20 Dis 2011

Muhasabah Diri.

Maksiat juga mempunyai tingkatannya, ada dilakukan secara tersembunyi, terbuka dan ada maksiat dianggap biasa. Apa juga jenis maksiat, tidak kira yang ringan atau berat, ia akan mengundang kemurkaan Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, di mana ia terlalu khuatir akan tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Begitu juga perlakuan maksiat dan dosa yang dilakukan secara terang-terangan. Ada kalanya Nabi SAW berusaha menutup sehabis mungkin perlakuan maksiat dilakukan secara tersembunyi supaya si pelaku berpeluang bertaubat kepada Allah SWT. Bagaimana pula mereka yang melakukan maksiat secara terbuka?

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah sudah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah sudah menutupi dosa itu semalaman, tetapi pada pagi hari dia buka yang ditutup Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini peringatan penting untuk kita kerana apa yang amat ditakuti manusia adalah taubat yang tidak diterima. Betapa ruginya kita jika mengetahui taubat tidak diterima kerana maksiat terbuka yang dilakukan dulu.

Sejarah Islam melakarkan pelbagai peristiwa untuk dijadikan iktibar. Banyak kemurkaan Allah bermula apabila maksiat dilakukan secara terbuka. Malah kini banyak tempat dijadikan pusat maksiat secara terbuka.

Maksiat secara terbuka perlu dicegah kerana apabila maksiat itu dianggap biasa, kita sebenarnya sedang memanggil azab Allah. Maksiat secara terbuka adalah dosa purba dulu kala yang sudah dimodenkan.

Lihat saja kisah kehancuran kaum Nabi Luth yang dirakamkan al-Quran: “Adakah patut bagi kamu mendatangi lelaki (homoseksual) dan menyamun di jalan raya dan kamu membuat kemungkaran di tempat pertemuan kamu. Maka tidaklah ada jawapan kaumnya melainkan mereka berkata: Datanglah kepada kami azab Allah itu, jika sungguh engkau dari orang yang benar.” (Surah al-Ankabut, ayat 29)

Ketika menafsirkan ayat ini, Al-Isfahani dalam kitab al-Mufradat fi Gharib al-Quran menceritakan tempat masyarakat awam berkumpul iaitu tempat kaum Nabi Luth melakukan maksiat secara terbuka dan diketahui umum.

Rentetan peristiwa maksiat secara terbuka, akhirnya Allah menurunkan bala yang sangat pedih ke atas kaum Nabi Luth. Ini menggambarkan kepada kita, menzahirkan maksiat secara terbuka sama seperti kita mencabar Allah SWT untuk menurunkan azabnya.

Bagaimana pula orang yang menghadiri tempat maksiat tetapi tidak melakukan perbuatan maksiat. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sungguh, Allah sudah menurunkan kepada kamu dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan, maka jangan kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentu kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang munafik dan orang kafir di dalam Jahannam.” (Surah an-Nisa’, ayat 140)