PANDUAN MENULIS KARANGAN RESPONS TERTUTUP TINGKATAN 4
Pada amnya, karangan ialah sebuah susunan (Kamus Dewan Edisi IV:676-677). Antara ciri susunan ialah baik, teratur dan menarik. Hanya seorang pakar dapat menyediakan karangan bunga yang bernilai tinggi, menyediakan butir manik dan labuci, atau menghias indah muka karang (perkarangan) halaman rumah.
Apabila karangan disampaikan menerusi medium penulisan, pada hakikatnya berlaku proses pemindahan komunikasi antara sang penulis dengan sang pembaca dengan perantaraan huruf dan tanda baca. Jika dikhususkan untuk tujuan peperiksaan, sang calon cuba meyakinkan sang pemeriksa bahawa dia telahmenjawab tugasan soalan sehabis baik. Semua ciri penulisan karangan yang baik dan kriteria organisasi idea telah dipatuhi.
Bagi mempersembahkan sebuah karangan yang baik, teratur dan menarik seumpama menyediakan pelan iklan dan promosi. Antara strategi iklan ialah ADIA, satu kependekan atau akronim berbahasa Inggeris. A = menarik perhatian (attention); D = menimbulkan hasrat (desire); I = mengukuhkan niat (intention); A = bertindak membeli (action).
Calon atau murid yang menulis karangan mesti memulakan karangan dengan gambaran permulaan yang menggirangkan sang pemeriksa atau guru yang menanda karangan. Walaupun guru yang menanda mesti berlaku adil dan bersabar untuk membaca hingga ke ayat terakhir sebelum memeringkatkan status karangan, seboleh-bolehnya calon memudahkan tugas berkenaan. Sama seperti strategi iklan tadi, pemeriksa akhirnya bersetuju "membeli" karangan calon dengan "markah" yang tertinggi!
Calon SPM perlu menulis dua buah karangan sekali gus, iaitu karangan respons tertutup (30 markah), dan karangan respons terbuka (100 markah). Perbincangan ini hanya menumpukan tentang karangan respons tertutup, iaitu penulisan berdasarkan bahan rangsangan yang disediakan. Terdapat persamaan dengan konsep isi tersurat dalam soalan rumusan (kertas 2), iaitu ambilan idea daripada bahan yang disediakan (tercetak).
Kebiasaannya bahan rangsangan, sama ada berbentuk gambar atau carta menampilkan tiga hingga empat idea / isi. Memandangkan peruntukan masa yang dicadangkan kira-kira 45 minit dan maksimum jumlah perkataan sebanyak 250, tiga isi sudah memadai. Pastikan ambilan isi berkenaan betul-betul daripada bahan rangsangan, bukan pendapat sendiri.
bersambung...