Peranan Ibu Bapa Dalam Mengatasi Masalah Remaja
Ingatlah masa depanmu,
Kenanglah,
Jasa ibu dan ayahmu,
Susah payah mereka membesarkan kita.
Cebisan puisi di atas cukup jelas memanifestasikan satu mesej kepada para remaja supaya sentiasa menghargai ibu dan bapa mereka. Umum mengetahui, para remaja marcapada ini terlalu lalai dan leka dibuai arus modenisasi. Penglibatan mereka dalam delinkuen social sudah menjadi buah mulut dan mauduk utama perbualan orang mutakhir ini. Justeru, ibu bapa dilihat sebagai satu komponen paling utama malah turut dianggap formula yang cukup mujarab bagi mengatasi masalah dalam kalangan remaja.
Pertama, ibu bapa perlu menghulurkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat menginginkan perhatian. Naluri mereka yang mudah memberontak sudah pasti dapat ditenangkan menerusi perasaan cinta ibu bapa terhadap anak-anak. Api kemarahan dan banteng keegoan yang menebal di dada mereka pasti mudah diruntuhkan dengan kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh kepada anak-anak. Andai kata remaja ketandusan kasih sayang, sudah pasti mereka akan mecari haluan lain untuk melepaskan diri dari kepompong ketidakselesaan. Natijahnya, mereka akan mula berjinak-jinak dengan najis dadah dan tidak mustahil akan terjerumus dalam kancah kemaksiatan. Berdasarkan statistic yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kadar remaja lari dari rumah kian meningkat sebanyak 5.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008. Justeru, sebelum nasi sudah menjadi bubur, ibu bapa perlu mengutamakan anak-anak mereka berbanding hal-hal lain.
Di samping itu, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi pendidikan formal mahupun pendidikan tidak formal. Tindakan kerajaan Malaysia mewajibkan keseluruhan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan di sekolah amatlah wajar dan perlu disokong. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan sewajarnya, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu menerapkan pendidikan berbentuk tidak formal kepada anak-anak.
Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting bagi memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D. Roosevelt. Maka, ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan cangkaliwang pada hari muka. Justeru, penerapan pendidikan yang sempurna pasti dapat menangani masalah ini.
Berkorban apa sahaja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah kasih mesra,
Sejati dan mulia.
Ingatlah, ibu bapa cemerlang, anak-anak gemilang!