23 Dis 2010

STATUS IJAZAH KPM-OUM

Berita Harian bertarikh 18 November 2010 – STATUS IJAZAH KPM-OUM


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca Lepasan Sarjana Muda Pengajaran KPM-OUM, Kuala Lumpur, dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Berita Harian bertarikh 18 November 2010 – Status ijazah KPM-OUM.
Sukacita dimaklumkan bahawa, Ijazah Sarjana Muda Pengajaran yang ditawarkan di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) telah diluluskan penawarannya oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Namun begitu, guru yang akan ditemuduga oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk kenaikan gred memerlukan satu lagi pengiktirafan kelayakan iaitu daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ekoran itu, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah berurusan dengan pihak OUM untuk bertanya berkenaan status pengiktirafan tersebut.
Berdasarkan perbualan telefon dengan pegawai di OUM pada 11 November 2010, dimaklumkan pihak MQA telah mengemukakan Perakuan Akreditasi kepada JPA untuk diiktirafkan. Turut dimaklumkan bahawa pihak JPA tidak dapat memberi pengiktirafan tersebut selagi tidak mendapat kelulusan oleh menteri dalam satu mesyuarat khas. Pihak JPA telah memberitahu OUM bahawa mesyuarat tersebut akan dilangsungkan pada awal Disember.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA