PASTI ramai yang terpinga-pinga mendengar perkataan teromba yang agak asing dalam kehidupan moden hari ini. Hakikatnya teromba adalah rujukan utama dalam kehidupan seharian, malahan turut dianggap sebagai undang-undang yang perlu dipatuhi dan wujud bersama-sama dengan masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan. 

Teromba ialah susunan undang-undang adat yang disampaikan dalam bentuk puisi dan adat dikenali sebagai adat Minangkabau iaitu sama ada adat temenggung atau pepatih. 
Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusateraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Rosli Saludin, mengupas keunikan teromba sebagai cabang seni secara mendalam berdasarkan penyelidikannya untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) beliau. 

Kajiannya menunjukkan teromba merangkumi puisi klasik seperti pantun, pepatah petitih, syair, seloka, gurindam, ungkapan, perbilangan, terasul dan mantera. 

“Teromba ialah satu bentuk hiburan yang memberi didikan dan pengajaran serta mengandungi kata-kata lucu serta sinis untuk menyampaikan nasihat kepada masyarakat. Kata-katanya tersusun indah dan jika terkena kepada khalayak mampu memberi kesan mendalam. Inilah kreativiti Melayu yang memberi pengajaran secara tersirat dan kreatif,” katanya pada program Kenali dan Cintai Puisi: Teromba di Kuala Lumpur, kelmarin. 


Kehadiran teromba menunjukkan orang Melayu sangat menjaga hati dan air muka masyarakatnya sehingga menegur secara kiasan, selain bentuk penyampaian secara bersahaja atau berlagu, menjadikannya menarik untuk dihayati oleh sesiapa juga. 
“Penggunaan teromba sebenarnya diwariskan secara turun-temurun misalnya dalam majlis perbincangan yang beradat, istiadat meminang, nikah kahwin dan menyelesaikan masalah anak buah. Nasihat melalui teromba jauh lebih berkesan dan mendalam kerana banyak menggunakan kiasan,” jelasnya. 

Lebih hebat, walaupun teromba hanya huruf dan kata-kata, tetapi hakikatnya mempunyai daya yang dapat memberi kepuasan perasaan fikiran dan jiwa kerana ia ibarat sebuah dunia, jika mereka yang membaca atau mengaksikannya benar-benar faham serta berupaya mendalami isi yang terkandung di dalamnya. 

Pada Program yang dipengerusikan Pengarah Bahagian Warisan Tak Ketara, Jabatan Kesenian Negara, Siri Neng Buah, turut diadakan persembahan teromba Bukit Putus dan Ikan Dalam Kaca, di samping deklamasi puisi oleh pelajar SMK Puteri Wilayah, Nur Hidayah Azhar; pelajar SMK (P) Air Panas, Nur Khalisah Nazir dan pelajar SMK Sentul Utama, Nor Hidayah Ahmad Shafie.