18 Dis 2010

Perayaan Di Malaysia

Selamat datang ke Malaysia, negara beraneka budaya, bahasa, agama dan makanan yang memikat hati. Penyatuan budaya dan sosial yang berkurun lamanya di antara bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban dan lain-lain telah melahirkan masyarakat Malaysia berbilang kaum yang hidup dalam harmoni. Sambutan bersama pelbagai perayaan, sambutan tradisi dan aktiviti kebudayaan di sepanjang tahun memastikan pelancong tidak mungkin bosan di sini. Terkenal dengan keramahan mereka, rakyat Malaysia tidak sabar berkongsi acara dan perayaan mereka bersama kenalan mahu pun pelancong asing. Bagi sambutan perayaan yang meriah, inilah masanya dan Malaysialah tempatnya.


Tarikh

Perayaan
Keterangan
30 Jan 2010 

Thaipusam
Perayaan ini disambut sebagai tanda kesyukuran oleh penganut agama Hindu, serta sebagai tanda penghormatan kepada tuhan Muruga atau Subramaniam. Perayaan ini paling meriah disambut di Kuala Lumpur, di mana kenderaan berhias tuhan Muruga dibawa berarak menerusi jalan-jalan tertentu di bandaraya sebelum berakhir di Batu Caves, Selangor. Ribuan penganut berarak sambil memikul Kavadi, menarik perhatian ramai pengunjung. Thaipusam diraikan secara besar-besaran di Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Perak.
Lokasi: Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Perak
1 Feb 2010 

Hari Wilayah
Hari Wilayah disambut di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan perarakan, pertunjukan bunga api, pameran serta persembahan kebudayaan. Kebanyakan acara dibuka kepada orang ramai tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Lokasi: Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya
14 Feb - 15 Feb, 2010

Tahun Baru Cina
Tahun Baru Cina menandakan hari pertama kalendar Bulan dan perayaan ini disambut selama 15 hari. Limau Mandarin dan putik pohon plum, yang melambangkan kemewahan serta nasib baik, menghias rumah penduduk berbangsa Cina, serta kompleks-kompleks membeli-belah. Tarian naga dan tarian singa berserta paluan gendang yang bersemangat menambahkan lagi suasana meriah perayaan ini. Pada malam sebelum Tahun Baru, ahli keluarga berkumpul menikmati jamuan makan malam, diikuti dengan rumah terbuka meraikan sanak saudara dan sahabat handai pada keesokkan harinya.

Lokasi: Seluruh Malaysia
2 Apr 2010

Good Friday
Good Friday ialah hari Jumaat sebelum sambutan perayaan Easter (perayaan Easter lazimnya jatuh pada hari Ahad) yang disambut di Sabah dan Sarawak.

Lokasi: Sabah dan Sarawak
28 Mei 2010

Hari Wesak
Pada hari Wesak, penganut Buddha memperingati kelahiran, kesedaran dan kematian Buddha. Para penganut mempersembahkan pemberian mereka dan menjalankan upacara seperti ‘mandian patung Buddha’, pembacaan mentera dan membakar colok. Upacara perlantikan sami biasanya dilangsungkan di kuil-kuil Buddha. Pada sebelah malam diadakan perarakan di kotaraya seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, Seremban, Melaka dan Georgetown.

Lokasi: Seluruh Malaysia
30 Mei - 31 Mei, 2010

Tadau Kaamatan
Pesta ini disambut setiap tahun oleh komuniti etnik terbesar di Sabah, iaitu kaum Kadazan Dusun. Perayaan kesyukuran ini diadakan sebagai tanda penghormatan kepada semangat padi yang digelar Bambaazon, atas hasil tuaian padi yang lumayan. Kemuncak perayaan ini termasuk jamuan minuman tuak, makanan serta tarian tradisional, pertandingan Ratu Cantik, perlumbaan kerbau dan sebagainya!

Lokasi : Sabah
1 Jun - 2 Jun, 2010

Gawai Dayak
Gawai Dayak disambut oleh kaum Iban, Orang Ulu serta Bidayuh di Sarawak pada awal bulan Jun bagi menandakan penghujung musim menuai. Perayaan yang mempesonakan ini memaparkan pelbagai upacara tradisional serta tarian yang diadakan di rumah-rumah panjang di seluruh Sarawak. Sanak-saudara serta para pengunjung dijamu minuman tuak serta hidangan ayam yang dimasak di dalam buluh, dan pelbagai masakan tradisional yang lain di rumah-rumah terbuka di sini.

Lokasi : Sarawak
6 Jun 2010

Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong
Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, Malaysia menyambut hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong pada setiap hari Sabtu minggu pertama bulan Jun. Hari ini disambut dengan acara penganugerahan darjah kebesaran kepada warganegara Malaysia yang telah banyak berjasa kepada negara. Kemuncak sambutan termasuk ‘Perarakan Panji-Panji’ oleh anggota tentera, serta pelbagai bentuk pameran dan pertunjukan.

Lokasi: Kuala Lumpur
31Ogos 2010

Hari Kemerdekaan
Malaysia menyambut Hari Kemerdekaannya pada 31 Ogos setiap tahun. Warganegara Malaysia menyambut perayaan ini dengan mengibarkan bendera Malaysia di seluruh negara. Pelbagai aktiviti diadakan di setiap negeri termasuk perarakan dan pertunjukan bunga api. Acara kemuncak ialah perarakan besar-besaran di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh Raja dan Permaisuri Agong, Perdana Menteri, orang-orang kenamaan serta para pengunjung.

Lokasi: Seluruh Malaysia
10 Sep - 11 Sep, 2010

Hari Raya Aidil Fitri
Hari Raya Aidil Fitri menandakan tamatnya bulan puasa (Ramadhan) dan disambut oleh penganut Islam di seluruh dunia. Penduduk Islam di Malaysia memulakan hari ini dengan menziarahi kubur diikuti sembahyang sunat hari Raya dan saling bermaafan antara satu sama lain. Sanak-saudara serta sahabat handai dijemput ke rumah terbuka di mana mereka disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional yang lazat.

Lokasi: Seluruh Malaysia
5 Nov 2010

Deepavali
Kejayaan kuasa baik mengalahkan kuasa jahat diraikan oleh penganut Hindu dalam perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Perayaan Cahaya pada setiap bulan ke-7 mengikut kalendar Hindu. Di seluruh negara, upacara sembahyang serta ‘pembersihan’ dijalankan di kuil-kuil serta tempat-tempat pemujaan penganut Hindu.

Lokasi: Seluruh Malaysia
17 Nov 2010

Hari Raya Aidil Adha
Hari Raya Aidil Adha juga merupakan perayaan yang disambut oleh penganut Islam pada hari ke-10 bulan Zulhijjah. Ianya juga menandakan para jemaah haji telah selesai menunaikan fardhu haji di Mekah, Arab Saudi.

Lokasi: Seluruh Malaysia
25 Dis 2010

Krismas
Perayaan Krismas lebih meriah di kawasan tropika Malaysia dengan penduduknya yang ramah. Pengunjung dapat memilih pelbagai restoran, bistro, pusat membeli-belah dan hotel yang turut menawarkan pelbagai promosi sempena perayaan ini. Raikan sambutan Krismas anda di Malaysia!
Lokasi: Seluruh Malaysia
Sumber Maklumat: Tourism Malaysia