12 Dis 2010

LADAP

ULASAN BUKU MOTIVASI 


Penerbit edisi Malaysia: Advantage Quest Publications, Puchong (dengan izin The Career Press, Inc., USA)

Tahun cetak: 2009

Jumlah muka surat:   256

Harga di rak:   RM29.90

Tarikh beli:   24.11.10

Sinopsis


Buku ini mengandungi 16 bab, tidak termasuk bahagian pengenalan dan lampiran. Pengarangnya seorang pakar runding wawancara media, persembahan profesional, komunikasi saksi bicara di mahkamah dan segala yang berkaitan dengan penyampaian mesej. Pengarang berpendirian bahawa komunikasi bersemuka tidak mungkin dapat digantikan oleh kecanggihan teknologi jaringan terkini.

Murid sekolah tidak menjadi lebih baik hanya kerana dibekalkan komputer pada setiap meja mereka. Sebaliknya kualiti generasi masa hadapan lebih kuat dipengaruhi faktor kasih sayang, perkongsian dan perhatian ibu bapa, guru dan pentadbiran sekolah. Aktiviti pembelajaran di bilik darjah tidak akan lapuk dek panas, tidak lekang dek hujan.

Inti pati buku ini ialah tentang cara penghantar "menjual" mesej komunikasi kepada penerima. Antara perkara yang perlu dijual ialah kompetensi, jati diri (likability), keyakinan, isyarat yang betul, keluaran, keterangan, pendapat, kepimpinan dan nasib baik. Pendek kata, komunikasi bersemuka bermula dengan membuka mulut bagi menjual idea atau mesej supaya dapat diterima.

Pengarang menekankan tentang penggunaan ayat-ayat yang jelas, ringkas dan mudah difahami oleh khalayak. Ayat yang berbunga-bunga, meleret-leret dan penuh dengan istilah yang janggal akan memesongkan perhatian khalayak. Jika bercakap kepada sekumpulan khalayak, pastikan bahawa pakaian dan cara pergerakan yang teratur, sepertimana  saranan berpakaian untuk berjaya (dress for success).

Seorang yang hendak menjual mesej komunikasi yang baik umpama seorang pencerita yang dapat menangkap imaginasi khalayak menerusi visualisasi perkataan. Butiran cerita mereka akan lebih diingati berbanding dengan angka, carta, graf, dan analisis stastistik. Malah, pada tahun 2007 ketika meraikan ulang tahun ke-20Microsoft PowerPoint, salah seorang pengasasnya sendiri mengatakan bahawa PowerPoint ialah alat komunikasi yang hebat, tetapi digunakan dengan buruk sekali: PowerPoint sekadar menjadi pembunuh komunikasi!

Pengarang juga menulis bab (8) yang khusus tentang komunikasi guru di bilik darjah. Disebabkan guru bertemu dengan murid saban hari, mereka hendaklah sentiasa menampilkan kesegaran setiap kali masuk ke bilik darjah, bagaikan kali pertama bersua muka dengan murid. Perjuangan guru memupuk pembelajaran pada akhirnya ialah proses menjual mesej komunikasi sehingga berjaya.

Kebanyakan subordinat dalam organisasi akan mengeluh apabila diarah menghadiri mesyuarat yang dikendalikan oleh orang yang membosankan, tidak terancang, tidak mematuhi agenda dan tidak selesa. Mesyuarat yang berjaya perlukan pengerusi yang jelas tentang peranan setiap anggota mesyuarat, dan bukan hal-hal peribadi. Masa anggota mesyuarat jangan dibazirkan, iaitu bermula tepat pada waktunya dan berakhir  dengan cepat  sebaik sahaja semua agenda diselesaikan.

Isu anugerah khidmat cemerlang dan naik pangkat sering menjadi bahan gosip dan pertikaian. Pengarang berpendapat bahawa dalam keadaan biasa, orang yang disukai oleh pembuat keputusan memiliki peluang yang lebih besar. Hal itu dikategorikan sebagai "nasib baik" (baca: rezeki - penulis blog) yang ditulis dalam bab 15.

Buku ini sangat bermanfaat kepada sesiapa yang berhasrat untuk memajukan diri dalam komunikasi yang menjadi asas penting kemahiran interpersonal. Dalam era kepintaran berpasukan lebih dipentingkan daripada kepintaran individu, kejayaan menjual sesuatu mesej komunikasi wajib diberi perhatian. Kita perlu mempelajarinya.

Nilai Pengetahuan

1   Kemahiran Interpersonal

2   Perancangan komunikasi

3   Analisis persekitaran komunikasi

4   Motivasi kendiri


Aplikasi p & p


Guru hendaklah peka terhadap elemen komunikasi yang mampu memastikan bahawa mesej berjaya dijual kepada murid. Begitu juga dengan tahap komunikasi murid ditingkatkan dari masa ke masa supaya matlamat pembelajaran tercapai secara optimum. Di tangan guru yang memiliki kepekaan komunikasi yang tinggi, momentum pembelajaran sentiasa dapat disegarkan...