23 Mei 2011

KEBAIKAN MENGINGATI MATI

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini merupakan jambatan untuk kita menuju ke negeri akhirat iaitu suatu penghidupan yang kekal abadi. Maka sudah tentu setiap diri kita akan menemui ajal. Dalam keghairahan kita melayari kehidupan ini, mencari harta, mencari rezeki untuk hidup, mengurus hal ehwal keluarga, anak-anak, hal ehwal pekerjaan dan apa jua hal-hal keduniaan kadang-kadang membuatkan kita lalai dan lupa dari mengingat mati. Fenomena ini memang tidak dapat dinafikan lagi sering terjadi kepada sebahagian orang, walaupun usia semakin meningkat, keadaan fizikalnya semakin lemah namun kepentingan dunia tetap menjadi prioriti teratas. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pernah menjelaskan fenomena ini melalui sabda Baginda yang maksudnya :
 “Manusia itu lemah tetapi kuat terhadap dua perkara iaitu: tamak kepada harta dan tamak kepada umur.”
(Hadits riwayat Muslim dan At-Tirmizi)
Hukum Mengingat Mati
Walhal mengingat mati itu juga sebahagian daripada tuntutan syara’, di mana setiap individu disunatkan mengingat mati pada setiap ketika. Ini jelas sebagaimana diterangkan di dalam hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud beliau berkata yang maksudnya :
“Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam: “Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya.”
Ibnu Mas’ud berkata: “Kami berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya kami benar-benar malu dan segala pujian bagi Allah.”
Baginda menjawab: “Bukan itu, akan tetapi malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya ialah kamu menjaga kepala dan apa yang ada padanya (telinga, mata dan lidah), menjaga perut dan apa yang terkandung padanya (hati dan kemaluan), dan ingat akan mati dan kesusahan. Dan sesiapa menghendaki akhirat maka dia meninggalkan kesenangan dunia. Sesiapa berbuat demikian itu (perkara yang tersebut di atas), maka dialah orang malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.”
(Hadits riwayat At-Tirmizi)
Di dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Banyakkanlah ingatan kepada pemutus kenikmatan”, yakni mati.
(Hadits riwayat At-Tirmizi)
Faedah Mengingat Mati
Bila kita sebut mengingati mati, “mengingati” itu di dalam bahasa Arab disebut sebagai az-zikr  dan perkataan ini biasa dipakai di dalam bahasa Melayu yang disebut dengan “zikir”. Dalam konteks ini, zikir boleh saja dilakukan melalui lidah, melalui hati dan amal perbuatan. Begitu juga dengan mengingati mati ianya boleh saja dilakukan dengan melalui lidah, misalnya dengan membaca ayat-ayat Al-Qur’an atau hadits-hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang menceritakan tentang mati. Selain faedah membaca Al-Qur’an itu untuk mengingat mati ianya juga berguna sebagai bekalan persediaan menghadapi kematian, umpamanya membaca surah Al-Mulk di mana surah ini mempunyai kelebihan yang hebat. Sebagaimana tersebut di dalam hadits bahawa surah Al-Mulk itu disifatkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagai penyelamat dan pendinding pembacanya daripada azab kubur.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu ‘anhuma beliau menceritakan bahawa seseorang daripada sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam mendirikan khemah di atas kubur, dengan tidak menyangka bahawa tapak kawasan itu adalah kubur. Lalu dia terdengar ada orang membaca surah (surah Al-Mulk) di dalam kubur sehingga akhir surah tersebut. Kemudian dia pun pergi berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam dengan memberitahu apa yang telah didengarnya: “Wahai Rasulullah, saya telah mendirikan khemah di atas tapak perkuburan, dan saya tidak menyangka bahawa tempat itu adalah kubur, lalu saya terdengar ada orang membaca surah (surah Al-Mulk) di dalam kubur sehingga akhir surah tersebut.” Lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Dialah penghalang, dialah penyelamat yang menyelamatkannya dari seksa kubur.”
(Hadits riwayat At-Tirmizi)
Ataupun mengingat mati itu melalui hati, misalnya dengan membayangkan di hadapan matanya keadaan ketika dia dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Ataupun dengan amal perbuatan, misalnya dengan menziarahi kubur, turut serta menguruskan jenazah, menziarahi orang yang sedang sakit terutama orang yang dalam keadaan nazak.
Perkara seperti ini boleh saja mencuit kalbu dan membibitkan dalam diri sanubari seseorang suatu perasaan keinsafan bahawa hidup ini tidak kekal, hidup ini tidak selamanya dalam keadaan sehat, di mana saat kematian tetap akan kunjung tiba pada bila-bila masa. Dan semua ini sebenarnya secara tidak langsung akan membawa seseorang itu akan sentiasa ingat kepada Yang Maha Berkuasa Menghidup dan Mematikan setiap makhluk; Allah Azza wa Jalla. Apabila seseorang itu sentiasa ingat kepada Allah maka Allah akan sentiasa membalasnya dengan kebaikan. Firman Allah Ta’ala yang tafsirnya :
“Oleh itu, ingatlah kamu kepada Aku (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 152)
Selain itu, seseorang yang sentiasa ingat kepada kematian akan mencetuskan dorongan dan gesaan yang menggerakkan dirinya agar sentiasa waspada dan mempastikan dirinya sentiasa berada di dalam sempadan-sempadan yang ditentukan oleh Allah subhanahu wa ta'ala tanpa melewatinya walau sejengkal, iaitu dengan menjunjung perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.