31 Dis 2022

Pantun oleh ZurinahbHassan

 PERBUALAAN PANTUN.


Sebuah pantun mesti mengandungi tiga komponen iaitu:

1.Pembayang

2.Maksud

3.Rima

Ketiga perkara di atas adalah syarat sah sesuatu puisi itu dinamakan pantun atau yang membezakan pantun daripada puisi yang lain.

 PEMBAYANG 

Pembayang pantun mestilah mematuhi ciri-ciri seperti di bawah. 

1.Mempunyai wacana yang berbeza daripada maksud

2.Baris pertama berima dengan baris ketiga dan baris kedua berima dengan baris keempat

Apakah yang dimaksudkan dengan “mempunyai wacana yang berbeza daripada maksud”?. Ada yang masih keliru dengan keperluan “pemisahan wacana” ini. Ia bermaksud baris pertama dan kedua (iaitu baris pembayang) memperkatakan hal atau kisah yang lain daripada baris ketiga dan keempat (baris maksud). Baris pertama dan kedua memerikan cerita dan citra yang sama sekali berlainan daripada cerita dan citra dalam baris ketiga dan ketiga. Sebagai contoh cuba lihat pantun di bawah:

Dua tiga kucing berlari,

     Manakan sama si kucing belang;

Dua tiga boleh kucari,

      Manakan sama tuan seorang.


Baris pertama dan kedua dalam pantun membawa cerita yang terpisah daripada cerita pada baris seterusnya.  Baris pertama dan kedua memperkatakan tentang kucing yang berlari, sedangkan baris ketiga dan keempat bercerita tentang kekasih hati yang sudah pasti seorang insan, bukannya kucing. 

Kalau ada sumur di bendang,

   Boleh kita menumpang mandi;

Kalau ada umur yang panjang,

     Boleh kita berjumpa lagi. 


Dalam pantun yang kedua, baris pertama dan kedua adalah perihal sumur dan orang yang berharap dapat mandi di sumur manakala baris ketiga dan keempat menyentuh tentang harapan untuk bertemu lagi jika sama-sama dipanjangkan umur. Inilah yang dimaksudkan dengan mempunyai wacana yang berlainan bukan perkara atau benda yang sama. 

Kadang-kadang ada rangkap yang ditulis empat baris tetapi  tidak mempunyai pembayang. Wacana dari baris satu hingga empat adalah sama, iaitu memperkata tentang perkara yang sama.  Rangkap seperti ini bukanlah pantun.  Contoh: 

Dengarlah anak ini nasihat

Buat kerja bersungguh-sungguh

Semoga bahagia dunia akhirat

Solat yang wajib jangan ditangguh


Rangkap ini mempunyai satu cerita sahaja, iaitu tentang berbuat baik. Ia berisi nasihat seorang ayah kepada anaknya supaya bekerja bersungguh-sungguh,  jangan menangguhkan solat demi mengharap kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Oleh kerana tiada elemen pembayang, maka ia bukanlah pantun walaupun rangkap ini berima abab.