19 Dis 2010

Bencana Alam

Karangan Punca-punca Bencana Alam Berlaku?


Karangan 26

Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.

Nyatakan punca-punca menangani masalah ini.


Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini mudah berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.

Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.

Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggung jawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?