan bahasa Melayu untuk menjadikannya bahasa antarabangsa yang dihormati dan disegani. Rasa cinta terhadap bahasa Melayu perlu ditanam dalam jiwa setiap anggota masyarakat sepanjang masa dan bukannya bermusim. Pemimpin juga perlu menunjukkan teladan betul kepad usaha memperteguhkan bahasa kebangsaan dalam arus pembangunan negara. Pemimpin perlu menggunakan bahasa ynag betul dan tidak merojakkan bahasa di majlis rasmi sehingga menjadi ikutan masyarakat. Pihak media harus “memulaukan” pemimpin yang tidak menghormati bahasa Melayu. Selain itu, semua pihak perlu membantu Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan untuk pembangunan negara. Sektor swasta juga perlu bekerjasama dalam hal penggunaan bahasa Melayu yang betul dan berkesan. Jabatan dan agensi kerajaan seperti pihak berkuasa perlu memastikan bahawa bahasa Melayu diutamakan di papan tanda dan iklan. Dan tidak mencampur adukan bahasa tersebut. Kerajaan perlu menggerakan pemberian kuasa kepada DBP bagi membolehkannya mengenakan tindakan terhadap pihak yang tidak mematuhi Akta Bahasa Kebangsaan 1963. mereka yang tidak menghormati bahasa Melayu wajar dianggap sebagai penjenayah bahasa.

Bagaimanapun, kalaupun sesetengah orang menganggap bahasa Inggeris masih perlu digunakan dalam sektor ekonomi dan perusahaan negara(dengan alasan menarik pelabur asing!), namun begitu bahasa Melayu tetap menjadi tunjang dalam pembangunan negara dekad ini. Dasar dwibahasa lebih baik daripada kita mengenepikan langsung bahasa Melayu dalam sector itu. Kemajuan bahasa Melayu bergantung pada perluasan penggunaannya. Ketidakmampuan orang menggunakan bahasa Melayu dalam bidang – bidang tinggi jangan dijadikan alasan untuk menyekat penggunaan bahasa ini dalam semua sector pembangunan negara.






Oleh Abdullah Hassan
Pengenalan
Tidak pernah ada bangsa yang membina tamadunnya tanpa kepustakaan. Tidak pernah juga ada bangsa yang membina tamadunnya atas kepustakaan dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil membina tamadun bangsanya atas kepustakaan dalam bahasanya sendiri. Negara kecil yang maju seperti Belanda, Finland, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Luxemberg, Switzerland dan Austria mempunyai kepustakaan masing-masing dalam bahasa sendiri.
Dalam sejarah pembinaan tamadun manusia, ada banyak peristiwa seperti ini. Cerita Jepun dan Korea membina tamadunnya melalui bahasanya sendiri sudah lumrah. Oleh itu marilah kita memandang ke Eropah dan melihat bagaimana negara-negara Eropah membangun. Kita jadikan Eropah itu model. Pertama, kita akan melihat bagaimana seorang ahli matematik dan falsafah Jerman membangunkan bahasa Jerman demi membina tamadun bangsanya. Kedua, kita akan belajar daripada pemimpin dan sarjana Islam bagaimana mereka membina kepustakaan dalam bahasa Arab untuk membangunakan tamadun Islam. Daripada peristiwa-peristiwa ini kita melihat apakah kaedah yang dapat kita contohi; iaitu menyampaikan ilmu dan membina kepustakaan ilmu daaalam bahasa sendiri hendaklah dilakukan serentak.
Andaian tanpa bukti
Ada andaian yang mengatakan, oleh sebab bahasa bekas penjajah kita, Inggeris itu maju, maka kita boleh turut maju dengan meminjam bahasa bekas penjajah tersebut. Bukti sejarah membuktikan sebaliknya. India telah menggunakan bahasa Inggeris selama 300 tahun, dan Filipina selama 60 tahun. Begitu jugalah beberapa negara Afrika seperti Nigeria, Ghana, Kenya, Uganda. Bahasa Portugis dan Sepanyol pula dipinjam oleh negara-negara Amerika Latin. Negara-negara ini masih terus menguji. Tidak usahkan maju, ada sesetanaghnya yang melepasi paras kemiskinan pun belum mampu.
Bahasa-bahasa penjajah ini tidak dapat dipelajari oleh semua rakyat, oleh itu ia akan mengepung ilmu sebagaimana bahasa Latin mengepung ilmu. Ilmu yang terkepung tidak memajukan rakyat. Hanya negara-negara yang menggunakan bahasanya sendiri dapat meruntuhkan kepungan ini dan mencetuskan wabak ilmu. Rakyat yang berilmu itu kemudiannya mengembangkan ekonomi negaranya.
Di samping ilmu, ada satu lagi unsur penting dalam membangunkan eknomi, seterusnya tamadun sesuatu bangsa, iaitu kreativiti. Ada kaitan rapat kreativiti dengan bahasa yang kita gunakan menyampaikan ilmu itu. Ringkasnya, apabila bahasa pengantar yang kita gunakan ialah bahasa kita sendiri, benak kita akan bebas berfikir dan mencetusan idea kreatif. Tetapi, apabila kita menggunakan bahasa pinjaman, benak kita akan tertawan dalam budaya bahasa tersebut, dan akibatnya kita akan menjadi pengguna produk-produk budaya tersebut. Malah Ibn Khaldun pernah berkata:
"Bangsa yang dikalahkan lazimnya akan meniru pakaian, simbol-simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang mengalahkan mereka. Tingkah laku ini disebabkan sifat manusia yang lazimnya menyangka bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah bangsa yang sempurna. Tingkah laku itu mungkin berpunca daripada rasa kagum terhadap bangsa yang menakluki mereka, sehingga mereka menganggap bangsa penakluk itu adalah bangsa yang sempurna, ataupun disebabkan bangsa yang kalah itu tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor biasa sahaja. Akibatnya mereka percaya mereka kalah akibat keagungan bangsa yang menakluki mereka. Apabila sangkaan ini berpanjangan, maka sangkaan itu bertukar menjadi keyakinan, sehingga akibatnya keyakinan itu mendorong mereka mengubah semua ciri-ciri asli mereka. Bangsa yang kalah mungkin meniru-niru secara tidak disedari, ataupun mereka menyangka mereka kalah disebabkan kelemahan-kelemahan budaya dan kepercayaan mereka sendiri, padahal tidak. Sebenarnya bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah lebih kuat dan lebih bersatu padu. Akibatnya, timbullah keyakinan lain bahawa dengan meniru-niru bangsa penakluk itu, maka akan terhapuslah punca-punca kekalahan mereka." Ibnu Khaldun (1332-1406), Muqaddimah, Bab 2, bahagian 22.
Model Eropah: Bahasa Jerman Membina Tamadun Jerman
Pada abad ke-17 negara-negara Perancis, Itali dan Inggeris telah mula menjadi negara maju apabila industrinya berkembang. Tetapi, negara Jerman masih mundur. Pemimpin-pemimpin Jerman hairan kenapa ini boleh berlaku. Pada hal ilmuwan Jerman ramai. Orang-orang Jerman rajin bekerja. Di samping itu pula, negara Jerman mempunyai lebih banyak sumber alam berbanding dengan negara-negara lain. Malah, Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin sebagai bahasa pengantar sekolah dan universiti. Bahasa Perancis dan Latin adalah bahasa ilmu ketika itu. Bahasa Perancis juga menjadi bahasa perdagangan dan komunikasi antarabangsa. Oleh sebab itu apakah yang tidak kena pada negara Jerman.
Perjuangan Leibniz
Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716), seorang sarjana matematik dan falsafah Jerman mencuba mencari jawapannya. Bahkan dia sendiri terdidik dalam bahasa Latin dan Perancis. Tetapi, dia sendiri tidak berupaya memandaikan bangsanya yang berbahasa Jerman. Leibniz menyedari bahawa ini timbul daripada amalan Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin mengajarkan ilmu pengetahuan di sekolah dan universiti, dan bahasa Perancis dalam komunikasi perdagangan dan di kalangan atasan. Bahasa Jerman dianggap rendah dan tidak mampu mengungkapkan ilmu dan tidak layak digunakan sebagai bahasa perdagangan. Ini menyebabkan wujud situasi di mana golongan atasan dan intelektual berbahasa Perancis dan Latin, manakala rakyatnya berbahasa Jerman.
Leibniz menyedari bahawa bahasa Perancis dan Latin yang digunakan menjadi tembok pemisah antara dua golongan rakyat Jerman. Golongan atasan dan intelektual menggunakan bahasa Perancis dan Latin, dan ilmu pengetahuan dalam segala bidang ditulis dan disebarkan melalui bahasa Perancis dan Latin saja. Rakyat biasa yang hanya memahami bahasa Jerman tidak memahaminya. Antara ilmu dan rakyat wujud tembok bahasa. Leibniz juga menyedari bahawa, apabila bahasa sendiri diketepikan dan bahasa asing didewakan, rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada diri sendiri dan pemikirannya pun terjejas. Dan bangsa yang tidak percaya kepada diri sendiri tidak akan maju. Leibniz mengatakan bangsa Jerman hilang kepercayaan kepada bahasa Jerman. Mereka sibuk mengatakan hanya bahasa Perancis itulah yang mengandungi ilmu, bahasa antarabangsa, bahasa yang boleh membawa kemajuan. Akibatnya mereka mengabaikan bahasanya sendiri. Dalam pada itupun, Leibniz melihat bahawa orang Perancis sendiri tidak menerima mereka sebagai nukleus kepada masyarakat Perancis itu.
Tentangan Golongan Atasan Jerman
Tetapi, golongan atasan dan golongan intelek Jerman menganggap bahawa bahasa Jerman itu adalah bahasa kampung. Pada mereka bahasa Perancis adalah segala-galanya. Bahasa Perancis itu bahasa dunia, bahasa intelektual, bahasa diplomat, bahasa perniagaan, bahasa kesusasteraan dan kebudayaan, sedangkan bahasa Jerman adalah bahasa yang rendah, tidak dikenal orang luar, tidak intelektual dan tidak dapat digunakan untuk bersaing dengan dunia luar. Mereka tidak percaya bahawa bahasa Jerman mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perdagangan dan pentadbiran menggantikan bahasa Perancis.
Para intelektual Jerman mengatakan bahawa perpustakaan hanya berisi buku-buku dan jurnal-jurnal dalam bahasa Perancis dan Latin. Bahasa Jerman tidak mempunyai istilah-istilah yang cukup dan tatabahasanya pun tidak ada. Oleh sebab itulah maka, pemikiran orang yang menuturkannya cetek. Jerman akan hanya dapat maju dan mampu bersaing dengan negara-negara dan bangsa-bangsa lain melalui bahasa Perancis. Orang Jerman harus mampu hadir dan membentangkan kertas kerja dalam bahasa Perancis dalam seminar-seminar antarabangsa. Pelajar-pelajar Jerman tidak akan diterima melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di Paris dan negara maju lainnya kalau mereka menggunakan bahasa Perancis.
Pada masa ini, 300 tahun selepas para intelektual Jerman menyatakan kesangsiannya terhadap bahasa Jerman, kita akan masih terdengar kesangsian yang sama dilemparkan terhadap bahasa Melayu oleh sesetengah golongan atasan dan intelektual Malaysia. Kita mendengar ungkapan, segala ilmu dan maklumat ada dalam buku dan jurnal bahasa Inggeris. Kita bimbang pelajar kita tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris, sarjana kita tidak dapat membentangkan kertas kerja di dalam seminar antarabangsa, pelajar tidak dapat masuk ke universiti bahasa Inggeris, Kita boleh belajar daripada pengalaman Jerman.
Secara tersirat pula, sebenarnya mereka bimbang akan hilang segala kemudahan dan kemewahan yang dinikmati oleh mereka seperti gaji besar, hidup mewah kalangan golongan atasan dan intelektual jika bahasa Jerman ditingkatkan dan digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti. Ini akan berlaku apabila rakyat jelata mendapat pendidikan dan mampu maju. Kedudukan mereka akan tercabar.
Strategi Leibniz
Oleh sebab itu Leibniz menggunakan strategi sendiri untuk meyakinkan mereka supaya menerima bahasa Jerman. Leibniz terus mengkaji kedudukan dan peranan bahasa-bahasa nasional di beberapa negara, termasuk Cina, dan membandingkannya dengan kedudukan dan peranan bahasa Jerman. Dia mendapati kemajuan ekonomi dan ilmu pengetahuan negara Cina berkembang pesat dengan menggunakan bahasa dan tulisan sendiri. Dia melihat Perancis dan Itali menjadi negara maju kerana kedua-dua negara itu telah meninggalkan bahasa Latin dan Yunani dan menggunakan bahasa peribumi sendiri. Bangsa Inggeris juga telah mula memajukan dan menggunakan bahasa Inggeris di sekolah dan universiti menggantikan bahasa Perancis.
Dia berusaha lagi meyakinkan golongan atasan dan intelek bahawa dengan mengatakan apabila mereka menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pentadbiran negara, maka mereka akan semakin beruntung. Ini adalah kerana lebih ramai rakyat yang mendapat pendidikan, maka lebih berilmulah bangsa Jerman itu, dan lebih majulah negara mereka, dan lebih makmurlah kehidupan mereka semua. Oleh sebab itu, Leibniz mengusulkan kepada kerajaan Jerman supaya:
1. membakukan bahasa Jerman dengan menyusun tatabahasa dan istilahnya,
2. menyebarkan bahasa Jerman kepada seluruh rakyat Jerman,
3. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti,
4. menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pentadbiran negara,
5. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa perniagaan, dan
6. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa komunikasi umum dalam semua bidang dan peringkat.
Perjuangannya disokong oleh orang-orang Jerman yang percaya kepada perjuangannya. Pada sekitar 1750-an terbitlah sebuah tatabahasa Jerman ditulis oleh Johan Christoph Gottsched, dengan judul Dasar-Dasar Tatabahasa Bahasa Jerman. Sambutan rakyat dan golongan intelektual terhadap buku tatabahasa ini luar biasa. Gottsched mengatakan bahawa sambutan hangat rakyat Jerman terhadap tatabahasa itu menunjukkan patriotisme rakyat Jerman terhadap bahasanya. Tatabahasa Jerman ini membuktikan kepada semua bahawa bahasa Jerman adalah bahasa yang teratur yang sama mampu dengan bahasa-bahasa mana pun di Eropah.
Bermula dari tarikh itu bahasa Jerman terus membangun dan digunakan dalam bidang-bidang yang diusulkan oleh Leibniz. Itulah saat yang merupakan permulaan kebangkitan Jerman sebagai salah satu negara maju di dunia. Leibniz meninggal pada tahun 1716 dan tidak menyaksikan hasil perjuangannya. Tetapi wawasannya telah memupuk jalan yang meletakkan bahasa Jerman sebagai bahasa utama yang memainkan peranannya sebagai bahasa pendidikan, pentadbiran dan perhubungan dalam semua bidang termasuk perniagaan, di kalangan rakyat Jerman.
Kita dapat belajar daripada peristiwa ini, perjuangan seorang tokoh pun boleh membawa perubahan kepada negara.
Model Empayar Islam: Bahasa Arab Membina Tamadun Islam
Semasa Islam menakluki wilayah Afrika utara, Farsi, Siria, sebahagian daripada empayar Bezantin, dan Sepanyol, wilayah ini sudah mempunyai tradisi intelektual yang tinggi. Mereka mewarisi tradisi ini daripada sarjana Yunani. Falsafah (dan ilmu) Aristotle, Plato dan Socrates dibawa masuk ke dalam bahasa Mesir kuno (Koptik), Siria, dan Farsi. Sarjana-sarjana di Alexandria dan Siria beragama Kristian dan Yahudi, manakala yang di Farsi adalah Kristian, Majusi dan pagan. Wilayah ini mempunyai ramai sarjana falsafah, sains, kimia, perubatan, astronomi, psikologi, metafizik, logik, dan arkitektur. Apabila Islam menjadi pemerintah wilayah ini, orang-orang Arab Islam mula bertembung dengan orang-orang yang mempunyai tamadun tinggi. Pertembungan ini membawa banyak pengaruh kepada orang Arab Islam; dalam menstruktur masyarakat, dalam memerintah, dalam seni dan dalam sains dan teknologi, dan dalam kehidupan intelektual mereka.
Dalam perkembangan intelektual inilah kita melihat bagaimana pemimpin Islam membina kepustakaan Islam yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun Islam yang gemilang selama 400 tahun. Kita dapat memerhatikan ada pola yang jelas dilalui oleh orang-orang Islam dalam membina tradisi intelektual mereka. Pada peringkat awal, pemimpin dan sarjana Islam kelihatan menyerap ilmu dari tradisi Yunani Kristian ini melalui terjamahan dan adaptasi. Kemudian, selepas itu kita dapat melihat pembinaan ilmu secara kreatif dan inovatif berlaku di kalangan sarjana Islam. Dari peniru mereka menjadi pencipta. Kita dapat melihat laluan yang sama berlaku dalam budaya ilmu di negara-negara yang lebih hampir dengan kita dalam sejarah. Inilah yang diamali oleh Jerman, Inggeris, Itali, Jepun, Korea, Taiwan dan akhir-akhir ini China. Ada pengajaran yang boleh kita dapati daripada pengalaman ini. Kita dapat melihat peranan bahasa Arab sebagai bahasa pembina ilmu yang kemudiannya membina tamadun.
Kemuncak Tamadun Islam: Eropah Bergelap Semasa Lorong Baghdad Cerah
Abad ke-8 hingga ke-13 dikenali sebagai kemuncak kesarjanaan Islam dalam bahasa Arab. Kehidupan orang Islam merupakan suatu tamadun tinggi. Dalam abad ke-12 dan ke-13, Baghdad sudah berkembang sebagai bandaraya yang mempunyai sekolah, kolej, universiti, masjid dan hospital. Lampu menerangi lorong dan jalan pada waktu malam. Malah, orang-orang Kristian yang mengunjungi Kordova di Sepanyol terhairan-hairan melihat bandara yang besar dianggarkan mengandungi lebih 200,000 bangunan perumahan. Jalan-jalannya dibuat daripada batu. Air dislurkan ke rumah-rumah. Lampu mencerahi jalan pada waktu malam. Dan istana khalifahnya tersergam indah.
Dalam suasana kehidupan yang secanggih itu, terdapat aktiviti intelektual yang tinggi. Setiap bandaraya utama dalam pemerintahan Islam, menjadi pusat pembelajaran, syurga bagi penggemar buku dan ilmu, dan terdapat pasaran-pasaran besar buku-buku ilmu. Bagaimanakah pemimpin Islam berhasil menegakkan tamadun tinggi ini? Tentu sekali bukan ada satu faktor saja yang bertanggungjawab. Sistem pemerintahan yang efisien, kekuatan tentera, kestabilan kuasa politik, eksploitasi sumber ekonomi yang bijak, dan banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada pencapaian taraf kehidupan yang tinggi ini. Di samping semua faktor ini, terdapat faktor ilmu. Pemimpin Islam sangat memuliakan ilmu. Mereka membina kepustakaan dalam bahasa Arab. Sarjana Islam sangat kreatif dan inovatif dalam membawa perkembangan kepada ilmu. Pendidikan menjadi keutamaan dalam pemerintahan mereka.
Islam Pertama Mencipta Konsep Pendidikan Universal
Kepustakaan dalam bahasa Arab menjadi yang terulung dalam tempoh hampir 500 tahun, dari abad ke-8 hinga ke abad ke-13. Kita dapat melihat bagaimana tradisi intelektual ini berkembang subur dalam pemerintahan pemimpin Islam. Budaya memuliakan ilmu ini dapat kita lihat dalam dua bidang. Pertama, bagaimana masyarakat Islam, terutamanya pemimpin Islam memperlakukan ilmu. Kedua, bagaimana mereka memperlakukan ilmuwan.
Orang-orang Islam adalah bangsa pertama yang mencipta konsep pendidikan universal. Sekolah-sekolah dibina dalam satu kawasan dengan masjid. Setiap sekolah disediakan dengan perpustakaannya sendiri. Seluruh masyarakat Islam, kaya miskin, raja atau rakyat, sangat memuliakan ilmuwan. Bahkan mereka lebih memuliakan hasil kesarjanaan mereka dalam bentuk buku ilmu dan karya sastera. Pada zaman buku ditulis dengan tangan, buku sangat bernilai. Para ilmuwan dimuliakan dan pendapat mereka diminta dan dihormati.
Perpustakaan Sebagai Pusat Pendidikan Ilmu
Oleh sebab sikap mereka yang sangat memuliakan ilmu itulah maka, perpustakaan-perpustakaan besar tumbuh dengan subur di pusat pemerintahan Islam. Lazimnya perpustakaan itulah yang berkembang menjadi pusat pengajian atau kolej dan universiti. Akademi Baitul Hikmah di Baghdad itu berasal daripada sebuah perpustakaan bernama Khazanah al-Hikmah. Begitu jugalah perpustakaan di Mosul dan Basrah, kemudiannya digabungkan dengan institusi pengajian. Perpustakaan ini dibuka kepada orang ramai.
Sarjana Eropah yang menyelidiki perpustakaan Arab dalam zaman Abasiah, mengatakan pusat perpustakaan Islam dalam zaman itu terdapat di Shiraz, Kordova dan Kaherah. Perpustakaan itu mengandungi galeri besar yang dipenuhi dengan rak-rak buku, dan disediakan bilik bacaan untuk pengunjung. Di dalamnya juga terdapat bengkel untuk menyalin buku, dan dewan khas untuk perbincangan. Dalam beberapa perpustakaan lain ada pula dewan untuk menikmati muzik. Bilik dan dewannya dihias rapi, berpermaidani, tingkap dan pintunya diberi tirai supaya udara sejuk tidak masuk. Pengunjung boleh duduk bersila untuk membaca dan menulis. Di Shiraz pula buku-buku di simpan di bilik-bilik sepanjang dinding perpustakaan itu dikatalogkan menurut bidangnya.
Ada tiga jenis perpustakaan pada zaman Islam, iaitu; perpustakaan awam, separa awam dan persendirian. Perpustakaan awam dibina untuk sekolah, universiti dan masjid. Ia dibuka kepada orang ramai. Perpustakaan separa awam dibuka kepada kumpulan tertentu. Perpustakaan persendirian pula adalah kepunyaan persendirian dan digunakan secara peribadi, melainkan dibuka kepada orang awam. Ada banyak perpustakaan di dunia Islam, sebahagian daripadanya adalah seperti berikut.
1. Perpustakaan Di Iraq
Pada puncak kejayaannya, sebelum dimusnahkan oleh Hulaqu Khan, Baghdad mempuyai 36 perpustakaan. Di antaranya ialah:
a. Perpustakaan Baitul Hikmah, Baghdad, dibina oleh al-Ma’mun 318;
b. Perpustakaan Umar al-Waqidi (736-811), 120 muatan unta;
c. Darul-Ilmu, dibina oleh Ardeshir, 991;
d. Perpsutakaan Kolej Nizamiyah, dibina oleh Nizamiyah 1064;
e. Perpustakaan Sekolah Mustansiriyyah,1233;
f. Perpustakaan al-Baiqani,1033;
g. Perpustakaan Muhammad Ibnu al-Hussain, di Haditha; dan
h. Perpustakaan Ibnu al-Kami.
2. Perpustakaan Di Farsi
Farsi banyak menghasilkan sarjana Islam. Sebelum itupun, Farsi sudah terkenal dengan tradisi ilmunya. Ini tergambar daripada jumlah perpustakaan yang terdapat di negara itu. Antara yang terkenal ialah:
a. Perpustakaan Ibnu Abbad, (400 muatan unta);
b. Perpustakaan Ibnu Amid, 971, (100 muatan unta);
c. Perpustakaan Ibnu Hamdan, di Mosul, 935, mengandungi pelbagai ilmu;
d. Perpustakaan Adud al-Dawlah, 983, di Basrah, dan cawangannya di Shiraz. banyak mengandungi buku sains dan perubatan. Semasa Farsi dilanggar oleh tentera Mongol, dikatakan ada 10 lagi perpustakaan di Farsi, terletak di kawasan kolej dan masjid.

3. Perpustakaan Di Afrika Utara
Di Kaherah, terdapat beberapa buah perpustakaan besar, empat daripadanya disenaraikan di bawah:
a. Bait al-Hikmah, dibina oleh Kalifah al-Aziz, 988, mengandungi lebih 100,000 buku, (mungkin 600,000), mengenai perundangan, nahu, retorik, sejarah, biografi, astronomi, kimia;
b. Perpustakaan al-Fadhil, bukunya dimusnahkan oleh tentera Turki sekitar 1068, dan mengambil masa 100 tahun untuk mengumpulkan jumlah buku yang sama semula. Sultan Saladin menderma lagi 120,000 buku yang ditemuinya di istananya pada tahun 1171;
c. Perpustakaan Ben Fatik; dan
d. Perpustakaan al-Maarrif, mengandungi pelbagai buku ilmu.
4. Perpustakaan di Sepanyol
Kordova ialah ibu empayar Islam di barat. Ia merupakan sebuah bandaraya besar yang aktif dengan aktiviti keilmuwan. Terdapat lebih daripada 70 perpustakaan di Sepanyol dan Itali. Sarjana Eropah datang ke situ untuk menimba ilmu. Mereka juga datang untuk membeli buku, kerana Kordova mempunyai pasaran buku yang besar. Antara perpustakaan yang terkenal di Kordova ialah:
a. Perpustakaan al-Hakim, 976, mengandungi 600,000 buku;
b. Perpustakaan Abu al-Mutrif, koleksinya dijual sebanyak 40,000 dinar semasa dia meninggal pada tahun 1011,dan
c. Granada, Toledo, Marcia, Almeria, Seville, Valencia dan Cardiz di Sepanyol..
5. Perpustakaan Yahudi
Ada beberapa perpustakaan sarjana Yahudi yang memberi sumbangan besar kepada kesarjanaan Islam. Antaranya:
a. Perpustakaan Yaqub ben Yusuf ben Killis, 979, di Kaherah, digunakan oleh sarjana Islam;
b. Perpustakaan tabib Ephraim, mengandungi banyak buku perubatan;
c. Perpustakaan Afdad;
d. Perpustakaan Abraham ben Hillel, mengandungi buku karya Maimonides, Galen, Hippocrates, dan Ibnu Rush;
e. Perpustakaan tabib Leo Mosconi dari Majorea, awal abad ke-14, mempunyai koleksi buku Ibnu Sina, Ibnu Rush, dan juga karya sarjana Yunani dan Yahudi mengenai astronomi, anatomi, meteorologi, perubatan, fizik, muzik, logik, etik, dan nahu; dan
f. Perpustakaan tabib David d’Estella dari Perancis, akhir abad ke-14, mempunyai koleksi karya mengenai Aristotle, Galen, Ibnu Rush, dan Maimonides.
Skriptorium Dan Industri Perbukuan
Pada zaman kegemilangan intelektual Islam, terdapat banyak institusi yang terlibat dengan penerbitan buku-buku ilmu. Di Baghdad saja, ada lebih daripada 100 orang terlibat dalam industri penerbitan, iaitu menterjemah, menulis, menyalin, menjilid, menjual, dan membeli buku. Kordova, menjadi pasaran terbesar buku ilmu di bahagian Barat empayar Islam. Industri perbukuan berjalan dengan aktif menyokong aktiviti intelektual.
Pemimpin Islam membina skriptorium atau bengkel penulisan di setiap perpustakaan. Mereka menggajikan sarjana untuk menulis dan menyalin buku. Mereka diberi gaji lumayan, pakaian, dan tempat tinggal yang selesa. Mereka diberi kemudahan kertas, dakwat, botol dakwat, dan pena dengan percuma. Pada zaman kertas diimport dari Cina dengan harga yang tinggi, ia merupakan kemudahan yang besar, mungkin lebih mahal nilainya apabila dibandingkan dengan harga sebuah komputer pada hari ini. Tetapi, pemimpin Islam mengeluarkan belanja yang besar, sama ada dari perbendaharaan pemerintah atau kekayaan peribadi, untuk membina dan mengembangkan ilmu.
Skriptorium ini menjadi sebahagian daripada setiap perpustakaan, sama ada kepunyaan awam atau peribadi. Di perpustakaan al-Hakim terdapat bengkel perbukuan untuk menterjemah, menyalin dan menjilid buku. Di perpustakaan Yaqub terdapat orang yang ditugaskan khas untuk menyalin dan menjilid buku-buku. Begitulah juga dengan perpustakaan lain di Kordova, Toledo, Kaherah, Basrah, Damsyik, dll.
Usaha yang dijalankan di dalam skriptorium inilah yang menjadi nadi penggerak industri penerbitan buku. Walaupun tidak ada satu badan khas yang diberi tugas menjaga dan menentukan aliran perkembangan industri penerbitan buku, buku ilmu diterbitkan dengan banyaknya. Pada masa itu buku mahal harganya. Ia memerlukan penaung dan pembiaya yang kaya. Sekiranya tidak, ilmu tidak akan dapat dibukukan. Fungsi itu dipegang oleh raja, kalifah, hartawan, dan ilmuwan. Mereka membina skriptorium. Skriptorium itu menjadi syraikat penerbit. Ia menerbitkan manuskrip bertulis tangan.
Amalan ini dapat menjadi pengajaran yang dapat kita tiru dalam usaha kita membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Cuma bentuk skriptorium yang diperlukan akan berlainan bentuk dan prosesnya, tetapi fungsinya sama, iaitu menggalakkan industri penerbitan. Ia boleh mengambil bentuk lembaga atau badan yang ditugaskan untuk menjalankan fungsi ini. Produknya juga boleh berbentuk buku biasa atau dalam media lain seperti dalam bentuk elektronik.
Status Ilmuwan Dalam Negara Islam
Pada zaman kegemilangan Islam, para ilmuwan sangat dimuliakan. Mereka bukan sekadar diberi kebebasan menggunakan perpustakaan, tetapi keperluan mereka sentiasa dijaga. Dalam sesetengah hal, makan minum, peralatan menulis, wang perbelanjaan dan penginapan disediakan untuk mereka yang datang dari jauh untuk mencari ilmu.
Ibnu Abbad di Farsi, bukan sekadar membenarkan perpustakaannya yang termasyhur itu digunakan dengan bebas, tetapi setiap ilmuwan diberi 1,000 dirham dan pakaian lengkap untuk menggalakkan mereka mempelajari ilmu. Perpustakaan Ibnu Hamdan di Mosul, dibuka kepada semua pelajar, dan pelajar miskin diberi kertas. Perpustakaan Adud-al-Dawlah di Basrah dibuka kepada semua rakyat. Sarjana yang membaca dan menyalin buku diberi biasiswa. Di Isfahan, perpustakaan Khuda Bukhsh dibina oleh seorang hartawan untuk digunakan oleh pelajar. Ibnu Hibban, qadi Nishapur mewakafkan rumah dan perpustakaannya kepada majlis perbandaran kota Nishpur. Di dalam rumahnya itu disediakan tempat tinggal pelajar dari luar negara. Dia juga memberi biasiswa kepada mereka.
Yaqut al-Hamawai, seorang ahli geografi meriwayatkan dia pernah tinggal di Marv, Farsi. Semasa dia di situ dia dibenarkan menggunakan perpustakaanya secara berleluasa. Dia meminjam lebih daripada 200 buah buku pada setiap masa, tetapi tidak pernah diminta memberi cagaran walaupun nilai bukunya lebih daripada 200 dinar. Al-Maqrizi pula menceritakan, di Akademi al-Hakim, pelajar miskin diberi kertas, dakwat, botol dakwat, pena, dan biasiswa. Malah al-Hakim menyediakan peruntukan lebih dari 200 dinar untuk menyenggara perpustakaan, termasuk membeli kertas, dakwat, dan pena untuk ilmuwan dan penyalin buku. Peruntukan juga disediakan untuk membaik pulih buku-buku lusuh.
Al-Maqrizi juga membuat catatan dalam riwayatnya bahawa wanita juga diberi peluang belajar di perpustakaan-perpustakaan itu. Kalifah al-Hakim II, pula menubuhkan perpustakaan di Kordova, dan dia membekalkan semua buku yang boleh dibeli dari seluruh dunia Islam. Semua orang yang ingin belajar diterima menggunakan perpustakaan itu. Pelajar miskin diberi biasiswa oleh al-Hakim. Bahkan Kalifah al-Hakim sendiri adalah seorang sarjana, yang membaca semua buku di perpustakaannya. Demikianlah mulianya para ilmuwan di mata pemimpin Islam. Setiap sarjana diberi ganjaran lumayan. Dia tidak perlu terkial-kial mencari sara hidup untuk belajar atau mengusahakan penyalinan dan penulisan buku-buku ilmiah. Ini adalah suatu kemudahan besar pada masa itu. Perlakuan yang sangat mulia terhadap para ilmuwan itu telah membantu menyuburkan perkembangan ilmu. Sikap dan tindakan yang menyokong ini telah membantu menyuburkan pembinaan kepustakaan Islam dalam bahasa Arab.
Amalan membuka perpustakaan kepada ilmuwan sangat bertentangan dengan yang kita lakukan sekarang. Pada masa ini ilmuwan, walaupun profesor, apabila bersara diminta memulangkan semua barangan universiti termasuk kad perpustakaan. Mereka tidak lagi boleh menggunakan perpustakaan universitinya. Dalam sehari, mereka kehilangan sumber ilmunya. Mereka tidak lagi dapat menggunakan perpustakaan untuk membaca untuk mengayakan khazanah ilmunya. Pada masa dia menjadi lebih matang sebagai ilmuwan, dia tidak lagi diberi kemuliaan sebagai ilmuwan. Pendapatannya daripada pencen akan menurun menjadi sekitar seperempat daripada pendapatan asalnya. Amalan begini tidak lagi memuliakan ilmu dan ilmuwan, dan tidak menggalakkan lagi mereka menjadi produktif.
Ada amalan dalam tradisi Islam yang tidak kita amalkan sekarang. Kita boleh belajar dari amalan itu. Penulis buku ilmu, harus dapat hidup dengan usaha yang dijalankannya. Sekiranya ini tidak berlaku, pihak berwajib harus menampung segala kekurangan itu bagi menjamin usaha itu dijalankan.
Kita dapat melihat dua fasa penting dalam membina kepustakaan dan menjana ilmu secara kreatif yang berlaku dalam empayar Islam. Pertama, ilmu diterjemah dan iserap ke dalam bahasa Arab. Kedua, apabila mereka sudah menyerap ilmu aripada Yunanai dan Latin, maka timbullah fasa kreativiti mereka. Wujudlah ilmuwan Islam yang membina ilmu dalam bahasa Arab untuk orang Islam.
Fasa Pertama: Penterjemah Mengimport Ilmu
Pada peringkat awal pemerintahan Islam, perhatian terhadap ilmu tidak begitu rapi. Ada kenyataan yang dibuat oleh sarjana Eropah bahawa panglima tentera Islam seperti Amru Ibnu As dan Ibnu Waqqas memusnahkan buku-buku yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi, apabila kalifah Abasiah menggantikan Umaiyah, pemerintahan Islam berubah kepada pemimpin bukan Arab dan pusat pentadbiran berpindah ke Baghdad. Di bawah kalifah Abasiah, dengan tradisi ilmunya, perkembangan ilmu menjadi lebih pesat.
Zaman kegemilangan ilmu sains dalam Islam berlaku antara 750 M hingga 1350 M. Pada masa itu Eropah masih berada dalam zaman kegelapan, dan Eropah hanya bangun dan memulakan zaman pembaharuan antara 1400 M hingga 1600 M.
Sarjana-sarjana Islam mengizinkan ilmuwan Kristian Siria, Koptik, Nestorian, Yahudi, dan Majusi di Farsi, yang sedia wujud di daerah yang baru ditaklukinya meneruskan aktiviti intelektualnya. Mereka tidak dipaksa mengubah agama mereka. Sarjana-sarjana ini memang telah banyak menerima ilmu dari Yunani. Peranan pemimpin Islam pada masa itu ialah menggalakkan lagi aktiviti intelektual ini. Mereka turut menggiatkan aktiviti mengimport ilmu-ilmu terkini yang diciptakan oleh bangsa-bangsa lain sebelum mereka. Ini mereka lakukan melalui aktiviti terjemahan, kemudian mereka mengembangkan lagi ilmu-ilmu itu. Pada akhir pemerintahan kalifah Umaiyah, bahasa Arab telah mengandungi banyak ilmu yang mereka terjemahkan. Ini termasuklah falsafah, perubatan, matematik dan teknologi dari tradisi Yunani; matematik, perubatan dan kesusasteraan dari India; dan sains, kesusasteraan dan agama dari Farsi. Sarjana Islam juga memperkembang ilmu yang mereka import itu dengan membuat ulasan-ulasan terhadap sains dan falsafah Yunani oleh sarjana-sarjana Siria.
Ada beberapa orang kalifah Abasiah di Baghdad yang terlibat secara langsung di dalam memajukan usaha menterjemah buku ilmu dan sastera dari Yunani, Farsi dan India. Mereka berusaha supaya bahan ilmu yang diperlukan untuk penyelidikan falsafah dan sains terdapat dalam bahasa Arab untuk ilmuwan berbahasa Arab. Usaha menterjemah ini berjalan dalam dua tahap. Pada tahap pertama, usaha menterjemah hanya dijalankan secara bebas oleh sarjana Kristian, Yahudi, dan mereka yang baru memeluk Islam. Pada tahap kedua, usaha ini dijalankan secara formal dan teratur. Kalifah Jaafar al-Mansur (754-775 M), memulakan usaha ini dengan menjemput George Bakh Tishu, seorang tabib Kristian Nestorian, dari Jundi Shahpur di Farsi untuk datang ke Baghdad menjadi tabibnya. Ini diikuti oleh tabib-tabib lain. Malah anaknya juga kemudian menjadi tabib kalifah Harun al Rashid (786-809 M). Usaha menterjemah di bawah al-Mansur dan Harun al-Rashid, menjadi berlipat ganda di bawah kalifah al-Makmun (813-833 M).
Di Jundi Shahpur, tradisi perubatannya adalah gabungan antara perubatan Yunani dan India. Inilah yang menjadi asas kepada pembinaan ilmu perubatan Arab Islam. Setelah adanya asas ilmu perubatan ini barulah timbul sarjana perubatan Islam. Yang pertama ialah al-Razi (923 M). Kemudian, timbul pula Ibnu Sina yang menghasilkan penyelidikan mengenai cacar dan taun. Ibnu al-Baitar membina kepakaran dalam farmaseutiks, dan Ibu Haitham dalam kajioptik.
Di bawah pemerintahan kalifah al-Makmun dan kalifah-kalifah selepasnya, usaha terjemahan dijalankan melalui sebuah akademi yang ditubuhkan di Baghdad, iaitu Baitul Hikmah. Selepas itu, aktiviti menterjemah ilmu ini berjalan lancar untuk membolehkan ilmu itu sampai kepada ilmuwan Islam berbahasa Arab.
Dalam perkembangan ilmu ini kita dapat melihat sumbangan signifikan terjemahan sebagai asas pembinaan ilmu. Setelah asas ilmu diterjemahkan, maka barulah tradisi ilmu itu berkembang dalam bahasa Arab dan menghasilkan bahan ilmu sendiri. Mula-mula mereka meniru dan menyerap ilmu dari luar, setelah itu mereka menjana ilmu sendiri secara kreatif. Proses menjana ilmu berkembang daripada budaya ilmu yang diimport.

Fasa Kedua: Sarjana Islam Menjana Ilmu Secara Kreatif
Para ilmuwan Islam menggunakan ilmu-ilmu yang diterjemahkan dari Yunani, Farsi dan India untuk tujuan-tujuan praktikal. Amalan ini dengan sendirinya memerlukan mereka menjadi kreatif dan inovatif untuk menerap ilmu tersebut bagi menyelesaikan masalah-masalah praktikal dalam kehidupan mereka. Usaha itu menyebabkan mereka mencipta kaedah-kaedah penyelidikan yang bersifat empirikal dan eksperimental. Sebelumnya, sarjana-sarjana lain berusaha mengembangkan ilmu semata-mata untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan. Ilmuwan Islamlah yang mula-mula menjadikan manusia sebagai matlamat ilmu pengetahuan. Dengan demikian, ilmuwan Islam perlu menggabungkan tradisi ilmu Yunani yang bersifat spekulatif itu dengan aktiviti eksperimental dan empirikal yang mereka cipta. Dalam menjalankan eksperimen, para ilmuwan Islam membebaskan diri daripada kongkongan dogma dan kepercayaan. Ini berlainan dengan apa yang diamalkan di Eropah di mana intektualnya berfikir untuk membuktikan ajaran-ajaran dan dogma-dogma waktu itu adalah benar.
Para ilmuwan Islam juga memasuki setiap bidang ilmu untuk mencari pengetahuan. Mereka mengembangkan ilmu-ilmu yang ada dan mencipta cabang-cabang ilmu baru yang belum ada sebelumnya. Mereka bergiat dalam bidang-bidang filologi, sejarah, historigrafi, undang-undang, sosiologi, kesusasteraan, etika, falsafah, teologi, perubatan, matematik, logik, seni, astronomi, botani, fizik, senibina, seramik dan macam-macam lagi.
Tradisi membuat penyelidikan yang penuh kesabaran adalah ciptaan ahli-ahli sains Islam. Mereka mencipta teknik-teknik penyelidikan secara teliti dan lama. Mereka merakamkan hasil-hasil pemerhatian daripada ujikaji yang mereka lakukan. Mereka mengembara untuk mengumpulkan data yang besar supaya dapat dilakukan kerja-kerja klasifikasi dan kategorisasi.
Ahli-ahli sains Islam adalah pencipta kaedah penyelidikan sains dengan menggunakan pengamatan dan ujikaji, suatu kaedah yang tidak pernah diketahui sebelumnya. Mereka mencipta kaedah eksperimen objektif kerana mahu memperbaiki teknik-teknik spekulatif Yunani yang tidak tepat.
Di bawah pemerintahan al-Makmun dan al-Mansur, pusat ilmu berpindah dari Bizantin ke Baghdad. Ilmuwan berkembang di Baghdad, ramai ahli matematik dan astronomi menjalankan kajian. Pusat pemerhatian astronomi dibina di Baghdad dan Jundi Shahpur. Kajian astronomi menggalakkan perkembangan ilmu aritmatik dan algebra. Dari golongan inilah munculnya Naubakht (astronomi), Hussain al-Sufi (menghasilkan kajian agung astronomi), Omar Khayyam (sains Islam, matematik), Habash al-hasib (jam suria), al-Farghani (mengira diameter bumi, dan jarak serta saiz bintang-bintang), al-Din al-Tusi (menyusun jadual Zij, kalendar), al-Muzaffar al-Tusi (inventor astrolabe - penggukur altitud), al-Din Shirazi (geometri optik), Banu Musa (matematiks), Ibnu Mashar (mathematiks), al-Biruni (mengukur latitud dan longitud), Abu al-Wafa (matematik-astronomi), Fakhrudin al-Razi (ensikolpedia sains), al-Khazim (graviti, berat aloi dan densiti air), Kamal al-Din (mengkaji lintasan cahaya melalui gelas), dan al-Khwaizmi (matematik).
Dalam bidang perubatan pula, kita melihat asas ilmu yang dibina atas gabungan ilmu dari Yunani, India dan Farsi menimbulkan suasana yang mencetuskan ilmu baru. Pakar perubatan yang banyak menulis ialah al-Razi keturunan Farsi dan tinggal di Baghdad. Dia mempelajari ketiga-tiga sumber ilmu perubatan itu dari Ibnu Ishaq, dan menghasilkan lebih 200 karya. Hampir separuh daripadanya mengenai perubatan. Karyanya mengenai perubatan meliputi bidang sistem saraf yang diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Dia juga menulis mengenai falsafah, teologi, matematiks, astronomi, dan sains. Tradisi perubatan al-Razi disambung oleh seorang tabib lain keturunan Farsi, Ibnu Sina, yang juga seorang ahli falsafah. Ibnu Sina menyambung usaha Hippocrates dan Galen, dua orang pakar perubatan Yunani. Karya Kanun Perubatan merupakan sebuah ensiklopedia ilmu perubatan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah. Di samping itu dia menghasilkan lebih 100 risalah falsafah dan matematiks. Haly Abas (995M) mengarang buku Seni Perubatan Lengkap yang merupakan sebuah ensiklopedia perubatan. Muwaffa Ibnu Mansur (975M) pula menulis Asas dan Sifat Sebenar Penawar mengandungi huraian 585 drug.
Pemerintahan Islam yang luas menemukan mereka dengan beberapa daerah baru. Ini memerlukan huraian geografi, iklim, ekonomi, sejarah, dan sosiologi. Asas ilmu geografi dari Ptolemy diperkembang, dengan pengumpulan data baru. Lagi, ilmuwan Farsi banyak menguasai bidang itu. Al-Balkhi (934M) menulis banyak buku, termasuk geografi yang menjadi asas pengajian geografi selepasnya. Al-Hamdani menghuraikan geografi semenanjung Arab, al-Biruni menghuraikan geografi India, Nasiri dari Khurasan menulis tentang pengamatannya semasa mengembara ke Mesir dan Makkah, dan Yaqut dan Qazwini menyusun kamus mengenai nama-nama geografi dan biografi.
Semasa ilmuwan Islam mengkaji sains, ilmu lain juga berkembang. Sumbangan Ibnu Khaldun, al-Qadir Jilani, al-Ghazali, al-Batalyusi dll. adalah banyak dalam kepustakaan Islam dalam bahasa Arab.
O’Leary (1966) dan Nakosteen (1964) menyenaraikan sumbangan penterjemah dalam segala bidang ilmu ini. Senarainya panjang dan mengkagumkan. Ia juga membolehkan kita memahami bagaimana sarjana Islam menjadi begitu maju setelah banyak ilmu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Ia menjadi asas pembinaan ilmu sarjana Islam itu sendiri.
Beberapa ciri penting dalam perkembangan ilmu Islam ini dapat kita lihat. Pertama, ia berkembang daripada asas ilmu yang dibawa masuk melalui terjemahan. Daripada meniru ilmuwan Islam belajar mencipta. Ini adalah satu tahap penting dalam pembinaan ilmu. Kepustakaan Melayu juga perlu diisi dulu dengan ilmu yang diimport dari bahasa lain. Sebarang tindakan yang menghalang pengimportan ilmu ini akan juga membantutkan perkembangan ilmu dalam bahasa Melayu. Kedua, ahli ilmuwan Islam itu sangat luas cakupan bidang keahliannya. Mereka tidak menjurus kepada satu bidang saja. Ibnu Sina juga adalah seorang falsafah dan ahli matematik. Bahkan, Ibnu Sina juga seorang pemuzik dan menulis risalah tentang muzik. Ilmu yang dibina oleh sarjana Islam itu heterogeus atau pelbagai sifatnya, bukan homogenus atau semacam saja. Ketiga, mereka mempunyai obsesi mencari ilmu. Obsesi ini penting, tanpa obsesi sesuatu usaha tidak akan tamat. Keempat, mereka menuliskan ilmu mereka. Tanpa ilmu yang tertulis, tidak ada tamadun. Inilah ciri-citi yang akan kita terap ke dalam usaha kita membina kepustakaan dalam bahasa Melayu, demi menyerlahkan lagi tamadun Melayu.
Keruntuhan Kesarjanaan Islam
Pada akhir kurun ke-13 keagungan ilmu Islam ini berakhir. Ia tidak melahirkan tamadun yang lebih tinggi. Ada beberapa sebabnya. Ini perlu kita pelajari supaya tamadun yang kita bina dalam bahasa Melayu ini dapat mengelakkan kesilapan yang sama.
Tentera Tartar di bawah pimpinan Hulaqu Khan, cucu Ghengis Khan, menakluki kota Baghdad pada 1258. Bangsa Tartar yang belum mengenal tamadun tinggi itu tidak tahu memuliakan ilmu. Mereka membakar beratus-ratus perpustakaan di Baghdad, termasuk Baitul-Hikmah. Nasib yang serupa dialami oleh semua perpustakaan di seluruh dunia Islam, dari Samarkand, ke Bukhara, dari Baghdad ke Kordova perpustakaan Islam dibakar jadi abu (Raja-raja Kristian menakluki dan memusnahkan Kordova pada tahun 1492).
Ironisnya, ahli sains Islam berjaya mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir untuk menemui pelbagai ilmu pengetahuan sains, tetapi mereka tidak mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir untuk memanipulasi pengetahuan dan maklumat sains menjadi teknologi. Teknologi ialah alat-alat dan teknik-teknik yang berfungsi untuk mengembangkan keupayaan manusia. Mereka tidak menggunakan ilmu mereka misalnya untuk mencipta alat dan teknik perang baru. Tentera Islam terus menggunakan senjata tradisional, pedang dan anak panah. Dalam peperangan yang menggunakan teknologi lama, mereka tidak sehandal tentera Tartar dan Kristian.
Apa yang kita Pelajari daripada Eropah (Jerman) dan Islam
Ada dua perkara yang dapat kita pelajari daripada kasus pembinaan Jerman menjadi negara industri moden, dan juga zaman kegemilangan Islam.
1. Dalam membina tamadun kita, kepustakaan dalam bahasa sendiri adalah asasnya. Ahli-ahli sejarah Barat pernah mengatakan zaman kegemilangan sains orang Islam tidak akan timbul semula. Sebabnya ialah setelah perpustakaan-perpustakaan Islam musnah, orang-orang Islam tidak membina semula perpustakaan mereka. Mereka lupa kepustakaan ialah asas pembinaan mana-mana tamadun. Tanpa kepustakaan milik sendiri, tidak ada bangsa yang dapat mendirikan tamadunnya sendiri.
2. Belajar dalam bahasa sendiri itu dapat mengekalkan kreativiti pribumi kita sebagai orang Melayu. Inilah yang membezakan Jerman selepas 1750-an dengan zaman sebelumnya. Apabila orang Jerman mempelajari ilmu melalui bahasanya sendiri, maka kreativiti pribumi mereka meningkat. Mereka tidak lagi sekadar menjadi pengguna kepada produk Perancis dan Itali.
Tiga pengamatan
Daripada dua model pembinaan tamadun di atas, kita dapat membuat kesimpulan bagaimaba tamadun dibangunkan.
1. Kita melihat ada korelasi yang sangat tinggi di antara bahasa yang digunakan dalam pendidikan dengan tahap pembangunan ekonomi sesbuah negara.
2. Kita juga melihat ada korelasi di antara kreativiti sesebuah bangsa dengan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan pendidikan mereka. Bangsa yang menerima pendidikan dalam bahasa sendiri menunjukkan kekreatifan yang lebih tinggi berbanding dengan yang menerima pendidikan dalam bahasa asing.
3. Kita juga melihat ada korelasi tinggi di antara minda tertawan dalam bahasa pengantar pendidikan, menyebabkan kekaguman terhadap bahasa tersebut dan memandang rendah terhadap bahasa sendiri.

Bebarapa kesan pada tahap sosial
Sebelum membuat resolusi, ada lima kesan yang ketara dapat kita lihat berlaku apabila bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar pendidikan.
1. Mengajar Ilmu Melalui Bahasa Ibunda Lebih Berkesan
Dari tahun 1972 hingga sekarang kita mencapai kejayaan besar apabila kita menyampaikan pendidikan dalam bahasa Melayu. Apabila bahasa Melayu ditukar dengan bahasa Inggeris, maka pendidikan akan sukar dicapai orang orang Melayu luar bandar dan mereka yang tidak menguasai bahasa Inggeris di bandar. Ini berlawanan dengan fitrah manusia bahawa belajar melalui bahasa sendiri itu lebih berkesan. Dapatan-dapatan kajian itu membuktikan bahawa belajar melalui bahasa ibunda adalah lebih cepat dan berkesan.
Pada tahun 1972, sebuah kajian dilakukan di Ireland terhadap penggunaan bahasa Gaelik iaitu bahasa ibunda mereka untuk mengajarkan matematik kepada kanak-kanak sekolah rendah. Dapatan kajian tersebut membuktikan bahawa kanak-kanak yang diajarkan matematik melalui bahasa Gaelik itu dapat memahami pelajarannya dengan cepat dan berkesan. Pada masa yang sama kanak-kanak yang diajarkan pelajaran yang sama melalui bahasa Inggeris menunjukkan kefahaman yang rendah. Terbukti bahawa mengajarkan matematik dengan menggunakan bahasa ibunda itu adalah lebih berkesan daripada menggunakan bahasa pinjaman.
Di samping penduduk Ireland, penduduk Wales dan Scotland juga mempunyai penduduk yang berlainan asal daripada England. Mereka berasal daripada bangsa Celtic yang menuturkan bahasa Gaelik. Mereka bukan orang Inggeris, tetapi sudah lama ditakluki oleh bangsa, bahasa dan budaya Inggeris. Tetapi dalam tahun 60-an dan 70-an, ramai di antara mereka menyedari bahawa mereka itu bukan Inggeris. Lalu timbullah kebangkitan yang di kalangan penduduk negeri tersebut untuk mewujudkan kembali identiti mereka sebagai orang Celtic, suatu bangsa lain daripada Inggeris. Bagi kita yang pernah melawat negara Britain, dan pernah pula melawat negeri Wales, akan tentu teringat papan tanda yang terpampang di tepi lebuhraya waktu memasuki negeri Wales. Kita akan disambut dengan "Gome Imru". Selamat Datang ke Wales. Sekiranya kita datang dari England, lebuhraya akan membawa kita ke "Caberfied" bukan Cardiff. Dari masa itu timbullah pergerakan untuk menghidupkan semula bahasa Gaelik (Welsh) di kalangan penduduk Wales. Tokoh yang paling terkenal di Wales menghidupkan semula bahasa Gaelik ini ialah Lilian Jones. Lilian Jones adalah seorang pegawai pendidikan. Beliau dan sekumpulan ahli masyarakat terdidik di negeri Wales merasakan mereka telah hilang identiti sebagai orang Wales setelah berlaku proses pengInggerisan mereka melalui pendidikan dalam bahasa Inggeris. Walaupun mereka menerima hakikat bahawabahasa Inggeris itu memberi mereka potensi ekonomi yang baik, tetapi hati kecil mereka masih mengatakan identiti mereka sebagai orang Wales perlu ditegakkan.
Pengalaman di negara Brunei Darussalam juga memberi bukti yang sama. Brunei mengamalkan dasar dwibahasa, dan mengubah bahasa pengantar pendidikannya daripada Bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris pada tahun empat pendidikan rendah. Setelah mendapat pendidikan asas melalui Bahasa Melayu, mata-mata pelajaran sains dan matematik diajarkan melalui bahasa Inggeris. Perubahan bahasa pengantar ini telah menimbulkan beberapa kesan. Kanak-kanak menghadapi kesukaran apabila bahasa pengantar ditukar daripada Bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris itu telah mengganggu proses pemahaman matematik. Prestasi mereka dalam peperiksaan juga menurun. Penguasaan Bahasa Melayu juga mula merosot. Seorang ahli akademik di Universiti Brunei Darussalam meminta supaya dasar itu dikaji semula. Dia juga mengajukan supaya pengajaran matematik dan sains dijalankan di dalam Bahasa Melayu semula.
Sebuah penyelidikan dijalankan di sebuah Universiti tempatan (identiti terpaksa dilindungi) mengenai kemampuna pelajarnya mengungkapan sebuah konsep sains dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Didapati mereka lebih mampu mengungkapkan konsep sains itu dalam bahasa Melayu. Apabila mereka menggunakan bahasa Inggeris ulasan mereka cetek, dangkal dan kabur. Apablia mereka menggunkan bahasa Melayu, ayat mereka menjadi lebih panjang dan idea yang diungkapkan menjadi lebih canggih dan jelas. Hal ini disokong dengan pengamatan yang dilakukan terhadap kemampuan pelajar sebuah universiti yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Kemahiran pelajar menulis tugasan dalam bahasa Inggeris sering terganggu oleh kelemahan mereka dalam menguasai nahu dan kosa kata. Ini menyebabkan mereka menyatakan idea dalam frasa-frasa pendek dan ayat-ayat yang tidak lengkap. Ini menyebabkan idea yang diungkapan menjadi kabur.
2. Luputnya Himpunan Memori Melayu daripada Benak Melayu
Bahasa Melayu yang kita gunakan seharian, dan sebagai bahasa pendidikan, akan membina ‘himpunan memori’ kita sebagai orang Melayu, mahupun Malaysia. Himpunan memori inilah yang akan membentuk nilai kita, jati diri kita, kepercayaan kita, budaya kita dll. sebagai orang Melayu. Apabila kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan, maka himpunan memori kita juga akan berubah. Kita tidak lagi akan menjadi orang melayu atau orang Malaysia. Tempat bahasa Melayu sepatutnya ialah benak Melayu. Apabila elit Melayu membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda bagi anak-anak mereka, dan menggantikannya dengan bahasa Ingeris, maka bahasa Inggerislah yang duduk di benak anak-anak Melayu itu. Apabila elit Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa benak mereka, maka berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, mereka akan memahami alam ini dengan acuan Inggeris, dan bukan dengan acuan Melayu lagi. Berdasarkan hipotesis Malik Bennabi, anak-anak itu akan mewarisi idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Inggeris, bukan idea-idea induk yang terkandung di dalam bahasa Melayu lagi. Oleh kerana bahasa Melayu telah menyerap idea-idea induk Islam, dan oleh kerana bahasa Inggeris belum menyerap idea-idea induk Islam, maka pengambilan bahasa Inggeris menjadi bahasa ibunda membawa implikasi yang serius. Sebagai contoh, gejala anak-anak yang "menjawab" ibu bapa bukanlah suatu hal yang tidak ada kaitannya dengan bahasa ekspresif. Konsep-konsep seperti "derhaka" dan "syurga itu di bawah tapak kaki ibu" hanya terkandung dalam bahasa-bahasa yang sudah menyerap idea-idea induk dalam Islam, seperti Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Inggeris tidak memberi peluang kepada kemasukan konsep-konsep itu ke dalam benak individu-individu yang telah membuang bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya. Nilai-nilai yang terkandung di dalam sastera Melayu seperti dalam cerita-serita Si Tanggang, Malim Kundang, Batu Belah Batu Bertangkup, Siti Zubaidah juga tidak ada kesempatan untuk masuk ke benak mereka. Tempatnya akan diganti oleh cerita-cerita seperti Little Red Riding Hood, Cinderella, Pinochio, Snow White, Rapunzel, Goldilock dan lain-lain. Hero mereka bukan Hang Tuah dan rakan-rakannya tetapi Robin Hood dan King Arthur And The Knights Of The Round Table.
3. Jati Diri yang Semakin Luput
Kita dapat melihat apa yang dialami oleh sebuah negara yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikannya. Dalam "The Role of Language Planning in Education in Singapore" Anne Pakir (1994) menyatakan apabila pada tahun 60-an hingga 80-an, ibubapa diberi pilihan untuk menghantar anak mereka belajar di sekolah Inggeris, Mandarin, Melayu, atau Tamil. Aliran Melayu dan Tamil akhirnya "dried up" atau tandus. Dua puluh lima tahun kemudian barulah kelihatan apa kesannya bahasa Inggeris itu terhadap identiti belia Singapura, khususnya kaum Cina. Pada 27 Julai 1997, Goh Chok Tong berucapa di televisyen Singapura dalam rancangan "Addressing the Nation." Ucapan itu sangat menarik. Beliau menyatakan kebimbangan terhadap masyarakat belia Singapura pada masa itu. Beliau mengatakan, setelah 25 tahun diberi pendidikan bahasa Inggeris, maka mereka sudah mula melihat beberapa perubahan yang sedikit membimbangkan. Beliau berkata, lebih kurang bermaksud "Belia kita sekarang tidak tebal lagi Cinanya. Hanya dari segi biologi mereka Cina. Dari segi budaya mereka sudah menjadi Barat. Mereka mudah sekali menyesuaikan diri dengan Barat apabila dihantar belajar ke negeri Britain dan Amerika …. Ada yang terus memilih untuk tinggal di sana, dan kalau pulang pun membawa teman hidup dari sana ….." Perkara ini bertambah ketara apabila Dr. Chang Han Yin dari Jabatan Sosiologi Universiti Nasional Singapura membuat suatu kajian di kalangan pelajar universitinya, bagi meninjau perubahan nilai dan identitiny. Ringkasnya, 8 daripada 10 pemudanya mengharapkan mereka itu dilahirkan sebagai Caucasius, bukan sebagai orang Asia.
4. Minda Yang Membentuk Tamadun Nukelus dan Pinggiran
Di Jepun pula, penyampaian ilmu melalui bahasa Jepun mencetuskan wabak ilmu. Rakyat Jepun yang berilmu itulah yang mengembangkan ekonomi Jepun. Sebelum itu ilmu terkepung di kalangan elit. Ilmu pada waktu itu berguna hanya kepada peribadi saja. Penggunaan bahasa Jepun menukarkan sifat bahasa Jepun itu dengan cepatnya menjadi manfaat awam di Jepun. Ilmu mula membolehkan orang-orang Jepun mencipta alat-alat baru, proses-proses baru, bahan-bahan baru, hasil-hasil tanaman baru, teknik-teknik baru, dan apa-apa saja yang sekarang kita kenali sebagai teknologi Jepun. Minda Jepun mencipta tamadun nukelus, bukan pinggiran. Apabila kita menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan, kita tidak dapat mengisi minda kita dengan ilmu yang bebas daripada budaya minda bahasa pinjaman tersebut. Bahasa pinjaman akan membina minda menurut kerangka bahasa pinjaman itu. Keaslian minda kita pun hilang. Sepandai-pandai orang yang belajar melalui bahasa pinjaman itu tidak akan mampu membina minda seasli penutur asli bahasa pinjaman itu. Minda masyarakat yang dididik melalui bahasa pinjaman akan menjadi minda pinggiran kepada minda masyarakat bahasa pinjaman. Minda pinggiran ini juga menjadi pinggiran kepada minda bangsanya sendiri. Minda pinggiran itu akan sentiasa memandang rendah kepada minda bangsanya, tetapi ia tidak pula tergolong kepada minda pusat bahasa pinjaman itu. Dia akan hanya menjadi minda yang tercabut daripada minda bangsanya, tetapi tidak pula diterima sepenuhnya ke dalam minda bahasa pinjaman.

5. Ekologi Bahasa
Apakah yang kita maksudkan dengan ekologi bahasa? Kita tidak memerlukan definisi. Kita hanya memerlukan analogi atau kiasan. Mari kita lihat sebuah contoh, katakan ekologi ikan. Ikan ada ekologinya: kitaran hayatnya, sekitarannya tempat ia hidup, makanannya, binatang lain yang menjadi sokongan dan pemangsanya, dan udaranya. Apabila kita rosakkan ekologinya, katakanlah kita mencemari air yang didiaminya, ikan itu akan mati. Bahasa juga mempunyai ekologi. Ia ada penutur, ia ada fungsi, ia ada sekitaran hidupnya, ia ada maruahh, ia ada martabat, dll. Apabila kita menggugat mana-mana unsur ekologinya, kita juga menggugat kedinamikan bahasa itu. Fungsi sebagai bahasa pengantar sains dan teknologi adalah sebahagian daripada ekologi bahasa kebangsaan kita (iaitu bahasa Melayu). Membuang fungsi menyampaikan sains dan teknologi daripada bahasa kebangsaan kita adalah undi tidak percaya kepada bahasa Melayu. Inilah satu-satunya fungsi yang memberi maruah kepada bahasa Melayu. Apabila fungsi itu ditiadakan, maruah bahasa Melayu juga jatuh. Hal ini juga melibatkan maruah bahasa Melayu. Apabila ia sudah mampu mengungkapkan ilmu dan teknologi tinggi, mampu menggerakkan pentadbiran negara, menguruskan perdagangan, dan menjadi wahana diplomasi, maka dewasalah bahasa itu. Sekiranya mana-mana fungsi ini ditiadakan, bahasa Melayu tidak akan dewasa. Apabila ekologinya tergugat, bahasa itu tidak akan menjadi dewasa, ia tidak akan mantap.
Dalam kitaran hidup bahasa, pengungkapan ilmu dan pemikiran tinggi itu adalah maruah bahasa itu. Bahasa yang baru saja memegang fungsi menyampaikan ilmu itu terpaksa mengimport ilmu daripada bahasa lain. Strategi yang berkesan ialah terjemahan. Itulah yang berlaku apabila Farsi mengimport ilmu dari India, Arab Islam dari Farsi dan Yunani, Eropah dari Arab, dan Jepun dari Barat. Tetapi, proses membina ilmu melalui terjemahan ini tidaklah natural. Selepas bangsa itu maju, ia perlu menjana ilmunya sendiri, dan mengungkapkannya dalam bahasanya sendiri. Inilah yang berlaku kepada Jepun dan Eropah yang membolehkan mereka mengekalkan kemajuannya. Proses meningkatkan martabat bahasa itu berlaku serentak dengan pembangunan bangsa. Sejarah membuktikan bangsa dan bahasa membangun serentak, dan bukannya satu mendahului yang lain. Majukan bangsa dulu dan kemudian bahasanya juga turut maju, tidak berlaku dalam sejarah pembangunan tamadun manusia. Apabila maruahnya kita jatuhkan, bahasa itu tidak akan perkasa lagi.

6. Nasib Sekolah Bahasa Hawai
Pemimpin kita sering membuat kenyataan bahawa bahasa Melayu sudah mantap. Oleh itu ia tidak perlu digunakan dalam pendidikan, dan ia tidak diketepikan. Kita tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada bahasa Melayu akibat tindakan ini. Mari kita lihat sebuah kes. Saya meminjam kajian Simanjuntak dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia. Saya mengambil satu contoh saja, iaitu, bagaimana bahasa Hawaii pupus, dan sekaligus bagaimana bangsa Hawaii luput dan kehilangan maruah. Pada tahun 1820 Ratu Kamehameha I menerima guru Inggeris masuk ke pulaunya. Dia didesak oleh peniaga-peniaga asing berbahasa Inggeris supaya mendirikan sekolah Inggeris untuk anak-anak mereka. Dia mengalah. Pada tahun 1848, Ratu Kamehameha III memutuskan supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar pendidikan. Golongan bawahan rakyat yang menjadi majoriti mahu mempertahankan bahasa Hawaii. Tetapi mereka kalah kepada golongan elit yang terdiri daripada orang Hawaii berbahasa Inggeris dan kaum haole (kacukan). Mereka ini tidak ramai. Alasan mereka ialah ... supaya bahasa Inggeris diajar kepada seluruh negara, dan ini sekaligus membuka sumber ilmu yang luas kepada mereka ... Bingham, (1848:44). Samalah dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Malaysia.
Seorang ahli sejarah, Reinicke (1969:70-71) melaporkan, pada tahun 1848 ada 624 sekolah berbahasa Hawaii dengan murid seramai 19,644 orang. Pada masa itu hanya ada 7 sekolah Inggeris swasta dengan murid seramai 200 orang. Pada tahun 1893 semasa Ratu Liliuokalani digulingkan oleh peniaga dan pengusaha ladang Amerika yang berbahasa Inggeris, hanya tinggal 28 sekolah Hawaii dengan 552 murid. Sekolah Inggeris Kerajaan meningkat menjadi 140 buah dengan murid seramai 10,160 orang. Pada 1902 semua sekolah berbahasa Hawaii pupus.
Hilanglah bahasa Hawaii dari buminya sendiri. Apabila bahasanya pupus, bangsanya juga hilang maruah. Bangsa Hawaii tidak wujud lagi. Mereka hanya menjadi bangsa serpihan kepada bangsa Amerika. Setiap bahasa mempunyai ekologi sendiri. Ikan mempunyai ekologinya, persekitarannya, airnya, makanannya, binatang lain yang hidup bersamanya, dll. Bahasa juga mempunyai ekologi sendiri. Penuturnya, fungsinya, persekitarannya, dll. Apabila fungsi menyampaikan sains dan teknologi digugurkan, kita mengusik ekologinya, kemusnahannya akan mengikut.
Kesimpulan
Memandangkan perbincangan di atas, maka kita melihat korelasi di antara bahasa pengantar pendidikan, bahasa pentadbiran, pembinaan kepustakaan, kreativiti bangsa, dengan pembangunan tamadun bangsa. Oleh itu diusulkan supaya:
1. Bahasa Melayu dikekalkann sebagai bahasa pengantar ilmu pada semua peringkat pendidikan
2. Kerajaan mengambil langkah membina kepustakaan berbahasa Melayu
3. Kerajaan mengambil langkah supaya bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dipertingkat.
Rujukan
Pendahuluan
Pembicaraan ehwal bahasa Melayu setengah abad yang silam dan setengah
abad yang mendatang tidak dapat tidak berhubungan secara langsung dengan
ehwal pembinaan negara kita sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana
bahasa Melayu memang cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep
kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia (yang
sebelum 1963 dikenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu). Dengan perkataan
lain, pembicaraan tentang perkembangan bahasa Melayu selama setengah abad
silam dan perancangannya untuk setengah abad mendatang tidak akan bererti
dengan hanya membicarakan perkembangan wujudnya sebagai wasilah
mekanis yang alamiah bagi keperluan komunikasi sekelompok umat.
Sesungguhnya perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan langsung
dengan roh bangsa, dengan asas jati diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita
luhur bangsa dan negara. Sia-sialah pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa
Melayu dengan cita-cita besar membina tamadun bangsa dan negara.
Bahasa Melayu sebagai Salah Satu Asas Kebangsaan dan Kenegaraan
Amat menyedihkan bahawa kian kabur pemahaman dan penghayatan
sesetengah kalangan, termasuk kalangan sesetengah pemimpin, tentang
peranan bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan
kenegaraan negara ini. Kekaburan dan malahan ketiadaan konsep itu dalam
minda sesetengah kalangan itu terpancar dalam bentuk sikap, pernyataan dan
tindakan. Tidaklah sukar mencari contohnya. Apabila seorang menteri kanan,
dalam tahun 2004, misalnya, menyeru rakyat melalui akhbar perdana agar
2
mengabaikan sahaja golongan pejuang bahasa dan meneruskan usaha
memperhebat penggunaan bahasa Inggeris, dan dengan angkuhnya
mengisytiharkan bahawa di kementeriannya segala urusan dilaksanakan dalam
bahasa Inggeris, maka bukankah hal itu contoh yang nyata tentang ketiadaan
konsep peranan bahasa Melayu dalam pembinaan negara.
Demikian juga, dalam satu forum yang berkaitan dengan peranan bahasa
Melayu dalam era globalisasi (pada sekitar bulan Mei 2006), ada orang yang
mengaku mewakili dunia korporat yang meremehkan perjuangan bahasa dan
budaya Melayu, dengan hujah yang menunjukkan bahawa ia lupa daratan, iaitu
bahawa dalam era globalisasi perjuangan bahasa dan budaya sudah tidak
relevan dan jati diri orang Melayu sudah cukup kuat jika seseorang Melayu itu
“tidak makan babi dan tidak memijak al-Qur’an”. Bukankah hal itu pun contoh
yang jelas bagaimana rapuhnya sikap sesetengah kalangan tentang peranan
bahasa Melayu?
Belum lagi kita berbicara tentang hilangnya penghormatan kepada bahasa
Melayu dalam pelbagai majlis rasmi dan urusan rasmi yang berlangsung saban
hari. Belum juga kita bicarakan sulitnya hendak memahamkan kalangan yang
bertanggungjawab tentang citra bandar, pusat pentadbiran, kawasan perumahan
dan tempat awam yang lain tentang mustahaknya bahasa Melayu diberi
tempatnya yang wajar, sehingga tidak terfikir sama sekali oleh Perbadanan
Putrajaya, misalnya, untuk memberikan citra pusat pentadbiran negara dengan
nama yang berciri kebangsaan, di balik berasa megah dengan Boulevard, Parcel
dan sebagainya. Alangkah janggalnya juga bahawa di tengah-tengah sekian
banyak wisma yang diberi nama dalam bahasa Melayu tiba-tiba wujud Palace of
Justice! Syukurlah dalam kalangan pemimpin ada orang yang perihatin seperti
Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim sehingga suara hati pejuang bahasa dapat
sampai ke nuraninya dan atas usaha beliau nama-nama pelik di Putrajaya dapat
ditukar. Mudah-mudahan juga Palace of Justice akan segera mendapat nama
Melayunya.
3
Peristiwa yang paling besar yang menunjukkan betapa cairnya
penghayatan akan peranan bahasa Melayu dalam pembentukan tamadun
negara menurut acuan sendiri ialah perubahan pelaksanaan bahasa Melayu
sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara, apabila
pada tahun 2002 Kerajaan di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir Mohamad
memutuskan pengajaran sains dan matematik dan subjek-subjek lain yang
berkaitan dengan dua subjek itu dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, bermula
pada tahun 2003. Diunjurkan bahawa pada tahun 2008 peperiksaan bagi matamata
pelajaran tersebut akan sepenuh-penuhnya dalam bahasa Inggeris, jika
dasar itu tidak disemak semula, dengan pengertian bahawa akan sempurnalah
proses penyirnaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, terutama dalam bidang
sains dan teknologi, pada tahun berkenaan. Apatah lagi semua institusi
pengajian tinggi awam telah pun mula menyertai institusi pengajian tinggi swasta
dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar, khususnya
dalam penyampaian kuliah kursus-kursus sains dan teknologi. Atas nama
pragmatisme, martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa
pengucapan intelektual beransur-ansur terhakis sehingga tidaklah mustahil
bahawa akhirnya bahasa Melayu yang dikenal dan digunakan orang kelak hanya
bahasa Melayu untuk tujuan komunikasi sehari-hari sahaja. Hujah bahawa
bahasa Melayu akan terus perkasa dan diperkasakan dalam keadaan bahasa
Melayu dinafikan peranannya sebagai bahasa ilmu menjadi hujah yang
membingungkan dan sekali gus tidak masuk akal.
Sekian banyak peristiwa seumpama itu sebenarnya berpunca daripada
tiada atau kurangnya pengertian bahawa bahasa Melayu berperanan dalam
pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan. Lebih mendasar daripada
itu, masih banyak orang yang tidak dapat memahami apakah hubungan bahasa
dengan pembinaan diri, bangsa dan negara, disebabkan terbelenggu oleh
pemahaman bahawa bahasa tidak lebih suatu kemahiran yang mekanis yang
tidak lebih sebagai alat komunikasi semata-mata. Usaha memberikan
4
pemahaman yang betul tentang erti bahasa dalam kehidupan bertamadun
tampaknya tidaklah pula mudah kerana hal itu pun tidak begitu jelas
pembudayaannya dalam masyarakat, termasuk dalam sistem pendidikan.
Dalam pelbagai wacana lain, telah dihuraikan bahawa kebangkitan
semangat kebangsaan yang berlangsung di negara ini merupakan kebangkitan
semangat yang holistik sifatnya. Cita-cita membebaskan tanah air bukan terhad
pada pembebasan daripada sudut politik dan ekonomi semata-mata, bahkan
turut merangkum aspek bahasa, pemikiran dan kebudayaan juga. Maka itu,
masuklah dalam kosa kata bahasa Melayu frasa nasionalisme bahasa atau
nasionalisme linguistik, dengan pengertian nasionalisme atau semangat
kebangsaan yang berteraskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu
sebagai salah satu asas kebangsaan dan kenegaraan. Gerakan nasionalisme
sebagaimana yang berlangsung dalam kalangan nasionalis di Maktab Sultan
Idris Tanjung Malim (yang ditubuhkan pada tahun 1922), wartawan, sasterawan,
bahasawan dan bahkan agamawan yang tampak nyata berkobar dalam Kongres
Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama (1952), Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu Kedua (1954) dan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu
Ketiga (1956) membuktikan penghayatan yang bersepadu tentang erti
kemerdekaan tanah air.
Pada pihak Kerajaan sendiri, penubuhan Jawatankuasa Razak pada tahun
1956 turut memperlihatkan kejelasan tentang wawasan pembentukan negara
yang turut memperhitungkan peranan bahasa, apabila Laporan Razak
menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam
sistem pendidikan negara ini. Pancang yang diasaskan oleh Jawatankuasa
Razak dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Rahman Talib (1960) itulah
yang kemudian menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan diperteguh
pernyataannya dalam Akta Pendidikan 1996 (yang malangnya tidak dihormati
apabila asas itu diketepikan dengan keputusan pengajaran sains dan matematik
serta subjek-subjek teknikal dalam bahasa Inggeris, bermula pada tahun 2003).
5
Tempoh sebahagian setengah abad silam sebenarnya dapat dikatakan
diwarnai oleh kejayaan tertentu dasar negara dalam hampir semua ranah.
Meskipun masih jauh perjalanan untuk mencapai cita-cita luhur sebagai negara
yang benar-benar bersatu padu rakyatnya, tercapai keadilan ekonomi yang
sesungguhnya dan jelas sendi kebudayaan kebangsaannya, namun kita telah
bermula dengan perancangan yang bersepadu antara pembangunan fizikal
dengan pembangunan dalaman. Kisah kejayaan negara kita dalam tempoh
setengah abad sebenarnya berkaitan rapat dengan adanya dasar-dasar
kenegaraan yang jelas dan terarah, termasuk dalam soal bahasa, pendidikan
dan kebudayaan. Negara kita terbentuk atas landasan kontrak sosial yang jelas.
Prinsip jus soli yang memungkinkan rakan-rakan bukan Melayu diterima sebagai
rakyat negara ini diterima oleh orang Melayu, dan beberapa asas kenegaraan
yang berteraskan kemelayuan dan keperibumian diterima pula oleh orang bukan
Melayu pada zaman kemerdekaan. Kedudukan agama Islam sebagai agama
Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan Raja-raja
Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera merupakan asas
kontrak sosial yang tidak harus dilupakan. Sebagaimana kata Khoo Kay Kim
(2005), hingga tahun 2020 sekalipun kontrak sosial tidak mungkin dapat
diabaikan begitu sahaja.
Dalam soal bahasa, jelas bahawa penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan telah menjadi asas kenegaraan dan
kebangsaan yang penting. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu
menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik yang dikenal
sebagai negara Malaysia, menjadi asas jati diri bangsa Malaysia yang terdiri
daripada pelbagai keturunan dan menjadi wahana perpaduan bangsa melalui
komunikasi dalam pelbagai ranah. Sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu
menjadi salah satu unsur penggerak jentera pentadbiran negara, dengan
peranannya sebagai wahana komunikasi rasmi dalam pelbagai urusan
6
pentadbiran sehingga kecekapan pentadbiran sebahagiannya bergantung pada
kecekapan bahasa yang ada pada penjawat awam pada pelbagai peringkat.
Sebagai bahasa ilmu pula, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa
penghantar utama sistem pendidikan negara, bahasa Melayu mengisi erti
pendemokrasian pendidikan, dengan pengertian bahawa pelbagai ilmu dapat
disampaikan kepada sebahagian besar rakyat melalui bahasa yang satu,
sehingga kemungkinan wujudnya kesenjangan atau jurang ilmu dan kemahiran
sebagaimana yang berlaku dalam zaman penjajahan dapat dielakkan kerana kita
mempunyai sistem pendidikan kebangsaan, bukan sistem yang memisahmisahkan
empat aliran (aliran bahasa Inggeris dan tiga aliran vernakular –
Melayu, Cina dan India). Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa
pengembangan ilmu (yang memenuhi fitrah dan disokong oleh sekian banyak
kajian, termasuk diungkapkan dalam piagam UNESCO) memungkinkan proses
pengilmuan masyarakat menjadi lebih berkesan. Dalam tempoh kira-kira tiga
dekad pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama (dengan
mengambil tahun 1970 sebagai titik tolaknya), telah terhasil ratusan ribu ahli
ilmu, birokrat, teknokrat, profesional dan tenaga pembangunan negara dalam
pelbagai bidang, dengan sebahagian besar mereka terdidik dalam sistem
kebangsaan yang bahasa penghantar utamanya bahasa Melayu, sekurangkurangnya
sehingga peringkat menengah atas.
Aspek yang kurang diperhatikan dan kurang disedari kebanyakan orang
tentang kejayaan sistem pendidikan negara yang berbahasa penghantar bahasa
Melayu ialah terbentuknya kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai dan
pandangan sarwa dalam kalangan generasi muda kita, selain terbentuknya
budaya berbahasa yang relatif seragam. Orang yang bergerak dalam bidang
pendidikan dan memperhatikan kehidupan di alam persekolahan pasti dapat
menyaksikan bagaimana bahasa Melayu berhasil menjadi wahana yang
membentuk sikap, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa anak didik kita.
Ternyata bahawa prasangka perkauman dapat diatasi sebahagiannya oleh faktor
7
bahasa. Pasti menarik hasilnya jika kajian empiris tentang aspek itu dapat
dilakukan.
Ibu segala masalah yang kita hadapi dalam pelaksanaan dasar bahasa
yang berkaitan erat dengan proses pembinaan negara itu ialah ketidaktekalan
sikap, pendirian dan pelaksanaan, yang sebahagiannya disebabkan oleh faktor
tidak atau kurang memahami peranan bahasa sebagai salah satu asas
pembangunan. Pasti pula ketidakfahaman itu disebabkan oleh pemahaman yang
silap tentang konsep dan falsafah pembangunan, yang umumnya lebih
dipertalikan kebanyakan orang dengan pembangunan fizikal sehingga faktor
bahasa dan budaya dianggap tidak penting dalam usaha mengejar kemajuan.
Malanglah kita kerana rakan-rakan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di
hadapan kita dalam bidang ekonomi, ternyata begitu perihatin terhadap bahasa
dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya.
Sebilangan orang Melayu yang baru agak celik dalam bidang ekonomi tiba-tiba
menjadi orang yang angkuh dan memandang hina pula akan bahasa dan
budayanya.
Andai kata dasar-dasar kenegaraan yang telah diletakkan oleh
kepemimpinan terdahulu, khususnya pada zaman Allahyarham Tun Abdul
Razak, dihayati dan diperkukuh pelaksanaannya, nescaya kita tidak berhadapan
dengan masalah ketidaktentuan dalam pelaksanaan dasar negara sehingga kita
seringkali menjadi tikus yang membaiki labu. Kita sering membuat diagnosis
yang silap dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah. Dalam soal yang
dikatakan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan
lepasan sekolah serta universiti, misalnya, diagnosis yang dilakukan ternyata
silap sehingga penyelesaian terhadap masalah itu menjadi silap juga.
Dengan perkataan lain, sesudah setengah abad merdeka, dapat dikatakan
bahawa kita belum sepenuh-penuhnya berhasil membudayakan atau
memasyarakatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi,
8
bahasa ilmu dan bahasa ranah-ranah lain yang menunjang kehidupan
bertamadun. Perlu diakui bahawa ada penjawat awam, sarjana dan orang dalam
sektor lain yang memahami erti dan sumbangan bahasa kebangsaan dalam
pembangunan bangsa dan negara. Namun, dapat disaksikan betapa besarnya
golongan yang kata orang Indonesia “masa bodoh” (tidak peduli) akan nasib
bahasa Melayu. Pembinaan “sikap bahasa” ternyata perlu menjadi salah satu
keutamaan dalam strategi perancangan bahasa kebangsaan untuk setengah
abad mendatang.
Pemantapan dan Kemantapan Korpus Bahasa Melayu
Tempoh setengah abad yang lalu turut memperlihatkan kepesatan usaha
memantapkan korpus bahasa Melayu daripada sudut sistem ejaan, peristilahan,
kosa kata umum, sebutan, tatabahasa dan laras bahasa. Kisah kejayaan
perancangan bahasa dalam bidang korpus itu telah saya rumuskan dalam
beberapa tulisan sebelum ini (lihat, misalnya, makalah saya dalam A. Rahim
Bakar dan Awang Sariyan, 2005). Terlepas daripada polemik linguistik dan
sosiolinguistik tentang sistem bahasa yang dimantapkan oleh Dewan Bahasa
dan Pustaka dengan dukungan sekian banyak ahli bahasa dan ahli ilmu dalam
pelbagai bidang, dapat dikatakan bahawa bahasa Melayu telah mencapai
kemantapan korpusnya. Kemantapan korpus bahasa Melayu itu telah
dimanfaatkan dengan agak meluas dalam pelbagai ranah.
Pemantapan korpus bahasa Melayu, biarpun dengan pelbagai istilah dan
tafsiran, seperti pembakuan, penstandardan, penyelarasan atau yang lain,
mempunyai erti yang penting juga dalam rangka pembinaan tamadun bangsa
dan negara. Perancangan korpus bahasa berperanan mengisi erti taraf atau
kedudukan bahasa Melayu yang dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi umum. Apatah ertinya taraf
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (yang bermakna bahasa negara)
jika sistemnya tidak keruan sehingga tidak dapat dikenal sosok bahasa Melayu
yang menjadi bahasa negara itu? Apatah ertinya taraf bahasa Melayu sebagai
9
bahasa rasmi jika untuk menjadi wahana pelaksanaan pentadbiran negara
bahasa itu tidak mempunyai sistem yang kemas dan relatif seragam dalam hal
ejaan, sebutan, istilah, kosa kata umum, tatabahasa dan laras bahasanya
sehingga tidak dapat menjadi wahana komunikasi pentadbiran yang cekap dan
berkesan? Demikian pula, apatah ertinya taraf bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu jika sistem bahasanya tidak mencapai tahap teratur, baku atau standard dan
berdaya mengungkapkan hal-hal ilmu?
Dalam kaitannya dengan keperluan semua itulah maka usaha
pemasyarakatan bahasa yang baik, teratur dan santun perlu terus-menerus
dilaksanakan. Mana-mana bangsa yang bertamadun memiliki ragam bahasa
yang baku atau standard, di sisi ragam bahasa basahan atau bahasa sehari-hari,
untuk menjadi wahana penzahiran idea, ilmu konsep dan budaya tinggi.
Sehubungan dengan itu, pembudayaan berbahasa dengan santun (dengan
pengertian berbahasa menurut peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan
peraturan pragmatik) memerlukan perancangan dan pelaksanaan strategi yang
lebih berkesan, khususnya melalui institusi pendidikan, pentadbiran dan media
massa.
Tempoh setengah abad lalu meskipun memperlihatkan kemajuan dalam
penguasaan sistem bahasa Melayu dalam kalangan pelajar, penjawat awam dan
masyarakat umumnya, ternyata masih belum mencapai tahap yang cukup
memuaskan jika diukur daripada sudut penggunaan “bahasa Melayu tinggi”.
Dengan tidak bermaksud menafikan peranan bahasa sehari-hari, tampaknya
bahasa Melayu tinggi yang dapat juga diistilahkan sebagai “bahasa terbina”
(elaborated code menurut istilah Bernstein), sebagai lawan “bahasa terhad”
(restricted code) belum membudaya dengan mantap dalam kalangan yang
seharusnya menguasainya. Masih banyak karya ilmiah yang belum mencapai
tahap bahasa Melayu tinggi yang sewajarnya. Masih ketara penggunaan bahasa
Melayu yang tidak baku di tempat awam (iklan, nama tempat, bangunan, syarikat
dan sebagainya). Demikian juga masih menjadi impian untuk kita menyaksikan
1
pidato, ucapan, syarahan dan perbahasan yang mencerminkan bahasa Melayu
tinggi, dengan kekecualian sejumlah orang yang masih agak kecil bilangannya.
Seringkali harapan kita untuk menikmati wawancara atau ucapan yang bermutu
penyampaiannya (termasuk dalam hal penggunaan bahasa) tidak tercapai,
malahan perbahasan di Parlimen kadang-kadang tidak pula mencerminkan
kemurnian dan taraf Parlimen itu sendiri, disebabkan bahasa Melayu tinggi yang
seharusnya digunakan bertukar menjadi bahasa Melayu rendah.
Dalam pada itu, sebarang langkah berundur daripada ketetapan dan
pelaksanaan yang telah berlangsung disebabkan keraguan yang timbul dalam
diri sendiri tidak membantu keutuhan bahasa Melayu. Sebagai contoh,
pelaksanaan sebutan baku yang bertujuan untuk membentuk bahasa lisan
formal sebagai salah satu cirinya, telah diputuskan pada tahun 1980-an, dan
pelaksanaannya diterapkan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dan
Sekolah Rendah (KBSM dan KBSR) bermula pada tahun 1988. Dengan
keputusan Kabinet pada tahun 2000, sebutan baku dihadkan dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu sahaja, tidak lag merentas kurikulum seperti selama 12
tahun sebelumnya.
Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri sebagai penggerak utama, bersamasama
dengan Persatuan Linguistik Malaysia dan beberapa badan bukan
kerajaan yang lain telah berhasil memperteguh ciri bahasa lisan formal bagi
bahasa Melayu, terutama kemudian apabila penggunaannya di Stesen
Televisyen Malaysia Berhad atau TV3 membentuk citra istimewa bagi bahasa
Melayu lisan rasmi. Kini Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) berusaha
melaksanakan beberapa aspek sebutan baku, terutama bagi kosa kata ambilan
daripada bahasa asing, sementara Citra DBP, iaitu program radio DBP selama
setengah jam setiap hari (kecuali pada hari Ahad) menjadi contoh penggunaan
sebutan baku. Jika pelaksanaan selama tidak sampai setengah jam itu pun akan
dimansuhkan juga, mungkin kerana tidak yakin akan kemunasabahannya yang
dikatakan berlainan daripada corak bahasa dalam siaran-siaran lain, maka hal itu
1
menjadi tanda hilangnya kekuatan DBP dalam mempertahankan sesuatu
keputusan yang telah dengan susah payahnya diambil dan diperjuangkan pada
satu waktu dahulu.
Merenung dan Merancang untuk Setengah Abad Mendatang
Pastilah usaha merancang bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun bangsa dan
negara untuk setengah abad mendatang memerlukan waktu dan kaedah yang
serapi-rapinya. Perlu ada sesi khas untuk sumbang saran pelbagai pihak dan
perlu ada pendokumentasian strategi perancangan itu. Namun, dalam kertas
kerja ini saya sekadar mencatat beberapa fikiran umum yang mudah-mudahan
dapat membantu sedikit banyaknya perancangan bahasa Melayu dalam tempoh
setengah abad mendatang.
1. Perancangan yang berkaitan dengan taraf dan peranan bahasa Melayu
i. Peruntukan undang-undang tentang taraf dan peranan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa
ilmu perlu dipertegas dalam pelaksanaan dan
penguatkuasaannya. Jika Kerajaan bersedia meminda atau
memperluas Akta DBP dalam hal pemberian kuasa untuk mengambil
tindakan kepada pihak yang menggunakan bahasa Melayu yang salah
di tempat awam, maka tindakan yang sama hendaklah dikenakan
kepada sesiapa jua yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Mekanisme
penguatkuasaan dan tindakan perlu dirancang dengan rapi agar sikap
tidak menghormati bahasa kebangsaan dipandang serius oleh semua
pihak, sama dengan seriusnya tindakan kepada orang yang melanggar
undang-undang negara yang lain.
ii. Taraf dan peranan bahasa Melayu perlu diperluas ranah
penggunaannya. Mana-mana pengecualian yang tidak munasabah
tidak harus wujud lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan atau akta-akta
lain, misalnya pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sistem
1
kehakiman. Demikian juga, kedudukan bahasa Melayu dalam bidang
ekonomi (termasuk perdagangan). Beberapa undang-undang yang
berkaitan dengan bidang perdagangan yang selama ini ‘menyekat’
penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu disebabkan akta yang
berkaitan telah ‘luput tarikh’ (sebilangannya diaktakan sebelum atau
pada awal kemerdekaan) hendaklah segera dipinda dan dimasukkan
unsur penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu ke dalam akta
pindaan itu.
iii. Taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar
pendidikan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 17(1)
Akta Pendidikan 1996 hendaklah dikuatkuasakan dalam sistem
pendidikan negara. Langkah awal yang perlu disegerakan ialah
mengembalikan pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dan
subjek teknikal dalam bahasa Melayu semula. Jika projek jambatan
bengkok boleh dibatalkan kerana tidak menguntungkan negara, maka
projek-projek bengkok yang lain dan merugikan bangsa dan negara
pun perlu dibatalkan. Perlu diingat bahawa keputusan dan tindakan
pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bertentangan
dengan undang-undang negara yang diluluskan oleh Parlimen.
Menurut prinsip demokrasi, eksekutif tidak harus mengatasi Parlimen
dan segala keputusan dan tindakan eksekutif harus selaras dengan
undang-undang yang digubal oleh Parlimen.
iv. Pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu untuk pelbagai
lapisan khalayak perlu dijadikan agenda negara. Dewan Bahasa
dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Berhad, Majlis Penerbitan
Ilmiah Malaysia (Mappim) yang menggemblengkan penerbit institusi
pengajian tinggi dan insitusi penyelidikan dan badan-badan lain
hendaklah digerakkan agar benar-benar memenuhi tanggungjawab
sosial dalam penyediaan dan penerbitan karya ilmu untuk kelompok
dewasa, remaja dan kanak-kanak, dalam bentuk cetakan mahupun
1
elektronik. Perlu ada dana yang khusus untuk menjayakan agenda
memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.
v. Perlu ditubuhkan jabatan atau unit audit bahasa yang memantau
penguatkuasaan dasar bahasa, terutama dalam bidang
pentadbiran. Jabatan ini boleh ditempatkan di bawah Jabatan
Perkhidmatan Awam yang bertanggungjawab memastikan mutu
perkhidmatan yang baik.
vi. Dewan Bahasa dan Pustaka yang diaktakan sebagai badan
perancangan bahasa dan sastera kebangsaan hendaklah diberi
wewenang sebagaimana yang seharusnya. Gangguan terhadap
pelaksanaan badan tersebut sebagai badan yang diberi amanah
memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan tidak
seharusnya wujud. Dalam pada itu, kepemimpinan Dewan Bahasa dan
Pustaka pula perlu berusaha memenuhi tujuan-tujuan badan itu
ditubuhkan sebagaimana yang terkandung dalam Akta Dewan Bahasa
dan Pustaka dengan tidak terlalu terikat atau mengikat dirinya dengan
kehendak semasa pihak tertentu yang bertentangan dengan peranan
DBP. DBP perlu terus kreatif dan inovatif dalam gerak kerjanya, bukan
mengurangkan kegiatan dan projek. Penghematan berbelanja dalam
pelaksanaan projek bererti halus dan teliti dalam cara berbelanja,
bukan tidak berbelanja untuk projek-projek yang penting untuk
kemajuan bahasa, sastera dan ilmu.
2. Perancangan yang berkaitan dengan pemupukan bahasa Melayu tinggi
i. Sebagai bahasa tonggak tamadun, usaha bersepadu melalui
semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta
perlu dirancang untuk membudayakan atau memasyarakatkan
bahasa Melayu tinggi. Langkah Kerajaan mengadakan Kempen Budi
Bahasa dan Nilai Murni merupakan langkah positif yang dapat
dimanfaatkan untuk turut membudayakan penggunaan bahasa yang
baik dan santun. Mudah-mudahan komponen “bahasa Melayu tinggi”
1
dapat diintegrasikan dalam pelaksanaan kempen tersebut. Konsep
bahasa sebagai “warisan tidak tampak” atau “warisan tidak ketara”
sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005
perlu dikembangkan dan direalisasikan dalam kehidupan masyarakat.
ii. Media, baik media cetak mahupun media elektronik perlu
meningkatkan peranannya dalam pembudayaan bahasa Melayu
tinggi. Kita barangkali memang tidak dapat membendung fenomena
bahasa rojak, slanga dan segala bentuk bahasa yang mewakili realiti
sosial yang ada. Namun, dengan mengupayakan penyajian programprogram
yang dapat memasyarakatkan bahasa Melayu tinggi, bahasa
Melayu dapat bertahan sebagai bahasa yang mewakili budaya tinggi.
Dengan demikian tidaklah menular fenomena “sekerat ular sekerat
belut” (seperti yang diistilahkan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim)
dalam penggunaan bahasa bagi tujuan yang rasmi. Yang sungguhsungguh
kita bimbangi ialah kegagalan masyarakat menempatkan
ragam bahasa yang betul pada konteks dan situasinya. Sebagaimana
kita tidak mengharapkan bahasa yang baku digunakan dalam
komunikasi sehari-hari tidak rasmi, maka tidak harus kita terima
penggunaan bahasa ragam kolokial dalam urusan rasmi dan ilmiah.
3. Langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional
Bahasa Melayu perlu dirancang menjadi bahasa supranasional, iaitu
bahasa serantau dan bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu yang gemilang
dalam zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melayu ialah bahasa yang tidak terikat
oleh batas geopolitik. Oleh itu, dalam upaya memperkuat bahasa Melayu di
peringkat negara, segala upaya memadukan kerjasama dengan negara-negara
berbahasa Melayu yang lain dan mana-mana sahaja pihak yang dapat
membantu melonjakkan citra dan kedudukan bahasa Melayu hendaklah
dilaksanakan. Sekali lagi kita perlu belajar daripada rakan bukan Melayu kita
yang mempunyai rangkaian yang cukup erat dalam pakatan Cina antarabangsa.
Sekretariat Melayu Antarabangsa perlu digerakkan semula. Kongres Dunia
1






Di antara tanda kebesaran Allah SWT ialah menciptakan manusia berbagai-bagai bangsa dan bahasa. Setiap bangsa dikurniakan bahasa sebagai alat untuk berurusan di antara satu sama lain demi mencapai kesejahteraan hidup. Bahasa mempunyai medan yang luas untuk digunakan, sama ada untuk kebaikan atau kejahatan dan berperanan utama dalam pembinaan tamadun sesuatu bangsa. Kerana itulah masyarakat Melayu menganggap bahawa bahasa itu merupakan jiwa kepada sesuatu bangsa dan telah di ungkapkan dalam pepatah masyarakat Melayu seperti, “Bahasa menunjukkan bangsa, Bahasa jiwa bangsa”.
Agama Islam menyarankan umatnya berbahasa dengan bahasa yang terbaik kerana ia mencerminkan tahap keimanan  dan ketakwaan seseorang. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25:
 Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit Ia mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat.”
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam sejarah perkembangan tamadun Melayu-Islam, bahasa Melayu berfungsi sebagai tonggak dalam proses pembudayaan semula masyarakat. Walaupun sumber ajaran agama Islam dalam bahasa Arab namun, proses penyebaran ajaran Islam kepada masyarakat Melayu tidak menggunakan bahasa Arab. Dakwah Islamiah ke rantau alam Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai alat pengantara penyebaran ajaran Islam.  
Kita amat menghargai perjuangan tokoh-tokoh ilmuwan dan agamawan Melayu tersohor seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syamsuddin al-Sumaterani, Abdul Rauf Singkel, Abdul Samad al-Falambani, Sheikh Daud al-Fatani, Arshad a-Banjari, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi dan lain-lain lagi yang telah mengarang dan menyebarkan pemikiran agama dengan menggunakan bahasa Melayu.
Kitab-kitab karangan mereka ini, kini telah menjadi sumber khazanah pemikiran umat Melayu-Islam. Hal ini jelas membuktikan betapa tahap dan kualiti pemikiran yang telah berjaya dicapai telah menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana penyebarannya. Peranan  mereka dalam usaha mengungkapkan pemikiran dan ajaran Islam menggunakan wahana bahasa Melayu merupakan sumbangan teragung dalam pembentukan tamadun umat Melayu yang unik dan utuh hingga kini.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Setelah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu disempurnakan melalui penggubalan undang-undang. Dalam perkara 152 mencatatkan bahawa Perlembagaan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara kita. Malah dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan. Dalam Akta Pendidikan pula menyatakan bahasa Melayu ialah bahasa pengantar utama di institusi pendidikan.
Apabila undang-undang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi  dan bahasa pengantar utama di institusi pendidikan maka tugas untuk memperkasakannya hendaklah sama-sama kita dukung dengan mengambil langkah seperti berikut:
Pertama: Setiap warganegara Malaysia hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul bersesuaian dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Kita hendaklah menjauhkan dari menggunakan bahasa rojak atau sekerat bahasa Melayu dan sekerat bahasa Inggeris.
Kedua: Bahasa Melayu hendaklah digunakan secara meluas di semua peringkat seperti urusan surat-menyurat, majlis-majlis rasmi dan mesyuarat hendaklah diadakan dalam bahasa Melayu. Semua papan tanda, iklan dan nama-nama kawasan perumahan juga hendaklah menggunakan bahasa Melayu.  
Kita merasa bangga kerana bahasa Melayu telah dituturkan oleh lebih daripada 250 juta manusia dan telah menjadi salah satu bahasa yang ditawarkan untuk dipelajari di 118 institusi pengajian tinggi di dunia. Tujuan utama dasar ‘Memartabatkan Bahasa Melayu’ adalah untuk masyarakat menguasai bahasa Melayu pada tahap yang baik sehinggakan mereka ini boleh menggunakan bahasa tersebut untuk segala maksud bersesuaian dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama warga Malaysia dan bahasa ilmu. Mereka yang mahir berbahasa Melayu inilah yang akan memartabatkan bahasa Melayu dan memacu pembinaan sebuah negara bangsa yang bercitrakan ‘ 1Malaysia ’.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam membina tamadun ummah bahasa berperanan besar antaranya sebagai alat penyebaran agama dan dakwah, alat perpaduan, alat ekonomi dan alat pendidikan serta budaya. Sejarah membuktikan bahawa bahasa berperanan dalam penyebaran dan pengukuhan agama. Rasulullah SAW menganjurkan kepada para ilmuwan dan agamawan agar dalam usaha menyampaikan ajaran agama Islam kepada masyarakat, maka pengungkapannya hendaklah setimpal dengan kadar kemampuan berfikir masyarakat setempat. Tentulah, kadar kemampuan tersebut meliputi juga tahap dan keupayaan berbahasa.
Walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi agama Islam menggalakkan umatnya menguasai bahasa asing. Dalam kitab Sahih Bukhari ada menyebut, setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda memerintah Saidina Zaid bin Thabit supaya mempelajari dua bahasa iaitu bahasa Sirianiah dan Ibriah( bahasa kitab Injil dan Taurat ). Saidina Zaid bin Thabit mempelajari kedua-dua bahasa tersebut dalam masa 12 hari sahaja. Sabda Rasulullah SAW :
 Maksudnya: “Dan telah memerintahkan Nabi SAW Zaid bin Thabit supaya mempelajari bahasa Suryani. (Riwayat Iman Ahmad)
Persoalannya kenapa Rasulullah SAW memerintahkan sedemikian?  Ini kerana Rasulullah SAW mahu melihat dari kalangan umat Islam cendekiawan-cendekiawan yang dapat menguasai bidang-bidang ilmu lain yang menjadi nadi kekuatan umat. Keupayaan menguasai banyak bahasa menentukan umat Islam dapat mengelak dari tertipu dan terpedaya dengan umat-umat lain.  Baginda ada bersabda kepada Zaid bin Thabit RA, “Wahai Zaid, pelajarilah tulisan Yahudi untukku, kerana sesungguhnya aku tidak mempercayai Yahudi itu untuk menulis suratku.”Zaid berkata, “Lalu aku mempelajarinya”.
Demikianlah juga kata-kata hukama’: 'Barangsiapa menguasai bahasa sesuatu kaum itu, maka dia akan terselamat dari tipu daya mereka'. Diriwayatkan juga bahawa Abdullah Ibn Zubair mempunyai 100 orang khadam yang berlainan bahasa, dan beliau berbicara dengan mereka dalam bahasa setiap seorang dari mereka.
Al-Quran telah menggunakan bahasa sebagai wasilah dakwah. Allah SWT menerapkan penggunaan bahasa yang agung dalam menyentuh hati manusia. Mereka yang mempelajari pendidikan al-Quran dan as-Sunnah tentang ayat Makkiyyah dan Madaniyyah tentunya memahami hakikat ini. Ayat al-Quran Makkiyyah menggunakan ayat-ayat pendek dan bersastera kerana penduduk Mekah kebanyakannya mahir berbahasa dan mampu menangkap maksud ayat yang diturunkan. Penduduk Madinah pula tidak sehebat penduduk Mekah dalam berbahasa maka ayat al-Quran Madaniyyah menggunakan ayat yang panjang-panjang untuk menerangkan sesuatu serta menggunakan bahasa jelas pada maksudnya. Penggunaan bahasa yang hebat ini bukan sahaja membuatkan manusia mudah menerima Islam, tetapi turut merangsang perkembangan pemikiran sehingga menjadi pemangkin kemajuan umat Islam.
Muslimin yang diRahmati Allah,
Mengakhiri khutbah ini marilah kita menginsafi  bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab bersama.  Justeru mimbar menyeru kepada semua pihak agar  menyumbang tenaga dan fikiran untuk terus mengangkat martabat bahasa melayu ini agar ia menjadi bahasa agama, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa budaya kita.  Dengan menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan tidak menghalang bahasa ibunda setiap kaum dituturkan serta tidak pula menyekat penggunaan bahasa lain, ia akan menghasilkan sebuah negara yang makmur, sejahtera serta disegani kawan dan lawan. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah Ali- Imran ayat 7:
 Maksudnya:"Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran." 


Pelaksanaan Perancangan Bahasa

Mengikut model ini, pelaksanaan perancangan bahasa pada peringkat kebangsaan adalah dilaksanakan oleh sebuah agensi perancangan bahasa kerajaan. Dalam konteks negara kita Malaysia, tugas ini didukung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Agensi ini akan melaksanakan tiga buah tugas, iaitu: perancangan, pelaksanaan dan penilaian seperti dalam model di atas. Baginya, penilaian adalah sangat penting di dalam memastikan langkah-langkah yang dijalankan itu berjaya atau sebaliknya.

Jadi, dapat kita lihat bahawa perancangan bahasa melibatkan usaha mengumpulkan data daripada penyelidikan baik dari segi bahasa atau budaya bahasa dan membentuk rancangan yang mungkin dilakukan, dan membuat rancangan awal yang diperlukan dalam menentukan keputusan mengenai pemilihan dan pembentukan dasar bahasa. Usaha-usaha ini dilakukan setelah sebuah bahasa itu telah dipilih menjadi bahasa kebangsaan.
Pelaksanaan melibatkan pengekodan norma dan usaha penyebaran kod-kod ini. Penilaian pula akan melibatkan penafsiran terhadap hasil dari kegiatan perancangan dan rancangan pelaksanaannya. Proses ini melibatkan perancangan dan pembinaan bahasa dan akan memberi maklum balas kepada agensi berkenaan mengenai aktiviti tersebut. Budaya sesuatu masyarakat bahasa akan berubah mengikut perkembangan dan keperluan masa. Ini akan menghasilkan perkembangan bahasa masyarakat tersebut. Perkara yang berlaku ialah satu kitaran baru di dalam proses perancangan bahasa akan bermula, iaitu penentuan norma, pengekodan dan penyebaran akan berlaku seperti model berikut:

Penyebaran
Pengenalpastian
norma awal
Pengekodan
Pengenalpastia norma
Masyarakat bahasa
Perubahan bahasa dan budaya

Perancangan Bahasa
Jenis Perancangan Bahasa

Ada beberapa aktiviti yang telah dijalankan di dalam perancangan dan pelaksanaan perancangan bahasa. untuk melihat aktiviti-aktiviti yang dilakukan, kita akan melihat beberapa contohnya. Karam juga telah menggolongkan beberapa jenis aktiviti perancangan bahasa tersebut seperti berikut:

1. Pembinaan satu dialek atau bahasa untuk menjadi bahasa kebangsaan seperti yang berlaku di Indonesia (Melayu), Filipina (Tagalog), dan Malaysia (Melayu) dan Norway (Landsmal).

2. Pembinaan semula bahasa kuno yang sudah luput dan menjadikannya bahasa kebangsaan seperti di Ireland (Gaelik) dan Israel (Hebrew).

3. Pembendungan, atau penyatuan rasa dan ketaatan yang bercanggah terhadap bahasa seperti di Norway dan India.

4. Perubahan yang dilakukan secara besar-besaran, dan biasanya ini melibatkan misalnya penukaran atau pembetulan abjad dan pengembangan dan pembaikan kosa kata (peristilahan) seperti kes Turki.

5. Aktiviti yang dikawal atau terancang yang hanya melibatkan pembentukan istilah seperti di Mesir, Jenpun dan Korea.

6. Aktiviti dan cadangan yang melibatkan pembaikan abjad seperti kes di China, Jepun dan India.

Kesimpulan

Proses perancangan bahasa ini adalah terbit daripada falsafah yang menganggap bahawa bahasa itu adalah lakuan manusia yang serupa dengan alat. Sesuatu alat boleh dirancangkan untuk diperbaiki, dan sesuatu alat itu boleh diperbaiki dari segi ejaannya, tatabahasanya, istilahnya, dan penggunaan bahasa itu secara umumnya untuk menjadi lebih efisien. Ini berpandukan kepada norma ideal yang telah dikenal pasti dan dikodkan. Negara Malaysia, memang terlibat secara langsung di dalam hal ini untuk lebih daripada tiga puluh tahun lalu. Sebenarnya usaha merancangkan bahasa Malaysia ini berlaku begitu pesat sekali sehingga menimbulkan banyak perubahan kepada bahasa Malaysia. Pendek kata, Malaysia terlibat di dalam semua peringkat perancangan bahasa, dan melakukan semua aktiviti yang dibincangkan di atas. Banyak kebaikan dan masalah yang turut timbul. Dalam hal ini Malaysia dapat menjadi satu model perancangan bahasa di dunia. Oleh itu proses-proses ini perlulah dicatatkan demi untuk memahami falsafah dan aktiviti yang dilakukan untuk memenuhi tujuan tersebut.


BAHASA KEBANGSAAN
•Bahasa kebangsaan merupakan sebuah bahasa yang melambangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa atau negara secara unik.
•Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang diangkat menjadi bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut.
•Bahasa tersebut merupakan lambang jati diri negara dan kewarganegaraan, bukti tentang kedaulatannya yang membolehkan sesebuah negara berdiri sama tinggi dan
duduk sama rendah dengan negara berdaulat yang lain.
•Bahasa kebangsaan biasanya digunakan untuk wacana politik dan undang-undang dan ditetapkan di dalam sesebuah kerajaan.
•Bahasa kebangsaan boleh menjadi bahasa rasmi tetapi tidak semestinya. Bahasa kebangsaan juga mungkin berbeza dengan bahasa yang umum digunakan rakyat
sesebuah negara.
•Semua negara yang berdaulat mempunyai bahasa kebangsaan sendiri. Misalnya, Bahasa Melayu diMalaysia, Bahasa Inggeris di United Kingdom, Bahasa Perancis di Perancis, Bahasa Jepun di Jepun, danBahasa Jerman di Jerman.
•Sesetengah negara mempunyai lebih dari satu bahasa kebangsaan.
•Contoh negara Kanada yang menggunakan bahasa Perancis dan Inggeris sebagai bahasa kebangsaannya.

Globalisasi cabar bahasa Malaysia

Oleh SALMAH ZAINAL ABIDIN
BAHASA memainkan peranan yang penting dalam masyarakat apatah lagi dalam masyarakat yang pelbagai bangsa, berbilang agama dan mengamalkan cara hidup yang berlainan. Dalam konteks negara kita, bahasa Malaysia telah membuktikan kemampuannya dalam menyatukan seluruh bangsa yang ada di negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Dasar dan perancangan bahasa yang baik dan cekap serta pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan telah memupuk hubungan kaum yang mantap di Malaysia. Sungguhpun demikian, usaha melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bukanlah suatu langkah yang tidak mendapat bantahan, tanpa cabaran dan dapat dilaksanakan dengan terlalu mudah.
Sejarah 50 tahun kemerdekaan negara ini sedikit sebanyak menampilkan beberapa insiden yang cuba menggugat dan mencabar keistimewaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Namun demikian, dengan kebijaksanaan dan sikap tolak ansur pemimpin daripada semua kaum utama telah dapat membantu meleraikan konflik dan kekusutan yang dihadapi pada peringkat awal dasar bahasa kebangsaan dilaksanakan. Syarahan Perdana terbitan Penerbit UKM (2007) bertajuk Kekompleksan `Prihatin Bahasa' dalam Masyarakat Multietnik Malaysia, oleh Prof. Dr. Saran Kaur Gill, profesor sosiolinguistik dan komunikasi antarabangsa di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM menekankan kekompleksan isu-isu bahasa yang dihadapi oleh beberapa masyarakat terpilih di Malaysia yang merupakan sebahagian daripada landskap etnik yang pelbagai.
Kekompleksan bahasa yang dimaksudkan oleh Saran Kaur Gill diwarnai oleh beberapa keperluan pembangunan bangsa yang terdapat pada detik-detik berbeza dalam sejarah negara. Perjalanan bermula dengan perjuangan pada zaman selepas merdeka apabila munculnya semangat kebangsaan yang kuat untuk menggantikan bahasa penjajah, iaitu bahasa Inggeris dengan bahasa kebangsaan yang boleh berperanan sebagai lambang identiti dan perpaduan negara yang didukung oleh pelbagai kaum dan ras.
Dengan beberapa alasan sejarah, termasuk keterbiasaan semua bangsa dengan bahasa yang telah diterima sebagai lingua franca di alam Melayu, maka bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa yang berperanan bukan sahaja sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tetapi juga sebagai bahasa pendidikan. Akibatnya, bahasa Inggeris dengan sendirinya tidak digunakan lagi seluas dahulu dan dengan perubahan masa dan pengaruh bahasa-bahasa lain, wujudlah subvarieti bahasa Inggeris Malaysia.
Bahasa Malaysia telah membuktikan keberkesanannya sebagai alat penyatuan kaum, yang menjadi jambatan menghubungkan pelbagai etnik di negara ini, bahasa peringkat tinggi di universiti dan mampu pula dikuasai oleh pelbagai pemimpin politik sungguhpun mereka datang daripada pelbagai kepentingan yang berteraskan kaum masing-masing.
Kini, dengan perubahan dan cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi, kecenderungan sekarang adalah bagi mempersiapkan setiap rakyat agar dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di seluruh dunia. Justeru, bahasa Inggeris akan mendapat tempat sama penting dengan bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia pula akan tetap kekal sebagai bahasa rasmi sebagaimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sejak merdeka, Malaysia menghadapi sedikit sebanyak cabaran dasar bahasa dan perancangan dengan berlatarbelakangkan penduduk berbilang bangsa dan bahasa. Cabaran ini muncul akibat asas yang berbeza untuk memelihara dan mengekalkan identiti linguistik negara, etnik dan antarabangsa. Asas ini melintasi antara setiap suatu bangsa dengan yang lain sehingga menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan rakyat. Merosotnya kepentingan bahasa Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan teknologi telah memberi kesan ke atas peranannya sebagai bahasa pendidikan, pemeliharaan dan pengekalan identiti linguistik negara dalam menghadapi globalisasi.
Bahasa etnik masyarakat minoriti kecil yang semakin terhakis dan mutu bahasa Inggeris Malaysia yang boleh diterima di peringkat antarabangsa adalah antara isu yang kita hadapi selepas 50 tahun merdeka. Dalam hal ini, globalisasi menuntut kita merangka tindakan dasar dan perancangan bahasa yang membolehkan negara merancang dan membantu rakyatnya yang berbilang bangsa membina identiti etnik, negara dan antarabangsa. Pertama, perlulah kita merancang sumber untuk terus mempertingkatkan dan memperkembangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan kita semasa bahasa itu tercabar oleh gelombang globalisasi. Kedua, perlunya kita melahirkan sumber insan yang dibekalkan dengan kecekapan bahasa Inggeris supaya dapat memperoleh identiti antarabangsa untuk terus cemerlang. Ketiga, jaminan bahawa identiti etnik sedang dipertimbangkan melalui peruntukan terancang bagi pengajaran bahasa etnik.
Perancangan dasar bahasa yang mantap ini akan mengekalkan kemandirian bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dan pada masa yang sama terus mengekalkan peranannya yang penting sebagai alat perpaduan kaum di sebuah negara merdeka yang didiami oleh pelbagai kaum. Kemerdekaan negara akan terus didukung oleh semua bangsa dengan menggunakan bahasa yang sama. Sebagai sarjana bahasa dan ahli linguistik yang bukan pula berbangsa Melayu, buku ini jelas memperlihatkan pandangan penulisnya yang jujur akan cabaran yang telah dan bakal dihadapi oleh bahasa Malaysia dalam sebuah negara berbilang kaum.
Berdasarkan pemerhatiannya ke atas apa yang telah Malaysia hadapi, Prof. Saran yang kini memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), UKM menampilkan saranannya agar bahasa Malaysia terus diterima oleh setiap pihak sebagai bahasa penyatuan setiap warga Malaysia. Pembinaan bangsa Malaysia berteraskan bahasa yang tunggal telah melalui sejarah yang manis. Namun, dengan ketibaan globalisasi kita perlu melihat kembali apa yang perlu diperbetulkan kerana kita kini menghadapi suasana yang sama sekali berbeza dengan apa yang kita lalui 50 tahun lalu.

Satu Malaysia Satu Bahasa: Bahasa Asas Perpaduan oleh Prof. Madya Dr. Indirawati Zahid, dalam Agenda Bahasa DB Jan. 2010

by Dewan Bahasa on Tuesday, December 22, 2009 at 5:06pm
Fasal (1) Perkara 152 dalam Perlembagaan telah memaktubkan bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Sehubungan dengan label yang diberikan ke atas bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, secara langsungnya menunjukkan kepentingan tersebut dalam negara Malaysia.

Berpadanan dengan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu diharapkan dapat menjadi penyatu kepada kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia. Hasrat ini merupakan hasrat murni tanpa menidakkan hak bangsa lain, seperti Cina dan India dalam mengekalkan hak mereka untuk berbahasa dalam bahasa ibunda masing-masing.

Sehubungan dengan hasrat tersebut, sistem pendidikan kebangsaan dipecahkan kepada dua model, iaitu sekolah yang berteraskan bahasa kebangsaan dan sekolah yang berteraskan bahasa lain, selain daripada bahasa kebangsaan. Sekolah yang berteraskan bahasa kebangsaan bermaksud sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, manakala sekolah yang berteraskan bahasa lain merujuk kepada kategori sekolah jenis kebangsaan, seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang menggunakan bahasa Mandarin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar, selain bahasa Melayu sebagai salah satu mata pelajaran wajib diajarkan dan dipelajari.

Pembentukan sistem pendidikan yang sedemikian rupa adalah untuk menggantikan sistem pendidikan semasa zaman kolonial yang mempunyai empat sistem pendidikan yang terpisah, iaitu pendidikan Melayu, Cina, India dan Inggeris. Sekolah Melayu, Cina dan India ini dikenali sebagai sekolah vernakular. Sekolah-sekolah ini berbeza antara satu sama lainnya dari aspek bahasa pengantar, kurikulum, kandungan kurikulum yang digunakan, dan penawaran peringkat pendidikan yang ditawarkan. Bagi sekolah Melayu dan Tamil, pendidikan ditawarkan sehingga tahun enam sekolah rendah, manakala sekolah Cina sehingga menengah rendah, dan sekolah Inggeris pula sehingga peringkat tinggi.

Lazimnya sekolah vernakular ini dihadiri oleh murid-murid dari bangsa yang sama atas kepercayaan bahawa sekolah Melayu, Cina dan India ini mewakili etnik masing-masing. Kewujudan sekolah seperti ini secara eksplisit dan implisitnya telah menggambarkan pengasingan antara bangsa yang menghuni Tanah Melayu semasa itu. Sistem pendidikan inilah yang menjadi sistem pendidikan semasa zaman colonial, yang membenarkan pembinaan dan pembentukan sekolah yang sedemikian rupa sebagai usaha memisah-misahkan bangsa yang menjadi penghuni di Tanah Melayu.

Implikasinya, apabila sekolah-sekolah seperti ini wujud, maka misi dan visi mereka sememangnya bertuankan negara asal mereka tanpa menghiraukan apa-apa yang berlaku dan yang ada di bumi yang hanya dianggap sebagai tempat persinggahan sementara, walaupun kekal bermastautin di sini. Misalnya, semasa itu pendidikan sekolah vernakular Cina menggunakan buku-buku yang dibawa dari negara China, manakala murid-muridnya ditanamkan semangat dan rasa cinta akan negara tumpah darah nenek moyang mereka sebagai salah satu objektif utamanya. Kesan terhadap negara, sangat negatif kerana sangat sukar untuk membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Masing-masing bangsa tidak ingin bersatu padu, bukan sahaja kerana memiliki pandangan dan ideologi yang berbeza, tetapi juga kerana memiliki bahasa, kepercayaan, budaya dan warna kulit juga berbeza.

Mengambil ikhtibar terhadap keadaan yang berlaku semasa zaman kolonial itu, maka sekolah vernakular yang sedemikian rupa tidak diteruskan lagi. Hal ini adalah kerana, bagi sebuah negara yang merdeka dan ingin terus merdeka, kedamaian dan kemajuan negara bangsa menjadi agenda utama, dan penyatuan antara bangsa yang pelbagai ini telah diusahakan dengan pelbagai cara. Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuklah mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu pada semua peringkat sekolah, baik rendah mahupun menengah, dan diajarkan di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Lanjutan daripada usaha tersebut, perkembangan pendidikan terkini ialah pihak pemerintah akan mewujudkan sekolah wawasan untuk penyatuan bangsa dan sebagai ruang untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan bangsa.

Perancangan dan pelaksanaan sekolah wawasan yang menyatukan dua atau tiga buah sekolah rendah yang berlainan aliran di dalam kawasan yang sama, merupakan usaha terkini pihak pemerintah dalam merealisasikan hasrat negara bangsa. Dalam penubuhan sekolah wawasan ini, sekolah yang berlainan aliran akan berkongsi kemudahan asas, seperti padang, kantin, dan lapangan perhimpunan tanpa menidakkan peranan sedia ada sekolah jenis kebangsaan yang terpilih dalam kelompok pembentukan sekolah wawasan tersebut.

Secara eksplisitnya, pembentukan sekolah wawasan ini adalah untuk menyatukan dua atau tiga buah sekolah yang dahulunya berasingan menjadi satu. Secara implisitnya pula adalah untuk membentuk satu kesatuan pendidikan dalam jumlah yang lebih besar. Walaupun masih mengekalkan Kurikulum Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan, manakala sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, masing-masingnya mengekalkan bahasa Mandarin dan Tamil, situasi ini tidak menghalang usaha penyatuan ketiga-tiga bangsa tersebut.

Dengan penubuhan sekolah wawasan, usaha mewajibkan mata pelajaran bahasa Melayu tidak lagi dianggap sebagai usaha utama kerana usaha ini sememangnya telah dilaksanakan sejak sekian lama. Sebaliknya, usaha penyatuan dilaksanakan melalui kaedah yang baharu, iaitu melalui Perhimpunan Bulanan yang melibatkan kedua-dua atau ketiga-tiga buah sekolah. Dalam perhimpunan ini, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasminya, dan penggelompokan dua atau tiga buah sekolah berlainan aliran ini memudahkan usaha negara untuk menyatukan murid-murid ini dalam sebuah kesatuan ke arah pembentukan Satu Malaysia, Satu Bahasa.


Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Wadah Perpaduan Dan Pembangunan: Obligasi Kepimpinan Melayu

Oleh Nurul Himmah Bt Kassan


Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini dijamin melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, maka secara tidak langsung membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi alat perpaduan. Namun dalam menghadapi cabaran globalisasi Bahasa Melayu dilihat antara yang menerima kesan yang sangat mendalam. Era kegemilangan Tamadun Alam Melayu menjadi bukti kehebatan Bahasa Melayu yang menjadi lingua franca dan ia menjadi kekuatan juga kepada bangsa Melayu itu sendiri. Keperluan untuk menguasai Bahasa Inggeris semakin mendesak tetapi dalam masa yang sama bahasa ibunda perlu di pertahan dan dimartabatkan. Dalam kedudukan inilah kekeliruan dan keraguan wujud. Justeru dalam usaha untuk menguasai bahasa Inggeris, bahasa Melayu dirasakan kurang sesuai sebagai bahasa pengantara dan seterusnya sebagai alat perpaduan antara kaum. Namun jika diperhatikan, kejayaan negara maju seperti Jepun dan Korea mampu berjaya menguasai dan menghasilkan teknologi yang inovatif, kreatif dan saintifik melalui bahasa ibunda. Melihat kepada kedudukan Bahasa Melayu yang semakin disisih dan terpinggir oleh masyarakat Malaysia, maka kertas kerja ini cuba memulakan perbincangannya dengan melihat sejarah perkembangan bahasa Melayu, kedudukannya dalam Perlembagaan, institusi-institusi yang terlibat serta isu-isu yang berkaitan pemerkasaan bahasa Melayu ini.


PENDAHULUAN
Suatu fakta yang perlu kita ingati dalam usaha memperkasa Bahasa Melayu adalah bahasa ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan telah terbukti sebagai bahasa yang menjadi tulang belakang pembinaan ketamadunan alam Melayu. Ia juga diangkat menjadi bahasa lingua franca (sebelum abad ke 13 lagi) di seluruh kepulauan Melayu (sebelum kedatangan Barat).

Bahasa ini juga menjadi bahasa pengantar kepada perkembangan agama Hindu dan Islam di alam Melayu yang kemudiannya memperlihatkan ia menerima pengaruh bahasa Sanskrit dan Arab. Oleh kerana bahasa ini ditutur oleh setiap pedagang yang datang ke alam melayu khususnya di Melaka, ia juga menjadi bahasa perdagangan, pendidikan dan sebagainya. Bagaimanapun keunggulan dan kemegahan bahasa Melayu ini mulai merudum dan jatuh taraf serta statusnya di zaman British. Ia tidak lagi menjadi bahasa pengantaraan tetapi hanya sebagai bahasa pasar. Kesan dari dasar pecah dan perintah oleh British telah membawa perubahan kepada sistem politik, sosial dan budaya. Melalui sistem pendidikan vernakular, bahasa Inggeris menjadi bahasa utama di sekolah-sekolah Inggeris yang mana tahap pendidikannya berakhir hingga ke universiti. Menurut Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain dalam “Pembinaan Bahasa Melayu Perancangan Bahasa di Malaysia” (1982: 6) berbanding sekolah Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, ia berakhir setakat sekolah rendah (6 tahun sahaja) yang hanya menjadikan anak-anak Melayu lebih baik sedikit dari ibu bapa mereka dan terus mewarisi ekonomi yang rendah. Bahasa Cina dan Tamil juga menjadi saingan bahasa Melayu apabila semakin ramai imigran dari India dan China masuk ke Tanah Melayu dan ia dikembangkan lagi melalui sistem pendidikan yang dibiayai oleh mereka sendiri.

Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan selepas negara mencapai kemerdekaan dan berkerajaan sendiri. Sebelum merdeka, Malaya yang ditadbir oleh British menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama tetapi setelah mencapai kemerdekaan, maruah bangsa perlu dipelihara dan bangsa yang bermaruah mesti mempunyai bahasa kebangsaan sendiri. Oleh sebab itu Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman menyatakan (Abdullah Hassan, 1997):,“kita berhak menghendaki bahasa kita sendiri. Apabila kita mempunyai bahasa kebangsaan sendiri, kita akan bersatu dan mempunyai watak sendiri. Untuk kepentingan kebangsaan, bahasa penjajah perlu digantikan dengan sebuah bahasa peribumi”

BAHASA SEBAGAI ALAT PERPADUAN DAN PEMBANGUNAN
Taraf bahasa Malaysia dari segi ekonomi dan perjawatan juga dipertingkatkan. Kelulusan kepujian bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia menjadi satu keperluan bagi mendapat jawatan ataupun untuk diserap ke jawatan tetap. Kelulusan Bahasa Malaysia pada peringkat kemahiran bertutur juga menjadi syarat untuk lulus dalam peperiksaan ijazah di universiti. Walaupun peraturan ini kemudiannya menyebabkan ramai yang gagal dalam SPM dan menerima banyak bantahan tetapi kementerian Pelajaran tetap tegas melaksanakannya. Buku teks yang dicetak dalam bahasa Malaysia juga ditambah dengan kerjasama DBP.Di kalangan pengamal media pula, kerajaan memperluaskan penggunaan bahasa Malaysia dalam siaran radio dan televisyen atau alat sebaran am yang lain. Hanya masalah yang masih belum selesai dari dahulu hingga kini ialah penggunaan atau struktur ayat yang tidak tepat dan bercampur aduk antara bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia pada papan iklan dan papan tanda. Secara tidak langsung ia menjatuhkan martabat bahasa itu sendiri di samping tidak pekanya masyarakat dalam menggunakan struktur yang betul dalam bahasa Malaysia.

Jika dilihat dalam bidang kewangan dan perdagangan, bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa lingua franca tetapi juga bahasa perdagangan yang membolehkan pedagang-pedagang Arab, Cina, India dan orang Melayu berurus niaga. Tetapi pada zaman Kerajaan Melayu Melaka mata wang syiling yang dikeluarkan dicetak dengan nama Sultan yang memerintah dan gelaran Islam baginda di sebelah lagi dengan menggunakan tulisan Arab. Jadi bahasa Melayu kurang digunakan lagi pada mata wang ketika itu. Pada zaman British pula, 1938 Lembaga Suruhanjaya Mata wang Malaya ditubuhkan dan telah mengeluarkan wang kertas menggunakan dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu tulisan Jawi. Apabila British kembali ke Tanah Melayu selepas jepun kalah, bahasa Melayu tulisan Jawi sekali lagi digunakan dalam urusan kewangan (walaupun sedikit sahaja).Wang-wang kertas pertama telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada 1967 yang melambangkan identiti negara dan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Namun dalam urusan bank, penggunaan bahasa Inggeris cukup meluas, ditambah bank-bank tersebut pula adalah milik orang asing. Walaupun ada Akta bahasa Kebangsaan 1967 tetapi ia tidak melibatkan urusan pihak swasta (termasuk sektor kewangan dan perbankan) (Ahmad Mohd Yusof 1995:35-36).

PERANAN BADAN KERAJAAN MEMPERKASA BAHASA
Agensi-agensi kerajaan adalah jentera pelaksana dasar bahasa Melayu. Antara badan penting yang ditubuhkan ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP (atau nama asalnya Balai Pustaka) ditubuhkan 22 Jun 1956 untuk menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu. Melalui Ordinan Dewan bahasa dan Pustaka 1959, DBP dinaikkan taraf lagi menjadi sebuah badan berkanun. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa: (http://ms.wikipedia.org/wiki/Dewan_Bahasa_dan_Pustaka):

•Mengubal dasarnya yang khusus

• Menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera

• Menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku yang serupa dengan sektor swasta.

Pada awal penubuhannya, DBP ditugaskan untuk mencipta ejaan, istilah, kamus dan tatabahasa, juga menyatukan bahasa Melayu serantau serta mengembangkan sastera Melayu. Ia juga ditugaskan untuk membawa masuk ilmu ke dalam bahasa Melayu (Abdullah Hassan Januari Mac 1999:115). Pada 14 September 1993 pula, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB) ditubuhkan untuk mengambil alih tugas DBP bagi menterjemahkan buku ilmu.Selain DBP, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga mempunyai tanggung jawab untuk memperkasakan bahasa Melayu kerana merekalah yang memberi kelulusan papan tanda atau papan iklan. Dalam hal ini mereka perlu bekerjasama dan meminta khidmat nasihat pihak DBP dalam penggunaan bahasa yang betul.

ISU DAN CABARAN BAHASA MELAYU
Mendepani era kepesatan teknologi maklumat dan hegemoni bahasa Inggeris, bahasa ibunda adalah antara yang menerima kesan yang mendalam. Antara isu dan cabaran dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu ialah:1. Penggunaan struktur bahasa Melayu yang tidak betul atau penggunaan bahasa Inggeris secara meluas pada papan tanda iklan.2. Penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai bidang ilmu di sekolah hingga ke universiti3. Wujud pihak tertentu yang cuba mempertikaikan kedudukan atau mencabar bahasa Melayu4. Pengguasaan bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia.5. Penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris di kalangan pengamal media.6. Kesungguhan dan perjuangan pemimpin kini memartabatkan bahasa7. Bahasa Inggeris dianggap bahasa maju dan bahasa Melayu bahasa mundur8. Kurang keyakinan daripada rakyat Malaysia sendiri terhadap kemampuan bahasa Melayu

KESIMPULAN
Bahasa jiwa bangsa, tetapi masih berjiwakah bahasa itu pada bangsa Malaysia. Sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan sebuah tamadun itu juga bersama bahasanya. Negara-negara seperti Jepun, Peranchis, Jerman dan sebagainya berjaya dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Impak dasar pecah dan perintah, orang Melayu yang dikelompokkan di kawasan luar bandar juga tertinggal jauh dalam pendidikan mereka. Bahasa Inggeris berpusat di kawasan bandar. Apabila sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar sepenuhnya hingga ke peringkat IPT, ia telah berjaya membawa pendidikan ke semua lapisan masyarakat. Ia telah melahirkan rakyat berilmu dan seterusnya membantu penjanaan ekonomi negara. Secara tidak langsung orang Melayu juga meningkat pendidikannya.

Namun dalam persaingan globalisasi hari ini, seluruh pelosok masyarakat dari peringkat atas hingga ke bawah merasai keperluan untuk mempelajari dan menguasai bahasa kedua iaitu bahasa Inggeris. Namun dalam hal ini sebahagian dari rakyat Malaysia tidak berkeyakinan dengan bahasa Melayu itu sendiri sehingga ia dipinggirkan terus dan celaru bagaimana untuk mempertahankan bahasa ibunda. Baik masyarakat atau pemimpin sudah meletakkan bahasa Inggeris lebih ke hadapan daripada bahasa Melayu. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini juga sebahagiannya tidak lagi menjadikan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi sebaliknya lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris.

Di sinilah letaknya cabaran untuk melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam masa yang sama bahasa Inggeris perlu dikuasai, sedangkan kedudukannya sudah lagi tidak dipertikaikan dalam perlembagaan. Ibarat kata Awang Sariyan (1984), kegagalan menguasai bahasa kebangsaan bererti gagal melaksanakan tanggung jawab menjayakan penyatuan bangsa.Melalui bahasa juga identiti bangsa itu terserlah kerana ia akan memancarkan nilai dan konsep budaya bangsa itu. Dalam keadaan bahasa Melayu mendapat tempat di lebih 115 universiti di 35 negara yang mengajar bahasa Melayu, rakyat Malaysia pula bersikap seolah-olah malu dengan bahasanya sendiri. Keyakinan bangsa itu sangat penting untuk melihat bahasa Melayu terus berada pada kedudukan yang sepatutnya dan bahasa Melayu itu juga bukan hak kaum Melayu tetapi bahasa kebangsaan iaitu bahasa milik rakyat Malaysia.


BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan (1987). Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka


Abdullah Hassan (1997). Bahasa Melayu Sebagai bahasa Ilmu dan Esei-Esei Lain. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.Abdullah Hassan (Januari-Mac 1999). Agensi Kerajaan dan Bahasa Melayu dalam Pemikir. Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Bhd.


Asmah Haji Omar (1984). Pengajaran bahasa Malaysia Dalam Konteks Perancangan Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
cikgusue




Pemodenan Korpus Bahasa Melayu
Pemodenan Korpus Bahasa Melayu bergerak melalui beberapa program, iaitu Bank Istilah Berkomputer dalam Talian (Bikomta), Kerjasama Kebahasaan Peringkat Serantau, Pembinaan dan Pemantapan Korpus Bahasa Melayu, Sebutan Baku Bahasa Melayu, Penyusunan dan Penulisan Sejarah Bahasa Melayu, Kodifikasi Bahasa Melalui Perkamusan dan Pengkomputeran Bahasa Melayu.
i. Bank Istilah Berkomputer dalam Talian (Bikomta)
Penggunaan komputer dalam kerja peristilahan kini semakin meningkat. DBP telah menubuhkan Bikomta yang merupakan satu sistem penyimpanan dan perekodan maklumat tentang istilah yang diterbitkan oleh DBP dengan menggunakan komputer. Sistem ini dimulakan pada awal tahun 1980-an dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM). Keupayaan Bikomta ini ditingkatkan dari semasa ke semasa menyediakan maklumat yang tuntas dan kemas kini tentang sesuatu istilah.
ii. Kerjasama Kebahasaan Peringkat Serantau
Penubuhan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) pada tahun 1972 memulakan era baru dalam kerjasama kebahasaan di rantau ini. Dengan penyertaan negara Brunei Darussalam dalam kerjasama ini, MBIM diperluas menjadi Majlis Bahasa Brunei Darussalam- Indonesia- Malaysia (MABBIM) pada tahun 1985. Singapura juga sering mengikut sidang MBIM dan MABBIM sejak tahun 1983 sebagai pemerhati. Kerjasama ini telah menghasilkan penyeragaman pedoman ejaan dan transliterasi, penyeragaman pedoman pembentukan istilah, di samping penyeragaman istilah-istilah ilmu pengajian tinggi dan profesional.
Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu merupakan hasil yang penting daripada kerjasama tersebut yang telah banyak membentuk kerja-kerja peristilahan. Setelah hampir 25 tahun penubuhannya, MBIM/MABBIM berjaya memperlihatkan hasil kebahasaan yang semakin mantap dimasyarakatkan di ketiga-tiga buah negara. Sejumlah 164049 istilah dalam pelbagai bidang/subbidang ilmu telah berhasil disepakati. Selain itu, sebanyak 40 buah kamus istilah dapat diterbitkan dalam tempoh dari tahun 1986-2002 dan beberapa buah kamus yang lain sedang diusahakan.
Antara hasil kerja peristilahan berbentuk penerbitan sepanjang dua dekad yang lalu termasuklah: (i) Pedoman dan Daftar (enam judul); (ii) Kamus Istilah (empat puluh judul); (iii) Prosiding Seminar Kebahasaan (tiga keluaran); (iv) Jurnal Serantau (tiga keluaran); dan (v) Terbitan Khas: Persidangan dan Keputusan 1972-1992; Ke Arah Pembentukan Istilah yang Sempurna; General Guidelines for the Formation of Terms in Malay; General Terminological Cictionaries; dan MABBIM Wahana Kebahasaan Serantau yang Akrab, Mantap dan Berwibawa.
Sehingga tahun 2002, iaitu sepanjang hampir 46 tahun, DBP telah berjaya menyebarkan sebanyak 752988 istilah menerusi penerbitan dalam pelbagai bidang dan kerja penciptaan istilah terus dijalankan.
iii. Pembinaan dan Pemantapan Korpus Bahasa Melayu
Pembinaan dan pemantapan korpus bahasa Melayu yang diasaskan pada penyelidikan ilmiah terhadap bahasa dan penggunaannya di kalangan masyarakat bertujuan untuk membakukan dan memantapkan aspek-aspek bahasa, seperti sistem ejaan, sebutan,
tatabahasa, sejarah bahasa Melayu, laporan kaji selidik penggunaan bahasa Melayu, dan perancangan pembinaan dan pengembangan bahasa secara menyeluruh.
a. Ejaan Rumi Bahasa Melayu
Pada bulan Mac 1957, DBP telah menerbitkan risalah yang pertama, iaitu Kaedah Ejaan Rumi Bahasa Melayu. Seterusnya, usaha telah dijalankan untuk menggandakan satu sistem ejaan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Pada 27 Jun 1967, kedua-dua negara telah mencapai keputusan muktamad di DBP, dan sistem ejaan bersama Malaysia-Indonesia pun dilaksanakan. Sistem Ejaan Baharu tersebut telah diisytiharkan secara rasmi serentak di kedua-dua buah negara pada 16 Ogos 1972.
Pada tahun 1975, DBP telah menerbitkan sebuah buku pedoman ejaan, iaitu Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu. Dengan terbitnya buku ini, maka sebahagian besar kekeliruan tentang sistem ejaan bahasa Melayu dapat diatasi.
Pada tahun 1981, DBP telah mengeluarkan buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia. Buku yang paling mutakhir tentang sistem ejaan Rumi bahasa Melayu ialah Pedoman Ejaan Rumi Bahasa Melayu yang diterbitkan pada tahun 1996.
b. Ejaan Jawi Bahasa Melayu
Usaha yang dilakukan oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Diraja Johor (1937) dan Allahyarham Zainal Abidin bin Ahmad atau Za’ba pada tahun 1939, merupakan langkah awal ke arah pembinaan dan pemantapan sistem ejaan Jawi di negara ini.
Selepas itu, usaha untuk meneliti dan menyempurnakan ejaan Jawi tidak berlaku sehingga akhir tahun 1970-an, kecuali oleh pihak swasta, seperti penerbit majalah Dian. Dalam dekad 1980-an, usaha untuk membina dan memantapkan sistem ejaan Jawi semakin giat dilakukan. Pada tahun 1981, Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia telah memperakukan supaya sistem ejaan Jawi yang sedia ada hendaklah dikaji semula dan diperkemaskan.
Pada tahun 1996, buku Pedoman Ejaan Jawi Bahasa Melayu diusahakan penerbitannya. Buku ini memuatkan maklumat terkini tentang sistem ejaan Jawi yang disusun berdasarkan dokumen pedoman ejaan Jawi yang telah diterbitkan oleh DBP, dan maklumat yang diselaraskan selepas terbitnya Daftar Ejaan Rumi-Jawi (1989), buku Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan (1993) dan Pedoman Ejaan Jawi Bahasa Melayu telah diterbitkan dan dilancarkan pada tahun 2001.
iv. Sebutan Baku Bahasa Melayu
Perancangan pembakuan sebutan bahasa Melayu merupakan salah satu objektif DBP, iaitu sebagaimana yang termaktub dalam Akta DBP 1959 (disemak 1978/95):
“ (iv) Untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam kebangsaan.”
Pelaksanaan sebutan baku di Malaysia bermula apabila Kementerian Pendidikan memulakan penggunaan sebutan baku di sektor pendidikan pada penggal kedua tahun 1988, berdasarkan Pekeliling Ikhtisas Bil. 11/1988: Pelaksanaan Penggunaan Sebutan Baku Ejaan Rumi Bahasa Malaysia di Sekolah-Sekolah bertarikh 2 April 1988. dengan demikian, DBP telah berjaya menerbitkan beberapa buah buku pedoman sebutan berdasarkan Pedoman Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu (1988), Daftar Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu (1991) dan Pedoman Sebutan Baku Bahasa Malaysia (1994).
v. Penyusunan dan Penulisan Sejarah Bahasa Melayu
Gagasan untuk menyusun sejarah bahasa Melayu timbul dengan adanya keinsafan dan kesedaran terhadap ketiadaan satu dokumen yang lengkap, menyeluruh dan yang berwibawa secara ilmiah tentang sejarah bahasa Melayu. Justeru itu, DBP telah berusaha untuk menyusun sejarah bahasa Melayu sebagai satu projek jangka panjang dan bersifat antarabangsa. Projek ini dimulakan pada awal tahun 1984. Sehingga penghujung tahun 1995, sebanyak 11 penerbitan di bawah siri Monograf Sejarah Bahasa Melayu telah diterbitkan. Pada tahun 2000, Jabatan Bahasa meneroka satu tapak lagi dalam penyusunan sejarah bahasa Melayu, iaitu Projek Sejarah Lisan Perkembangan Bahasa Melayu di samping melanjutkan kajian tertulis.
vi. Kodifikasi Bahasa Melalui Perkamusan
Kodifikasi atau pengekodan bahasa Melayu dipercayai telah bermula sejak awal abad ke-20 lagi dengan terbitnya kamus yang diberi judul Kitab Benih Bahasa susunan Fadhil Jaafar pada tahun 1917. Buku ini merupakan kamus Melayu yang pertama dihasilkan pada abad ke-20. selepas itu, Kamus al-Muhamudiah (1925) susunan Syed Mahmud Syed Abdul Kadir al-Hindi; Kamus Melayu (1935) susunan Shamsuddin Yunos al-Haj: Buku Katan P.Bm. P.B. Diraja Johor (1936); Kamus Angkatan Bahasa Melayu (1957) susunan Che Yusof Ahmad et al.; dan Kamus Bahasa Melayu (1960) susunan R.O. Winstedt. Selepas kamus ini, terbit Kamus Am Bahasa Melayu (1961) susunan Md. Shah Jetty.
Kamus Dewan, iaitu kamus ekabahasa yang pertama bagi DBP telah berjaya diterbitkan pada tahun 1970, dan diulang cetak pada tahun 1984, dengan perubahan ejaan mengikut sistem ejaan baru; edisi kedua, iaitu Kamus Dewan Edisi Baru diterbitkan pada tahun 1989; dan edisi ketiga diterbitkan pada tahun 1994.
Kamus Melayu Edisi Pelajar, iaitu Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar, terbit pada tahun 1975. lanjutan daripada kamus ini, Kamus Pelajar Bahasa Malaysia telah diterbitkan pada tahun 1983. Kamus Pelajar disusun berasaskan Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar dan sebahagian besar daripada kandungannya diserap daripada kamus tersebut, tetapi dilakukan sedikit pengubahsuaian.
Selain kamus ekabahasa, kamus pelbagai bahasa juga penting dalam kodifikasi bahasa Melayu. Kamus pelbagai bahasa bertujuan untuk memenuhi hasrat dan keperluan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan. Atas kesedaran ini, pada pertengahan tahun 1971, Kamus Dwibahasa, iaitu Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia telah mula diusahakan dan terbit pada tahun 1991.
Selain kamus dwibahasa Inggeris-Melayu, terdapat beberapa kamus dwibahasa lain yang sedang diusahakan oleh DBP, iaitu Kamus Bahasa Tamil-Bahasa Melayu Dewan, Kamus Bahasa Mandarin-Bahasa Melayu Dewan dan Kamus Bahasa Korea-bahasa Melayu Dewan serta kamus bahasa-bahasa utama dunia-bahasa Melayu. Pada tahun 1996, Kamus Perancis-Melayu Dewan telah diterbitkan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kedutaan Perancis di Malaysia.
DBP juga turut memberi penumpuan pada penerbitan kamus khusus dan teknikal. Bertitik tolak daripada hasil sidang MBIM ke-14 di Bali, bahan istilah Hidrologi, Meteorologi dan Ilmu Kependudukan disediakan sebagai bahan pertukaran untuk Sidang MBIM ke-15, pada bulan September 1980. Akhirnya, penyusunan kamus yang didasarkan pada hasil sidang kelompok Hidrologi MBIM-UNESCO yang pertama, kedua, ketiga dan keempat iaitu Kamus Istilah Hidrogeologi, berjaya diterbitkan pada tahun 1982.
Untuk membantu usaha menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai bentuk
kamus khusus diusahakan. Kamus bahasa sukuan yang pertama diterbitkan oleh DBP ialah Kamus Bahasa Iban-Bahasa Malaysia pada tahun 1989.
Beberapa glosari dialek turut diusahakan, antaranya: Glosari Dialek Terengganu, Glosari Dialek Kedah, Glosari Dialek Kelantan, Glosari Dialek Negeri Sembilan, Glosari Dialek Pulau Pinang dan Glosari Dialek Perak.
Tesaurus bahasa Melayu yang pertama diterbitkan oleh DBP pula ialah Tesaurus Umum Bahasa Melayu pada tahun 1990 dan Tesaurus Linguistik Bahasa Melayu pula diterbitkan pada tahun 1995.
Satu lagi kamus yang telah diterbitkan oleh DBP ialah Kamus Kebalikan Dewan pada tahun 1995. kamus Kebalikan Dewan berbeza daripada kamus biasa kerana proses penggunaan kamus ini terbalik daripada kamus biasa. Kamus jenis ini membolehkan pengguna mencari sesuatu perkataan apabila makna perkataan itu diketahui secara kasar, seperti yang digunakan dalam teka silang kata.
vii. Pengkomputeran Bahasa Melayu
Pengkomputeran bahasa, dalam perspektif yang luas, melibatkan dua perkara utama, iaitu penyediaan prasarana dan pemprosesan bahasa. Dari sudut linguistik, yang dimaksudkan dengan aspek pemprosesan bahasa (khususnya bahasa tabii) ialah pengkomputeran bahasa per se. Walau bagaimanapun, aspek-aspek pembinaan dan pembangunan sistem yang sekadar mengautomatikkan kerja rutin yang dahulunya ditangani secara insani juga dikatakan pengkomputeran, tetapi secara tegar, bukan pengkomputeran bahasa.
a. Pangkalan Data Bahasa Melayu Berkomputer
Pembinaan Pangkalan Data Bahasa Melayu Berkomputer bertujuan untuk menyepadukan semua sistem aktiviti dan program kebahasaan berkomputer yang telah dibina, supaya saling dicapai antara satu dengan yang lain bagi tujuan mempermudah dan mempercepat segala aktiviti kebahasaan dan pemprosesan maklumat bahasa. Pangkalan Data Bahasa Melayu Berkomputer mengandungi pelbagai pangkalan data dan sistem pengkomputeran bahasa, iaitu sistem pengkomputeran bahasa,iaitu Sistem Peristilahan Berkomputer, Pangkalan Data Leksikon, Pangkalan Data Korpus, Pangkalan Data Perkamusan, Pangkalan Data Umum Bahasa Melayu dan Sistem Khidmat Nasihat Bahasa.
b. Sistem Peristilahan Berkomputer (Bikomta)
Sistem Peristilahan Berkomputer merupakan sistem penyimpanan dan perekodan maklumat tentang istilah yang dibentuk di DBP dalam sistem komputer. Projek peristilahan menggunakan komputer pada tahun 1979, merupakan titik permulaan wujudnya usaha sama antara DBP dengan Universiti Sains Malaysia (USM). Pada tahun 1982, setelah sistem ini siap dibina, satu perjanjian kerjasama pengkomputeran bahasa antara DBP dengan USM dan IBM World Trade Corporation telah diadakan. Dalam kerjasama ini, DBP bertindak sebagai pengguna dan pembekal maklumat bahasa, USM sebagai pembina dan pembekal perisian sistem peristilahan, dan IBM pula sebagai pembekal perkakasan komputer. Sistem ini disertakan kepada DBP untuk diuji guna.
c. Pangkalan Data Leksikon
Pangkalan Data Leksikon dibina untuk mereka bentuk dan membina sebuah sistem leksikon untuk menyimpan semua maklumat tentang sesuatu kata dalam bahasa
Melayu, termasuk maklumat, seperti ejaan, sebutan, makna, morfologi, sintaksis dan etimologi.
Pangkalan Data Leksikon terdiri daripada sistem leksikon yang dibina oleh USM, dan sistem daftar induk bahasa Melayu (Dafin BM) yang diusahakan di DBP. Pangkalan data ini telah diwujudkan sejak akhir tahun 1980-an. Sebuah sistem leksikon prototaip telah siap dibina pada tahun 1990 dan pembinaan data diusahakan dengan giatnya melalui kerjasama DBP-USM.
d. Pangkalan Data Korpus
Projek Pangkalan Data Korpus mempunyai dua matlamat, iaitu pembinaan sistem korpus dan pengumpulan data korpus sebanyak 50 juta perkataan menjelang tahun 2000. Sistem korpus dibina untuk tujuan memproses dan mengolah data mentah bahasa Melayu yang komprehensif ke dalam bentuk output, yang menjadi asas analisis dan kajian bahasa Melayu terutamanya untuk penyusunan pelbagai jenis kamus. Data korpus yang terakam dikategorikan mengikut karya asli, karya terjemahan, buku klasik, data akhbar, majalah, efemeral, puisi, drama dan kad bahan.
e. Pangkalan Data Perkamusan
Secara ringkas, matlamat projek Pangkalan Data Perkamusan adalah untuk mereka bentuk dan membina sebuah sistem perkamusan yang dapat menyimpan semua kamus terbitan DBP dalam suatu sistem pangkalan data perkamusan, untuk menyusun kamus baru dan menjana kamus terbitan daripada kamus-kamus yang sudah ada dalam Pangkalan Data Perkamusan.
Pada masa hadapan, Pangkalan Data Perkamusan ini boleh beroperasi pada persekitaran antara muka pengguna grafik atau tetingkap, dengan pemprosesan boleh dilakukan secara dalam talian dan luar talian, dan pencapaian boleh dibuat melalui LAN dan WAN.
f. Pangkalan Data Umum Bahasa Melayu
Pangkalan data ini merupakan salah satu impian DBP yang dirancang untuk menempatkan segala maklumat kebahasaan, khususnya buku dan bahan rujukan yang berkaitan dengan pedoman dan rumus bahasa. Pangkalan data ini masih di peringkat pembinaan yang dilakukan secara berperingkat-peringkat. Semua penyelidikan tentang kebahasaan sedapat-dapatnya diusahakan dengan menggunakan komputer, dan bahan kebahasaan yang telah diterbitkan ditukarkan ke bentuk terbacakan komputer untuk dimasukkan ke dalam Pangkalan Data Umum Bahasa Melayu.
Pangkalan data ini dibina untuk menyimpan maklumat dalam bentuk teks wacana yang utuh, seperti buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu, Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, Pedoman Umum Transliterasi Arab-Rumi, Daftar Ejaan Rumi dan Daftar Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu; maklumat para penyelidik dan pakar bidang yang terlibat dengan DBP; maklumat kegiatan penyelidik bahasa yang telah, sedang dan akan dijalankan oleh DBP khususnya, dan oleh badan penyelidikan kebahasaan yang lain amnya; dan segala perisian yang digunakan untuk memproses bahasa, seperti penyemak ejaan, penyemak tatabahasa, penanda dan penghurai.
Pangkalan data ini akan menjadi pusat sumber rujukan umum bahasa Melayu yang lengkap dan kemas kini untuk kegunaan orang awam dan para penyelidik melalui LAN atau WAN untuk tujuan rujukan ataupun penyelidikan.
Kempen Kesedaran Bahasa
i. Minggua Bahasa Kebangsaan
Gerakan yang bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan di kalangan rakyat dilancarkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 30 Januari 1960 dan berakhir pada 6 Februari 1960. Gerakan ini dicadangkan oleh DBP kepada kerajaan melalui Kementerian Pelajaran, DBP diberi mandat untuk merancang dan mengatur persiapan dan mengumpul segala tenaga untuk melaksanakan rancangan itu. Tun Syed Nasir Ismail dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pusat Minggu Bahasa Kebangsaan. Gerakan ini diadakan juga di setiap negeri Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1961, gerakan ini diperbesar menjadi gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan.
ii. Bulan Bahasa Kebangsaan
Pada tahun 1961, sekali lagi DBP menerima tugas daripada Kementerian Pelajaran untuk menangani gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan pada 28 Januari 1961. Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan selama enam tahun, iaitu dari tahun 1961 hingga tahun 1966. Bulan Bahasa Kebangsaan mempunyai dasarnya yang tersendiri, dikukuhkan dengan cara kerja dan acara yang bersepadu pada peringkat negeri dan daerah. Bulan Bahasa Kebangsaan telah diadakan secara berperingkat-peringkat.
iii. Gerakan Cintailah Bahasa Kita
Program Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 oleh Perdana Menteri Malaysia, bertujuan untuk membina kesedaran dan mewujudkan budaya berbahasa kebangsaan di kalangan masyarakat pengguna bahasa di Malaysia.
Sempena pelancaran Gerakan Cintailah Bahasa Kita, beberapa kegiatan dilaksanakan. Antaranya termasuklah penyiaran lagu tema Gerakan Cintailah Bahasa Kita di RTM dan TV3; penerbitan dan pengedaran risalah bahasa terbitan DBP; pengedar poster dan pelekat kempen; penayangan filem lagu tema di pawagam; promosi kempen melalui media cetak dan elektronik; pembinaan papan iklan besar di tempat-tempat strategik di Wilayah Persekutuan; dan pameran buku pengajian tinggi.
Di antara tahun 1990 hingga tahun 1994, kegiatan yang digerakkan sempena Gerakan Cintailah Bahasa Kita termasuklah penyebaran bahan-bahan panduan bahasa kepada masyarakat. Antara bahan yang diedarkan termasuklah Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu, Bahasa Melayu dan Penyalahgunaannya, risalah Khidmat Nasihat Bahasa dan Ke Arah Bahasa Melayu yang Berkesan.
Gerakan yang diadakan pada peringkat pusat dan peringkat negeri ini telah memberikan kesan yang positif terhadap beberapa golongan masyarakat pengguna bahasa di negara kita, termasuklah sektor perundangan dan kehakiman, yang secara langsung atau tidak langsung, menghasilkan pindaan terhadap Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, yang menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah bermula pada Jun 1990.
iv. Pengantarabangsaan Bahasa Melayu
DBP sebagai institusi bahasa yang berwibawa di Malaysia memang sentiasa proaktif mengembangkan dan mencitrakan bahasa Melayu di peringkat ASEAN, dan seterusnya ke peringkat antarabangsa. Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) sejak 21 tahun kebelakangan ini menjadi tapak langsung
kerjasama kebahasaan pada peringkat ASEAN, khususnya dalam bidang penyelarasan peristilahan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Langkah awal yang dimulakan oleh DBP untuk merangka hala tuju pengantarabangsa bahasa Melayu adalah dengan mengadakan Kongres Bahasa Melayu Sedunia dari 21 hingga 25 Ogos 1995, yang antara lain, mengusulkan penubuhan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), penubuhan pusat pemelajaran bahasa Melayu di luar negara. Supaya bahasa Melayu dijadikan salah satu bahasa rasmi dalam setiap pertemuan negara-negara Asia Tenggara dan antarabangsa, meneruskan dan meningkatkan pusat bahasa dan pengajian Melayu di luar negara, di samping membuka peranan yang lebih cergas dalam soal memperkenalkan serta menggalakkan pengajaran bahasa Melayu di luar negara.
DBP juga mengadakan kerjasama kebahasaan dengan pelbagai institusi di peringkat antarabangsa dengan mengadakan dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama beberapa institusi, antaranya: Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU). Beijing; Pusat Penyelidikan Sejarah, Seni dan Kebudayaan Islam (IRCICA), Istanbul; Prince of Songkla University (PSU) Pattani, Thailand; Institut Kajian Asia Tenggara (ISAC), Hanoi, Vietnam; The University of New South Wales (UNSW) Sydney, Australia; dan Persatuan Nusantar, Moscow, Rusia.
Di samping itu, DBP juga mengadakan kerjasama kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan dengan Goethe Institute, Jerman; British Library, London; World Book International. Chicago; The Australian National University, Australia; China Radio International (CRI), Beijing; Tokyo University of Foreign Studies, Tokyo; Hankuk University of Foreign Studies, Seoul, Korea Selatan; School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London; dan Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia.
Dengan mengadakan dan menandatangani memorandum persefahaman serta kerjasama kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan, bersama pelbagai institusi luar negara, maka Malaysia kini telah melangkah ke satu lagi era pemantapan diaspora dan pengantarabangsaan bahasa Melayu ke seantero dunia. Menerusi kebahasaan dan juga sastera serta penerbitan dapat dipertingkat, khususnya pada abad ke-21.
Kejayaan kesan kecapaian yang telah dan bakal dilaksanakan
Penerbitan Ensiklopedia
DBP memberi keutamaan kepada penerbitan ensiklopedia dalam bahasa Melayu yang akan menjadi sumber rujukan utama. Penekanan diberi kepada ensiklopedia tentang kesusasteraan, bahasa dan kebudayaan. Penerbitan ensiklopedia dalam talian akan diusahakan sementara penerbitan dalam bentuk konvensional masih diteruskan.
Penerbitan Majalah
Bagi merealisasikan tuntutan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, bahan korpus bahasa dan sastera dalam bentuk penerbitan berkala yang merangkumi pelbagai bidang ilmu juga diterbitkan dan mencakupi sasaran pembaca dari pelbagai peringkat umur dan kelas. Penerbitan berkala yang dimaksudkan ialah majalah dan jurnal.
Penerbitan majalah dan jurnal juga diselenggarakan oleh pihak swasta atas nama DBP. Penerbitan cara ini dinamai “francais”. Majalah yang terlibat ialah Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Dewan Ekonomi dan Dewan Kosmik, manakala penerbitan jurnal pula ialah Kanun, iaitu sebuah jurnal undang-undang.
Penerbitan Buku Sekolah
DBP akan terus menerbitkan buku pendidikan bagi memenuhi sebahagian besar keperluan pendidikan negara. Buku yang termasuk dalam kategori ini ialah buku pengetahuan am, buku teks, buku kerja, buku panduan guru dan buku bacaan tambahan yang menyokong pemelajaran sesuatu bidang ilmu berdasarkan kurikulum yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Penerbitan buku sekolah terbahagi kepada dua, iaitu penerbitan buku teks dan buku sokongan. Penerbitan buku teks sekolah (rendah dan menengah) untuk Kementerian Pendidikan Malaysia dilaksanakan atas prinsip kerjasama antara agensi di bawah kementerian berkenaan. DBP memusatkan penerbitan buku teks dalam satu bahagian, iaitu di Bahagian Buku Teks bagi memudahkan pengurusan, penyelarasan dan pemantauan projek serta memaksimumkan penggunaan tenaga kerja dan peralatan. Kerjasama ini bermula dengan Kementerian Pendidikan menyediakan manuskrip bersih untuk DBP. Buku sokongan pula, dirancang penerbitannya bagi menyokong penggunaan buku teks. Selain membina dan mengembangkan bahasa dan sastera, buku sokongan juga disediakan untuk menambah pengetahuan pelajar.
Penerbitan Buku Umum
Buku umum terbitan DBP meliputi buku kreatif dan informatif serta ilmiah yang tidak terikat dengan kurikulum untuk bacaan masyarakat umum dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa. Skop penerbitan kreatif merangkumi karya sastera klasik dan moden, antologi cerpen, puisi, drama, cereka sains, cerita agama dan komik manakala buku informatif pula, merangkumi buku pengetahuan dalam pelbagai bidang ilmu, esei dan kritikan, biografi, buku panduan, buku istilah, glosari, direktori dan lain-lain.
Jenis penerbitan buku kreatif dan informatif pula terdiri daripada karya asli, karya terjemahan, adaptasi dan edisi ringkas. Sejajar dengan matlamat penubuhan dan fungsi DBP, penerbitan buku umum boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu (i) judul yang diterbitkan untuk memenuhi tanggungjawab sosial DBP dan penerbitannya memerlukan subsidi. Kategori ini meliputi buku sastera klasik, antologi puisi dan cerpen, esei dan kritikan, biografi, buku dalam bidang ilmu tertentu dan buku sastera yang digolongkan dalam karya agung; dan (ii) judul yang mempunyai potensi dari sudut pasaran meliputi pelbagai jenis bidang sama ada yang berbentuk kreatif mahupun informatif. Tumpuan dan pengembangan bahasa, sastera, budaya Melayu dan yang merangsang minda pembaca, buku ilmiah seperti teori falsafah serta buku yang bercorak pengetahuan, terutamanya karya asli atau yang dihasilkan oleh tokoh setempat dan yang berunsurkan Malaysiana akan diberi keutamaan. Penerbitan buku ilmiah dalam bidang khusus pula ditangani oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). MAPIM merupakan sebuah badan induk yang bergiat dalam pembangunan bidang penerbitan ilmiah dan saintifik. MAPIM ditubuhkan pada tahun 1996 dan dianggotai oleh semua bahan penerbitan bahan ilmiah dari segi pusat pengajian tinggi awam tempatan dan agensi kerajaan seperti DBP, MARDI, INTAN dan lain-lain. MAPIM berfungsi untuk membangun, mengembang dan menyelaras penerbitan ilmiah di Malaysia dalam pelbagai bidang.
Terdapat tiga jawatankuasa yang bernaung di bawah MAPIM, iaitu (i) Jawatankuasa Pemandu MAPIM; (ii) Jawatankuasa Kerja MAPIM; dan (iii) Jawatankuasa Penyelenggara Aktiviti MAPIM. Dalam hal ini, DBP menjadi setiausaha tetap bagi Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Kerja.
Penerbitan Elektronik
Bagi menghadapi perkembangan yang pesat dan canggih dalam dunia penerbitan, DBP telah mual melibatkan diri dalam penerbitan elektronik. Jenis penerbitan elektronik yang diusahakan ialah penerbitan multimedia dan penerbitan web. Bahan yang diterbitkan dalam bentuk elektronik ialah bahan rujukan seperti kamus, ensiklopedia, istilah, biografi dan bahan pemelajaran untuk kanak-kanak dan remaja. DBP melalui Unit Multimedia sedang dan akan melaksanakan penerbitan elektronik mengikut kaedah seperti yang berikut: (i) Menjadi pembekal kandungan bahan penerbitan; (ii) Penerbitan bersama dengan syarikat multimedia swasta; dan (iii) Menerbitkan sendiri bahan melalui Unit Multimedia.
Penerbitan Bersama
DBP sebagai sebuah organisasi bahasa dan sastera terbesar dan terulung di Malaysia tidak ketinggalan menjalankan hubungan dengan beberapa badan penerbit, badan penyelidikan, badan korporat dan beberapa badan lain bukan sahaja dalam negara malahan di peringkat antarabangsa. Usaha ini bertujuan untuk menyebarluaskan ilmu dalam bentuk penerbitan bagi mendaulatkan bahasa kebangsaan di Malaysia dan pengembangan bahasa Melayu di seluruh dunia.
Kejayaan membentuk kerjasama ini merupakan ekoran daripada penyertaan pegawai DBP dalam seminar dan persidangan bahasa, sastera dan penerbitan antarabangsa, melalui pelawat yang sering mengunjungi DBP dan melalui buku-buku DBP yang dipamerkan di pameran buku luar negara, seperti Frankfurt International Book Fair di Jerman, Jakarta International Book Fair di Indonesia, Asian International Book Fair di Singapura dan Balogna Children’s Book Fair di Itali
Kerjasama juga diwujudkan dalam bentuk Memorandum Persefahaman (MOU) dan pelbagai bentuk lain. Antara kerjasama yang dijalin oleh DBP termasuklah kerjasama dengan: Kedutaan Perancis (1986), Beijing Foreign Studies University, China (1995), Institut Terjemahan Negara Malaysia (1997), Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan (1997), Universiti Pendidikan Sultan Idris (1999), Guandong University Foreign Studies, China (2000); Universiti Ains Sham, Kaherah (2001) dan Universiti La Rochelle (2002)
Satu lagi usaha sama yang dimeterai pada dekad ini ialah Kerjasama DBP-Research Centre for Islamic History, Art and Culture (IRCICA), Istanbul pada 24 Jun 2000 di DBP. IRCICA merupakan sebuah pusat penyelidikan sejarah, sastera dan budaya Islam dan ditubuhkan sebagai cawangan pertama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam bidang budaya. Sempena majlis tersebut, dua buah buku telah dilancarkan, iaitu Tamadun Islam di Malaysia yang merupakan karya asli dan Seni Khat Warisan Islam, sebuah karya terjemahan berdasarkan hasil terbitan IRCICA. Sebelum ini judul pertama yang telah diterbitkan dalam rangka kerjasama dengan IRCICA ialah Islamic Civilization in the Malay World pada tahun 1997.
DBP juga merupakan agensi kebangsaan yang menyertai Rancangan Penerbitan Bersama Wilayah Asia di bawah kelolaan Asian Culture for UNESCO (ACCU) di Tokyo sejak tahun 1974. sehingga kini, lima buah siri buku daripada rancangan tersebut telah diterbitkan oleh DBP dalam bahasa Melayu. Selain itu, pada bulan September 1994, DBP telah menjadi tuan rumah Persidangan Majlis Buku Asia-Africa.
Rancangan Jabatan Penerbitan
Jabatan Penerbitan akan menerbitkan bahan bacaan dalam bahasa Melayu berdasarkan struktur dan fungsi yang ada dengan keperluan penerbitan sebanyak 30% judul dalam bidang sosial dan 70% judul komersial yang merangkum penerbitan konvensional dan elektronik. Judul yang diterbitkan akan memberi manfaat kepada pembaca di samping memenuhi tanggungjawab sosial DBP. Judul yang diterbitkan akan menjadi judul yang laris di pasaran, judul yang membina tamadun bangsa dan judul yang merangsang minda pembaca. Untuk tujuan itu, tumpuan diberi kepada penerbitan buku dan bahan rujukan seperti ensiklopedia dan kamus, penerbitan berkala-majalah dan jurnal, buku teks sekolah rendah dan menengah, buku ilmiah dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu, dan buku dalam pelbagai bidang untuk bacaan umum bagi peringkat dewasa, remaja dan kanak-kanak.
Dalam usaha pembinaan judul, penekanan akan diberi kepada judul tentang Malaysia (Malaysia), baik dalam bentuk karya asli mahupun terjemahan. Tumpuan juga diberi kepada penerbitan judul yang berkaitan dengan warisan bangsa Melayu-yang membincangkan sistem nilai, budaya dan kemahiran orang Melayu. Contohnya, sistem kerajaan dalam masyarakat Melayu, sistem politik, kepemimpinan dan ekonomi orang Melayu, dan sistem nilai masyarakat Melayu seperti yang tersirat dalam kumpulan puisi lama Melayu.
Buku ilmiah dalam bahasa-bahasa dunia yang membicarakan teori, falsafah, agama Islam, politik, ekonomi atau ilmu semasa akan diterjemahkan apabila perlu untuk memastikan masyarakat Malaysia tidak ketinggalan dalam arus perkembangan ilmu dunia. Penekanan akan diberi kepada karya asli yang ditulis oleh penulis tempatan. Dengan usaha ini, diharap penerbitan DBP dapat mengambil tempatnya yang wajar dalam dunia penerbitan antarabangsa.
Memasyarakatkan Ilmu
Berdasarkan fungsi bahagian-bahagian di Jabatan Penerbitan, jelas menunjukkan bahawa hasil penerbitan bahagian-bahagian tersebut bertujuan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu secara lengkap, padat dan mantap. Secara tidak langsung, usaha ini dapat membantu proses pembentukan masyarakat yang progresif dan saintifik, iaitu masyarakat berbudaya yang mampu memanifestasikan perkembangan idea, adat resam, cita rasa dan aspirasi ke arah pembangunan sosial, pendidikan, teknologi, ekonomi dan politik yang merupakan keperluan dan matlamat kehidupan.
Untuk merealisasikan harapan tersebut, Jabatan Penerbitan melalui bahagian-bahagian di bawah kawalannya berusaha menerbitkan karya-karya yang menjurus kepada kebangsaan negara dan kedaulatan bangsa. Justeru itu, satu Siri Wacana Minda telah diilhamkan dengan bertujuan bukan sahaja untuk memperkasa khazanah ilmu atau budaya bangsa tetapi juga untuk mengangkat tamadun bangsa ke peringkat antarabangsa atau persada dunia global.
Dalam Siri Wacana Minda, beberapa terbitan akan dijalankan sebagai bahan pembicaraan dalam sesi dialog ilmu ini. Dalam sirinya yang pertama, sebuah buku hasil nukilan Ketua Pengarah DBP berjudul Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia telah dilancarkan dan dibicarakan pada 14 Julai 2000.
Pemerkasaan Bahasa Melayu
Kita kini berada pada alaf baru yang menjanjikan seribu harapan dan cabaran. Dalam dekad sebelum memasuki alaf baru ini, pelbagai persediaan telah dibuat supaya alaf baru menjadi alaf yang gemilang bagi negara kita. Paling ketara ialah konsep Wawasan 2020 yang disusun dengan rapi dan teratur. Walaupun kemajuan perancangan ini tergendala sedikit oleh kegawatan ekonomi di rantau ini dan pergolakan politik negara, proses memajukan negara berdasarkan teras yang telah ditetapkan terus berjalan. Siberjaya dan Putrajaya muala menjadi realiti dan projek yang buat seketika dihentikan telah beroperasi kembali. Keadaan ekonomi dikatakan telah kembali pulih. Tidak dapat dinafikan bahawa teras pembinaan negara Malaysia pada awal abad ke-21 ialah Wawasan 2020. Usaha ini telah dimulakan sejak dekad 90-an lagi. Wawasan 2020 berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara industri berasaskan kemajuan sains dan teknologi.
Selaras dengan gejala globalisasi, usaha pembangunan di Malaysia dikaitkan dengan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat. Dengan kadar yang amat cepat, kita digesa melengkapkan diri dalam didang teknologi maklumat agar taraf pencapaian dapat diperoleh dengan segera. Dunia siber diharapkan dapat dialami setelah kita memasuki abad ke-21. Dalam semua aspek kehidupan, kita dikehendaki menyesuaikan diri dengan suasana kemajuan bidang teknologi maklumat.
Dalam bidang pendidikan, permulaan secara besar-besaran dibuat melalui sistem sekolah bestari. Sebelum itu, kempen celik komputer sudah bermula dan generasi muda telah dijinak-jinakkan dengan internet dan e-mel, serta pelbagai rangkaian jaringan. Pusat komputer dan kafe siber telah muncul seperti cendawan selepas hujan, dan para remaja (termasuk yang sudah berumur juga) menghabiskan jam demi jam melayari pelbagai jenis laman web dan bermain pelbagai jenis permainan komputer.
Teknologi maklumat dicipta dan dikembangkan oleh dunia Barat. Oleh yang demikian, bahasa asas bidang ini sudah semestinya bahasa Inggeris. Namun, teknologi maklumat telah tersebar luas ke seluruh dunia hingga ke alam yang bahasa Inggeris tidak menjadi bahasa utama.
Walaupun bahasa Inggeris bermula dan kekal sebagai satu bahasa penting dalam dunia teknologi maklumat, ruang bagai penggunaan bahasa lain mengikut keperluan masyarakat dan negara masing-masing masih ada. Persepektif demikianlah yang digunakan apabila persoalan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dilihat dalam konteks kemajuan yang dirancang di negara ini.
Dalam kes penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam konteks teknologi maklumat, persoalannya tidak berbentuk situasi “kalah-menang”.
Menggunakan bahasa Inggeris tidak bermakna menolak penggunaan bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu dalam dunia teknologi maklumat pula tidak sekali kali membawa erti bahawa bahasa Inggeris tidak lagi boleh digunakan. Sikap yang sihat perlu wujud. Orang yang begitu kagum dengan bahasa Inggeris diharapkan tidak membuat kesimpulan yang salah. Semua rakyat Malaysia sedar tentang kepentingan bahasa Inggeris dalam konteks dunia ilmu dan arena antarabangsa. Oleh sebab itu, tiada orang yang mahu menolak langsung bahasa Inggeris, apatah lagi dalam dunia teknologi maklumat.
Pada masa ini, pendirian yang dipegang oleh sebahagian besar penduduk Malaysia ialah bahawa dunia teknologi maklumat itu dunia bahasa Inggeris dan bahasa lain tidak mampu menanganinya. Pendirian ini agak terpesong. Dunia awal teknologi maklumat memang dunia bahasa Inggeris. Namun, apabila teknologi itu diperkenalkan kepada masyarakat kita, peluang untuk menjadikan dunia tersebut dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu masih ada. Bahasa Melayu bukan tidak mampu menangani teknologi maklumat, tetapi oleh sebab dunia ini baru bagi kita kerana datangnya daripada budaya orang lain, bahasa Melayu perlu dilengkapkan dengan istilah yang cukup. Bagai orang yang pertama kali berhadapan dengan komputer, istilah “mouse” atau tetikus” sama pelik bunyinya. Oleh sebab itu, soal “berasa ganjil” tidak timbul. Alat itu ada, yang diperlukan ialah perkataan untuk merujuk kepada alat tersebut. Selagi tidak ada perkataan, selagi itu bidang tersebut tidak mampu diperkatakan dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mempunyai tempat dalam dunia teknologi maklumat dengan syarat bahasa itu terlebih dahulu dilengkapkan dengan istilahnya.Pembinaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat meliputi dua aspek, iaitu pembinaan kosa kata dan pembinaan laras.
Kedua-dua aspek ini memerlukan iltizam dan usaha gigih. Jalan yang paling senang adalah dengan terus menggunakan bahasa Inggeris yang sedia lengkap dengan segala istilah yang diperlukan. Tetapi, jika kita ingin menjadikan bahasa kebangsaan kita turut terlibat dalam dunia teknologi maklumat, pembinaan kosa kata dan laras ini haus diusahakan.
Secara kasar, pemerkasaan bahasa Melayu dalam bidang teknologi maklumat meliputi bidang pembinaan kosa kata, pembinaan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul, pembinaan laras, dan pembinaan bahan.
Bahasa Melayu hanya dapat menangani bidang teknologi maklumat jika wujud semua istilah yang relevan. Istilah ini tidak semestinya terdiri daripada ungkapan tulen daripada bahasa Melayu, tetapi boleh terdiri daripada pelbagai bentuk, seperti bentuk pinjaman daripada bahasa Inggeris dengan atau tanpa penyesuaian sistem bunyi bahasa Melayu, dan menterjemah konsep dan istilah bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Contohnya, internet, e-mel, multimedia, tetikus, pepijal, laman web, perisian, cakera padat, pengaturcaraan, dan pemprosesan data.
Namun, yang menjadi masalah ialah manusia. Oleh sebab terlalu biasa dengan bahasa Inggeris, istilah dalam bahasa Melayu dianggap “ganjil” atau “janggal”. Dalam hal ini, cita rasa terhadap sifat bahasa Melayu perlu dipupuk. Janganlah kerana terlalu biasa makan keju, rasa belacan sudah tidak enak lagi.
Semua pihak, terutama Bahagian Peristilahan Dewan Bahasa dan Pustaka, hendaklah berusaha menyesuaikan kosa kota yang cukup supaya ketiadaan istilah tidak lagi diulang-ulang sebagai alasan bahasa Melayu tidak dapat digunakan dalam dunia teknologi maklumat.
Kita telah membina satu generasi yang menerima seluruh pendidikan dalam bahasa Melayu. Oleh sebab itu, jika bahasa Melayu dilengkapkan dengan istilah yang
cukup, kita dapat mewujudkan penggunaan teknologi maklumat yang menguasai bahasa Melayu.
Namun, perlu disedari bahawa ada juga pengguna teknologi maklumat yang tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik, iaitu mereka yang tidak terdidik melalui sistem pendidikan kebangsaan. Golongan ini (yang jumlahnya besar juga) hendaklah diyakinkan tentang perlunya bahasa Melayu digunakan di samping bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Melayu mereka juga perlu ditingkatkan ke tahap yang memuaskan.
Untuk menyaksikan sesetengah pihak tentang keupayaan bahasa Melayu dalam bidang teknologi maklumat, sifat bahasa Melayu dalam bidang ini hendaklah jelas. Dengan kata lain, perlu wujud laras bahasa Melayu teknologi maklumat yang nyata, melalui peristilahan dan acara pengungkapan tersendiri. Hal ini bermakna bahawa perlu wujud contoh bahasa Melayu yang dengan sekali imbas dapat dikaitkan dengan bidang ini.
Dalam hal ini, yang perlu dilakukan ialah penghasilan tulisan dalam bahasa Melayu dalam bidang ini, disertai bahan lain seperti laman web dan perisian. Hal ini harus dijadikan cabaran bagi semua pihak yang ingin melihat bahasa Melayu berjaya digunakan dalam teknologi maklumat.
Teknologi maklumat sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Datangnya melalui arus yang deras, dan kita tidak berupaya menahannya. Oleh sebab itu, usaha perlu dibuat supaya kita tidak ketinggalan. Kita harus menyertai arus perdana ini.
Namun, usaha ini memerlukan kerjasama erat antara beberapa pihak, misalnya Dewan Bahasa dan Pustaka, para cendekia, para pengamal teknologi maklumat, dan para pemimpin.
Dengan ‘Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu’ dimaksudkan peranan Bahasa Melayu sebagai penghantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat menyampaikan ilmu pengetahuan moden, iaitu ilmu Sains, Teknologi, Ekonomi, Kejuruteraan, Kedoktoran, dan Undang-undang di samping itu sastera dan agama. Dengan perkataan lain Bahasa Melayu harus boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal baharu dalam aneka bidang ilmu moden, misalnya dalam kejuruteraan, Bahasa Melayu harus mempunyai laras-laran bahasa yang khusus untuk menerangkan hal-hal tentang kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal, dan kejuruteraan kimia. Begitu juga dalam bidang kedoktoran, Bahasa Melayu perlu mempunyai laras bahasa untuk memperkatakan hal-hal dengan tepat tentang bidang Anatomi, Biokimia, Farmakologi, otothinolaringologi, parasitologi, patologi, pediatrik, perubatan psikologi, perubatan kemasyarakatan dan surgeri. Laras-laras saintifik ini berbeza pula dengan laras sains sosial dan kemanusiaan seperti laras kesusasteraan, laras sejarah, laras seni ukir, laras sains rumah tangga dan sebagainya (Nik Safiah Karim, 1986: 6). Sebagai bahasa ilmu Bahasa Melayu harus mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan laras bahasa yang cukup dan sesuai untuk menyatakan konsep dan pemikiran tentang hal-hal perdagangan antarabangsa, perindustrian ringan dan berat, perniagaan saham, pengurusan perkauman dan perangkaan. Maksudnya kekuatan Bahasa Melayu seharusnya setanding dengan kekuatan bahasa Inggeris dalam memperkatakan konsep dan pemikiran ilmu moden. Bahasa Melayu perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa
Jerman, dan Bahasa Jepun, yang sudah lama berperanan sebagai bahasa ilmu moden dengan jayanya. (Abdul Hamid Mahmood, 1993: 79).
Cabaran dan Harapan
Cabaran pertama dan paling hangat dibincangkan timbul daripada cadangan kerajaan hendak melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan teknologi di peringkat pengajian tinggi. Perdana Menteri sebagaimana dilaporkan oleh media elektronik pada malam 2 Disember 1994 dan media cetak pada 3 Disember 1994 telah memberikan bayangan yang jelas tentang hal itu. Malahan beliau memberikan pilihan kepada rakyat sama ada ingin maju dengan merujuk kepada pentingnya Bahasa Inggeris atau terus mempertahankan warisan bangsa (bahasa Melayu) tetapi mundur. (Utusan Malaysia, 3 Disember 1994). Pada tanggal 6 Mei 1995 Perdana Menteri mengulang lagi kenyataan dengan mengatakan:
BIBLIOGRAFI
Abdul Ghaffar Ramli, 1991. Keradioaktifan Asas dan Penggunaan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Hamid Mahmood, 1993. Betulkan Kesalahan Bahasa Anda. Kuala Lumpur: Ensimal (M) Sdn. Bhd.
Abdul Hamid Mahmood, 1995. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu: Cabaran dan Harapan. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Abdul Hamid Mahmood, 2001. Menguasai Bahasa Melayu Tinggi. Kuala Lumpur : Affluent Master Sdn. Bhd.
Abdullah Hassan, 1981. Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Awang Had Salleh, Laporan Jawatankuasa mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia,
Kementerian Pelajaran Malaysia Kuala Lumpur, 1981.
Awang Sariyan, 1983. “Pengaruh Sintaksis Bahasa Inggeris dalam Bahasa Melayu
dengan Rujukan Khusus kepada Laras Bahasa Ilmiah”. Kertas kerja Seminar
Unsur Asing dalam Bahasa Melayu, Persatuan Linguistik Malaysia ( 23-25 April1983). Terbitan dalam Dewan Bahasa (September).
Awang Sariyan, 1984. Isu-Isu Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn.
Bhd.





Bahasa dan Sastera Sebagai Alat Perpaduan
Dalam proses memupuk semangat perpaduan antara kaum, Bahasa Melayu digunakan sebagai alat komunikasi asas dengan cogan kata ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ diterapkan kepada rakyat. Bahasa Melayu telah diangkat menjadi Bahasa Kebangsaan oleh pemerintah dalam erti kata yang sebenarnya semenjak tahun 1970 secara berperingkat-peringkat.
Dewan Bahasa dan Pustaka di tubuhkan dengan tujuan memajukan dan memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Penyata Razak 1965 dan Laporan Rahman Talib 1960 menyebabkan penyemakan semula Akta Pelajaran 1961 yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah menggantikan Bahasa Inggeris. Perenggan 12 Penyata Razak jelas menyatakan bahawa “kami percaya juga yang dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud menyatukan semua budak-budak dari semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur”. Oleh yang demikian jelas bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan amat signifikan memandangkan kepelbagaian kaum yang wujud di Malaysia ini.
Bukti Bahasa Melayu berjaya diangkat menjadi bahasa ilmu adalah apabila pada tahun 1988 Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di semua universiti. Dan perintis kejayaan tersebut adalah melalui penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1971 yang menggunakan sepenuhnya Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Mariam Atan (2005) menyatakan “laporan dasar pendidikan ada menyatakan bahawa pendidikan merupakan alat membina keutuhan bangsa dengan menanam rasa kesatuan dalam keadaan sosial, ekonomi dan politik”. Menurutnya lagi, “pemerintah berhasrat mewujudkan penyatuan sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di samping melahirkan lebih banyak anak Melayu lulusan pengajian tinggi”.
Mariam Atan juga menegaskan, menurut Kamarudin Husin dalam Bahasa Kebangsaan (A), “secara khusus fungsi utama bahasa kebangsaan adalah untuk menerbitkan lambang aspirasi dan semangat kebangsaan dan kemerdekaan. Tidak ketinggalan juga, pengisian bahasa kebangsaan dapat bertindak sebagai alat perhubungan, dan dengan demikian akan menghasilkan satu masyarakat yang tidak mempunyai satu pandangan yang begitu berbeza. Usaha untuk memupuk rakyat Malaysia melalui penggunaan satu bahasa yang sama dicadangkan berdasarkan sistem pendidikan kebangsaan yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1955, yang kemudiannya dikenali dengan nama Penyata Razak (1956)”.
Pentingnya memelihara bahasa Melayu ini adalah untuk pembinaan tamadun bangsa itu sendiri. Bangsa yang maju adalah bangsa yang mampu membina tamadun bangsa itu sendiri. Pewarisan ini akan memelihara kemandirian jati diri bangsa tersebut dalam memelihara warisan milik bangsa yang seterusnya akan berkembang maju menggunakan budaya, falsafah, pemikiran dan bahasa lokal yang ternyata lebih sesuai dan berupaya menangkis peresapan kekotoran budaya lain terutamanya dari Barat. Bahasa Melayu ternyata telah terbukti berkeupayaan menjadi alat perpaduan. Harus diingat perbezaan ekonomi yang semakin melebar antara kaum mampu diimbangi dengan satu kuasa lain iaitu kuasa satu bahasa yang sama yang di antara kaum di Malaysia ini. Perbezaan taraf ekonomi antara kaum ternyata mampu menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat. Pendapat ini turut dikongsi oleh Awang Sariyan dalam kertas kerjanya itu dengan mengatakan “proses pembinaan negara yang dimaksudkan itu ialah proses pewujudan negara bangsa yang berasaskan jati diri setempat dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Dalam konteks ini, bahasa Melayu dijadikan unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia dan juga sebagai unsur perpaduan semua kaum”.
Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi bukti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berfungsi untuk menyatukan rakyat, mampu mengelakkan prasangka antara kaum, berjaya membangkitkan semangat perpaduan antara kaum yang seterusnya mewujudkan rakyat berbilang kaum yang bersatu padu, bekerja sama dan hormat-menghormati dalam usahasama memajukan negara. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ini juga berfungsi untuk melahirkan semangat patriotisme kepada seluruh warga negara yang tidak lagi dibelenggu bahasa mahupun pemikiran penjajah.

Bahasa dan Sastera Sebagai Wahana Ilmu

Bahasa Melayu pada zaman dahulu mencapai tahap peningkatan yang cukup tinggi. Dengan terhasilnya karya-karya falsafah, tasawuf dan fiqah, bahasa Melayu bukan sahaja diangkat untuk memancarkan sifat estetika melalui karya kesusasteraan, bahkan mula menjadi medium perbincangan ilmu dan pemikiran saintifik.
Menurut Prof Madya Dr Kamsiah Abdullah dari NIE / NTU Singapura dalam kertas kerjanya yang bertajuk Bahasa Melayu Sebagai Seni dan Senjata Dalam Mencipta Khazanah Ilmu, “bahasa merupakan alat utama untuk menyampaikan dan menerima segala ilmu yang terkandung dalam khazanah dunia ini termasuk menyebarkan dan menurunkannya. Mengkomunikasikan segala ilmu termasuk sains dan teknologi tersebut kepada manusia lain atau supaya ia disampaikan dan dimanfaatkan oleh orang lain, biasa dilakukan dalam bahasa yang menguasai ilmu pengetahuan tersebut. Walau bagaimanapun, sudah menjadi tabii alam bahawa ilmu atau pengetahuan pertama atau paling awal bagi seseorang kanak-kanak disampaikan oleh ibu bapa dan kemudian dikuasai olehnya melalui bahasa ibunda masing-masing”.
Perlu diyakini bahawa bahasa adalah alat kemajuan di negara ini, khususnya dalam pelbagai bidang terutamanya di sektor ekonomi serta sains dan teknologi. Oleh yang demikian, bahasa Melayu seharusnya mempunyai keupayaan melangkah jauh sebagai bahasa ilmu terutamanya setelah manjadi bahasa keempat terpenting di dunia berdasarkan jumlah penuturnya. Dilah Tuah (2006) ada menyebut bahawa “A Aziz Deraman menyatakan bahasa Melayu menelusur liku-liku sejarah perkembangannya yang cukup panjang. Bahasa Melayu telah digunakan dengan begitu meluas sebagai salah satu cabang keluarga bahasa Austro-nesia oleh sekitar 300 juta orang dalam gugusan pulau Melayu-Polinesia sebagai bahasa serumpun”. Menurutnya lagi, Joshua A Fishman menyatakan bahasa Melayu mempunyai historicity, ethnicity, autonomy dan vitality. Manakala Teeuw pula manyatakan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi, bahasa kebudayaan, falsafah dan tatabahasa Sanskerta. Sifat bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa pergaulan dan perhubungan telah menyebabkannya menjadi lingua franca di kepulauan Melayu sejak abad ke-7 zaman Kerajaan Sriwijaya sehinggalah abad ke-14 terutamanya dengan kebangkitan Empayar Melayu Melaka. Kedatangan Islam berikutnya mengembangkan lagi pengaruh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan membawa pengaruh yang sangat besar sehingga menjadi bahasa yang membawa weltanschauuung Islam. Hal ini terbukti apabila bahasa Melayu dan Islam menjadi identiti bangsa Melayu hari ini. Manakala menurut Raja Mukhtaruddin Raja Mohd Dain tulisan Jawi yang muncul seiringan dengan kemunculan Islam membawa perubahan besar yang tidak pernah dialami oleh bahasa Melayu pada zaman-zaman sebelumnya.

 
Menurut Mariam Atan (2005) kegiatan penulisan dan persuratan dalam tulisan Jawi yang diperkenalkan kepada masyarakat Melayu oleh pedagang Arab berkembang menjadi wahana ilmu yang meluas di seluruh rantau ini. Dari awal abad ke-13 sehingga ke-16 (1250-1524), bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa penting dalam pembentukan tamadun Melayu. Kebanyakan pusat pegembangan ilmu seperti Kerajaan Melayu Islam Perlak, Kerajaan Samudera Pasai (1261-1289), Kerajaan Melayu Acheh Islam, Kerajaan Melayu Melaka (1400-1511), Kerajaan Melayu Johor (1511-1789), Kerajaan Melayu Palembang (1650-1824) dan Kerajaan Melayu Riau (1789-1900) menjadi pusat kegiatan penulisan dan intelektual Melayu yang cukup hebat.
Ini semua adalah bukti signifikan di mana keupayaan bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa ilmu tidak boleh diperkecil. Sejarah telah merakamkan hasil karya seperti Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) hasil karya Tun Seri Lanang Bendahara Johor, Tuhfat al-Nafis dan Salasilah Melayu oleh Raja Ali Haji, Syair Perahu oleh Hamzah Fansuri dan Bustan al-Salatin oleh al-Raniri menjadi bahan kajian dan rujukan ilmu oleh kalangan pemikir bangsa dari zaman ke zaman sehingga kini. Nilai karya seperti di atas menjadi pembentuk tradisi dan tamadun bangsa yang mempunyai kuasa pengaruh dan mampu meninggalkan kesan yang kekal ke dalam ingatan bangsa turun temurun, malah ia turut menjadi rujukan dalam membentuk kepercayaan sepanjang zaman.
Ini diakui oleh Jyh Wee Sew (2005), “bahasa Melayu menurut Teeuw telah dikaji sejak 400 tahun dahulu setelah terbitnya daftar kata bahasa Belanda, Vocabulaer yang memuatkan senarai bahasa Melayu dan bahasa Jawa. Manakala sistem tatabahasa bahasa Melayu yang awal dikatakan dimulakan oleh Raja Ali Haji di Riau Lingga yang dilakukan dengan penerapan nahu bahasa Arab kepada nahu bahasa Melayu dalam Bustan al-Katibin pada tahun 1857. W.G Shellabear pula menerbitkan Sejarah Melayu pada awal kurun ke-15 selaras dengan kemajuan dan kegemilangan kerajaan Melayu Melaka pada zaman itu. Yang lain termasuk buku hukum nahu Melayu oleh Marsden, C.N Maxwell ,R.O. Winstedt dan Wilkinson. Wilkinson dengan dua jilid kamus kulit hitam bahasa Melayu-bahasa Inggeris terbitan tahun 1955 dan Winstedt dengan kamus bahasa Melayu-bahasa Inggeris kulit hijau yang lebih ringkas pada tahun 1959.
Sejajar dengan peranannya sebagai pendorong kemajuan negara, bahasa Melayu seharusnya mampu digunakan sebagai bahasa ilmu terutamanya dalam mengungkap ilmu moden dalam kontinum masa dunia globalisasi hari ini seperti ilmu sains dan teknologi berdasarkan keupayaan yang telah ditunjukkannya sebelum ini.
Bahasa dan Sastera Sebagai Senjata
Perlu di sedari bahawa institusi sosial dan kebudayaan bangsa kita sekarang sedang diasak dengan penuh rakus oleh pengganas budaya dari Barat khasnya. Institusi-institusi budaya dan bahasa khasnya sudah penat terganggu dengan kekacauan yang menggila ini. Apakah mekanisme terbaik yang boleh kita usahakan terutamanya dalam mempertahankan warisan seni budaya halus yang di tinggalkan oleh nenek moyang kita yang terdahulu? Apakah perisai yang sesuai untuk kita gunakan sebagai pelindung dan apakah pula senjata yang harus kita usahakan untuk menangkis balik segala macam jenis serangan yang tidak bermoral ini?
Prof Madya Dr Kamsiah Abdullah sekali lagi menyatakan “senjata mempunyai dwifungsi. Ia biasa difahamkan sebagai suatu alat yang tajam dan merbahaya yang boleh digunakan untuk melukakan, membunuh atau mengalahkan musuh dalam sesuatu pertempuran atau peperangan. Senjata juga boleh menjadi alat pelindung atau penahan dari serangan. Dengan adanya senjata sesuatu negara akan lebih berhati-hati, dan dalam masa yang sama, ia akan digeruni oleh pihak musuh yang berfikir dua tiga kali jika hendak menyerang”. Kedua-duanya fungsi ‘senjata’ yang disimpulkan adalah untuk mencapai matlamat atau tujuan. Menurut Kamsiah lagi, ‘terdapat berbagai genre bahasa yang khusus berfungsi untuk mencapai atau memperlihatkan tujuan atau matlamat genre bahasa tersebut. Dalam pada itu senjata yang tajam pun boleh mempamerkan keindahan seninya seperti keris yang magis dalam zaman silam ‘.
Menurut Naffi Mat (2006), ‘bahasa dan sastera mempunyai ikatan yang dipertautkan dalam perspektif yang bersifat holistik dan integral. Dunia sastera tidak pernah dipisahkan daripada pelbagai persoalan kebahasaan. Menurutnya lagi, kata cerdik pandai, kesusteraan merupakan cermin diri dan akal budi sesuatu bangsa, sementara bahasa merupakan suara hati’.
Ini jelas menggambarkan hubungkait peri pentingnya bahasa dan sastera sebagai senjata menghadapi serangan budaya yang sedang asyik mengasak institusi sosial bangsa Malaysia kini dan keupayaan bahasa Melayu dalam menangkis setiap peresapan kebejatan dan kebobrokan budaya kuning dari Barat terutamanya. Penyerapan teks sastera ke dalam sistem pendidikan negara adalah contoh strategi bijak kerajaan terutamanya melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menghendakkan pengembangan potensi pelajar yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek iaitu dengan mengisi jiwa generasi muda negara dengan unsur kehalusan budi dan kemanusiaan yang banyak terdapat dalam sastera negara. Sawyer dan Corner pernah menegaskan bahawa penggunaan teks sastera dapat membantu pelajar bersikap toleransi, menghormati orang lain, mengawal diri dan membina peribadi yang baik melalui penghayatan karya yang dibaca.
Aspek ini penting memandangkan wahana jiwa generasi muda negara bukan sahaja diisi dengan segala macam budaya positif melalui sastera tetapi juga mengelakkan penyerapan budaya negatif dari Barat. Melalui sastera juga pemikiran mampu dijana mengikut acuan yang diintegrasi sesuai dengan norma dan iklim masyarakat setempat. Melalui sastera juga kita dapat mengetahui keadaan masyarakat lama, pandangan hidup dan kebiasaan mereka, juga falsafah kebudayaan mereka. Korelasi evolusi perkembangan kebudayaan kita yang bertembung dengan Barat memungkinkan kita untuk berbalik kepada keperibadian kita. Dalam membentuk kembali asas keperibadian inilah, sastera boleh dijadikan bahan rujukan yang palig sesuai dan relevan.
Seperti yang dinyatakan oleh Awang Sariyan dalam kertas kerjanya iaitu, “pendidikan bahasa sebagai suatu cabang pendidikan umum, iaitu sebagai satu subjek dan juga sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan gagasan bahasa merentas kurikulum. Pendidikan bahasa sebagai wahana pewarisan nilai-nilai kehidupan bermasyarakat atau dengan perkataan lain seluruh unsur kebudayaan dan tamadun masyarakat kepada generasi baharu”.

Dalam menghadapi persaingan dunia global kini bahasa Melayu seharusnya menjadi senjata kita mempertahankan kewujudan dan jati diri kita sebagai bangsa yang mempunyai tamadun dan keberadaban tinggi. Fungsi bahasa Melayu sebagai alat komunikasi di negara ini memang telah diterima secara tuntas oleh pakar-pakar bahasa dan juga masyarakat umum. Kesantunan berbahasa menggambarkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi. Keutamaan bahasa Melayu diucapkan sebagai tunjang jati diri atau identiti bangsa Malaysia haruslah menjadi prioriti. Hubungkait antara bahasa dan bangsa dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu atau Tanah Melayu amat rapat, terutamanya untuk mencapai kemerdekaan, isu-isu politik bahasa tidak dapat dipisahkan dengan soal maruah bangsa, kuasa politik, ekonomi dan jatidiri Melayu
Penutup
Perlu diingati bahawa setiap tamadun yang wujud pada hari ini sebenarnya adalah kesinambungan daripada warisan tamadun zaman sebelumnya. Kesinambungan ini adalah bukti bahawa sejarahnya tidak mampu dilupuskan atau digantikan. Ketahanan bahasa Melayu mengharungi pelbagai arus perubahan selama lebih dari 400 tahun jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyi kekuatan tersendiri berbanding bahasa lain. Kelansungan bahasa Melayu pada hari ini adalah hasil kekuatan jati diri bangsa Malaysia khasnya dan harus diperjuang dan dipertahankan.
Cita-cita untuk mencapai kemajuan dan pemodenan hendaklah seiring dan mempunyai titik korelasi yang tepat dengan pemilikan budaya dan jati diri yang menggambarkan identiti bangsa Malaysia. Kausaliti terhadap sebarang dasar yang dijalankan hendaklah mempunyai estakologi yang jujur dan justifikasi amanah yang tinggi terhadap pewarisan budaya bangsa Malaysia khasnya. Pengaruh globalisasi hendaklah diseimbangkan dengan kehendak norma masyarakat yang sesuai menurut situasi dan keadaan negara. Dalam kontinum masa dunia berkehendakkan dominasi globalisasi terhadap Barat, kita seharusnya mengambil ibrah dari setiap perkiraan ghaflah yang boleh kita lihat melalui tamadun Barat, terutamanya dari kerosakan yang dibina mereka kononnya untuk mengejar kemajuan yang mereka kerjakan saban saat.

Siaran Akhbar Perbincangan Meja Bulat Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM)

04 May 2010 - Unit Komunikasi ITNM

Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) yang berlangsung pada 27 April 2010 di Hotel JW Marriot, Putrajaya.

Perbincangan yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin Hj. Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, turut dihadiri YB. Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh, Pengerusi ITNM; Dato’ Asariah Mior Shaharuddin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan); Datuk Dr. Haili Dolhan, Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG); dan Mohd. Zanal Dirin, Timbalan Pengarah Sains dan Teknologi, Bahagian Pembangunan Kurikulum. Perbincangan ini turut menghimpunkan 74 ahli mesyuarat yang terdiri daripada wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), wakil dari Institusi Pengajian Tinggi Awam, wakil persatuan penulis seperti Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), wakil kesatuan guru, para pendidik sekolah menengah serta sekolah rendah, pakar bahasa, penggiat sastera, penggiat seni, dan wakil syarikat penerbit buku tempatan.
Secara umumnya, frasa ‘memartabatkan bahasa Melayu’ didefinisikan sebagai memberi kedudukan tinggi lagi bermaruah serta berprestij kepada bahasa Melayu dalam kalangan penutur aslinya serta masyarakat lain, pada peringkat nasional, serantau dan global. Bahasa Melayu yang bermartabat adalah bahasa yang mempunyai kedudukan ekonomi yang tinggi, sebagaimana dibuktikan oleh bahasa-bahasa utama dunia khususnya bahasa Inggeris, Perancis dan Jepun. Bagi memartabatkan bahasa Melayu, ia tentu sekali perlu menjadi bahasa yang mendukung pelbagai disiplin ilmu dan digunakan sepenuhnya dalam pentadbiran negara, penggubalan dan perumusan undang-undang, perbicaraan kes di mahkamah dan sektor kehakiman, sektor perdagangan, ekonomi, korporat dan pasaran saham, kedoktoran, kejuruteraan, teknologi maklumat serta pelbagai bidang penting dan utama yang menunjangi kemajuan bangsa serta negara di pentas global.
Dalam perbincangan ini, KPM telah membentangkan program yang dilaksanakan bermula tahun 2010 sehingga 2012 dalam usaha memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu. Secara dasarnya, program memartabatkan bahasa Melayu di KPM terbahagi kepada empat bahagian, iaitu Program Kurikulum, Program Kokurikulum, Program Kajian, serta Program Latihan dan Pembangunan. Berikut adalah ringkasan program dan aktiviti yang telah dibentangkan:
Program Kurikulum
  1. Bagi memartabatkan bahasa Melayu, pihak BPK telah melaksanakan transformasi Kurikulum Bahasa Melayu bagi Sekolah Rendah dengan meningkatkan waktu belajar bahasa Melayu. Bagi pelajar Tahap I, waktu belajar ditingkatkan dari 270 minit seminggu kepada 300 minit seminggu; manakala bagi Tahap II, dari 150 minit kepada 240 minit seminggu.
  2. Untuk transformasi Kurikulum Bahasa Melayu di Sekolah Menengah, ia masih dalam proses penggubalan dan akan dilaksanakan pada tahun 2012 dengan menumpukan kepada Dokumen Standard Bahasa Melayu.
  3. Bagi Kurikulum Tingkatan 6 (STPM), menurut Majlis Peperiksaan Malaysia, transformasi untuk pembelajaran bahasa Melayu akan bermula pada 2011, dan berbentuk Sistem Modular.
  4. Pelajar sekolah menengah (pelajar Tingkatan 1 hingga 5) berpeluang memanfaatkan Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) yang mana teks KOMSAS baru Tingkatan 1 dan 4 telah digunakan mulai Januari 2010. Teks Kesusasteraan Melayu Elektif baru juga telah digunakan untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5 bermula Januari 2010.
  5. Pelaksanaan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) bertujuan untuk memastikan semua murid dapat membaca, mengira dan mengenal huruf selepas tiga tahun persekolahan.
  6. Program PROTIM (Membaca dan Menulis) membolehkan murid Tahap II (Tahun 4, 5 dan 6) yang masih lemah dapat menguasai kemahiran berbahasa sebelum mengikuti pembelajaran di peringkat menengah.
  7. Menubuhkan Jawatankuasa Pelaksana MBM bagi memastikan program bahasa Melayu lebih terancang dan hasrat dasar Memartabatkan Bahasa Melayu akan tercapai.
Program Kokurikulum
  1. Pemantapan program memartabatkan bahasa Melayu oleh Bahagian Teknologi Pendidikan diadakan melalui penganjuran aktiviti seperti Mari Membaca, Kem Penulis Muda, program Nilai Ilmu Amalan Membaca (NILAM), Minggu Bahasa dan Klinik Bahasa.
  2. Bahagian Pendidikan Teknik Vokasional menganjurkan program Membaca 1 Buku Bahasa Melayu setiap bulan dalam kalangan pegawainya sebagai menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu selain mengadakan KOMSAS Mentoring untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5.
  3. Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) pula menganjurkan aktiviti Pelestarian Kebudayaan Melayu kepada guru pelatih, guru sekolah menengah dan rendah sebagai program penataran pendidikan kebudayaan, pelestarian aktiviti berkaitan budaya dan penyelidikan aspek kebudayaan setempat.
Program Kajian
  1. Institut Aminuddin Baki (IAB) menjalankan penyelidikan tahap kompetensi pemimpin sekolah dalam bahasa Melayu untuk guru besar dan pengetua.
  2. Jemaah Nazir telah mengadakan kajian tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan guru berbangsa Cina dan India yang mengajar subjek Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Ini bagi memartabatkan lagi bahasa Melayu dalam kalangan guru bukan Melayu yang mengajar mata pelajaran tersebut di sekolah bukan Melayu.
  3. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan juga telah mengadakan kajian penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan guru yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah.
  4. Jemaah Nazir turut mengadakan pemeriksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu yang berfokus kepada penguasaan kemahiran lisan dan menulis di peringkat sekolah menengah, terutamanya pelajar Tingkatan 1 hingga 3.
Program Latihan dan Pembangunan
  1. IPGM telah menganjurkan Wacana Epistemologi dan Pemikiran Alam Melayu, khususnya untuk pensyarah-pensyarah IPG. Selain itu, IPGM turut mengadakan program pengantarabangsaan bahasa Melayu, Kursus Ketepatan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Penulisan Dokumen Rasmi dan Kursus dalam Perkhidmatan. Bagi aktiviti peningkatan kepakaran guru bahasa Melayu, IPGM telah mengadakan pelbagai kursus berkaitan untuk meningkatkan prestasi guru.
  2. Program-program lain yang turut dianjurkan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu adalah Kempen Kecintaan Terhadap Bahasa Kebangsaan, Kursus Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Kalangan Pelajar dan Guru, Pemilihan Munsyi Dewan, Konvensyen Munsyi Dewan, Kursus Pengukuhan Bahasa Melayu dan taklimat sukatan pelajaran bahasa Melayu kepada Jurulatih Utama Bahasa Melayu seluruh negara.
  3. Bahagian Teknologi Pendidikan kini dalam usaha pembinaan e-Bahan Bahasa Malaysia untuk memeriksa kesalahan umum tatabahasa dan apresiasi puisi. Selain itu, bahagian ini juga membuat pembelian dan pengedaran bahan “off the shelf” CD Kancil, memuat turun perisian kursus e-Bahan Bahasa Melayu pada LMS dan menambah baik prasarana yang disediakan.
  4. Bahagian Pendidikan Teknik Vokasional turut mewujudkan Pusat Kecemerlangan Mata Pelajaran di Sekolah Menengah Teknik (SMT) yang memberi penumpuan kepada mata pelajaran teknik, tetapi dalam masa sama tetap memartabatkan bahasa Melayu.
Kesimpulan kepada usaha-usaha yang dijalankan oleh KPM dari segi pemartabatan bahasa Melayu, ia sebenarnya berasaskan kepada pedoman belajar bahasa yang mana ia memerlukan bahasa itu dipelajari setiap hari. Selain itu, program ini turut bertujuan untuk membina asas yang kukuh, menetapkan sasaran, menumpukan kepada kepentingan dan tidak takut melakukan kesilapan serta yang paling penting, keseronokan mempelajari bahasa Melayu.
Selaku agensi di bawah KPM, ITNM juga tidak ketinggalan dalam memainkan peranan memartabatkan bahasa Melayu melalui pelbagai aktiviti penterjemahan dan khidmat jurubahasa serta kursus yang dianjurkan. Perbincangan ini turut membuka ruang kepada pihak ITNM menerangkan strategi dan hala tuju bagi memartabatkan bahasa Melayu yang diketengahkan oleh ITNM selari dengan misi mengatasi halangan bahasa selain meningkatkan kepustakaan Melayu sebagai wahana pemikiran rakyat. Berikut adalah aktiviti teras dilaksanakan oleh ITNM seperti yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut:
1.      Menerbitkan buku terjemahan dalam bahasa Melayu
Sehingga 2010, ITNM telah menterjemahkan 507 judul dalam pelbagai bidang seperti Pendidikan, Pengurusan, Sastera, Teknologi Maklumat, Sains, Sains Sosial, Tamadun Islam dan lain-lain. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 333 judul telah diterjemahkan ke bahasa Melayu. Terjemahan ini amat penting, khususnya untuk golongan pelajar dan masyarakat umum bagi memastikan bahan rujukan dalam bahasa Melayu sentiasa ada dan berkembang selaras dengan perkembangan ilmu di peringkat global.
2.      Menterjemah buku pelanggan ke bahasa Melayu
ITNM turut menawarkan khidmat menterjemah buku pelanggan untuk menjana pendapatan bagi menampung kos pentadbiran. Sehingga kini, sebanyak 551 buku pelanggan diterjemahkan berdasarkan permintaan pelanggan. Dalam hal ini, ITNM tidak menerbitkan buku yang diterjemahkan itu kerana hak cipta dan kebenaran mencetak dimiliki oleh pelanggan tersebut.
3.      Menterjemah dokumen bahasa asing ke bahasa Melayu
Khidmat utama ditawarkan oleh ITNM adalah khidmat terjemahan dokumen komersil. Sehingga kini, sebanyak 257,568.7 halaman dokumen dan sijil telah diterjemahkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 129,725.7 merupakan terjemahan daripada pelbagai bahasa asing ke bahasa Melayu. Antara dokumen yang diterjemahkan ke bahasa Melayu adalah sijil lahir, pasport, lesen memandu, transkrip, risalah perubatan, risalah data keselamatan, polisi insurans, borang soal selidik, laporan tahunan, manual latihan, dokumen undang-undang, garis panduan untuk Kementerian Kesihatan dan Manual tentera Darat. Pelanggan ITNM pula terdiri daripada individu, sektor awam, sektor swasta dan syarikat multinasional.
4.      Menyediakan khidmat kejurubahasaan daripada bahasa asing ke bahasa Melayu
ITNM menawarkan khidmat kejurubahasaan bagi bahasa asing ke bahasa Melayu dan juga sebaliknya untuk persidangan, mesyuarat, seminar, latihan, lawatan dan perbicaraan di mahkamah. Sehingga 2010, sebanyak 801 projek kejurubahasaan dilaksanakan dan 98 daripadanya melibatkan khidmat kejurubahasaan daripada bahasa asing ke bahasa Melayu.
5.      Menganjurkan kursus penterjemahan bahasa Melayu
Selain khidmat terjemahan dan kejurubahasaan, ITNM turut menganjurkan Kursus Penterjemahan Bahasa Melayu, Bengkel Penyuntingan Terjemahan, Bengkel Suntingan Karya Asli, Kursus Jurubahasa dan Kursus Bahasa Asing. Sehingga kini, sebanyak 227 kursus telah dianjurkan dengan bilangan peserta 5,215 orang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 162 kursus melibatkan bahasa Melayu dengan peserta seramai 3,397.
Bagaimanapun, pihak ITNM tidak tertakluk atau hanya bertumpu kepada aktiviti teras sahaja, di mana ITNM turut merangka strategi dan program lain bagi memartabatkan bahasa Melayu. Berikut disenaraikan secara ringkas antara program yang sedang dan akan dilaksanakan:
  1. Selaras dengan usaha menyahut cabaran semasa, dengan pengumuman pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), ITNM kini dalam proses menterjemah 130 judul buku Sains dan Matematik yang akan menjadi bahan bacaan tambahan di semua sekolah selewat-lewatnya pada penghujung 2012.
  2. Menterjemah 50 judul buku bertemakan kreatif ke bahasa Melayu untuk menggalakkan minda dan pemikiran lebih kreatif untuk menyokong usaha kerajaan melahirkan generasi hadapan yang berfikiran kritis dan kreatif.
  3. Cadangan menterjemah buku bertemakan sukan ke bahasa Melayu selaras dengan usaha Kementerian melaksanakan “Satu Murid Satu Sukan”. ITNM sedang melihat judul buku sesuai yang terpilih untuk diterjemahkan ke bahasa Melayu, yang mana ia membawa aspirasi dan semangat sukan ke dalam diri pembacanya.
  4. ITNM juga sedang mengumpul bahan-bahan Sastera Dunia untuk diterjemahkan ke bahasa Melayu. Ia bertujuan agar karya hebat ini dapat dinikmati dan dihayati masyarakat tempatan seterusnya mendedahkan mereka dengan kerencaman masyarakat asing.
  5. ITNM juga sedang dalam usaha menambah jumlah kursus yang dianjurkan bagi menambah lagi bilangan penterjemah untuk menampung permintaan perkhidmatan yang ITNM sediakan.
Hasil daripada pembentangan ini, pihak ITNM menyimpulkan bahawa segala pelaksanaan usaha bagi menerbitkan buku terjemahan bahasa Melayu adalah sebagai mendukung program memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tanpa sokongan padu daripada KPM, tidak mungkin ITNM dapat merealisasikan perancangannya serta mencapai kejayaan seperti sekarang.
Selain objektif penganjuran perbincangan meja bulat yang memberi fokus kepada memartabatkan bahasa Melayu, ia turut bertujuan untuk berkongsi idea dan mendapatkan pandangan ahli mesyuarat bagi mencari kata sepakat dalam usaha dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. Sesi sumbang saran telah dibuka bagi mendapatkan maklum balas tentang strategi memartabatkan bahasa Melayu daripada pelbagai pihak. Secara ringkas, berikut adalah maklum balas, saranan dan cadangan yang diketengahkan oleh ahli mesyuarat berkenaan usaha memartabatkan bahasa Melayu (MBM):
  1. Memperkukuhkan dasar kerajaan mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
  2. Meningkatkan nilai ekonomi bahasa Melayu dengan mengkaji semula sistem penggredan di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan keperluan dalam bidang pekerjaan. Jika sebelum ini, syarat kelayakan yang diperlukan hanya lulus, ia sudah sewajarnya dinaikkan taraf sekurang-kurangnya kepada pencapaian kepujian.
  3. Menubuhkan jawatankuasa khas kabinet yang akan memperjuangkan hal-hal berkaitan bahasa Melayu.
  4. Mengemukakan satu memorandum berkaitan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu ke kabinet.
  5. Menjadikan bahasa Melayu sebagai identiti masyarakat, tanpa mengira kaum dan bangsa dengan menghapuskan tanggapan bahawa bahasa Melayu hanya untuk orang Melayu.
  6. Menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat sekolah dan universiti.
  7. Mewujudkan semula ujian lisan di peringkat sekolah dan mewajibkannya sebagai salah satu syarat kelayakan menyambung pengajian di peringkat universiti.
  8. Pemilihan dan pelantikan guru bahasa Melayu di sekolah mestilah dalam kalangan guru yang mempunyai kepakaran dalam pengajian Melayu.
  9. Usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu mestilah bermula dengan membudayakan bahasa Melayu melalui penerokaan aspek apresiasi, penjiwaan dan penghayatan amalan seperti berpantun, gurindam, seloka dan nazam. Mata pelajaran bahasa Melayu dan sastera Melayu juga perlu merentasi disiplin dan lengkap dengan aspek amali.
  10. Mewajibkan pengajian bahasa Melayu untuk pelajar asing.
  11. Mengadakan latihan pengukuhan di peringkat Institut Pendidikan Guru (IPG) khusus bagi bakal guru yang mengajar bahasa Melayu dan Sastera Melayu.
  12. Menjadikan Sastera Melayu sebagai subjek teras di peringkat sekolah menengah.
  13. Memberikan keistimewaan kepada guru yang mengajar bahasa Melayu dan Sastera Melayu sama seperti guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
  14. Mewujudkan ujian bahasa Melayu di peringkat IPT sebagaimana ujian bahasa Inggeris (MUET).
  15. Mengawal peranan media yang menyekat siaran rancangan bahasa Melayu berbanding bahasa Cina dan Tamil yang lebih tinggi nilai komersialnya.
  16. Menghasilkan bahan sokongan kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu seperti bahan bercetak, drama, filem dan lirik lagu yang menggunakan bahasa Melayu standard. Bahan berkenaan perlu dipasarkan secara meluas supaya lebih mudah didapati.
  17. Menambah kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi di peringkat sekolah bagi mendukung usaha memperkasakan bahasa Melayu.
Dapatan daripada perbincangan ini, pengerusi mesyuarat menyimpulkan bahawa isu untuk memperkasakan bahasa Melayu ini sebagai perkara yang sangat kompleks. Ia melibatkan banyak pihak, banyak kaedah pelaksanaan, dan ia bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya untuk menggubal sesuatu dasar. Walau bagaimanapun, pihak terlibat seharusnya memainkan peranan mengikut bidang kepakaran masing-masing. Jika semua yang terlibat tahu dan mengambil inisiatif melaksanakan peranan masing-masing, ia sedikit sebanyak dapat membantu merealisasikan perkara yang dibincangkan pada mesyuarat ini. Selain itu, cadangan mewujudkan satu jawatankuasa kabinet merupakan idea yang bernas kerana di situlah segala keputusan berkaitan penggubalan dasar boleh dibuat. Pengerusi turut mengusulkan agar satu memorandum ringkas dibuat dan dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran bagi menyokong usaha beliau terutamanya dalam menukarkan dasar PPSMI kepada dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Hala tuju dan strategi yang dicadangkan akan diusulkan kepada Menteri Pelajaran selanjutnya dibentangkan di peringkat kabinet.


Memartabatkan bahasa Melayu

Oleh PROF. DR. AWANG SARIYAN
BAHASA Melayu sejak lebih daripada satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa besar. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi.
Sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:
``Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan kepulauan Filipina.''
Kebitaraan bahasa Melayu pada abad 16 dan 17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan bahasa sastera.
Kelunturan martabat bahasa Melayu
Martabat bahasa Melayu dilunturkan oleh penjajah (Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia) dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas menjadi bahasa setempat atau bahasa vernakular yang disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan sehari-hari dan lebih untuk lingkungan masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan Inggeris, bahasa Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa oleh Inggeris untuk kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya bahasa penghantar di sekolah vernakular Melayu, sama halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di sekolah vernakular India.
Dalam bidang bahasa dan pendidikan, terang bahawa bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar sekolah Melayu yang terbatas pula jangkauan bidang ilmu dan kemahirannya. Hal ini direncanakan dengan cukup kemas oleh penjajah Inggeris, semata-mata untuk menutup kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai bangsa berwibawa dan dengan demikian berupaya membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan.
Selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta keeksklusifan bahasa penghantar ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris.
Namun, apabila ada tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana bidang-bidang utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak pembinaan negara.
Walau bagaimanapun dengan adanya tantangan-tantangan semasa, bahasa Melayu mengalami kemerosotan dalam dua aspek, iaitu aspek taraf dan mutunya.
Kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang.
Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan.
Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di Internet dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.
Demikian juga, semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct, parcel dan boulevard).
Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa perkara berikut:
1. Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa Melayu.
2. Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan penyiaran.
3. Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib.
4. Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.
5. Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar jumlah anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya tinggi.
6. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, mengajak masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit.
Langkah meningkatkan martabat bahasa Melayu
Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya, sebagai langkah membina ketahanan jati diri dan maruah bangsa dan negara.
Dalam bidang bahasa, antara langkah yang perlu diambil termasuklah:
1. Penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu - contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur oleh semua lapisan, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum. Usahlah ada sebarang tindakan yang melemahkan undang-undang tersebut, sama ada melalui pengenalan dasar baru, pernyataan atau tindakan yang bercanggah dengan undang-undang itu.
2. Pindaan dan perluasan peruntukan akta yang berkaitan - pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberikan cakupan lebih luas penggunaan bahasa Melayu, pindaan akta-akta yang sudah tidak kemas kini atau tidak jelas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan. Selain itu, akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-Undang Kecil Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas.
3. Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu - usaha ini perlu ditingkatkan supaya nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi, melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan elektronik). Agenda pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan negara melalui Belanjawan Negara.
4. Pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan - usaha ini perlu dimantapkan semula, dari peringkat prasekolah hingga peringkat pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Yang pertama ialah pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Sebarang usaha berundur daripada keputusan yang penting dan bijaksana serta telah membuktikan kejayaan dalam proses pembinaan negara hendaklah dielakkan. Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti-universiti lain dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan. Aspek yang kedua ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan pengajaran dan pemelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan bacaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Dengan demikian diharapkan landaan pelbagai ragam bahasa tidak rasmi, sama ada bahasa sembang Internet, bahasa SMS atau yang lain tidak akan sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.
5. Komponen bahasa dan persuratan dalam pelbagai program negara - semua program negara yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mesti memasukkan program bahasa dan persuratan, misalnya dalam Program Khidmat Negara, kursus Biro Tatanegara, KP3P dan sebagainya. Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan profesional perlu memasukkan modul bahasa dan persuratan di dalamnya.
6. Modul bahasa dan persuratan dalam program latihan jabatan - setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program ``kursus dalam perkhidmatan'' masing-masing.
7. Pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran dan media massa - usaha ini perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai ejen pemantapan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan. Tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga tindakan undang-undang.
8. Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan bertaraf kebangsaan - kerajaan, melalui semua kementerian, jabatan dan agensi serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara aktif dan terancang menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain itu, setiap jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan menganjurkan kegiatan yang dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari waktu ke waktu dalam perancangan tahunan supaya bahasa dan persuratan Melayu tidak terpinggir dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi khusus dalam bidang bahasa dan sastera.
Pembangunan negara yang hakiki dan bersepadu hanya tercapai apabila semua bidang yang penting diberi perhatian yang sama beratnya, termasuk bidang bahasa dan budaya. Dalam konteks pembentukan jati diri dan citra negara ini pula, dasar-dasar yang bersifat endoglosia, iaitu berasaskan keperibumian yang disokong oleh hakikat sejarah kebudayaan dan tamadun di negara dan dirantau ini perlu dipertahankan dan ditingkatkan.
Tidak seharusnya berlaku keadaan negara menuju kejayaan ekonomi dan industri sementara mengalami kehancuran dari segi unsur dalaman bangsa, terutama bahasa dan budaya. Oleh itu, kerjasama antara semua kementerian, jabatan, agensi, pertubuhan, sektor swasta dan orang perseorangan perlu digemblengkan secara bersepadu oleh pemerintah dalam bentuk rangkaian yang berkesan untuk memastikan pencapaian yang seimbang.
  Dikemaskini pada 21 Okt 2008



ARKIB : 17/09/2007

Globalisasi cabar bahasa Malaysia

Oleh SALMAH ZAINAL ABIDIN
BAHASA memainkan peranan yang penting dalam masyarakat apatah lagi dalam masyarakat yang pelbagai bangsa, berbilang agama dan mengamalkan cara hidup yang berlainan. Dalam konteks negara kita, bahasa Malaysia telah membuktikan kemampuannya dalam menyatukan seluruh bangsa yang ada di negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Dasar dan perancangan bahasa yang baik dan cekap serta pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan telah memupuk hubungan kaum yang mantap di Malaysia. Sungguhpun demikian, usaha melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bukanlah suatu langkah yang tidak mendapat bantahan, tanpa cabaran dan dapat dilaksanakan dengan terlalu mudah.
Sejarah 50 tahun kemerdekaan negara ini sedikit sebanyak menampilkan beberapa insiden yang cuba menggugat dan mencabar keistimewaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Namun demikian, dengan kebijaksanaan dan sikap tolak ansur pemimpin daripada semua kaum utama telah dapat membantu meleraikan konflik dan kekusutan yang dihadapi pada peringkat awal dasar bahasa kebangsaan dilaksanakan. Syarahan Perdana terbitan Penerbit UKM (2007) bertajuk Kekompleksan `Prihatin Bahasa' dalam Masyarakat Multietnik Malaysia, oleh Prof. Dr. Saran Kaur Gill, profesor sosiolinguistik dan komunikasi antarabangsa di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM menekankan kekompleksan isu-isu bahasa yang dihadapi oleh beberapa masyarakat terpilih di Malaysia yang merupakan sebahagian daripada landskap etnik yang pelbagai.
Kekompleksan bahasa yang dimaksudkan oleh Saran Kaur Gill diwarnai oleh beberapa keperluan pembangunan bangsa yang terdapat pada detik-detik berbeza dalam sejarah negara. Perjalanan bermula dengan perjuangan pada zaman selepas merdeka apabila munculnya semangat kebangsaan yang kuat untuk menggantikan bahasa penjajah, iaitu bahasa Inggeris dengan bahasa kebangsaan yang boleh berperanan sebagai lambang identiti dan perpaduan negara yang didukung oleh pelbagai kaum dan ras.
Dengan beberapa alasan sejarah, termasuk keterbiasaan semua bangsa dengan bahasa yang telah diterima sebagai lingua franca di alam Melayu, maka bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa yang berperanan bukan sahaja sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tetapi juga sebagai bahasa pendidikan. Akibatnya, bahasa Inggeris dengan sendirinya tidak digunakan lagi seluas dahulu dan dengan perubahan masa dan pengaruh bahasa-bahasa lain, wujudlah subvarieti bahasa Inggeris Malaysia.
Bahasa Malaysia telah membuktikan keberkesanannya sebagai alat penyatuan kaum, yang menjadi jambatan menghubungkan pelbagai etnik di negara ini, bahasa peringkat tinggi di universiti dan mampu pula dikuasai oleh pelbagai pemimpin politik sungguhpun mereka datang daripada pelbagai kepentingan yang berteraskan kaum masing-masing.
Kini, dengan perubahan dan cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi, kecenderungan sekarang adalah bagi mempersiapkan setiap rakyat agar dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di seluruh dunia. Justeru, bahasa Inggeris akan mendapat tempat sama penting dengan bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia pula akan tetap kekal sebagai bahasa rasmi sebagaimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sejak merdeka, Malaysia menghadapi sedikit sebanyak cabaran dasar bahasa dan perancangan dengan berlatarbelakangkan penduduk berbilang bangsa dan bahasa. Cabaran ini muncul akibat asas yang berbeza untuk memelihara dan mengekalkan identiti linguistik negara, etnik dan antarabangsa. Asas ini melintasi antara setiap suatu bangsa dengan yang lain sehingga menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan rakyat. Merosotnya kepentingan bahasa Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan teknologi telah memberi kesan ke atas peranannya sebagai bahasa pendidikan, pemeliharaan dan pengekalan identiti linguistik negara dalam menghadapi globalisasi.
Bahasa etnik masyarakat minoriti kecil yang semakin terhakis dan mutu bahasa Inggeris Malaysia yang boleh diterima di peringkat antarabangsa adalah antara isu yang kita hadapi selepas 50 tahun merdeka. Dalam hal ini, globalisasi menuntut kita merangka tindakan dasar dan perancangan bahasa yang membolehkan negara merancang dan membantu rakyatnya yang berbilang bangsa membina identiti etnik, negara dan antarabangsa. Pertama, perlulah kita merancang sumber untuk terus mempertingkatkan dan memperkembangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan kita semasa bahasa itu tercabar oleh gelombang globalisasi. Kedua, perlunya kita melahirkan sumber insan yang dibekalkan dengan kecekapan bahasa Inggeris supaya dapat memperoleh identiti antarabangsa untuk terus cemerlang. Ketiga, jaminan bahawa identiti etnik sedang dipertimbangkan melalui peruntukan terancang bagi pengajaran bahasa etnik.
Perancangan dasar bahasa yang mantap ini akan mengekalkan kemandirian bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dan pada masa yang sama terus mengekalkan peranannya yang penting sebagai alat perpaduan kaum di sebuah negara merdeka yang didiami oleh pelbagai kaum. Kemerdekaan negara akan terus didukung oleh semua bangsa dengan menggunakan bahasa yang sama. Sebagai sarjana bahasa dan ahli linguistik yang bukan pula berbangsa Melayu, buku ini jelas memperlihatkan pandangan penulisnya yang jujur akan cabaran yang telah dan bakal dihadapi oleh bahasa Malaysia dalam sebuah negara berbilang kaum.
Berdasarkan pemerhatiannya ke atas apa yang telah Malaysia hadapi, Prof. Saran yang kini memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), UKM menampilkan saranannya agar bahasa Malaysia terus diterima oleh setiap pihak sebagai bahasa penyatuan setiap warga Malaysia. Pembinaan bangsa Malaysia berteraskan bahasa yang tunggal telah melalui sejarah yang manis. Namun, dengan ketibaan globalisasi kita perlu melihat kembali apa yang perlu diperbetulkan kerana kita kini menghadapi suasana yang sama sekali berbeza dengan apa yang kita lalui 50 tahun lalu.

Jurnal Peradaban Melayu, Jilid 5, Tahun 2007

Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan Lagu

Siti Khariah Mohd Zubir
Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pengenalan
Apabila memperkatakan bahasa dan Kesusasteraan Melayu, akan mengajak kita bersedia bersepadu tenaga membina, memupuk dan mengembangkannya. A. Aziz Deraman (2006: 4) dipetik daripada kertas kerja yang bertajuk “Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Dalam Menghadapi Wawasan 2020” menyatakan bahawa kegemilangan, bukan sahaja terserlah di kalangan 200 juta orang umat berbahasa Melayu di rantau ini, bahkan dalam perspektif yang lebih luas meletakkannya di pentas dunia. Bahasa pada makhluk yang bernama manusia merupakan unsur yang menjadi ciri penting bagi sifat “kemanusiaan manusia” sejak munculnya manusia di dunia, iaitu Nabi Adam a.s.

Awang Sariyan (206: 5) memetik daripada kata-kata Abdullah Yusuf Ali (1983: 24) menyatakan bahawa Nabi Adam a.s. sebagai manusia pertama yang diciptakan Allah s.w.t. telah diberikan ilmu bahasa oleh Allah dalam bentuk pengenalan tentang nama sekelian kejadian alam. Namun itu, bukan sekadar kata-kata yang merujuk kepada bentuk konkrit kejadian alam, bahkan tersirat di dalam keterangan tentang sifat dan kualiti setiap kejadian itu.

Mohd Yusof Haji Othman (206: 31) pula menyatakan bahawa bahasa tidak mungkin dipisahkan daripada amalan hidup seseorang. Bahasa bukan semata-mata alat komunikasi tetapi jauh daripada itu, bahasa ialah pembina budaya dan pandangan alam seseorang. Seseorang yang mengabaikan bahasanya, bermakna ia mengabaikan budaya hidup diri dan masyarakatnya. Seseorang yang mengagungkan bahasa juga harus mengagungkan budaya atau sastera bangsanya. Lebih tinggi taraf kebahasan yang digunakan dalam kehidupan lebih tinggi nilai kebudayan atau sasteranya dan lebih besar pula sumbangan yang dapat diberikannya untuk membangunkan diri, keluarga dan negara.

Bahasa Melayu mempunyai nilai sastera, budaya dan agama yang tinggi. Semangat dan nilai yang terdapat dalam bahasa Melayu boleh menjadi pendorong yang kuat kepada pengamalnya untuk menggerakkan perkembangan ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu, sastera dan budaya akan hidup bersama untuk membangunkan masyarakat. Collins (1999) dan Awang Sariyan (2000) menjelaskan bahawa kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan ke-17, telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagi bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar di dunia dan bahasa sastera. Oleh itu, bahasa dan sastera tidak boleh dipisahkan.

Peranan Bahasa
Bahasa Melayu adalah bahasa negara. Ianya berfungsi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, maka statusnya menjadi amat penting sebagai bahasa pengantar system pendidikan kebangsaan. Fungsi bahasa Melayu dalam sistem pendidikan telah dirumuskan oleh Akta Pendidikan 1961, lanjutan penegasan perundangan terhadap Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Lebih tiga dekad telah berlalu, sejak 1971 dan pelbagai kajian telah dibuat terhadap kesan sistem pendidikan tersebut. Hasil yang diperoleh agak membanggakan. Bahasa Melayu terbukti dapat menjadi bahasa pengantar pendidikan-setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Bahasa Melayu telah berjaya diangkat dan bertindak sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu digunakan di peringkat sekolah rendah, menengah dan sebahagian besar daripada pengajian di peringkat tinggi. Di Malaysia mulai tahun 1983 semua institusi pengajian tinggi awam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sesudah 13 tahun Dasar Bahasa Kebangsan ditegaskan semula dalam Sistem Pendidikan Kebangsan.

Perkembangan sejarah peradaban manusia cukup penting dan perlu diberi perhatian kerana kewujudan sesebuah Negara bergantung pada kekuatan bahasa yang membina peradabnnya. Menurut A. Aziz Deraman (206: 288) kekuatan bahasa juga akan menjamin kelangsungan peradaban. Bahasa Kebangsaan ialah pemersatu dan alat komunikasi rakyat yang sangat utama. Rancangan Malaysia Ke-9 telah menetapkan agenda nasional yang mesti didukung dengan cita-cita pembangunan tamadun dan modal insan Malaysia, sesuatu keseimbangan antara keperluan jasmaniah dengan rohaniah sebagaimana harapan asal daripada matlamat kewujudan sesebuah kebudayan kebangsan Malaysia.

Peranan bahasa Melayu yang lain ialah digunapakai sebagai beberapa undang-undang dan digunakan juga dalam peraturan-peraturan pejabat. Dengan demikian, ternyatalah bahawa Malaysia mempunyai Dasar Bahasa Negara. Secara ringkas undang-undang Malaysia menetapkan tiga undang-undang yang berkaitan dengan bahasa. Pertama, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsan bagi negara Malaysia. Kedua, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Ketiga, rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain.

Sesebuah Negara tentulah memerlukan satu bahasa negara yang menjadi alat bagi semua tujuan pembangunan dan citra keperidian nusa. Peranan bahasa Melayu untuk keperluan dalam negara sebagaimana yang ditakrifkan daripada kehendak undang-undang bermakna bahasa Melayu menjadi bahaasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar pendidikan, bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan falsafah, bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri, bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi.

Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang digunakan bagi semua maksud rasmi kerajaan, memenuhi fungsi komunikasi perkhidmatan awam, yakni komunikasi dalam jabatan dan antara sesama jabatan sektor awam, antara jabatan sektor awam dengan sektor swasta dan korporat atau sebaliknya dan komunikasi antara jabatan sektor awam dengan orang awam atau sebaliknya. Kita juga harus melihat peranan utama dan peranan komunikatif bahasa kebangsaan kerana sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu ditakrifkan mempunyai peranan utama, yang antara lainnya menjadi lambang atau citra Malaysia. Ia dibuktikan dengan penggunaannya di tempat awam, penggunaan nama khas dan melalui media massa berstatus negara, menjadi wahana pemersatuan warganegara dan rakyatnya dengan konsep ‘satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia.’ Selain itu, bahasa Melayu menjadi wahana komunikasi umum (lisan dan tulisan) antara kelompok masyarakat penutur bahasa dan kegunaan umum antara individu berlainan etnik. Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa dan budaya yang menggerakkan perkembangan Kesusasteran Melayu di rantau ini. Bahasa dan sastera tidak boleh dikesampingkan kerana ianya umpama irama dan lagu, sekiranya salah satu daripadanya tiada maka yang satu lagi akan pincang.

Bahasa Melayu juga mempunyai peranan sebagai alat komunikasi antara kerajaan dengan orang ramai, antara sektor awam dengan swasta dan korporat.
Begitu juga sektor swasta dan korporat dengan pelanggan dalam negeri atau sebaliknya. Bahasa Melayu tidak ketinggalan digunakan dalam penyampaian maklumat bagi segala bentuk iklan, nama khas, pengumuman, arahan dan seumpamanya dipamerkan di tempat awam atau di khalayak ramai atau siaran melalui media massa. A. Aziz Deraman (2006) dalam kertas kerjanya bertajuk “Kebudayaan, Pendidikan dan Bahasa Melayu” menyatakan bahawa bahasa Melayu sudah mengambil tempat yang sewajarnya dan dimartabatkan sebagai bahasa nasional Negara-negara serumpun selepas kemerdekaan Indonesia (1945), Malaysia (1957) dan Berunai Darussalam (1984). Bahasa Melayu berjaya dalam banyak lapangan kehidupan sebagi bahasa ilmu, alat komunikasi dan pemersatuan rakyat. Dalam tempuh relatifnya singkat, baik di Malaysia atau Indonesia, bahasa Melayu dengan cepat mengambil alih bahasa Inggeris atau bahasa Belanda sebagi alat pemersatu bangsa dan bahasa yang begitu terbuka berkembang maju mengikut keperluan negara.

Bahasa Melayu juga berpengaruh dan berperanan yang besar dalam memupuk kesenian bangsa dengan penghayatan dan penyertaan yang menyeluruh. Tamadun silam seperti yang pernah dilalui oleh orang Yunani-Romawi, tamadun Islam, tamadun India dan tamadun Cina banyak mengekalkan fikiran dan perasan kesenian bangsanya melalui bahasa. Peranan kesusasteraan, yakni persuratan dan penulisan, terletak di sini. Bahasa memupuk resam, nilai dan norma sesuatu bangsa. Dalam situasi politik-ekonomi dan sosial yang berubah, bahasa tetap mampu mengisi keperluan sesebuah tamadun.
Peranan Sastera
Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sejak tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia khususnya menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Dengan adanya pendidikan Kesusasteraan Melayu dapat mencerminkan masyarakat kesenian yang kreatif, mampu mengkaji keindahan karya sastera dan menguasai kemahiran berbahasa bahasa Melayu.

Peranan sastera terutamanya sastera Melayu dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini amat bertepatan dengan konsep membina ‘modal insan’ yang diharap-harapkan oleh pemimpin negara. Kita tidak mahu melahirkan satu bangsa seperti robot yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika bertindak atau mengambil keputusan. Apa yang kita boleh lihat sekarang, ramai bijak pandai dalam bidang sains dan teknologi tetapi sayang mereka gagal dalam usaha melahirkan pemimpin yang bermoral, berjati diri dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Pemimpin yang tidak berjiwa seperti di atas, merupakan manusia yang hilang pertimbangan ketika bertindak. Akibat daripada itu, masalah rasuah, keruntuhan moral sehingga membawa kepada kemusnahan alam dan manyusahkan masyarakat. Justeru mengembalikan nilai sejagat yang bersifat kemanusiaan sebenarnya terkandung dalam sastera.
Di peringkat sekolah Kesusasteran Melayu memainkan peranan sebagi satu cabang ilmu dan senjata yang dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu sejajar dengan konsep bahasa merentas kurikulum. Sementara itu di peringkat pengajian tinggi pelajar didedahkan dengan teknik penulisan ilmiah, rencana dan penulisan kreatif dan pelajar juga diberikan pengetahuan tentang dunia penerbitan dan penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan.

Selain itu, sastera juga berperanan dalam usaha pengayaan khazanh ilmu dan persuratan bahasa Melayu wajar dipertingkatkan kepada semua peringkat usia pembelajaran dan pengajarn. Dengan cara ini, proses pembentukan jati diri dan cinta akan khazanah negara dapat diatur, dilentur, dibentuk dengan sebaik-baik mungkin. Proses pengayaan ini merupakan proses yang berterusan dan menjadi agenda utama dasar pentadbiran negara.

Shahnon Ahmad (1997: 25) menyatakan bahawa kesusasteraan berperanan sebagai satu cabang kesenian yang berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan dan cinta kepada kebenaran. Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan kebenaran. A. Samad Said (1997: 35) pula menyatakan bahawa peranan sastera sebagai rakman dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah mereka. Setiap karya yang tercipta, sedikit sebanyak mendekatkan insan seni itu kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang luas, di samping menggarapkannya dengan sesam makhluk yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati dan sama-sama terhukum oleh getir-getar kehidupan. Oleh latar dan pengaruh itu, sastera mestilah berkhasiat untuk batiniah dan minda manusia. Manakala Usman Awang (1997: 41) menjelaskan bahawa peranan sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara luas. Tiada sesiapapun yang boleh mendakwa bahawa dia mempunyai monopoli terhadap budaya Malaysia. Budaya bersama kita hanya akan lahir daripada penghidupan bersama semua rakyat bukan contoh angkuh daripada sebilangan kecil golongan kaya dan istimewa.

Peranan Bahasa dan Sastera: Umpama Irama dan Lagu
Dari segi sejarah sumbangan Kerajaan Inggeris dalam bidang bahasa dan sastera dapat dikesan melalui kegiatan Pejabat Karang Mengarang yang diasaskan oleh O.T. Dussek dan Zaaba di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjong Malim pada tahun 1924. Pejabat ini telah dibiayai oleh kerajaan Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Bersekutu melalui peruntukan MPSI. Tujuan utama pejabat ini untuk mengeluarkan sebanyak mungkin buku-buku sekolah dan mengeluarkan bahan-bahan bacaan yang berunsur sastera untuk masyarakat Melayu amnya. Karya-karya dari Barat diterjemah di samping menerbitkan karya asli hasil daripada Peraduan Karang Mengarang anjuran Pejabat Pelajaran, umpamanya Cincin Rahsia, Pahlawan Berkaki Kayu, Hidup Bujang dan Cerita Rekaan.

Sumbangan Pejabat Karang Mengarang dalam bidang bahasa dan sastera terbatas kepada anak-anak sekolah dan guru-guru sekolah Melayu. Buku-buku untuk bacaan umum, seperti cerita mata-mata gelap dan pengembaraan, sedikit sebanyak berjaya memperkenalkan karya popular dari Barat kepada masyarakat Melayu dan membuka mata mereka kepada hasil kesusasteraan dunia yang berbeza daripada hikayat-hikayat lama yang diwarisi daripada datuk nenek mereka. Kesedaran terhadap hal ini penting dalam proses meningkatkan pengetahuan orang Melayu untuk mengekalkan kesinambungan tradisi bangsanya.

Bahasa dan sastera umpama irama dan lagu, kedua-duanya saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu mula bergerak seiring jalan apabila Jepun mengambil alih tampuk pemerintahan sama ada di Tanah Melayu ataupun di Singapura. Kekalahan Kerajaan Inggeris dan kekejaman pemerintahan Jepun telah menyalakan semangat kebangsaan. Mestipun tempuhnya amat singkat, namun zaman itu telah berhasil mendorong dan mendesak orang Melayu melancarkan perjuangan politik ke arah kemerdekaan sama ada melalui parti politik ataupun pertubuhan-pertubuhan yang bersifat bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan.

Pusat Penerbitan Akhbar dan majalah yang penting pada waktu itu ialah di Singapura. Di sini berkumpulnya tenaga-tenaga penulis muda yang bercita-cita tinggal untuk memajukan dan memodenkan bahasa dan sastera Melayu agar sesuai dengan keperluan perkembangan fikiran, ilmu pengetahuan, pergolakan politik sosial dan ekonomi. Shamsudin Othman (2006: 301) dalam Kertas Kerjanya yang bertajuk “Hala Tuju Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Dalam Wahana Pendidikan Nasional”, menyatakan bahawa hubungan bahasa Melayu dengan Kesusasteraan Melayu wujud sejak ratusan tahun dahulu. Hubungan ini dibentuk melalui media tulisan seperti yang terakam dalam ribuan nafkah karya kesusasteraan tradisional Melayu khususnya yang dipelajari oleh Munsyi Abdullah Bin Abdul Kadir melalui Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan Hikayat Abdullah pada pertengahan kurun ke-19. Warisan bahasa Melayu ialah yang dimantapkan dan diperkayakan melalui proses yang disebut pensetaraan perkembangan ilmu dan kemajuan fikiran manusia yang menuntut supaya bahasa Melayu memiliki kuasa mutlak linguistik dan korpus sastera tinggi untuk dijadikan wahana kemajuan bangsa.

Ilmu sastera tidak boleh disampaikan melalui ragam bahasa rendah (bertaraf dialek atau kedaerahan). Oleh itu, secara memahami, mempelajari dan mentelaah karya sastera memerlukan ilmu bantu, iaitu bahasa yang merangkumi semantik, mantik, psikologi, linguistik dan sebagainya. Peranan bahasa dan sastera tidak boleh dipisahkan umpama irama dan lagu. Literasi dalam sesuatu bahasa tulisan mempersiapkan atau menyediakan seseorang itu untuk hidup dalam kebudayaan setempat, bukan sahaja untuk pandai membaca, menulis dan mengira, tetapi juga untuk mengetahui sejarah masa silam yang tidak dialaminya, mengetahui cerita-cerita rakyat yang turun temurun, memahami dan menghayati nilai dan norma.
Selain itu, memahami perasaan orang dan mencanai cara berbudi bahasa dan bertegur sapa. Seseorang yang tidak pernah membesar dalam keluarga berbahasa Melayu dan dalam dunia kebudayaannya sejak kecil tentunya sukar untuk memahami sebenarnya perasaan yang disebut sebagai “besar hati”, “hati batu” dan “air tangan” misalnya. Demikianlah pentingnya bahasa yang merujuk kepada makna yang tersirat untuk memperkatakan sesuatu secara tidak langsung. Begitu juga dengan sastera, perkembangannya di tangan bahasa.

Awang Sariyan (2006: 184) dalam kertas kerjanya bertajuk “Penerapan Tatabahasa Dalam Karya Kreatif” menerangkan bahawa adanya hubungan antara ilmu bahasa dengan penghasilan karya kreatif. Sebagaimana kita maklum bahasa ialah alat pengucapan atau sebagai alat penyampaian karya sastera. Biar dengan gaya bahasa yang indah atau kaku, bahasa tetap dipergunakan sebagai alat untuk berkarya. Ilmu bahasa sebenarnya mempunyai pertalian yang amat erat dengan penghasilan karya kreatif dan oleh sebab itu tidak harus dianggap sebagai batu penghalang dalam usaha menonjolkan gaya bahasa yang indah. Penulis atau sasterawan amat beruntung jika memiliki ilmu tersebut sebagai asas berkarya. Sebagai seorang penulis perlu menguasai beberapa aspek bahasa seperti morfologi, sintaksis, fonologi dan semantik. Keempat-empat aspek tersebut sebenarnya digunakan oleh para penulis setiap kali mereka berkarya. Secara ringkas, morfologi ialah bidang yang berhubung dengan pembentukan kata, sintaksis ialah bidang yang berhubung dengan pembentukan ayat. Manakala fonologi pula ialah bidang yang berhubung dengan sistem bunyi sesuatu bahasa dan yang akhir ialah semantik bidang yang berhubung dengan makna.

Dalam ilmu bahasa, morfologi ialah ilmu tentang pembentukan kata. Dalam setiap bahasa, ada dua unit morfologi, iaiatu morfen dan kata. Morfen pula terbahagi dua, iaitu morfen bebas dan morfen terikat. Morfen bebas ialah morfen yang dapat berdiri sendiri. Morfen terikat pula ialah morfen yang tidak dapat wujud sendiri dan hanya dapat berfungsi jika digabungkan dengan morfen bebas. Kata pula terbentuk daripada satu morfen atau lebih. Kata yang terdiri darpada satu morfen sahaja dapatlah dianggap morfen bebas, contohnya: pandang, besar, lari dan sebagainya. Contoh kata yang terdiri daripada lebih satu morfen ialah memandang, berlari dan membesar dan sebagainya. Tiga proses bahasa yang berlaku dalam morfologi ialah pengimbuhan, penggandaan dan penggabungan. Proses pengimbuhan menghasilkan kata terbitan. Perhatikanlah bagaimana proses tersebut diterapkan dalam penulisan dengan meneliti contoh yang berikut:

Dia tersentak cemas apabila mendengar ratapan dan raungan yang melengking ngeri tiba-tiba. Serta merta, matanya meliar mencari suara pengait yang sombong dan bongkak. Dipelupuh isterinya hingga bergulingan dan akhirnya terhenti dilopak berhampiran kebun asparagus.
(Azmah Nordin, Syumul: 2004-2005)

Awalan meN digunakan oleh Azmah Nordin sebagai penanda kata kerja aktif mendengar. Tanpa awalan tersebut, kata dengar menjadi kata kerja pasif untuk pelaku pertama dan kedua yang ternyata tidak boleh digunakan untuk pelaku ketiga dia seperti dalam ayat di atas. Dengan menggunakan awalan meN pula, kata kerja kait dapat dibentuk menjadi nama (pelaku), iaitu pengait. Akhirnya awalan di pada kata kerja dipelupuh ialah bentuk kerja fasih yang terbit daripada kata pelupuh (mempelupuh).

Contoh penggandaan dan penggabungan dapat diperhatikan pada petikan di bawah ini:

“Tiga orang kanak-kanak lagi dicampakkan oleh sebuah kenderaan yang entah datang dari mana. Tiba-tiba saja pada suatu pagi mereka melihat ada sebuah van berwarna putih berhenti di luar pintu pagar. Sekejap sahaja van itu terus berlalu menuju ke Lebuh Raya Timur Barat, cuba memecut dan terhinggut-hinggut di atas jalan lori balak yang berlekuk-lekak.
Di luar pintu pagar, tiga orang kanak-kanak yang comot terintai-rintai hendak masuk. Pintu pagar pun dibuka. Semuanya tidak menangis. Bagaikan mereka sudah biasa dengan keadaan begitu.” (Fatimah Busu, Salam Maria: 388)

Dengan menerapkan kata ganda kanak-kanak, terhinggut-hinggut, berlekak-lekuk dan terintai-rintai, terhasil satu kesinambungan antara frasa-frasa yang menjadi predikat, iaitu

“…memecut dan terhinggut-hinggut: jalan lori balak dan berlekak-lekuk, comot dan terintai-intai.”

Sintaksis merupakan satu lagi aspek bahasa. Sintaksis digunakan dalam penghasilan karya. Sintaksis berhubung dengan pembentukan ayat. Dalam hierarki tatabahasa, sintaksis menduduki tempat tertinggi. Ayat mengandungi fikiran yang lengkap. Perkara yang paling penting dalam sintaksis yang dapat membantu penulis menggunakan bahasa yang baik, lancar dan berkesan ialah pola-pola ayat. Pola bererti acuan. Pola atau acuan ayat terbentuk daripada dua unsur utama, iaitu subjek dan predikat. Dengan berpegang kepada dasar ini, penulis tidak akan menghasilkan ayat-ayat yang tergantung. Pola ayat boleh dibahagikan kepada ayat selapis, ayat berlapis, ayat berkait dan ayat bercampur. Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas subjek dan predikatnya. Maksud subjek ayat itu tidak mempunyai penerangan atau tidak bergabung dengan subjek lain dan predikatnya pun tidak berpenerangan, berpelengkap atau berklausa. Perhatikan beberapa contoh di bawah ini:
i. Maria Zaitun/kelam kabut
(Fatimah Busu, Salam maria: 104)

ii. (tiba-tiba) Erika Bacia/tersentak
(Azmah Nordin, Syumul: 10)

iii. Siti Salina tersenyum
(A. Samad Said, Salina: 147)


Ayat-ayat di atas tergolong ke dalam ayat inti. Ayat-ayat inti ini dapat pula digunakan untuk mengelakkan kebosanan orang membaca ayat yang panjang-panjang dan kompleks. Malahan ayat-ayat inti dapat juga digunakan untuk maksud penekanan atau untuk mempercepatkan jalan cerita.
Ayat transformasi pula terbahagi kepada ayat transformasi satu dasar, ayat transformasi dua dasar dan ayat trasformasi berdasarkan banyak. Dalam ayat transformasi satu dasar, para penulis dapat memanfaatkan ayat negatif, ayat berita songsang, ayat tanya biasa, ayat tanya songsang, ayat berita pasif biasa, ayat berita pasif songsang, ayat tanya pasif biasa, ayat tanya pasif songsang, ayat perintah aktif, ayat perintah pasif, ayat penggalan, ayat penegas dan lain-lain lagi. Manakala ayat trasformasi dua dasar ada pula yang disebut ayat gabungan dan ayat pancangan.

Awang Sariyan (2006: 184) dalam Kertas Kerjanya yang bertajuk “Penerapan Tatabahasa Dalam Karya Kreatif” menyatakan penulis yang dapat menguasai pelbagai pola ayat amat beruntung. Kepelbagaian struktur ayat merupakan satu cara yang paling penting untuk menimbulkan kesan kepada pembaca. Sesungguhnya hal tersebut adalah suatu ujian kejayaan terhadap penulis dalam hal penggunaan bahasa.

Penerapan semantik dalam penghasilan karya juga tidak kurang pentingnya. Gaya bahasa semantik, dapat membantu penulis dalam hal diksi, metafora, simili, hiperbola dan personifikasi. Diksi ialah pemilihan kata yang betul atau tepat dan berkesan. Kesukaran untuk membuat pemilihan kata yang tepat timbul kerana banyak sekali kata yang menunjukkan hal atau keadaan yang hampir sama tetapi konotasinya yang berlainan. Misalnya, kata kacak, tampan, macho dan sebagainya masing-masing menunjukkan erti yang hampir-hampir sama tetapi secara konotatif, masing-masing kata itu mempunyai erti yang lebih khusus. Contoh lain, kata rumah, istana, mahligai, pondok dan teratak memanglah mempunyai erti yang sama, iaitu tempat kediaman, maka itu ia dikatakan bersinonim. Tetapi masing-masing kata itu sebenarnya mempunyai erti khusus yang tidak menunjukkan kata ‘reference’ yang sama. Maka dalam hal seperti ini bersinonim tidak semestinya mempunyai erti yang benar-benar sama.
Penggunaan metafora juga amat penting dalam penulisan kreatif. Metafora bolehlah ditakrifkan sebagai ungkapan atau simpulan bahasa bermakna bandingan atau analogi. Metafora dapat berdiri sendiri sebagai unit sendiri mengambil tempat dan fungsi sendiri dalam struktur sintaksis. Contoh:
i. berkepak putih di sayap zaman
(Ahmad Sarju, Sajak Burung-Burung Di Puncak Gunung)

ii. sambil membina jambatan kasih (Zaitun Ajmain, Sajak Erti Persahabatan)

iii.
“Ada lagi yang lebih pahit daripada itu,” Kataku, cuba menyingkap tirai
sejarah yang tersembunyi 1001 rahsia. (Hasidah Bisan, Cerpen Pesona: 58)

iv. Di sinilah desa kelahiran, padang perjuangan yang mengajarnya erti kehidupan
sejak dibesarkan hingga ditinggalkan ibu bapanya.
(Osman Ayob, Cerpen Detik Yang Tergugat: 77)

Selain itu, gaya bahasa yang digunakan oleh pengkarya ialah simili. Simili didefinisikan sebagai perbandingan sesuatu objek dengan sesuatu objek dengan menggunkan kata sebagai, umpama, seperti, laksana dan sebagainya. Contoh:

i. Merompak kemanusiaan seperti dihalalkan
(Borhan Md Zain, Sajak Bila Matahari Berlabuh)

ii. Bagai kilat senja memecah sinar
(Ahmad Sarju, Sajak Burung-Burung Di Puncak Gunung)

iii. Bunyi injin menderu-deru bagai angin kencang yang boleh mengoncangkan tangkai- tangkai padi
(Osman Ayob, Cerpen Detik Yang Tergugat: 73)

Personifikasi juga merupakan salah satu gaya bahasa yang banyak digunakan dalam penulisan kreatif. Personifikasi ialah gaya bahasa yang memberikan sifat kemanusiaan kepada objek-objek bukan manusia. Contoh:

i. Jan berasa sangat bosan pada pagi itu, udara di luar cukup sejuk. Tambahan pula Wind Child menggigit kulit. Rakan-rakan lain, penghuni rumah orang tua yang kebanyakkannya perempuan telah keluar menyertai acara Walden Walkers di side walk sekitar kawasan Walden Place. (Abdullah Tahir, Cerpen penantian di Walden Place:40)

ii. Lalu dengan cepat ia merayu (Jasni Mat Lani, Sajak Sebatang Pohon.)

Penutup
Apabila berbicara tentang bahasa dan Kesusasteran Melayu akan mengajak kita bersedia berpadu tenaga membina, memupuk dan mengembangkannya.
Oleh itu, peranan bahasa dan sastera, umpama irama dan lagu. Kata sepakat antara bahasa dan sastera akan mampu menunjukkan fikiran, kreativiti dan aktiviti. Bahasa ialah alat komunikasi utama dan asas pembinaan sesebuah tamadun. Tamadun menjadi kekal dan bertahn melalui tradisi ilmu. Jadi bahasa Melayu dan Kesusasteran Melayu berperanan membawa dan menggerakkan kehidupan kebudayan bangsanya meliputi akal fikiran dan daya ciptaan dalam segala tuntutan dan keperluan. Bahasa Melayu sudah sedia mampu dan oleh sebab itu mesti digerakkan untuk mengisi fikiran dan pemikiran dalam bidang pencapaian ilmu pengetahuan tinggi, kesusasteraan, falsafah dan imej warisan tamadun.Bibliografi
Abdullah Yusof Ali, 1983. The Holy Quran, Text Translation and Commentaries. Lahore: Sy. Muhammad Ashraf.

A. Aziz Deraman, 2006. “Bahasa dan Kesusasteraan Melayu Dalam Menghadapi Wawasan 2020” dlm. Sastera Kebangsan Isu dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan, 2006. “Persuratan dan Peradaban Nasional Abad Ke-21: Gagasan dan Krangka Strategi Untuk Peradaban Melayu”dlm.Persuratan dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan, 2006. “Penerapan Tata Bahasa Dalam Karya Kreatif” dlm. Sastera Kebangsaan Isu dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamzah Hamdani, 2006. Sastera Kebangsaan Isu dan Cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Yusof Haji Othman, 2006. “Persuratan dan Peradaban Nasional Penjana Sains dan Teknologi” dlm.Persuratan dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shamsudin Othman, 2006. “Hala Tuju Bahasa dan Kesusasteraan Melayu” dlm. Persuratan dan Peradaban Nasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



BAHASA MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI

oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim
[Disember 2004]

NEGARA TELAH melangkah ke alaf baru empat tahun lalu. Dan pada tahun 2020 Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya sebagai negara membangun. Perhitungan ini banyak disandarkan kepada pembangunan fizikal dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan penjiwaan, kualiti hidup dan jati diri bangsa.

Kita, misalnya, sentiasa mengukur pencapaian mengikut KDNK, pertumbuhan ekonomi sebenar, ketinggian bangunan yang kita bina dan lain-lain pencapaian fizikal. Pada tahun 2020, iaitu sekitar 15 tahun dari kini tentunya serba-serbi berjalan pantas. Kehidupan masyarakat Malaysia, seperti yang diramal, akan dipenuhi pembaharuan demi pembaharuan. Teknologi informasi dan komunikasi pada masa itu akan secanggih mungkin. Cara hidup kita di Malaysia dan juga di merata dunia akan turut berubah.

Kita sedang diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan amalan dunia global dengan hebatnya. Segala macam ilmu pengetahuan akan lebih pantas diperolehi. Cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan berubah. Banyak penyakit yang tidak terubat pada masa ini mungkin beroleh penawar yang mujarab di zaman itu. Atau sebaliknya, masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu, akan lebih terdedah kepada unsur-unsur baru.

Unsur-unsur ini tidak semestinya membina jati diri atau yang membina bangsa yang dikehendaki kerana proses yang ada pada masa itu ialah yang sesuai dipanggil osmosis di mana proses nilai kuat lagi berpengaruh menyedut nilai lemah yang kurang berpengaruh. Salah satu yang bakal disedut melalui proses osmosis itu nanti ialah menerusi pencabulan bahasa, kebudayaan dan cara hidup yang mencorakkan sifat kemelayuan mereka. Pandangan yang cenderung ke arah fenomena ini mungkin akan dipertikai tetapi pada amatan kebanyakan pemerhati ianya pasti berlaku.

Seperti yang telah disaksikan kebelakangan ini, kesan kemajuan global telah banyak mengubah cara hidup lama. Satu-satunya yang baru ialah hidup dengan komputer dan internet. Orang kini mengirim berita pantas melalui e-mail dan sms – dua istilah yang sudah pun menjadi sebahagian perbendaharaan kata kita, dan sehubungan itu ramai yang berurus niaga melalui internet. Perkataan terbaru sering memasuki perbendaharaan kata kita, kadangkala tanpa perlu ditapis atau dihalusi terlebih dahulu. Istilah Infotenmen, misalnya, yang menimbulkan kontroversi dalam penggunaan istilah bahasa Melayu juga merupakan satu istilah baru yang dipertikaikan walaupun Menteri Penerangan telah menghujahkan alasan-alasan penggunaannya di Parlimen. Hiburan, berita dan maklumat, kebanyakannya disajikan oleh media sampai terus ke bilik tidur dengan nisbah yang lebih ketara daripada yang disajikan secara tempatan. Alat-alat canggih pengguna dipasarkan secara meluas lalu menggantikan peralatan lama. Bahasa Melayu dituturkan separuh Melayu separuh Inggeris, di kalangan sektor swasta pertuturan adalah lebih kurang 70% dalam bahasa Inggeris dan hanya 30% dalam bahasa Melayu, itu pun adunan bahasanya dalam keadaan lintang-pukang seolah-olah sekerat ular sekerat belut. Dan secara ketara, pendidikan negara mulai disalut dengan kaedah-kaedah baru dengan perantaraan media baru iaitu bahasa Inggeris.
Nisbah perkataan baru yang di ceduk dari bahasa Inggeris lalu jadi sebahagian bahasa rojak kita. Dunia siber sudah bertapak dalam hidup kita. Bersediakah kita mempertahankan diri agar jati diri dan kesinambungan bina bangsa terjamin? Sebenarnya soalan ini tidak akan dapat dijawab secara tepat dan kalau dijawab pun ianya belum pasti akur kepada apa yang mungkin terjadi.

Jika diamati generasi muda Melayu di pusat-pusat Bandar, akan tersua amalan asas mereka. Mereka leka dengan perkelilingan baru — keluarga, hiburan, sukan, tempat kerja dan tumpuan-tumpuan hidup yang lain lantas dipengaruhi unsur-unsur global yang telah dipopularkan melalui media, dagangan antarabangsa dan hiburan muzik serta wayang gambar hollywood dan bollywood. Mereka kian lama kian jauh dari apa yang dahulunya boleh dikesan sebagai belia Melayu. Sementara itu golongan Korporat Melayu cuba berlumba-lumba mendapatkan hak mereka dari “kuih” ekonomi yang ada, sekali pun tahap yang dicapai setakat ini masih di paras 18%. Jelaslah 12% lagi masih di awangan dan belum menepati janji serta aspirasi kita yang digurindamkan pada tahun 1971 dahulu.

Dalam perkelilingan beginilah masyarakat Malaysia hidup di negara ini. Dan dalam perkelilingan beginilah kita kembali memperkatakan nasib bahasa Melayu (BM). Cuma kali ini ditambah sedikit dengan kaitannya dengan senario global. Sebenarnya memperkatakan tentang bahasa Melayu hakikatnya ialah kita memperkatakan satu-satunya aspek asas orang Melayu itu sendiri. Survival bahasa Melayu di peringkat yang maju dan beridentiti lantas juga mencerminkan bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Cuma bangsa Malaysia adalah igauan politik yang hendak dicapai tetapi Bangsa Melayu sudah ada dan nyata.

Kebelakangan ini sudah begitu banyak pihak memperkatakan tentang Bahasa Melayu. Tetapi boleh dikatakan kesemuanya membuat rungutan atau dengusan yang negatif tentang keadaan terumbang-ambing beberapa aspek bahasa Melayu itu. Dari tahun 1999 hingga 2003 terdapat secara rambang sekitar 94 rencana utama termasuk kertas-kertas simposium dan konvensyen yang memperkatakan tentang bahasa Melayu dari pelbagai sudut dan aspek. Tajuk-tajuk yang digemari ialah masalah bahasa rojak; keupayaan bahasa Melayu dalam dunia moden, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu, kemampuan bahasa Melayu sebagai lingua franca di kepulauan Melayu, bahasa Melayu dalam konteks pembudayaan bahasa persuratan, kelunturan bahasa Melayu dan pelbagai lagi tajuk pokok yang kesemuanya menyentuh tentang pusaka perhubungan Melayu ini. Malangnya tiada satu pun di antara rencana-rencana itu yang memuji atau memberi markah tinggi kepada usaha memperkasakan bahasa Melayu. Sebenarnya usaha memperkasakan Bahasa Melayu semacam sudah dilupai, seolah-olah seperti bidalan terpijak pergi terlanda pulang. Boleh juga dikatakan bahawa piel atau sikap yang ada ialah sikap tangkap muat atau taking things for granted dalam kiasan bahasa Inggerisnya.

Bahasa Melayu dalam era global adalah suatu tajuk yang sangat mencabar dan penuh permasalahan. Ia berkait rapat dengan soal jati diri orang Melayu dan bangsa Malaysia amnya. Ia juga suatu masalah pembudayaan yang amat berat dan rumit. Tajuk ini walaupun pernah dibincangkan dalam beberapa polemik yang terdahulu lebih banyak menimbulkan masalah daripada jawapan. Ini adalah kerana bahasa Melayu itu sendiri sedang menghadapi cabaran dan rintangan yang hebat di dalam negara sendiri. Bercakap pasal bahasa Melayu di era global semestinya memerlukan kita membincangkan terlebih dahulu beberapa isu bahasa secara domestik. Jika tidak, perbincangan kita semacam belum tegak sudah berlari.

Bahasa sebagai alat komunikasi antara manusia mempunyai berbagai-bagai fungsi. Ia berfungsi mengungkapkan konsep, gambaran dan menjelmakan perbuatan. Ia berfungsi menyampaikan kehendak mental. Ia berfungsi mengungkapkan perasaan, rasa hati dan gerak hati. Pendeknya sesuatu yang bermain-main dalam fikiran kita dapat kita ungkapkan melalui bahasa.

Dengan bunyi glottal atau vokal manusia melahirkan bunyi itu. Pengalaman begini memakan masa dan merentas zaman. Perkataan baru sebelum diterima pakai sebagai sebahagian bahasa sesuatu masyarakat itu mengalami ujian ‘penerimaan’ atau ‘penolakan’. Proses menerima atau menolak ini bergantung kepada sekuat mana jati diri bangsa penuturnya. Jika lemah maka lebih banyaklah kata-kata yang diimport sekalipun di dalam himpunan kata-kata bangsa sudah sedia ada kata-kata sendiri.

Sesuatu yang bermain-main dalam fikiran secara umumnya disebut bayangan dan secara khususnya disebut sebagai citra dalam Bahasa Sanskrit dan atau imej dalam alih Bahasa Inggeris. Citra atau imej muncul dalam bentuk simbol atau perkembangan. Misalnya apabila kita berfikir tentang kuda, kita menuturkan sebagai kuda atau menulisnya dalam istilah-kata "Kuda". Ertinya setelah membayangkan konsep "kuda" dalam fikiran, kita jelmakan ianya dalam bentuk lisan atau tulisan sebagai kuda.

Bahasa (kata istilah dan konsepnya) cukup penting dalam mengungkapkan tahap-tahap ilmu yang tertentu. Dalam hierarki mempelajari sesuatu ilmu, wujud empat tahap keilmuan. Ilmu yang terbawah ialah ilmu empirikal (misalnya - ilmu sains dengan berbagai-bagai cabang ilmunya), diikuti tahap yang paling tinggi iaitu ilmu rasional ( ilmu falsafah dan ilmu pemikiran kreatif), ilmu laduni (intuitive knowledge) iaitu ilmu terus daripada Allah dan ilmu tertinggi ialah ilmu makrifat yakni ilmu tentang Ilahi yang merupakan ilmu yang tertinggi dalam hierarki ilmu.Setiap tahap ilmu mempunyai kata, istilah dan konsepnya yang tersendiri. Misalnya bahasa yang di ungkapkan pada tahap ilmu empirikal adalah bahasa saintifik. Bahasa saintifik membawa pengertian bahasa yang logik yakni yang berfungsi dan bersifat tersendiri tetapi yang melibatkan erti tepat. Dalam konteks inilah sayang sekali konsep tepat pengertian dan tepat penghasilan tidak didalami sebelum kita mengaku kalah lalu bahasa Melayu tidak mampu menjadi wahana sains dan matematik.

Isu-isu bahasa :
Pada amnya terdapat 7 isu pokok yang berkaitan bahasa Melayu dalam konteks bina bangsa (nation building):i. Masalah penjiwaan bahasa Melayuii. Masalah bahasa rojakiii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa Melayuiv. Utiliti atau sifat perlu-guna bahasa Melayuv. Unsur-unsur dan amalan yang merosakkan bahasa Melayuvi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963vii. Perubahan dasar bahasa ilmui.

Penjiwaan bahasa: Bagi tempoh tahun-tahun 1960’an Isu bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan menjadi perkara hangat dan isu yang membakar semangat perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Bahasa Jiwa bangsa sesungguhnya sebahagian dari jiwa nasionalisme orang Melayu. Begitu penting dan utama bahasa Melayu sehingga UMNO sendiri menerapkannya ke dalam fasal 3 perlembagaannya tentang bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Sementelahan pula istilah Melayu itu sendiri mengikut Perkara 160 Perlembagaan negara mewajibkan seseorang itu berbahasa Melayu selain beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu sebelum layak diiktiraf sebagai seorang Melayu. Kempen Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah pimpinan Tuan Syed Nasir Ismail masih diingati sebagai yang terhebat dan berkesan.

Secara rambang keutuhan bahasa Melayu tidak banyak dipertikaikan sehingga 1986. Bahasa Melayu itu sendiri mengalami edaran zaman dan evolusi. Sistem ejaan, kerjasama penyeragaman Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia, penulisan novel, cerpen dan penyemarakan bahasa menjadi amalan biasa sehingga apabila menjelang tahun 1985 penulisan novel, cerpen, sajak terus beroleh tempat di kalangan pembaca. Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai semenjak 1959 hingga awal 1980’an terus menjadi kilang guru bahasa Melayu yang berkesan dan disegani. Kini ianya cuma jadi sejarah. Penekanan kepada bahasa Melayu dari sudut perguruan khusus sudah kurang mendapat perhatian.

Bila pengkhususan pengajaran bahasa berkeadaan sedemikian, maka hasil penjiwaannya juga turut berkurangan. Sastera Melayu, penulisan kreatif Melayu, bahasa Indah Melayu dan pada amnya pembudayaan bahasa Melayu turut merana. Bila jiwa sudah lemah dalam sesuatu amalan, maka aspek praktisnya juga turut lemah. Lemahnya penjiwaan adalah terasas kepada tuntutan perkelilingan. Lemah penjiwaan ini hanya dapat diatasi dan diperkukuh semula jika hala tuju jiwa bangsa tadi bersedia memungut yang cicir, mencari yang hilang. Jika polemik hanya tertumpu kepada hujah yang secara asasnya tidak yakin kepada bahasa ibunda sendiri sebagai bahasa ilmu tentulah ubat yang dicari tidak akan menyembuhkan penyakit. Penyakit lama akan hinggap kembali. Kini orang Melayu tak pandai sangat berkata halus lagi. Antara “Hi” dan “Hello” dan “showtime” pepatah-petitih sudah dilupai. “Apa khabar” juga sudah dipulas oleh Assalamualaikum. Perumpamaan Melayu semacam menjadi pusaka murah. Buku Kiliran Budi dan Ilmu Mengarang Melayu karya Pendeta Za’ba sudah disaluti habuk kerana tidak dirujuk lagi. Kita menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Di sinilah barangkali tepat dikatakan: “koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak”. Kerosakan ini semua adalah akibat badan yang buruk pinta. Rangkap lama mengingatkan kita:
Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan salahkan ibu mengandung
Salahkan badan yang buruk pinta.
ii. Masalah bahasa rojakKini kita sudah diserang penyakit campur-aduk seperti yang disebutkan di atas. Penyakit campur-aduk inilah yang menyebabkan berkembangnya bahasa rojak. Bahasa rojak wujud dalam sesuatu ayat yang diselang-selikan dengan bahasa asing sehingga campurannya itu semacam hidangan rojak. Hanya yang berbeza ialah rojak lebih sedap dimakan tetapi bahasa rojak menyebabkan kita sakit telinga mendengarnya dan paling parah, bangsa Melayu malu dipalunya.

Awal-awal lagi boleh diperakukan, mencedok perkataan asing untuk dimuatkan ke dalam sesuatu ayat bahasa Melayu memang tidak dihalang, malah memang benar seperti kata-kata Pendeta Za’ba dalam buku klasiknya Ilmu Mengarang Melayu bahawa dalam bahasa Melayu sedia terdapat sekian banyak perkataan yang asalnya adalah dari pelbagai punca: Sanskrit, Inggeris, Portugis, Belanda, Parsi, Arab, Cina dan sebagainya. Tidak perlu bagi saya menyatakan perkataan-perkataan itu kerana umum sudah pun mengetahuinya.
Paling mudah bagi kita mendengar melalui radio atau TV sekarang ungkapan-ungkapan seperti “e-mail”, “sms” “internet”, “software”, “hardware”, “ISDN”, “html”, “computer” “website” dan sebagainya. Sekarang pun kita secara harian mendengar dialog seperti berikut:
“Hei, hari ini birthday I lah”
“Dalam hal ini you yang paling best”
“How are you today...harap OK lah”
“You dah breakfast kah”
“Hei, kawan-kawan, it’s showtime”
“Inilah showtime yang ori…”

Ungkapan-ungkapan dalam dialog ini dipetik dari siaran radio dan TV kita. Di kaki lima dan di kedai kopi dialog generasi muda begitu juga. Warga emas juga diheret sama. Jelas tiada pengawasan oleh pihak-pihak tertentu sehingga berterusan wujudnya bahasa rojak dalam kehidupan kita sehari-hari. Di samping pengawasan di media barangkali boleh dilakukan, tetapi ianya sukar dikuatkuasakan terhadap individu yang sudah memilih tatabahasa yang baru untuk bercakap antara seorang dengan seorang yang lain. Jika diamati, contoh-contoh ini boleh dituruti oleh ratusan contoh lain yang rata-rata membuktikan bahawa bahasa lisan kita sudah rosak keunggulannya. Sebaliknya bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil tidak tertarik dengan amalan campur-aduk ini ke tahap yang dialami bahasa Melayu. Yang merunsingkan ialah kepekaan dan rasa prihatin masih belum tertera di pemikiran yang bertanggung jawab di bidang penggunaan bahasa.

Ada beberapa petua sebelum masyarakat harus membenarkan bahasanya dirasuk bahasa rojak yang tidak indah dan tidak mencerminkan jati diri. Pihak yang mengatakan bahawa apa salahnya diambil perkataan asing, sedangkan perkataan-perkataan asing sudah pun dipinjam semenjak beratus-ratus tahun dahulu lagi. Ini memang boleh diterima tetapi peminjaman itu berasas kepada beberapa syarat dan ketertiban demi menjaga keutuhan bahasa Melayu:i. Istilah atau perkataan baru itu bolehlah diambil jika tiada perkataan yang sama maksudnya dalam bahasa Melayu; Jika dalam bahasa sendiri ada perkataan yang sesuai, kenapa kita perlu tiru hak orang? Dalam pengertian ini, misalnya kita tak perlu ambil birthday sedangkan hari jadi atau hari kelahiran ada dalam bahasa Melayu.
Showtime boleh diganti dengan masa persembahan atau saat persembahan; ori dengan asli;ii. Peniruan atau pengambilan kata perbendaharaan orang lain harus menambah ilmu dan jati diri kepada masyarakat.iii. Pihak pengembang dan pemaju bahasa ibunda harus bertindak dan membetulkan sesuatu ungkapan atau perkataan yang dirasakan menceroboh bahasa sendiri. Malangnya kuasa membetulkan ini tiada pada sesiapa atau mana-mana pihak pada masa ini.

Manakala siaran pantas dari satelit atau multimedia yang lain bertambah pesat, seperti yang laksanakan Astro pada masa ini, kita dapat bayangkan betapa besar dan dahsyatnya kemungkinan pencabulan berlaku di bidang-bidang lain kehidupan kita.
Secara amnya kita terdedah dan terlalu terbuka kepada anasir-anasir luar. Mekanisme penahanan atau mengehadkan penerapan luaran ini tidak cukup ada pada kita sekalipun agama itu tampaknya patut lebih berkesan sebagai penangkis.Apabila bahasa berubah dan diubah soalan yang muncul ialah: siapa yang ubah dan kenapa? Jawabnya tentu terletak pada hakikat bahawa ianya diubah sedemikian cara kerana penuturnya berasa bahasa ibundanya tidak lagi cukup untuk melahirkan maksudnya sehingga ia terpaksa menggunakan perkataan-perkataan asing. Sebaliknya mereka mungkin beranggapan bahawa imej yang mereka perolehi dengan menyelitkan perkataan Inggeris di celah-celah ayat Bahasa Melayu akan meninggikan imej mereka walaupun ini tentunya berupa pendekatan bersifat makjujad (hypocrite); atau dengan bahasa Melayu rojak mereka berasa boleh mencapai kepuasan berkomunikasi; atau, dan ini penting, mungkin asuhan bahasa Melayu mereka di sekolah tidak sampai ke tahap mantap. Juga terdapat di beberapa kalangan, termasuk pemimpin yang tidak berpendidikan aliran Inggeris, lantaran mereka rata-rata dianggap tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, mereka cuba menyelitkan sepatah dua perkataan Inggeris dalam perbualan dengan tujuan supaya orang menganggapnya boleh speaking atau ‘tinggi’ tahap pendidikannya.
Walaupun gejala ini barangkali kecil bilangannya, boleh diperakukan bahawa ianya wujud nyata di kalangan masyarakat kita.Sebenarnya ungkapan sekerat belut-sekerat ular tadi:
“Hei, hari ini birthday I lah” boleh dituturkan sebagai “Hei, hari ini hari jadi saya (aku)lah”. Semua ungkapan di atas tadi boleh belaka dituturkan secara Melayu 100%. Tetapi kenapa tidak dilakukan sebegitu? Ini semua adalah petanda yang bakal membawa kepada kelunturan. Ini bukan sekadar ramalan seorang idealis atau yang semata-mata bersifat tulen tak menentu, tetapi pandangan ini bertapak pada alam nyata:
Sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betina
Kilat beliung ke kaki, kilat cermin ke muka.
Jika demikian cara dan kaedah yang paling berkemungkinan untuk menangani bahasa rojak yang memuramkan imej bahasa kita ialah dengan menjayakan program-program latihan lisan yang membina amalan komunikasi. Ia harus dijalankan di semua institusi persekolahan dan pengajian tinggi.

Personaliti media utama, pemimpin, institusi kawalan kerajaan harus mengutamakan percakapan bahasa Melayu yang betul. Gejala bahasa rojak tidak akan hapus kerana pembudayaan bahasa ibunda belum wujud sepenuhnya di negara ini. Jati diri tidak dikaitkan dengan pentingnya bahasa ibunda dipersadakan.iii. Masalah pemakaian dan keutamaan bahasa MelayuDari segi bahasa, bahasa Inggeris sudah nyata akan merobah cara berfikir dan juga cara bertindak di samping cara menimba ilmu serta jenis ilmu yang bakal ditimba.
Akan wujud sekian ramai anak Melayu yang nanti berfikir dalam bahasa Inggeris kemudian bercakap dalam bahasa Melayu. Malah bermimpi dalam bahasa Inggeris juga kebiasaan. Juga akan ada anak-anak masyarakat Cina dan India Malaysia yang bercakap dalam bahasa Melayu dan berfikir dalam bahasa Cina dan India. Sekarang pun kecenderungan ini sudah berlaku. Juga tidak dapat dinafikan bahasa Mandarin dan Tamil akan beroleh tempat yang lebih signifikan melalui langkah-langkah pembudayaan bahasa mereka.

Oleh kerana bahasa perisian pada masa itu rata-rata Inggeris, Bahasa Melayu akan disadur banyak oleh terma-terma dan sintaksis Inggeris. Penutur bahasa Melayu mesti bersedia untuk perubahan-perubahan ini. Mereka yang bersifat sebagai pengamal keaslian (purist) mungkin akan berduka kerana bahasa lama akan secara perlahan menghilang, struktur dan gaya baru pula akan muncul.Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dijamin di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Ia juga bahasa rasmi Parlimen Malaysia. Status ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Cuma kemajuan dan kepesatannya mungkin terjejas akibat dasar mengglobalkan bahasa Inggeris dan bukan Bahasa Melayu.

Bila ini berlaku, Bahasa Melayu tetap menyusul dari belakang kerana dari segi keutamaan global bahasa Inggeris beroleh keutamaan. Peranan dan posisi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dari sudut ini tidak akan meningkat tanpa peningkatan industri buku yang seharusnya diperjuangkan.Bahasa Melayu, seperti yang telah diketahui, akan lebih terdedah kepada pelbagai pindaan informal yang dicetuskan oleh dan melalui media elektronik, khususnya oleh pengaruh komunikasi serta aliran alam siber. Dalam erti kata sebenar, cara hidup baru itu nanti bakal merubah pemakaian tatabahasa Melayu.

Seharusnya, bibit-bibit budaya yang indah, yang halus, yang murni perlu dikekalkan tetapi berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bermakna kita tidak minta dibuli atau dipijak. Ini termasuklah asuhan Islam positif yang perlu dibudayakan terus-menerus. Khususnya dalam hal ini nilai-nilai yang dijalin dan disajikan melalui Islam Hadhari akan lebih diminati. Amalan Islam yang mengambil kira tamadun yang berevolusi, konsep dan amalan budi-bahasa, amalan tradisi Melayu seperti sopan-santun, kekeluargaan, hormat-menghormati dan sebagainya akan lebih membimbing. Pendeknya mesti diteruskan apa yang selama ini dikenali sebagai “asuhan budi”. Barangkali falsafah “Rukunegara” yang membentuk masyarakat Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh disemarakkan semula. Kejuruteraan sosial (social engineering) tidak boleh dihentikan atau dicanai oleh pemikiran seseorang sahaja. Satu muafakat bangsa mesti diadakan. Mewujudkan Kementerian Kebudayaan kesenian dan Warisan hanya sebahagian daripada usaha ke arah itu. Di samping Bangsa Malaysia hendak diwujudkan, soal adab dan tamadun tidak harus dikelasduakan. Bahasalah menjadi penjalin dan penjana bangsa.iv. Utiliti atau sifat perlu guna bahasa Melayu adalah lumrah manusia iaitu jika sesuatu itu tidak berapa menepati tuntutan kegunaan atau utilitinya, perkara atau barang itu akan kurang disimpan, kurang dipakai dan kurang keperluannya.
Dalam satu aspek bahasa Melayu mungkin tergolong kepada keadaan ini jika bahasa ilmu terus menerus disalur oleh bahasa Inggeris. Tetapi hakikat yang satu lagi ialah bahawa bahasa Melayu masih diperlukan sebagai syarat lulus dan cukup syarat dalam peperiksaan dengan kelulusan dalam bahasa Melayu. Lagipun sebagai lingua franca negara ini BM akan tetap digunakan sebagai wahana komunikasi. Sebagai bahasa ilmu BM dikhuatiri tidak akan terlalu membangun kecuali dasar pembukuan negara diubah dengan erti kata semua teks ilmu moden dan usang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Tetapi soalnya, sekalipun buku-buku aeronautik, kimia, kaji cuaca, kejuruteraan, elektronik dan lain-lain diterjemahkan, siapa akan baca lantaran buku-buku ini dengan mudah diperolehi dalam bahasa Inggeris, bahasa yang dipelajari di sekolah untuk menimba ilmu. Di sini sudah jelaslah kedudukan BM sebagai bahasa ilmu.

Sebaliknya pula jika anak-anak Melayu tidak berlumba-lumba pula untuk menguasai bahasa Inggeris, mereka akan tercicir terus dalam usaha menimba ilmu semasa. Keadaan serba-salah ini sebenarnya tidak harus digusarkan. Ini adalah kerana jika zaman moden dunia hendak disertai oleh warga Malaysia melalui kebangkitan global, bahasa Inggeris tidak dapat dinyahkan lagi. Ini bererti sekian banyak istilah bahasa Inggeris akan menerpa masuk kepada perbendaharaan kata BM. Bahasa rojak akan berterusan dituturkan dan dilaungkan.

Mungkin dalam bahasa tulisan sedikit sagu hati akan diperolehi kerana nahu semasa akan terus digunakan. Sebagai perbandingan, bahasa Arab juga menghadapi permasalahan yang sama. Mereka belum mampu menimba ilmu moden dengan bahasa ibunda mereka. Justeru saban tahun sekitar 20,000 mahasiswa dalam pelbagai jurusan sains mengaji di universiti dan institusi pengajian tinggi Barat yang bahasa pengantarnya ialah Inggeris.

v. Unsur-unsur yang merosakkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu yang dituturkan pada hari ini, selain melalui ucapan, ialah bahasa yang ditulis dan dijadikan sebagai wahana komunikasi surat-menyurat. Sementara keadaan bahasa Melayu lisan boleh dikatakan dalam keadaan kurang memuaskan berbanding BM tulisan, beberapa sebab dapat diperhatikan:

a. kurang latihan pertuturan yang baik yang melibatkan anak-anak sekolah, mahasiswa dan petugas awam.
b. Kurangnya asuhan melibatkan bahasa indah dan cara berfikir objektif dalam pembahasaan dan pertuturan.
c. Kurangnya asuhan bahasa baik, bahasa indah.
d. Kurangnya latihan atau mata pelajaran berkaitan karya-karya besar sastera bangsa sendiri.
e. Pembelajaran dalam bidang the Arts yang tidak disaring dan dikemas.
f. Kurangnya tenaga pengajar yang komited dengan pembudayaan bahasa atau pembahasaan sebagai satu bidang kajian atau mata pelajaran.

Sementara itu amalan-amalan di peringkat pimpinan, kepegawaian dan urusan-urusan rasmi juga dilihat orang sebagai unsur-unsur yang mempengaruhi dan merumitkan penggunaan BM yang baik. Jika bahasa mesyuarat juga bercampur-aduk dengan selingan bahasa rojak, bagaimana penggunaan bahasa baik dapat dicapai? Sementara itu akhbar Utusan Melayu berkeadaan mati segan hidup tak mahu lantaran orang Melayu sendiri bersikap dingin terhadap tulisan Jawi.
Menurut pihak berkuasa di syarikat Utusan, akhbar yang pada satu masa dulu berfungsi sebagai pencetus nasionalisme Melayu kini sudah jadi edisi sekali seminggu. Itu pun dengan jualan yang kurang dari 7,000 naskhah seminggu. Ini memalukan. Jika dicari di mana hilangnya, jika dipintas di mana hanyutnya, puncanya ialah pembelajaran bangsa.

vi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963Cinta rakyat kepada Bahasa Kebangsaan meluap-luap sehingga mereka yang mulanya memperleceh Bahasa Kebangsaan akhirnya diam dan mula segan dan hormat terhadap bahasa ibunda orang Melayu itu. Pada tahun 1963 Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan Parlimen. Akta itu hanya sekadar mengisytiharkan peruntukan Perkara 152 perlembagaan Persekutuan. Ia tidak memperuntukkan sebarang provisi penalti terhadap sesiapa yang mencabul bahasa atau yang tidak mengamalkan penjiwaan bahasa, umpamanya. Malah jika terdapat penggunaan bahasa pada iklan papan tanda, Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya, tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menasihatkan pihak yang berkenaan.
Apabila Singapura merdeka dari Persekutuan Malaysia pada 1965 Bahasa Melayu lantas dijadikan bahasa rasminya. Banyak pihak beranggapan bahawa Akta bahasa Kebangsaan 1963 adalah tulang belakang kepada maju atau mundurnya bahasa Melayu. Pada satu hakikat ini mungkin benar tetapi pada pengertian khususnya Akta ini hanya bersifat deklatori, yakni menyatakan apa yang sudah jelas dan nyata daripada hal bahasa Melayu itu. Sebaik-baiknya beberapa pindaan harus dilakukan dalam usaha memberi sedikit kuasa penguatkuasaan kepada satu-satunya agensi bahasa di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Penguatkuasaan yang dihajati benar ialah apabila disuai penggunaan yang telah disalahgunakan, DBP tidak boleh berbuat apa-apa sedangkan di Perancis, misalnya, Biro Bahasa Perancis di bawah Kementerian Kebudayaan berkuasa membetulkan sesuatu penyelewengan bahasa Perancis. Fenomena “pencapaian dan kecapaian” pada tahun 1996 seharusnya boleh diatasi dengan segera oleh DBP tetapi lantaran ketiadaan peranan yang jelas dari segi membetulkan bahasa yang disalahgunakan, anggota masyarakat bermaharajalela dengan pembahasaan salah. Kesalahan bahasa papan tanda juga sedemikian.
vii. Perubahan dasar:
Benarkah ia melemahkan Bahasa Melayu?Pada suatu hakikat memang boleh diterima bahawa dasar 2002 yang mewajibkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran matematik dan sains merobah satu lagi pancang seri yang selama ini menjadi kebiasaan dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran tersebut di Sekolah Kebangsaan.
Tetapi realiti perkara ini memerlukan penilaian objektif dan bukan subjektif. Sebelum anjakan dasar ini dibuat dua tahun lalu, keciciran anak-anak Melayu dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains memang ketara sedangkan penguasaan sains dan matematik di kalangan bukan Melayu berada di tahap baik. Ini adalah kerana pengajaran bahasa Inggeris di SRJK lebih mantap dan berkesan sedangkan di Sekolah Rendah Kebangsaan adalah di sebaliknya. Pencapaian sains dan matematik di sekolah-sekolah berbahasa Mandarin, sebaliknya, terus meningkat. Ini disebabkan kualiti pengajaran menyumbang kepada pencapaian anak-anak di SRJK.
Justeru sampai kini sekolah-sekolah ini enggan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran sains dan matematik. Tetapi pencapaian mereka di bidang-bidang berkenaan terus meningkat sekalipun pencapaian bahasa Inggeris mereka cuma di peringkat sederhana.Apa akan berlaku jika amalan lama tidak dianjak? Pertama anak-anak Melayu akan terus berada di tahap lama, mereka akan terus lemah pencapaian B Inggeris, sains dan matematik.

Sekurang-kurangnya bahasa Inggeris mereka selepas ini akan bertambah baik lantas secara teorinya mereka akan lebih profisyen dan boleh menimba ilmu lain dengan lebih mudah. Tetapi ini bergantung kepada kualiti pengajaran bahasa itu kepada murid-murid. Ini bergantung kepada kualiti para guru itu sendiri. Jika kualiti pengajarannya melonjak maka pencapaian di kedua-dua subjek itu juga akan turut melonjak. Dalam hal ini pendekatan paling baik ialah mewujudkan kumpulan pengajar yang fasih dan berilmu tinggi.

Peranan Maktab Perguruan Bahasa tidak boleh dipandang ringan.Juga akan berlaku ialah bahasa Melayu akan kekurangan peranan dalam pengajaran dua ilmu tersebut. Dari satu sudut ini kenampakan sebagai suatu kerugian tetapi dari segi sebenar jika diimbangi ia boleh menjadi rangsangan baru. Tetapi bahasa Melayu tidak boleh dianggap bahawa lantaran bahasa Inggeris dipilih untuk menyegarkan pengajian matematik dan sains maka BM akan terus lemah dan menghilang. Ini merupakan sikap mengalah dan pesimis.

Rumusan TindakanTampak sebagai penting iaitu penggunaan bahasa Melayu perlu dijana semula dan dikempenkan semula. Para pengucapnya mesti dalam keadaan sedar (conscious) selalu supaya megah dan berasa senang berbahasa Melayu dengan baik. Sekolah, universiti, agensi-agensi Kerajaan, NGO dan kumpulan-kumpulan lain harus bersekutu dan bekerjasama memperjuangkan kembali perkara nasional yang amat penting ini.Banyak bidang yang boleh terus diperjuangkan: meningkat dan memperhebatkan dasar buku nasional; menerbitkan buku-buku bermutu dunia dan serantau; meningkatkan kerjasama bahasa serantau; mengamalkan dasar cintakan bahasa sastera, sesungguhnya bermacam-macam projek bahasa boleh diteruskan. Dengan lain pengertian, pembudayaan bahasa perlu diusahakan terus-menerus.

Kesimpulan boleh dibuat pada peringkat ini, iaitu kita tidak harus terus berasa hilang tenaga dalam menghadapi cabaran global. Untuk menghalang bahasa Melayu daripada diselangi perkataan dan nilai luar secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi yang berterusan.

Asas pendidikan kita harus kuat. Pendekatan kita demi BM zaman depan mesti bersandar kepada situasi menang. Untuk itu pembudayaan bahasa harus nyata.Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, “Lorong Touch ‘n Go”. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah “Lorong pacu segera” atau “Lorong tekan & pacu” Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan “touch ‘n go” Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch ‘n go. Tepuk dada, tanya selera.






 Universiti Pendidikan Sultan Idris
prof.abdullah@fb.upsi.edu.my
Abstrak. Makalah ini membincangkan tentang kaitan antara bahasa, khususnya bahasa Melayu dengan jati diri individu dan bangsa, khususnya Melayu di Malaysia. Definisi jati diri individu dan bangsa dikupas menggunakan kamus falsafah dan rujukan silang kepada beberapa definisi daripada ahli sosiologi, sejarah dan sains politik. Berdasarkan kupasan tersebut dirumuskan bahawa terdapat lima ciri yang membentuk jati diri bangsa, yakni leluhur, bahasa, kebudayaan, agama dan tempat tinggal yang sama. Namun begitu, di sebalik ciri yang membentuk jati diri terdapat juga mekanisme yang merangsang perubahannya. Makalah ini selanjutnya membincangkan beberapa hipotesis yang menjana perubahan jati diri sesebuah bangsa. Hipotesis yang dimaksudkan dikaitkan dengan bahasa dan sehubungan dengan hal ini makalah ini menyimpulkan bahawa perubahan jati diri individu atau bangsa berlaku apabila terdapat perubahan bahasa yang digunakan.
Kata kunci dan frasa: bahasa Melayu, jati diri, globalisasi, perubahan
Abstract. This article discusses the relationship between the Malay language and the identity of the individual and the race, particularly in relation to the Malays in Malaysia. The identity of an individual and a race is defined from a philosophical perspective and cross-referenced with definitions by sociologists, historians and social scientists. Based on this, it is concluded that there are five elements that shape the identity of a race, that is, the same ancestry, language, culture, religion, and locale. Whilst there are elemental structures that undergird an identity, there are factors that can cause an identity to change. This is discussed in light of a few hypotheses that the present article argues can generate change in the identity of a race. The article concludes that the change in the identity of an individual or a race happens when there is change in the language that is used.
Keywords and phrases: Malay language, identity, globalisation, change 60 Abdullah Hassan



JABATAN PELAJARAN NEGERI JOHOR
KARNIVAL PENDIDIKAN TEKNIKAL
KUIZ PRINSIP PERAKAUNAN SEKOLAH-SEKOLAH
NEGERI JOHOR KALI KELIMA
25 April 2009
SMK Dato Penggawa Barat, Pontian
KERTAS KONSEP
Pendahuluan
Pertandingan Kuiz Prinsip Perakaunan peringkat daerah merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan setiap tahun. Pemenang setiap daerah akan mewakili daerah masing-masing ke Pertandingan Kuiz Prinsip Perakaunan Sekolah-Sekolah Negeri Johor kali kelima yang akan diadakan pada 25 April 2009.
Matlamat
Kuiz Prinsip Perakaunan bertujuan untuk menguji pengetahuan dan kemahiran ilmu perakaunan yang telah diperoleh oleh pelajar hasil daripada proses pembelajaran di sekolah. Justeru itu diharapkan program ini dapat membantu para pelajar berfikir secara logik, kritis, dan membentuk budaya kerja selaras dengan prinsip yang diamalkan dalam dunia perakaunan.
Objektif
1.Mengukuhkan kefahaman pelajar konsep, prinsip dan kaedah amalan perakaunan yang
sebenar.
2. Memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan dengan teknik-teknik dan bentuk
soalan.
3. Memberi keyakinan kepada para pelajar untuk menjawab soalan-soalan yang mencabar.
4. Memupuk minat dan hubungan sesama rakan di daerah-daerah lain.
5.Mewujudkan daya saing dalam kalangan pelajar-pelajar.
Tarikh Pelaksanaan
Tarikh : 25 April 2009 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : SMK Dato Penggawa Barat, Pontian.
Tetamu Khas
Pengarah Pelajaran Negeri Johor
Ketua Sektor Pengurusan Akademik
Pegawai Pelajaran Daerah Pontian
Hadiah dan Sijil
1. 3 hadiah untuk pasukan Johan, Naib Johan dan Tempat Ketiga = 3 x 3 = 9 unit
2. Peserta terbaik keseluruhan 1 unit
3.Sagu hati = 7 X 3 = 21 unit
Bahan-bahan yang diperlukan
Keperluan fizikal
1. Dewan Kuiz Lisan
1.1 3 kelas terbuka atau dewan kecil
1.2 19 meja dan 37 kerusi peserta
1.3 20 kerusi penonton
2. Dewan Kuiz Bertulis
2.1 2 kelas terbuka
2.2 1 kelas pemeriksa kuiz (12 meja dan 12 kerusi)
2.3 32 meja dan 40 kerusi
3. Peralatan
3.1 P.A sistem – 3 mikrofon dan “stand” meja
3.2 2 Skrin putih
3.3 1 White board
3.4 2 buah LCD
Keperluan Bahan
1. Alatulis
1.1 20 batang pen merah
1.2 10 keping kad manila
1.3 13 batang “white board marker pen” ( 10 warna hitan dan 3 warna merah)
1.4 1 doube tape
1.5 1 cellotape
1.6 30 batang pensil 2B
SKOP PERTANDINGAN
Soalan-soalan kuiz akan merangkumi aspek-aspek berikut:
a. Sukatan Pelajaran Prinsip Perakaunan Tingkatan 4 dan 5
b. Soalan merangkumi semua tajuk Tingkatan 4 dan sebahagian tajuk tingkatan 5 iaitu Akaun Kawalan, Pembetulan Kesilapan, Belanjawan Tunai, Penyata Penyesuaian Bank dan Perkongsian 1.
c. Mengikut piawaian LCCI.
SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN
A. Syarat-syarat penyertaan
1.Setiap daerah menghantar seramai 3 orang peserta, sekurang-kurangnya seorang peserta
bumiputera dan seorang guru pengiring.
2. Peserta dikehendaki membawa kalkulator.
B. Format Pertandingan
1. Pertandingan dijalankan secara lisan dan bertulis.
2. Soalan adalah tertutup
3. Peserta dikehendaki menjawab soalan berdasarkan jadual berikut
SKOP PERTANDINGAN
Soalan-soalan kuiz akan merangkumi aspek-aspek berikut:
a. Sukatan Pelajaran Prinsip Perakaunan Tingkatan 4 dan 5
b. Soalan merangkumi semua tajuk Tingkatan 4 dan sebahagian tajuk tingkatan 5 iaitu Akaun Kawalan, Pembetulan Kesilapan, Belanjawan Tunai, Penyata Penyesuaian Bank dan Perkongsian 1.
c. Mengikut piawaian LCCI.
SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN
A. Syarat-syarat penyertaan
1.Setiap daerah menghantar seramai 3 orang peserta, sekurang-kurangnya seorang peserta
bumiputera dan seorang guru pengiring.
2. Peserta dikehendaki membawa kalkulator.
B. Format Pertandingan
1. Pertandingan dijalankan secara lisan dan bertulis.
2. Soalan adalah tertutup
3. Peserta dikehendaki menjawab soalan berdasarkan jadual berikut:
Bahagian
Jenis Soalan
Masa
BERTULIS
9 Soalan Subjektif
1 jam
LISAN
27 soalan objektif
(9 soalan setiap peserta)
1 jam
C. Pelaksanaan Kuiz
1. Pendaftaran peserta kuiz 8.30 pagi – 8.45 pagi
2. Kuiz akan bermula 9.00 pagi
3. Setiap peserta dikehendaki menjawab semua soalan secara individu tanpa perbincangan
4. Pemenang ditentukan berdasarkan jumlah markah tertinggi yang diperoleh oleh ketiga-
tiga peserta dari setiap daerah
5. Markah setiap individu dijumlahkan untuk menentukan peserta terbaik keseluruhan
6. Jika berlaku seri dalam menentukan kedudukan pasukan dan peserta terbaik soalan
tambahan akan diberikan.
7.Keputusan panel hakim adalahm uktam ad.
D. Atur Cara Pertandingan
8.00 – 9.00 pagi
Pendaftaran
9.00 – 9.10 pagi
Taklimat
9.10 – 9.45 pagi
Kuiz Bertulis Bahagian A (35minit)
9.45 – 9.50 pagi
Pungut skrip dan edarkan Soalan Kuiz Bertulis Bahagian B
9.50 – 10.15 pagi
Kuiz Bertulis Bahagian B (25minit)
D. Atur Cara Pertandingan
8.00 – 9.00 pagi
Pendaftaran
9.00 – 9.10 pagi
Taklimat
9.10 – 9.45 pagi
Kuiz Bertulis Bahagian A (35minit)
9.45 – 9.50 pagi
Pungut skrip dan edarkan Soalan Kuiz Bertulis Bahagian B
9.50 – 10.15 pagi
Kuiz Bertulis Bahagian B (25minit)
10.15 – 10.30 pagi
Rehat
10.30 – 11.30 pagi
Kuiz Bahagian Lisan
11.30 – 11.45 pagi
Pengiraan markah dan mendapatkan keputusan akhir Kuiz Prinsip
Perakaunan 200
E. Peraturan Kuiz Prinsip Perakaunan
KUIZ BERTULIS
(SOALAN SUBJEKTIF)
1. Semasa pendaftaran peserta-peserta akan diberikan kad bernombor sebagai angka giliran.
2. Peserta akan melekatkan kad tersebut pada baju mereka.
3. Peserta akan menuliskan angka giliran di muka hadapan buku jawapan mereka (nama peserta
dan nama sekolah tidak perlu dituliskan).
4. Tempat duduk peserta mengikut angka giliran seperti yang tertera di atas meja.
5. Jawab semua soalan.
6. Peserta diberikan 60 minit sahaja untuk menjawab semua soalan.
7. Semua jawapan hendaklah ditulis dalam buku jawapan dalam ruang jawapan yang disediakan.
8. Soalan dan jawapan tidak boleh dibawa keluar dari bilik kuiz bertulis.
9. Peserta hanya dibenarkan membawa pen dan kalkulator sahaja ke dalam bilik kuiz bertulis
10. Gunakan pen berdakwat hitam atau biru sahaja.
11. Semasa kuiz bertulis sedang berjalan peserta tidak dibenarkan berbincang, berbual, sekiranya
memerlukan bantuan tertentu sila angkat tangan.
12. Pengawas yang bertugas terdiri daripada panel hakim, sementara pemeriksa kertas jawapan
terdiri daripada pemeriksa yang dilantik oleh panel hakim.
13. Kuiz bertulis dibahagikan kepada dua bahagian.
14. Bahagian A dijawab dalam masa 35 minit.
15. Apabila tamat ujian (35 minit) semua peserta hendaklah berhenti menulis. Kertas akan dikutip
dan diserahkan kepada pemeriksa dan akan memberikan markah diruang yang telah disediakan.
16. Soalan Bahagian B akan diserahkan dan peserta menjawab soalannya dalam masa 25 minit.
Selepas tamat masa, kertas jawapan dipungut.
17. 15 kertas jawapan dengan markah yang tertinggi sahaja akan disemak semula oleh panel hakim.
18. Peserta yang lewat tidak akan diberi masa tambahan.
19.Peserta yang didapati dan disahkan berbincang, meniru, menulis selepas tamat masa atau
didapati tidak mengikuti peraturan yang telah ditetapkan, akan dibatalkan penyertaannya sama
ada dalam kumpulan atau individu
KUIZ LISAN
(SOALAN OBJEKTIF DAN STRUKTUR)
1. Terdapat 3 pusingan dalam pertandingan ini.
2. Pada pusingan 1 dan pusingan 3, soalan akan dibacakan oleh jurukuiz pada setiap peserta dalam pasukan. Pada pusingan 2 pula, setiap peserta dalam setiap daerah diberi peluanguntuk memilih mana-mana soalan yang disukainya. Soalan yang telah dipilih akan dibacakan dan dijawab oleh semua peserta.
3. Setiap soalan akan dipaparkan pada skrin. Juru kuiz akan membaca soalan.
4. Peserta diperuntukan masa selama 30 saat dari masa loceng pertama dibunyikan untuk
menjawab soalan di papan putih yang disediakan.
5. Peserta dikehendaki memaparkan jawapannya pada Juri Kuiz apabila loceng kedua dibunyikan.
6. Setiap jawapan betul akan diberikan 2 markah dan tiada markah untuk jawapan yang salah.
Pemerian markah adalah muktamat.
7. Selepas menjawab setiap soalan peserta dikehendaki menyerahkan papan putih kepada peserta
berikutnya untuk menjawab soalan seterusnya.
8. Jika berlakunya seri selepas tamat ketiga-tiga pusingan, soalan tambahan akan diberikan kepada
pasukan yang berkenaan.
9. Jika berlaku seri dalam menentukan peserta individu terbaik, soalan tambahan akan diberi.
10. Johan, Naib Johan dan tempat Ketiga adalah ditentukan daripada jumlah markah tertinggi dalam
kedua-dua Bahagian A dan B.
11. Keputusan Panel Hakim adalah muktamad

PENGENALAN
Dalam membicarakan tajuk seperti ini, kita tidak dapat lari daripada menjawab beberapa soalan awal. Pertama, apakah definisi bahasa Melayu? Kedua, siapakah yang menuturkan bahasa Melayu? Ketiga, apakah kaitan bahasa Melayu dengan jati diri bangsa orang1 yang menuturkannya? Keempat, apakah mekanisme yang mengaitkan bahasa dengan proses pembentukan dan pengubahan jati diri orang Melayu? Kelima, bagaimanakah jati diri sesebuah bangsa terbentuk? Keenam, bagaimanakah jati diri bangsa boleh berubah?
Soalan pertama dan kedua terlalu ketara dan tidak memerlukan jawapan. Dalam menjawab persoalan ketiga pula, perbincangan ini tidak membicarakan secara terperinci apa-apa yang dimaksudkan dengan istilah bangsa. Dalam bidang sains politik, psikologi peribadi dan falsafah, isu ini memang penting. Namun begitu, dalam perbahasan sebegini, definisi yang digunakan ialah yang paling umum yang menyatakan bahawa bangsa Melayu ialah orang Melayu yang tinggal di Malaysia. Lagipun inilah masyarakat sasaran yang dimaksudkan dalam perbincangan ini. Mereka bermastautin di Malaysia dan tertakluk serta patuh kepada sebarang dasar dan pelaksanaan dasar tertentu di negara ini. Pandangan ini diambil kerana orang Melayu di negara yang berlainan tidak mengalami peristiwa sejarah dan sosial yang sama. Oleh sebab itu, perbincangan ini tidak membuat pengitlakan umum yang mencakupi semua orang Melayu di luar sempadan politik Malaysia. Namun begitu, perihal orang Melayu di luar Malaysia juga disentuh dan dirujuk bagi memperjelaskan beberapa perkara yang berlainan tetapi berkaitan dengan perbincangan ini.
Melalui pengenalan yang luas begini, perbincangan ini akan melihat apa-apa isu yang merempuh jati diri manusia yang dinamakan Melayu. Dan ini akan dilakukan secara linear, iaitu jati diri individu dan cara jati diri ini membentuk bangsa; apakah ciri-ciri yang terkandung dalam definisi jati diri menurut ahli falsafah, sejarah dan sains sosial?; isu jati diri Melayu secara umum; isu jati diri Melayu dalam konteks pengliberalan dasar di bawah pengaruh globalisasi; dan kesimpulan.
DEFINISI JATI DIRI INDIVIDU DAN BANGSA
Dalam menentukan definisi jati diri individu dan bangsa, kita boleh merujuk dan menggunakan beberapa hipotesis dan teori para sarjana dan falsafah silam dan semasa yang diterima umum. Melalui hipotesis dan teori, barulah kita dapat menjelaskan peristiwa yang pernah berlaku, memahami peristiwa yang sedang berlaku dan meramalkan peristiwa yang akan berlaku. Inilah inti pati yang diimbau oleh tajuk perbincangan ini. Bahasa Melayu di Persimpangan 61
Jati diri bangsa tidak dapat dipisahkan daripada jati diri individu. Oleh sebab itu, kedua-duanya dibicarakan serentak. Kita melihat lakuan individu bagi menentukan jati dirinya, dan jati diri individu kemudian membentuk jati diri masyarakatnya. Dengan melihat jati diri individu, kita dapat memahami jati diri masyarakat dan dengan melihat jati diri masyarakat, kita dapat memahami jati diri individu.
Untuk memerihalkan tentang jati diri, dua sumber dimanfaatkan. Sumber pertama ialah beberapa kamus falsafah dan definisi yang diutarakan oleh ahli falsafah. Sumber kedua pula ialah rujukan silang yang melihat kepada beberapa definisi ahli sosiologi, sejarah dan sains politik. Ada banyak polemik yang berlaku, namun begitu, definisi yang paling umum akan diguna pakai untuk membincangkan judul ini.
Lazimnya dalam menghuraikan ciri-ciri yang membentuk jati diri sesebuah bangsa, ahli falsafah melihat kepada jati diri individu. Kita dapat menggunakan definisi daripada beberapa orang ahli falsafah Eropah yang membicarakan tentang perkara ini. Joseph Butler (1692–1752), seorang ahli falsafah Inggeris, menghasilkan idea tentang prinsip pengindividuan. Prinsip ini menyatakan bahawa sesuatu benda itu yang dimaksudkan dan bukan benda lain.
Konsep ini dapat digunakan bersama dengan sebuah konsep lain yang dijana oleh seorang ahli falsafah dan matematik terkenal Jerman, iaitu Gotfried Leibniz (1646–1716). Banyak pemikiran beliau yang boleh dirujuk, khususnya pemikirannya tentang cara untuk memodenkan bangsa Jerman melalui bahasa Jerman. Beliau memperkenalkan konsep jati diri yang dapat dicam. Baginya, sekiranya A dan B mempunyai ciri-ciri yang sama, maka kedua-duanya datang daripada satu jati diri yang sama.
Seterusnya, terdapat sebuah konsep lain yang relevan dengan perbincangan ini, iaitu konsep yang diutarakan oleh seorang ahli falsafah moden Inggeris, John Locke (1632–1704). Konsep yang dibincangkan oleh ahli falsafah ini ialah idea kesedaran atau memori dan proses pengawataksaan memori. Locke ialah ahli falsafah pertama yang mendefinisikan 'diri' melalui konsep kesinambungan memori individu dan bangsa.
Persoalannya, apakah yang dikatakan jati diri individu apabila individu sendiri mengalami perubahan melalui satu jangka waktu? Bagi memulakan hujahan, kita dapat mengandaikan bahawa diri kita memang berubah atau menjadi berlainan dari semasa ke semasa dalam perjalanan hidup kita. Sekiranya demikian, apakah yang membolehkan kita mempertahankan jati diri walaupun kita melalui perubahan? Tidakkah jati diri kita berubah? Bagaimana pula jati diri kita masih kekal sama pada akhir suatu pengembaraan yang penuh dengan perubahan? 62 Abdullah Hassan
Perkara itulah yang diperkatakan oleh John Locke apabila beliau menjana idea bahawa kesamaan seseorang mungkin terkandung dalam kesamaan dalam inti pati mindanya. Kesamaan dalam memori ini terkandung dalam kebolehan kita mendefinisikan diri kita melalui kesatuan memori tadi. Beliau secara khusus merujuk kepada wujudnya memori silam dan fungsi kesinambungan memori itu dalam perubahan jati diri, yang pada akhirnya masih bertahan. Adakah esen (pati) jati diri kita kekal?
Memang idea ini bertentangan dengan idea Descartes, malah dikritik oleh David Hume (1711–1766), namun begitu, idea ini dapat menjelaskan proses dan mekanisme yang akan digunakan bagi membincangkan peristiwa sosial yang berlaku dan meninggalkan kesan pada jati diri bangsa Melayu.
Sewaktu menghadapi perubahan, ternyata ada ciri-ciri jati diri yang dikatakan tidak berubah. Hal ini berlaku kerana ciri-ciri ini ialah pati kepada jati diri sesebuah bangsa dan ciri-ciri yang menjadi esen ini dikatakan tidak berubah.
Sebagai contoh, disebabkan keturunan Portugis di Melaka menuturkan bahasa Kristang (Kristian), maka mereka dianggap sebagai Portugis. Demikian juga Cina Baba di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, mereka dianggap Cina Baba kerana mereka masih menuturkan bahasa Cina Baba. Sekarang, masyarakat Cina Baba semakin hilang oleh sebab mereka mengelompokkan diri dengan masyarakat Cina baru (Pakir 1994). Nyatalah bahawa bahasa ialah esen jati diri sesebuah masyarakat. Asmah dan Morris (2005b) melaporkan bahawa Teo Kok Seong menyimpulkan, oleh sebab Cina Baba ini tidak pernah masuk Islam (Melayu) maka jati diri mereka kekal sebagai Cina, sekalipun mereka sudah lama menetap dalam persekitaran Melayu.
Persoalannya, apabila berlaku perubahan terhadap dasar bahasa dan tabiat berbahasa bangsa Melayu, apakah yang akan berlaku terhadap jati diri bangsa Melayu?
CIRI-CIRI YANG MEMBENTUK JATI DIRI BANGSA
Sebelum kita melanjutkan perbincangan, kita juga perlu memberikan definisi bangsa.
Jati diri sesebuah bangsa merujuk kepada ciri-ciri yang membezakan sesuatu kumpulan manusia dengan kumpulan manusia yang lain dan rasa kekitaan individu dalam kumpulan itu. Ada banyak ciri yang digunakan dan setiap satu adalah asing dan berlainan. Contohnya, perbezaan kecil sebutan dalam bahasa yang dituturkan mungkin sudah cukup bagi memasukkan seseorang ke dalam kelompok bangsa yang berlainan. Umpamanya, kita dengan agak mudah Bahasa Melayu di Persimpangan 63
mengenali pertuturan bahasa Melayu orang Melayu Singapura. Sebaliknya, dua individu yang berbeza dari segi sahsiah, sistem kepercayaan, tempat tinggal, masa kewujudan dan bahasa yang dituturkan boleh dianggap termasuk dalam satu bangsa. Hal ini misalnya wujud dalam kalangan bangsa Indonesia.
Keperluan utama dalam mendefinisikan sesebuah bangsa ialah ciri yang sama yang dikongsi bersama. Ciri yang sama inilah yang menyebabkan wujudnya keseragaman atau kehomogenan. Sebahagian ciri ini hendaklah pula dapat membezakan bangsa berkenaan daripada bangsa-bangsa lain yang berjiranan.
Mempunyai Leluhur yang Sama
Daripada istilah bangsa wujud pengertian bahawa orang yang membentuk bangsa yang sama mempunyai leluhur yang sama. Konsep ini jelas diperkatakan dalam gerakan kebangsaan Melayu. Mereka menyatakan bahawa orang yang berasal daripada leluhur yang sama mewarisi ciri leluhur yang sama. Ciri leluhur yang sama itulah yang menyebabkan mereka tergolong dalam satu bangsa yang sama. Dalam hal ini, kita boleh menyatakan bahawa orang Melayu sekarang berasal daripada generasi Melayu dahulu. Maksudnya, kita seolah-olah mengatakan bahawa mereka datang daripada leluhur bangsa yang sebelumnya.
Kita melihat kembali kepada kes bangsa Melayu. Ada kes bangsa lain, seperti bangsa Maori di New Zealand yang mengalami proses penenggelaman oleh bangsa lain yang baru datang. Hal ini bermula dengan kedatangan penjajah Inggeris. Sebelum itu, bangsa Maori berasal daripada leluhur yang sama. Pada masa ini penduduk New Zealand terdiri daripada 20 peratus Maori, tujuh peratus Asia, tujuh peratus Polinesia dan 66 peratus Eropah. Setelah berlaku perkahwinan campur, maka jati diri bangsa Maori turut berubah. Adakah generasi Maori yang akan datang masih mempunyai jati diri yang sama? Hal ini kerana apabila wujud banyak bangsa yang berlainan, maka konsep 'apa-apa yang bukan kita' menjadi semakin penting dalam menentukan jati diri sesuatu bangsa (Morris 2005, 7 dalam Asmah 2005a). Hal ini bermakna, apabila terdapat banyak kaum lain bermastautin dalam sesebuah negara, maka prinsip 'apa-apa yang bukan kita'akan lebih diutamakan dalam menentukan jati diri sesebuah bangsa. Di Malaysia jelas dilihat isu ini apabila Cina dan India tidak diterima sebagai Melayu. Mereka kekal sebagai Cina atau India, tidak menjadi Melayu kerana tidak menganuti agama Islam. Bagi orang Austronesia lain selain Melayu (umpamanya Iban) yang bukan Islam juga tidak digelar Melayu tetapi diberikan istilah bumiputera.
Menuturkan Bahasa yang Sama
Menuturkan sebuah bahasa yang sama ialah antara ciri yang menentukan jati diri sesebuah bangsa. Oleh hal yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa bahasa 64 Abdullah Hassan
bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi antara anggota masyarakat, malah menjadi ciri yang mendefinisikan bangsa. Umpamanya, orang Melayu menuturkan bahasa Melayu. Namun begitu, hal yang berlaku pada masyarakat Cina Baba di Malaysia ialah suatu kes yang menarik. Sebagai satu kelompok masyarakat, mereka menuturkan bahasa Melayu Baba tetapi mereka tidak dianggap Melayu. Mereka dikenali sebagai Cina Baba. Kedatangan kaum Cina lain telah menyebabkan Cina Baba diserap kembali ke dalam masyarakat Cina yang baru dan menuturkan semula bahasa Cina. Hal ini menyebabkan jati diri Cina Baba mereka hilang (Pakir 1994). Hal yang sama juga berlaku di Switzerland. Rakyat Switzerland menuturkan empat bahasa yang berlainan, iaitu Perancis, Jerman, Itali dan Romans; namun semua mereka berbangsa Swiss. Oleh sebab itu, menuturkan satu bahasa yang sama, tidak semestinya muktamad menyatakan jati diri yang sama.
Mengamalkan Kebudayaan